Antara Mahathir dan Zahid, siapa bohong?

Rusnizam Mahat

Langkah Sheraton yang berlangsung pada malam 23 Februari lalu pada awalnya dilihat bukan bertujuan untuk menjadikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Idea mengenai pensejajaran semula atau gabungan politik baru hanya diketahui umum selepas Muhyiddin mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH) sehari selepas itu.

Pada masa itu Muhyiddin berkata kesemua ahli parlimen yang bersamanya telah menandatangani akuan bersumpah (SD) untuk terus menyokong dan memberi kepercayaan kepada Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Selain penubuhan gabungan baru, langkah itu juga dilihat sebagai usaha untuk mengekang Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

Strategi politik ini dikatakan bertitik tolak daripada desakan dari dalam PH agar Mahathir menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada Anwar dalam mesyuarat Majlis Presiden PH yang dilapor berlangsung dalam suasana penuh tegang pada 21 Februari.

Dalam sidang media selepas mesyuarat malam itu Mahathir menegaskan kata putus telah dicapai bahawa beliau sendiri akan menentukan tarikh peralihan kuasa kepada peggantinya.

Daripada bahasa badan dan riak muka Mahathir yang dirakam lensa kamera pada masa itu, jelas menunjukkan beliau tidak gembira.

Pertemuan parti-parti politik Melayu diadakan di rumah Mahathir pada petang 23 Februari. Dan pada sebelah malam itulah bermulanya Langkah Sheraton.

Selepas beberapa bulan, gambar mengenai pertemuan di kediaman Mahathir tular baru-baru ini. Gambar itu didakwa oleh penyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai bukti bahawa Mahathir merestui langkah Bersatu keluar daripada PH.

Menurut Presiden Umno Ahmad Zahid, pertemuan itu bertujuan mengajak Mahathir menubuhkan kerajaan tanpa DAP, PKR dan Amanah.

Kata Zahid, sudah ada titik persetujuan awal daripada Mahathir sebelum bekas perdana menteri itu menukar keputusan dan membuat pusingan U dengan idea kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, penyokong Mahathir mengatakan pertemuan di rumahnya itu diatur sendiri oleh Muhyiddin.

Mahathir meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu sehari selepas Langkah Sheraton iaitu pada 24 Februari.

Ini dijadikan alasan yang kuat oleh penyokongnya bahawa Mahathir tidak merestui langkah tersebut.

Pada 25 Februari, pemimpin Bersatu, termasuk ketua pemudanya, Syed Sadddiq Syed Abdul Rahman dilapor enggan menerima Umno secara en bloc dalam kerajaan.

Pada hari yang sama, Reuters melaporkan Mahathir yang pada masa itu memegang jawatan PM interim mencadangkan penubuhan kerajaan perpaduan yang merentasi parti-parti politik.

Kerajaan perpaduan yang dimaksudkan Mahathir adalah kerajaan tanpa pembangkang.

Anehnya Mahathir dikatakan tidak dapat menerima Umno secara en bloc dalam kerajaan baru, tetapi kemudian menawarkan kerajaan perpaduan yang termasuk di dalamnya adalah Umno sendiri.

Idea kerajaan perpaduan

Bagaimanapun idea mengenai kerajaan perpaduan ini tidak dapat diterima bukan sahaja oleh pemimpin PH, bahkan pemimpin Umno sendiri yang menolak kerjasama dengan DAP.

Persoalan yang buat ramai tertanya-tanya ketika ini apakah Mahathir bersetuju dengan penubuhan kerajaan tanpa DAP, PKR dan Amanah seperti didakwa Zahid ketika berlangsung pertemuan di rumah bekas perdana menteri itu?

Kita tidak tahu apa yang dibincangkan dan apa yang diperkatakan Mahathir kepada parti-parti Melayu ini.

Tiada sesiapa mengetahui cerita sebenar kecuali lingkaran mereka yang hadir pada pertemuan tersebut.

Yang pasti, antara kedua-dua tokoh ini, salah seorangnya telah berbohong dan memutarbelitkan fakta.

Di pihak Mahathir, mereka mendakwa kelompok Muhyiddin telah "menjual" nama Mahathir agar parti itu dikeluarkan daripada PH.

Bekas perdana menteri itu dikatakan enggan mengikut sama kerana berpegang kepada prinsip untuk tetap bersama PH dan akan mengotakan janji menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Oleh yang demikian, mereka menganggap Muhyiddin melakukan pengkhianatan kerana menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang serta mengkhianati Mahathir untuk menjadi perdana menteri.

Di pihak penyokong PN dan pro-Muhyiddin pula, mereka mendakwa Mahathir sendiri mengkhianati persetujuan untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP, PKR dan Amanah, selepas diasak menyerahkan kuasa kepada Anwar.

Rentetan peristiwa

Untuk memahami bagaimana krisis politik ini bermula, kita harus melihat kronologi dan rentetan peristiwa yang berlaku sejak kekalahan BN di tangan PH pada PRU 2018.

Hanya kira-kira sebulan selepas kekalahan BN, veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang pada masa itu menjadi calon bagi jawatan presiden Umno membayangkan kerajaan PH tidak akan bertahan lama.

Beliau dilapor berkata banyak cara boleh dilakukan untuk memastikan Umno bersama dalam kerajaan.

"Kamu boleh adakan usaha sama (joint venture), campuran pelbagai gabungan (mix of coallition), (atau) rundingan - asalkan kami tidak mengalami kerugian," kata Tengku Razaleigh atau lebih mesra dengan sapaan Ku Li itu.

Ternyata ramalan Ku Li benar-benar menjadi kenyataan apabila PH akhirnya tersungkur tidak sampai sepenggal.

Sejak 2018 lagi beberapa siri pertemuan diatur antara sama ada pemimpin Umno dan PAS dengan Mahathir.

Perbicangan tersebut bagaimanapun kononnya hanya berkisar mengenai perpaduan politik Melayu dan masa depan negara.

Bahkan Zahid sendiri dilapor beberapa kali bertemu Mahathir, namun menafikan kerjasama Umno dengan bekas perdana menteri itu.

Kadir: Dr M kata Zahid ada sokongan ka?

Spekulasi mengenai gabungan baru kembali timbul pada pada November tahun lalu apabila Anwar secara tersirat mendedahkan usaha di belakang tabir untuk mengumpul sokongan anggota parlimen bagi menghalang peralihan kuasa.

Pada masa itu, nama Hishamuddin Hussein disebut-sebut sebagai dalang utama untuk menubuhkan kerajaan baru dengan mengumpulkan sekumpulan ahli politik di kediaman timbalan presiden PKR Azmin Ali

Penyokong Mahathir dan PH melihat ia sebagai usaha menyelamatkan pemimpin-pemimpin Umno, terutama Najib Razak dan Zahid sendiri yang sedang berhadapan perbicaraan rasuah di mahkamah.

Dalam masa yang sama, sokongan pengundi terutama orang Melayu terhadap PH semakin merosot dengan kekalahannya dalam beberapa pilihan raya kecil.

Dengan beberapa isu yang dilihat gagal ditangani dengan cermat oleh PH, mengakibatkan Umno-BN menjadi kembali popular.

Mahathir sendiri memberi bayangan dua bulan sebelum kerajaan PH tumbang, bahawa PH mungkin menjadi kerajaan sepenggal sekiranya gabungan itu tidak berubah.

“Kita kalah lima pilihan raya kecil dan mereka masih tidak faham.

“Saya beritahu mereka, dalam demokrasi kamu perlu sokongan kuat orang ramai,” beliau dipetik berkata kepada pemberita di Langkawi.

Dari semasa ke semasa, Mahathir dikatakan menerima tekanan daripada kelompok pro-Anwar dalam PH untuk segera menyerahkan kuasa kepada presiden PKR.

Kesempatan ini diambil oleh Muafakat Nasional untuk mengikrarkan sokongan kepada Mahathir agar kekal menjadi perdana menteri.

Pada 20 Januari, Mahathir dilapor berkata beliau sentiasa terbuka dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak termasuk PAS jika perkara itu memberi banyak manfaat kepada negara.

Sokongan PAS dibuat di tengah desas-desus bahawa beberapa pihak dalam PH mendesak Mahathir melepaskan jawatan pada Mei setelah genap dua tahun mentadbir negara.

Pada Februari, PAS sekali lagi menyatakan sokongan kepada Mahathir dengan mahu membawa usul percaya kepadanya di parlimen.

Dari satu segi langkah PAS, sebagai sebuah parti pembangkang untuk membawa usul percaya kepada Mahathir dilihat aneh. Namun dari segi yang lain, ia dilihat strategi politik pintar untuk memastikan musuh politiknya berpecah.

Langkah Sheraton ikut skrip asal?

Apakah Langkah Sheraton yang membawa kepada tumbangnya kerajaan PH telah direncanakan lebih awal sebelum mesyuarat Majlis Presiden PH?

Jika ia dirancang lebih awal, apakah ia mengikut pelan yang asal?

Apakah Muhyiddin dirancang sebagai perdana menteri atau pelan yang awal adalah menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP, Amanah dan PKR dengan Mahathir kekal sebagai perdana menteri?

Terdapat dua teori utama yang boleh merungkai mengenai apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan pemimpin parti Melayu bersama Mahathir di rumahnya, beberapa jam sebelum Langkah Sheraton.

Pertama, Mahathir bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan gabungan kerajaan baru tanpa PKR, DAP dan Amanah seperti didakwa oleh Zahid.

Persetujuan awal itu mungkin dibuat selepas beliau menerima asakan demi asakan dari dalam PH agar mengundurkan diri.

Mahathir berkemungkinan mengubah pendirian itu selepas parti-parti komponen PH akur untuk menyerahkan kepadanya bagi memutuskan tarikh penyerahan kuasa kepada Anwar. Oleh sebab itu beliau menawarkan kerajaan perpaduan yang kemudian ditolak oleh Umno.

Teori Kedua, Zahid yang sebenarnya berbohong apabila mengatakan Mahathir bersetuju pada awalnya untuk menubuhkan gabungan baru.

Seperti ditegaskan Mahathir berulang kali, beliau tidak akan menggadai prinsip untuk bekerjasama dengan pemimpin Umno yang pernah dilabelnya sebagai perompak dan pencuri.

Oleh itu antara kedua-dua tokoh ini siapakah sebenarnya berbohong dan memutarbelitkan fakta?

Melainkan wujud masalah komunikasi atau salah faham antara kedua-dua belah pihak, jelas salah seorangnya telah berbohong.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan