Azmin, sekutu sertai Bersatu secara rasmi

Alyaa Alhadjri

Menteri Kanan (Kluster Ekonomi) Mohamed Azmin Ali hari ini mengumumkan penyertaannya dan pasukannya yang telah keluar PKR untuk menyertai Bersatu.

Pengumuman itu merasmikan kedudukan mereka sebagai sebahagian daripada gabungan Perikatan Nasional (PN), beberapa bulan selepas Azmin dan 10 anggota Parlimen keluar PKR untuk menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

"Dengan penuh rasa ikhlas dan hati yang tulus, pada petang yang keramat ini, saya dan ketumbukan, dari Perlis hingga ke Sabah, sama ada Penggerak Komuniti Negara, Nation of Women (NOW), Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dengan ini mengisytiharkan untuk menyertai Bersatu.

"Sekarang adalah masanya untuk Bersatu. Bersatu demi negara, Bersatu untuk Malaysia," katanya ketika berucap dalam Kongres Negara 2020, disaksikan Muhyiddin dan pemimpin utama parti itu yang lain.

Bertemakan Bersatu untuk Negara, kongres tersebut diadakan bagi mengumpulkan NGO-NGO yang berkaitan dengan bekas pemimpin PKR, iaitu Penggerak Komuniti Negara, Pemuda Negara, Wanita Muda Negara dan Nation of Women (NOW).

Sejumlah 2,500 hadirin memenuhi Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) di Kuala Lumpur hari ini.

"Langkah Sheraton" pada Februari lalu membawa kepada tumbangnya pentadbiran PH dan perpecahan dalam PKR, dengan parti itu menyingkirkan pemimpin dan anggota yang dikaitkan dengan Azmin, yang ketika itu merupakan timbalan presiden.

Penyertaan kumpulan Azmin hari ini menjadikan Bersatu kini mempunyai 32 anggota Parlimen, parti ketiga terbesar di Dewan Rakyat selepas Umno dan DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan