MALAYSIA DATELINE
Datuk Seri Anwar Ibrahim dicadangkan berkompromi dengan memberi peluang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri sekali lagi dalam jangka masa yang jelas manakala beliau sendiri menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali dalam satu tulisan khasnya kepada Malaysia Dateline berkata, hanya inilah caranya kerajaan Pakatan Harapan 2.0 boleh dibentuk semula terutama demi kepentingan parti sahabat Anwar iaitu AMANAH dan DAP.
“Saya fikir dalam situasi kini, memberi peluang Tun mengemudi PH sekali lagi sebagai PM dengan syarat melantik DS Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan mungkin satu pilihan yang terbaik.
“Soal peralihan kuasa 2.0 dalam tempoh tertentu mungkin boleh dipateri dalam suatu bentuk persetujuan yang lebih menyeluruh dari segi tempoh dan tarikh yang nyata,” kata beliau dalam tulisan itu.
BERIKUT TULISAN PENUH DR MAZLAN ALI
APA PILIHAN ANWAR
DR MAZLAN ALI
Saya fikir Anwar dalam situasi mempunyai kuasa tawar menawar yang besar sekarang, dan dalam keadaan setelah apa yang Tun Mahathir lakukan terhadap beliau sebelum ini (mungkir janji), mungkin Anwar mengambil sikap berhati-hati untuk tidak terlalu memberi ruang yang tersangat mudah bagi Tun Mahathir.
Situasi deadlock sekarang memang membawa kebuntuan, dan saya fikir dalam pemikiran Anwar kini, membentuk kerajaan PH kembali adalah satu pilihan yang tidak boleh diabaikan, tetapi beliau mungkin berfikir mengambil langkah bahawa kerajaan PH yang baharu ini mestilah PH 2.0 yang bebas dari sebarang kemungkinan manipulasi yang berulang, dengan kunci mangganya di tangan Tun Mahathir.
Saya pernah dengar kenyataan Anwar bahawa dia tidak akan tinggalkan rakan-rakannya (DAP dan Amanah).
Tetapi dengan mengambil sikap keras dan tidak mahu kompromi, bermaksud Anwar sebenarnya hanya pentingkan dirinya sendiri dan membelakangkan kepentingan rakan-rakannya DAP/Amanah yang inginkan pembentukan Kerajaan PH 2.0.
PKR berbeza dengan Amanah dan DAP. PKR parti yang sudah lama bertapak dalam politik dan mereka telah mempunyai suatu falsafah yang cukup kuat tentang perjuangan dan keperluan intuk merealisasikan suatu reformasi yang menyeluruh.
Dengan sebab itu, PKR boleh bertahan jika terus kekal sebagai pembangkang. Saya fikir Anwar mempunyai kekuatan dan mampu untuk merealisasikan kehendaknya (enggan kompromi dengan Tun) berbanding Amanah dan DAP.
Sedangkan Amanah sebuah parti muda dan tidak begitu kuat tapak tapak politik asasnya. Justeru Amanah amat memerlukan suntikan tenaga untuk melonjakkan momentumnya iaitu dengan menjadi kerajaan. Hakikatnya peluang membentuk kerajaan baru PH 2.0 ini adalah sesuatu yg sukar dilepaskan oleh Amanah.
DAP yang terpalit sebagai parti pembangkang puluhan tahun juga memerlukan lonjakan baru untuk membuktikan kemampuannya menjadi sebuah parti kerajaan yang boleh berkhidmat untuk rakyat dan mewakili suara masyarakat bukan Melayu yang lain. Peluang membentuk kerajaan baru ini juga sesuatu yang sukar untuk dilepaskan DAP.
Anwar Perlu Kompromi
Dalam situasi kebuntuan kini, Anwar dan Mahathir masing-masing tidak boleh membentuk kerajaan tanpa kerjasama keduanya, kecuali Anwar dapat membuktikan bahawa tanpa Tun, beliau boleh membawa angka lebih 112 walau dengan apa cara, atau Tun boleh mengadakan jumlah 112 dengan mempertimbangkan muafakat baru yang tidak dalam jangkauan pemikiran kita.
Maka dalam situasi pemimpin-pemimpin pembangkang yang semakin lemah ekoran siasatan dan pendakwaan seperti kes YB Syed Saddiq, kes Timbalan Pengerusi/Presiden Warisan, kes Banglo Lim Guan Eng, pendedahan Bekas AG Afandi tentang konspirasi Mahathir-Sri Ram dan banyak lagi menunjukkan masa bagi PH 2.0 semakin suntuk. Dan tidak ada jaminan kes gangguan seksual Anwar dengan Yusof Rowther tidak akan dibuka semula, dan ini benar-benar menunjukkan pembangkang kini semakin lemas dan bakal tenggelam tidak lama lagi.
Saya fikir dalam situasi kini, memberi peluang Tun mengemudi PH sekali lagi sebagai PM dengan syarat melantik DS Anwar sebagai TPM dan Menteri Kewangan mungkin satu pilihan yang terbaik.
Soal peralihan kuasa 2.0 dalam tempoh tertentu mungkin boleh dipateri dalam suatu bentuk persetujuan yang lebih menyeluruh dari segi tempoh dan tarikh yang nyata.
Saya fikir, ini situasi menang-menang dan Anwar masih mempunyai kelebihan untuk menentukan sendiri bentuk penjajaran semula politik menjelang PRU-15 dengan sokongan rakan-rakan DAP dan Amanah yang lebih mantap, hasil pengorbanan kali kedua Anwar sehingga mandat rakyat PRU-14 dapat dikembalikan.
Dr Mazlan Ali
Tiada ulasan:
Catat Ulasan