Apa perlunya Parti Pejuang? - TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

TUN DR MAHATHIR MOHAMAD

Jika kita perhati politik negara sekarang, tumpuan hanya kepada duit dan jawatan, tidak lagi kepada dasar perjuangan untuk negara.

Yang berada dalam Kerajaan berada kerana pendapatan yang boleh didapati. Soal dasar perjuangan tidak diambil kira.

Demikian Pas yang dahulu kata Umno kafir dan bekerjasama dengan UMNO jadi kafir, sekarang membentuk Muafakat dengan Umno. Kafirkah Pas – tidak. Itu tahaluf siasi.

Tetapi Hadi masih tidak tarik balik amanatnya yang berkata Kerajaan Umno kafir kerana mengikut cara kafir.

Bersatu pula ditubuh untuk lawan kleptokrasi. Sekarang Bersatu bergantung kepada kleptokrat untuk cukup bilang menjadi Kerajaan.

Sekarang Bersatu hendak masuk Muafakat. Di mana perginya Kerajaan Perikatan Nasional.

Parti Perikatan Nasional ini tidak wujud. Tidak didaftar. Tidak disertai oleh Umno atau Pas. Bahkan Umno akan lawan Bersatu dalam PRU. Inikah rakan seperjuangan?

Apa dianya Perikatan Nasional ini sehingga Perdana Menteri mendakwa dia adalah Perdana Menteri Perikatan Nasional, Perdana Menteri parti yang tidak wujud.

Umno dengan jelas berkata ahlinya dibenar sokong Bersatu guna untuk jatuhkan Kerajaan Pakatan Harapan. Inilah perjuangan kerjasama Bersatu dengan Umno/Pas. Perjuangan untuk jadi Kerajaan. Dasar dan perancangan tidak ada.
Hanya untuk jadi Kerajaan, untuk jadi Perdana Menteri.

Perancangan lain ialah untuk jawatan dan pendapatan. Tidak ada pun Kerajaan Melayu Islam. Kalau DAP akan hancur Melayu, batalkan sahajalah pendaftaran. Kalau Parti Komunis boleh dibatalkan, DAP pun boleh.

Ada orang politik yang dapat simpan dalam bank sebanyak 2 billion Ringgit. Kita ingin tahu macam mana boleh himpun sebanyak itu sedang orang berniaga sepenuh masa pun tidak ada duit sebanyak itu.

Kami tubuh Bersatu dengan tujuan menjatuh Kerajaan kleptokrat. Sekarang Bersatu berjaya selamat kleptokrat. Dan penyakit pun terjangkit kepada Bersatu. Wang diguna untuk si katak lompat keluar dan sokong Bersatu. Tidak lompat dilucut keahlian, dilucut jawatan.

Kami tidak ada parti sekarang. Sudah dilucut dari parti yang kami tubuh oleh hijackers.

Sebagai bebas simbol tidak sama.

Terpaksa tubuh parti.

Untuk apa?

Untuk berjuang hapus politik wang, kembali kepada pembangunan negara maju dan bermaruah, berjuang untuk rakyat bahagia.

Kami tidak akan guna duit sebagai umpan. Cuma ingin wujud peluang cari duit halal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan