TAMPARAN BUAT MUHYIDDIN, ADA LAGI AKAN MENYUSUL LETAK JAWATAN DALAM SEHARI DUA MENDATANG

Shahbudin Husin
Setelah bertemu Tun Mahathir Mohamad Jumaat lalu dan kemudian menulis warkah panjang lebar mengenai kedudukan diri dan masa depannya dalam Bersatu, Ahli Parlimen Sri Gading, Dr. Shahruddin Md Salleh akhirnya meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerjaraya.

Perletakan jawatan ini bermakna penarikan sokongannya terhadap Muhyiddin Yassin yang kini membentuk kerajaan PN bersama UMNO, Pas, GPS, kumpulan Azmin dan parti-parti kecil yang lain.

Bagi Dr. Shahruddin, perletakan jawatannya adalah disebabkan beliau merasakan penyertaannya bersama PN adalah suatu pilihan yang silap dan kurang tepat.

Surat perletakan jawatan Dr. Shahruddin adalah seperti di bawah ini:-

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

KENYATAAN AKHBAR

PELETAKAN JAWATAN

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA

1. Hari ini; Khamis 04 Jun 2020,

2. Dengan rasminya saya umumkan meletak jawatan perkara di atas berkuatkuasa mulai hari ini,

3. Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional PN,

4. Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan PH dalam PRU14,

5. Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh YAB Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN,

6. Sekian pernyataan yang saya ingin maklumkan terutama kepada pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading P149.

Sekian, terima kasih.

Shahruddin Salleh

Parlimen Sri Gading P149.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Yang nyata, perletakan jawatan Dr. Shahruddin ini adalah tamparan paling pedih dan tepat ke muka Muhyiddin yang belum sampai tiga bulan menjadi Perdana Menteri.

Ini kerana Dr. Shahruddin dikenali sepanjang masa sebagai “budak Muhyiddin” dalam karier politiknya.

Muhyiddin yang membawanya ke dunia politik daripada perkhidmatan awam dengan melantiknya sebagai Setiausaha Politik dan seterusnya memberi peluang bertanding di DUN Jorak, sebuah kawasan pilihanraya dalam Parlimen Pagoh.

Apabila Muhyiddin dipecat daripada UMNO pada 2015, Dr. Shahruddin turut meninggalkan UMNO dan apabila Bersatu ditubuhkan di mana Muhyiddin menjadi Presiden parti itu pada 2016, bellau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang pertama.

Perlantikan Dr. Shahruddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu adalah tanda kepercayaan tanpa keraguan Muhyiddin terhadapnya.

Pada pilihanraya 2018, Dr. Shahruddin bertanding di Sri Gading dan kemudian dilantik sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Apabila Muhyiddin menjadi Perdana Menteri bersama PN pada Mac lalu, Dr. Shahruddin terus dikekalkan sebagai Timbalan Menteri dengan portfolio baru di Kementerian Kerjaraya.

Keinginan Dr. Shahruddin untuk beralih arah meninggalkan PN dan kembali semula kepada PH sebenarnya mula diperkatakan sejak pertemuannya dengan Tun Mahathir, Jumaat lalu.

Beliau bertemu Tun Mahathir pada petang Jumaat, manakala pada sebelah paginya pula, Menteri Tugas-Tugas Khas, Mohd Redzuan Md Yusof bertemu Pengerusi Bersatu yang telah dipecat itu.

Dengan itu, Mohd Redzuan turut dispekulasikan akan meletakkan jawatan dalam kerajaan untuk kembali kepada PH dan memberi sokongan kepada Tun Mahathir yang kini berkrisis dengan Muhyiddin.

Dalam perkembangan terkini selepas Dr. Shahruddin meletakkan jawatan ini, seorang dua lagi pemimpin Bersatu yang ada jawatan dalam kerajaan diperkatakan akan melakukan tindakan yang sama dalam sehari dua lagi.

Ini akan menjadikan, dalam waktu terdekat ini, jika seorang lagi menarik sokongannya, keadaan kerajaan akan tergantung dengan kedudukan 111-111, manakala jika dua orang sekaligus meletakkan jawatan, Muhyiddin sudah dikira tumbang dengan rekod sebagai Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah negara sejak merdeka.

Sama-sama kita tunggu perkembangan selanjutnya sehari dua lagi. (Shahbudindotcom 04/06/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan