Mujahid cabar Abdul Azeez debat isu Tabung Haji

SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim untuk berdebat berkenaan isu-isu agensi itu dan segala dakwaan yang dilemparkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menerusi temubual bersama Malaysia Dateline di bangunan Parlimen tengah hari tadi, Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, beliau tiada masalah untuk menjemput Abdul Azeez membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan itu nanti.

Lebih-lebih lagi, kata Mujahid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu dilihat sering mencelah untuk mempertahankan diri sewaktu ucapan beliau dalam sidang Dewan Rakyat, 15 Julai lalu.

“Saya tiada masalah untuk menjemput supaya Pengerusi Tabung Haji yang dahulu, Abdul Azeez untuk berdebat. Ketika saya berucap di Parlimen, dia ganggu dan nak pertahankan hujah dia, jadi ayuh kita berdebat.

“Saya nak berdebat dengan dia ini. Kita bentangkan apa yang didakwa. Dia kata ada fakta, tak apa, dedahkanlah supaya jangan ada beringat-ingat seperti di Parlimen baru-baru ini.

“Kita dedahkan secara aman, damai, bertamadun dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata bekas Menteri Agama itu, tiada keperluan untuknya berdebat dengan Datuk Dr Asyraf Wajdi memandangkan Ketua Pemuda Umno itu bukanlah ahli Parlimen.

Tidak keluar

Malah kata Mujahid, sepanjang berada di bawah Kementerian Agama sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN), Asyraf juga sama sekali tidak pernah membangkitkan isu tersebut.

“Orang tanya, kenapa Datuk Seri Azeez, kenapa tak nak berdebat dengan Asyraf Wajdi? Asyraf bukan ahli Parlimen.

“Azeez ini ahli Parlimen dan dia Pengerusi TH. Asyraf dulu dia pegang jawatan Timbalan Menteri, satu patah perkataan tidak keluar tentang TH.

“Kenapa pula hari ini dia berlebih-lebih dan saya perlu berdebat dengan dia?” soalnya lagi.

Terdahulu, dalam perbahasan usul yang menyentuh hal berhubung institusi kewangan yang mengurus dana umat Islam, Mujahid mendedahkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga TH yang dilakukan PH adalah berdasarkan laporan audit dan dapatan siasatan bebas mengenai kedudukan kewangan TH.

Beliau juga mendedahkan bahawa aset TH lebih rendah dari tanggungan sejak 2014 berdasarkan hasil dapatan siasatan beberapa badan yang dilantik untuk menyiasat kedudukan kewangan agensi tersebut.

Hal tersebut menarik perhatian Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez yang beberapa kali bangun mencelah meminta penjelasan Mujahid.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan