Muhyiddin tersenyum puas bila Najib dihukum, dakwa AMT Umno
SITI NUR ZAWANI MISCON
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pasti sedang berbangga ketika ini mendakwa beliau lah orang yang paling berprinsip, apabila Datuk Seri Najib Razak dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, Muhyiddin dapat berbangga kerana walaupun Najib menyokong beliau sebagai Perdana Menteri Kelapan, namun bekas Presiden Umno itu tidak boleh dibeli dengan sokongan yang diberi.
“Hari ini orang yang tersenyum puas apabila Najib dihukum bersalah ialah Muhyiddin bukan (Tun Dr) Mahathir (Mohamad).
“Muhyiddin akan mendakwa dia orang paling berprinsip. Sebab itu (Datuk Seri Ahmad) Zahid juga tercicir dari senarai Menteri, walaupun wajar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Dia bangga kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) adalah kerajaan bermoral tinggi,” sindirnya melalui muatnaik hantaran Facebooknya hari ini.
Bagaimanapun, Mohd Puad mempersoalkan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang terpalit dengan skandal video intim boleh pula menjadi Menteri Kanan.
Beliau mendakwa, Muhyiddin memberi alasan bahawa bekas Timbalan Presiden PKR yang dipecat itu belum didakwa.
“Sama juga dengan Zahid Md Arip yang terkenal dengan gelaran ‘broker maut’. Dia juga belum dituduh. Sebab itu dilantik sebagai Senator.
“Nampaknya isu moral hanya terpakai pada pemimpin Umno. Ia tidak terpakai kepada pemimpin parti lain terutamanya PPBM,” katanya lagi.
Untuk rekod, Zahid Md Arip merupakan bekas Setiausaha Politik Mahathir yang kemudiannya dilantik sebagai Senator di bawah PN.
Beliau juga berkata, apa yang berlaku kepada Najib berkemungkinan adalah berkait dengan dendam Presiden Bersatu itu.
“Apa pun Najib juga tidak pernah meminta supaya kes beliau digugurkan.
“Najib pasti maklum kenapa itu berlaku kepadanya. Ada yang tersirat iaitu dendam kesumat,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan