Ahli Jawatakuasa Pusat DAP Liew Chin Tong hari ini berkata kegagalan menumbangkan Kerajaan Sabah akan menjadi satu pengajaran kepada pemimpin-pemimpin politik lain yang berhasrat untuk melompat ke parti lain demi meraih keuntungan peribadi.
"Jutaan ringgit yang didakwa dibayar oleh Musa Aman kepada 'katak' (pemimpin yang keluar dari Warisan-PH) kini menjadi abu.
"Terima kasih kepada kepimpinan tegas oleh Shafie Apdal.
"Mereka yang berpaling tadah tidak akan mendapat tempat untuk bertanding sekarang, bahkan juga di bawah tiket Musa Aman.
"Biarkan ini menjadi satu pengajaran bagi semua ahli politik pada masa depan yang berkira-kira untuk melompat bagi mendapatkan imbuhan kewangan," katanya pada satu catatan Facebook hari ini.
Liew yang juga senator di Dewan Negara mengulas krisis politik masa kini di Sabah, selepas cubaan mengulingkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal tidak berjaya.
Semalam, Shafie Apdal yang juga Adun Senallang berkata Yang Di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin sudah memberi perkenan untuk pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri diadakan.
Beliau turut memaklumkan akan menjadi ketua menteri sementara sehingga pilihan raya diadakan dalam masa 60 hari.
Ini selepas bekas ketua menteri Sabah Musa Aman sebelum ini berkata beliau memiliki sokongan majoriti Adun untuk membentuk kerajaan negeri.
Dilaporkan sebelum ini sejumlah 13 Adun Warisan, masing-masing seorang daripada PKR dan DAP memberi sokongan kepada Musa Aman yang juga Adun Sungai Sibuga merangkap wakil rakyat tunggal Umno di Sabah.
PKR memecat Adun Inanam Kenny Chua Teck Ho daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta, manakala DAP mengumumkan pemecatan Ronnie Loh Ee Eng, Adun yang dilantik daripada parti itu yang turut berkuatkuasa serta merta.
Sementara itu, Setiausaha Agung Warisan Loretto Padua menegaskan semua wakil rakyat Warisan yang meninggalkan parti kerana menyokong Musa Aman dianggap telah ‘memecat’ diri mereka sendiri daripada parti itu dan oleh yang demikian, tidak ada tindakan lanjut akan diambil.
Loretto berkata dengan itu keahlian Adun yang berpaling tadah itu telah gugur dengan serta-merta.
Dalam pada itu, Chin Tong yang juga bekas timbalan menteri pertahanan pada hari ini berkata kegagalan komplot untuk menumbangkan Kerajaan Sabah merupakan satu kejayaan besar kepada rakyat Malaysia.
"Buat pertama kali sejak 'Langkah Sheraton', kita mencapai dua kemenangan penting- keputusan mahkamah Najib bersalah dan pembubaran DUN Sabah.
"Saya menulis pada 10 Jun bahawa 100 hari berikutnya akan memperjuangkan mandat rakyat Malaysia.
"60 hari akan datang akan menentukan sekiranya kita dapat mengalahkan kleptokrat," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan