Kasari wanita, tindakan SPRM menjijikkan

MALAYSIA DATELINE

Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menyifatkan dakwaan Pegawai Syed Saddiq Siti Nurul Hidayah sangat serius jika ia benar-benar dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah katanya, tindakan SPRM yang didakwa meminta Hidayah berdiri selama 30 minit dengan mengangkat sebelah kaki dan kedua-dua tangan beliau adalah bentuk ‘torture’.

“Jika benar, ia amat amat dikesali. Ia salah di sisi undang-undang dan moral. Dan jika benar dakwaan ia diperlakukan hatta pada wanita, bagi saya, itu makin memperlihatkan kejijikan dakwaan insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang) menggesa pihak SPRM menyiasat dakwaan tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Sudah tentu, kita tidak mahu insiden dan mimpi ngeri yang berlaku kepada mendiang Teoh Beng Hock dan arwah Sarbini berulang kembali,” tegas beliau.

Hidayah dalam sidang medianya semalam mendakwa dikasari, diherdik serta dipanggil ‘babi’ dan ‘bodoh’ ketika memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan kehilangan wang RM250,000 dari kediaman Syed Saddiq.

Beliau juga mendakwa pegawai SPRM telah menendang kerusi yang didudukinya kemudian memaksa beliau berdiri sebelah kaki dengan kedua tangannya diangkat selama 30 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan