Usul undi percaya PAS buat Muhyiddin ada maksud tersirat

Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berkata usul undi percaya PAS terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempunyai maksud tersirat.

Azan menyorot bahawa PAS sebelum ini juga pernah ingi membuat usul percaya terhadap Dr Mahathir Mohamad yang merupakan perdana menteri di bawah kerajaan PH ketika itu.

“Dulu masa Mahathir jadi perdana menteri, PAS pun cuba buat usul yang sama.

“Tetapi sebenarnya tersirat tidak menyokong Mahathir dan memang terbukti akhirnya menjatuhkan Mahathir untuk membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Jangan pisang berbuah dua kali dengan kaedah yang sama. Usul undi percaya tetapi yang tersirat membawa maksud usul tidak percaya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu, PAS telah mengemukakan usul undi percaya kepada Muhyiddin untuk dibentang dan dibahaskan dalam sidang parlimen yang akan bermula 13 Julai depan.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap Muhyiddin yang disifatkannya telah menunjukkan kepimpinan yang prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara pada Mac lalu.

Untuk rekod, PAS sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengemukakan usul untuk menyatakan sokongan terhadap Mahathir itu sewaktu Mahathir masih menyandang jawatan perdana menteri.

Usul berkenaan hadir ketika PH yang memegang kerajaan persekutuan ketika itu berdepan pelomik berhubung tempoh peralihan kuasa antara Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim.

PAS mahu membuat usul itu bagi menyatakan sokongan agar Mahathir kekal menerajui negara sebagai perdana menteri sehingga akhir penggal.

Bagaimanapun, tidak lama sebelum 'Langkah Sheraton' yang membawa kepada tumbangnya PH, PAS mengumumkan membatalkan usul berkenaan pada 22 Feb lalu.

Takiyuddin ketika itu berkata, usul undi percaya terhadap Mahathir dibatalkan kerana PAS berpuas hati dengan keputusan Majlis PH untuk menyerahkan peralihan kuasa sepenuhnya kepada Mahathir.

Takiyuddin turut menambah bahawa usul tersebut tidak lagi relevan kerana keputusan tersebut telah berjaya menghalang percubaan untuk melakukan peralihan kuasa dengan cara yang tidak demokratik.

Usul percaya terhadap Muhyiddin yang dibuat PAS pula hadir ketika pembangkang sendiri turut mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri PN itu.

Konsep usul percaya dan usul undi tidak percaya hampir serupa, dengan pengundian dibuat di Dewan Rakyat bagi menentukan sokongan yang dipegang oleh perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan