Anwar: 'Perubahan perlu sebelum PRU15 kerana tiadanya semak dan imbang'

Malaysiakini

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memegang tampuk kuasa susulan gerakan politik kini mentadbir negara tanpa adanya semak dan imbang, menurut Pemimpin PH Anwar Ibrahim.

Dengan ketiadaan unsur penting itu, ahli politik veteran berusia 72 tahun itu berkata PH tidak boleh menunggu sehingga PRU ke-15 untuk mengambil semula pentadbiran negara.

Dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini, di pejabatnya di Petaling Jaya semalam, beliau membayangkan PH tidak akan mencetuskan pilihan raya mengejut tetapi sedang berusaha mendapatkan majoriti yang selesa di Dewan Rakyat, sebelum membuat langkah seterusnya.

"[… ] Tentulah, tiada harapan jika anda benarkan (kerajaan) terus (mentadbir) tanpa diawasi.

"Tiada semakan di Parlimen, media arus perdana tampak lebih tunduk sekarang dan ada gangguan terhadap masyarakat sivil, wartawan dan sebagainya.

"Jadi saya fikir kita tiada pilihan selain memastikan perubahan berlaku lebih cepat dan tidak menunggu sehingga pilihan raya," katanya.

Kerajaan PH tumbang pada Februari lalu selepas bekas timbalan Anwar dalam PKR, Azmin Ali dan sekutunya serta kem Bersatu yang menyokong Muhyiddin Yassin keluar daripada gabungan itu, untuk membentuk PN bersama-sama Umno, BN dan PAS, dan disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sidang Parlimen pada 18 Mei lalu menunjukkan PN hanya memiliki majoriti dua kerusi.

Mutakhir ini, PH bersama-sama kem Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu dan Warisan membayangkan memiliki jumlah yang cukup untuk kembali menjadi kerajaan persekutuan.

Dalam siaran langsung di Facebook semalam, Anwar berkata PH memiliki 107 anggota Parlimen. Beliau kemudian berkata kepada Malaysiakini angka itu merupakan 'jangkaan konservatif', iaitu mungkin lebih rendah daripada yang sebenarnya.

Hari ini pejabat Anwar menjelaskan bahawa angka itu merangkumi PH, Warisan dan anggota Parlimen yang menyokong Mahathir, tetapi tidak mengambil kira anggota Parlimen bebas dan kalangan yang tiada wakil dalam mesyuarat PH awal minggu ini.

Setuju dengan Najib soal majoriti tipis

Dalam wawancara ini, Anwar menegaskan beliau tidak akan berkompromi dalam soal prinsip hanya demi menang dalam "permainan angka".

Presiden PKR itu juga enggan mengulas lanjut ketika ditanya sama ada beliau mengadakan perbincangan dengan GPS, dan hanya berkata beliau berhubung dengan semua pihak.

Sokongan GPS boleh menjadi amat penting buat PH dalam usaha menyingkirkan PN tetapi pada masa sama, gabungan itu perlu memastikan anggota Parlimennya sendiri tidak bertukar arah, seperti Jugah Muyang (Lubok Antu) yang keluar PKR minggu lalu.

Ditanya berkenaan perkara itu, Anwar optimis anggota Parlimen PKR yang lain tidak akan mengambil langkah sama atau terumpan untuk meninggalkan PH ekoran masalah kewangan atau "tawaran yang sangat menarik".

"(Jugah) ada meluahkan kesukaran berkhidmat di kawasannya, tiada cukup wang (untuk berkhidmat). Saya kata kita kena tunggu, apa lagi yang boleh kita lakukan," katanya.

Dalam soal ini, Anwar berkata masalah tidak timbul jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sentiasa berwaspada dan giat melawan apa yang didakwanya sebagai percubaan membeli sokongan wakil rakyat.

Dengan jumlah sokongan yang boleh bertukar bila-bila masa, beberapa pihak antaranya bekas perdana menteri Najib Razak berkata perubahan kerajaan dengan majoriti tipis akan membawa kepada ketidakstabilan dan Yang di-Pertuan Agong sebaliknya boleh memilih untuk membubarkan Parlimen agar pilihan raya diadakan.

"Saya setuju dengan Najib dalam soal ini," kata Anwar.

"Tiada gunanya memaksa perubahan jika anda hanya ada majoriti tipis, sebab anda akan balik ke petak pertama...(Jika ada) satu atau dua MP yang tidak gembira dengan kedudukan mereka," katanya lagi.

Katanya lagi, walaupun semua pilihan boleh dipertimbangkan, PH patut fokus dalam menguatkan jentera pilihan raya dan asas sokongan jika tidak mampu menubuhkan kerajaan yang stabil.

Selain itu, beliau berkata pilihan raya pada masa ini tidak wajar di tengah-tengah wabak Covid-19 dan sekatan ekoran pandemik itu akan menjejaskan usaha kempen.

Berikut adalah sedutan wawancara yang telah disunting agar lebih jelas.

Malaysiakini: Anda menyebut hanya ada 107, jika mahu kerajaan yang stabil anda perlukan lebih daripada lima lagi MP, mungkin 10 atau 15 orang.

Anwar: Saya bersikap konservatif dalam hal ini. Ia anggaran konservatif, 107. Tetapi seperti yang anda tahu, mereka (PN) ada 111, jadi masih sekitar itu. Dan tentunya bukan kedudukan saya untuk menjelaskan lagi (tentangnya). Tetapi saya perlu katakan ada unsur-unsur menimbang walau di kalangan MP (PN). Ia bukan sekadar kedudukan menteri, GLC.

Saya membaca beberapa laporan media bahasa Melayu semalam dan hari ini, (mereka berkata) Muhyiddin kurang berpolitik. Itu adalah satu kenyataan yang tak masuk akal (absurd). Caranya melantik menteri, timbalan menteri serta GLC, dan menghabiskan masa bercakap dengan MP untuk dapatkan sokongan, tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini adalah politik.

Tapi ia politik tahap rendah, bukan politik sofistikated di mana anda bercakap tentang dasar dan berhujah tentang perubahan. Anda hanya beritahu mereka (apa yang ditawarkan) dan beli mereka. Dan anda boleh kata atau cadangkan bahawa tidak ada politik.

Jadi ada ramai orang yang bimbang, mereka kata 'Baiklah tapi apa yang sedang berlaku kepada negara, untuk tiga bulan sebelum ini atau tiga bulan akan datang?' Saya malah tak pasti sidang Parlimen Julai dapat diadakan.

Jadi apa yang berlaku kepada negara ini, adakah dalam darurat? Dan apa masalah dengan elit politik dan kalangan intelektual? Bagaimana anda dapat menerima begitu saja misalnya dari segi pelantikan, GLC, tiada kepedulian langsung. Malah anda boleh sentuh Petronas, yang boleh dikatakan tak boleh disentuh. Dalam keadaan terburuk pun, orang masih mengekalkan jarak politik dengan Petronas.

Bagi saya, ini cukup membimbangkan. Jika anda tidak berhati-hati, sebaik saja kemelampauan (excess) didedahkan, digabung pula dengan jumlahnya, ia mungkin lebih teruk daripada 1MDB. Sebab tiada semak dan imbang langsung.

Disebabkan Covid-19 maka tiada tender, kontrak diberikan begitu sahaja.

Saya tidak pasti sama ada MP PN ini akan sertai atau sokong kami atau tidak. Tapi anda akan terkejut yang orang dalam PN kini berkata, 'Lihat, tiada masa depan untuk negara ini'. Ada kebimbangan, pertama berkenaan semangat kesatuan-kepelbagaian kaum, kedua tentang soal tadbir urus. Jadi saya kekal optimis.

Malaysiakini: Anda yakin mendapat majoriti yang selesa?

Anwar: Jika anda tanya Anwar, Anwar sentiasa yakin. Malah pada 1998 pun, saya seorang optimis tegar. Ketika saya dalam penjara, bila mereka tanya, 'Apa pandangan anda?', saya akan kata 'Ya kita akan menang'.

Malaysiakini: Jadi jika kami simpulkan bahawa anda kata usaha mendapatkan jumlah yang cukup masih dalam proses, dan secara peribadi anda harap dapat melakukannya sebelum PRU ke-15 kerana keadaan yang dihadapi sekarang?

Anwar: Jika kami berjaya dapatkan sokongan yang cukup, pastinya semua orang, bukan sahaja saya, tetapi untuk semua orang yang boleh mendapatkan sokongan (kami akan gerakkan perubahan).

Tetapi seperti yang anda tahu, pendirian kami adalah mereka telah melanggar mandat, dan keduanya mereka tidak sah (legitimate) dan ketiga, (PN) sangat rapuh. Setiap hari ada ancaman daripada Umno.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan