Ulama Pas rela tidak insaf bersekongkol dengan penipu, penyamun Umno

ARIF ATAN
“Jika dengan kerjasama Pas-Umno dapat menumbangkan PH (Pakatan Harapan), saya bersetuju kerana menumbangkan PH adalah ibadah.”

Itu penegasan terbaharu Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Mokhtar Senik menjawab apa yang didakwanya soalan daripada beberapa ahli parti komponen PH berhubung kerjasama Pas dengan Umno.

“Ada beberapa orang dari parti komponen PH cuba menginsafkan saya tentang jenayah-jenayah politik yang pernah dilakukan oleh Umno. Satu-persatu mereka senaraikan.

“Akhirnya mereka berkata bagaimana ustaz dan parti ustaz boleh bersetuju bersama dengan Umno menumbangkan PH? Bersekongkol dengan penipu dan penyamun?” tulisnya.

Sehubungan itu, beliau menganggap dirinya tidak pernah menoleh lagi ke belakang berhubung siapa Umno sebelum ini demi agama, bangsa dan negara.

“Kerana Nabi saya mengajar saya dalam sejarahnya. Baginda tidak pernah lagi menoleh kebelakang siapa Umar sebelum memeluk Islam.

“Tapi yang penting ialah kekuatan Islam,” katanya hari ini dalam catatan yang dinamakannya “Subuh yang hening di desa An Nuur”.

Untuk rekod, Pas dan Umno setakat ini masing-masing mempunyai 18 dan 38 kerusi Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasioal (PN).

Bekas Ketua Dewan Ulamak Pas Pahang itu selanjutnya berkata, turut diberikan fokus apabila partinya memutuskan untuk bertahaluf dengan Umno ialah taat kepada pemimpin dan patuh kepada keputusan jemaah yang kedua-duanya juga dianggap ibadah.

“Taat kepada pimpinan saya adalah ibadah. Selagi tidak menyalahi suruhan agama.

“Wala kepada keputusan jamaah dan parti adalah ibadah,” tegasnya yang sebelum ini pernah ditegur pakar selepas berkongsikan hadis yang sangat daif malah ada ulama yang menyatakan palsu.

Mokhtar juga berpendapat tiada untungnya “melihat Umno sebelum ini”, bahkan itu pun, katanya, tidak pasti lagi kerana semuanya bercampur aduk dengan fitnah pihak PH.

“Bijakkah saya mengungkit kejahatan lampau kawan saya? Sambil memejamkan mata dengan kejahatan kamu yang masih berleluasa?

“Jika jawapan saya itu menandakan saya belum insaf, maka saya rela untuk tidak insaf,” tegas pemilik Pusat Pendidikan Islam Annur Jalan Pantai Sepat, Kampung Kuala Penor di Kuantan itu lagi.

Semalam, Pas yakin kerjasama politik bersama BN dan Bersatu semakin mantap sekali gus bersedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan