Pemuda AMANAH pelawa Syed Saddiq dan Armada sertai Amanah

SITI NUR ZAWANI MISCON

Sayap Pemuda AMANAH Nasional hari ini mempelawa bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) untuk menyertai AMANAH susulan pengguguran keahlian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada 28 Mei lalu.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Shazni Munir Ithnin berkata, anggota pimpinan sayap Pemuda Bersatu yang mungkin diketepikan turut dialu-alukan untuk menyertai dan berjuang bersama-sama AMANAH.

“AMANAH bukanlah asing bagi Syed Saddiq dan rakan-rakan Armada.

“Sejak menghadapi PRU-14 sehingga ke hari ini, AMANAH terus bekerjasama dengan kumpulan Bersatu pro Tun Dr Mahathir Mohamad termasuklah Syed Saddiq,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, AMANAH, katanya, pasti sangat terbuka menerima penyertaan tokoh dan para aktivis anak muda dari Armada ke dalam parti untuk bersama-sama memperjuangkan Malaysia yang lebih baik.

Terdahulu, selain Syed Saddiq, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga digugurkan keahlian dari Bersatu.

Berkuatkuasa serta-merta, turut dikenakan tindakan sama ialah Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu iaitu Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik.

Berdasarkan surat pekeliling yang tersebar, kelima-lima mereka dihentikan keahlian serta-merta atas alasan berada di tempat duduk blok pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei lalu.

Susulan pengguguran keahlian Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar itu, Naib Ketua Armada, Mohd Aizad Roslan kini menerajui sayap Pemuda Bersatu.

Sementara itu, Shazni berkata, Pemuda AMANAH optimis bahawa penyertaan Armada bakal merancakkan lagi dinamika gerakan anak muda dalam arena politik tanah air.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan