SELEPAS CEMERLANG DI SLIM, UMNO JANGAN LAGI BERLENGAH TARIK SOKONGAN JATUHKAN MUHYIDDIN

Shahbudin Husin
Bukanlah suatu rahsia lagi bahawa UMNO, rakan Muhyiddin Yassin dalam kerajaan PN sendiri, begitu inginkan PRU awal diadakan dengan segera.

Kalau boleh, UMNO malah mahukan PRU awal diadakan sebelum tirai 2020 ini dilabuhkan.

Keinginan UMNO terhadap PRU awal melebihi kebiasaan di mana selalunya pembangkang yang begitu beria-ia mendesak agar pilihanraya segera diadakan.

Tapi norma baru ini parti dalam kerajaan sendiri lebih berkehendakan pilihanraya segera diadakan.

Selepas kemenangan besar BN di Slim semalam dengan majoriti 10,945 undi, keadaan ini pasti akan meningkatkan lagi tekanan UMNO terhadap Muhyiddin agar membubarkan Parlimen.

Kenapa UMNO begitu mahukan PRU awal sedangkan parti itu sekarang sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan?

Apa lagi yang tidak cukup buat UMNO?

Walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, tidak syak lagi UMNO kini mahu menjatuhkan Bersatu daripada tampuk dominan dalam kerajaan.

Dengan menjatuhkan Bersatu, Muhyiddin seterusnya akan dapat disingkirkan dan digantikan dengan pemimpin UMNO sendiri sebagai Perdana Menteri.

Itulah dua tujuan UMNO mahukan PRU awal dan dengan bantuan Pas bersamanya, khususnya selepas keputusan PRK Slim, memang tidak dinafikan UMNO mampu mencapai tujuan tersebut.

Kemenangan di Slim adalah kemenangan BN dan MN yang dianggotai UMNO dan Pas setakat ini, manakala penyertaan Bersatu ke dalam MN belum lagi disahkan secara rasmi.

Kemenangan BN di Slim bukan kemenangan PN, bahkan Bersatu boleh dikira hanya memberi sumbangan kecil saja kepada kemenangan itu.

Semua faktor kemenangan adalah melalui kerja keras pemimpin utama UMNO serta jenteranya yang disokong oleh Pas dan kalau ada peranan Bersatu hanyalah dengan tumpang bergambar saja.

Malah, jika tanpa bantuan dan sokongan Bersatu pun, majoriti kemenangan BN di Slim tidak banyak berganjak daripada angka 10 ribu undi yang dicapai semalam.

Tempoh sebelum berakhir tahun 2020 adalah masa paling sesuai untuk PRU awal jika UMNO ingin mengecapi kemenangan seperti di Slim.

Dalam hal ini, jika benar ingin meletakkan UMNO kembali dominan di puncak kuasa serta pemimpinnya sendiri yang berada di kerusi Perdana Menteri, UMNO bukan saja mesti terus memberi tekanan kepada Muhyiddin, bahkan juga mesti tidak “malu-malu” bertindak ke arah itu.

Setakat ini, UMNO memang mahu PRU awal tetapi masih bersikap “malu-malu kucing” dengan hanya mengharapkan Muhyiddin yang akan membubarkan Parlimen.

Tetapi, UMNO mesti sedar bahawa Muhyiddin tidak mungkin akan berani membubarkan Parlimen kerana beliau tahu Bersatu dalam kedudukan lemah dan berpecah, selain beliau juga ingin sekurang-kurangnya duduk lebih lama sebagai Perdana Menteri tanpa tergesa-gesa mengadakan pilihanraya.

Cara yang terbaik dan jujur jika benar UMNO mahukan PRU awal ialah dengan cara tiga atau empat orang Ahli Parlimennya diarah segera menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Dengan Muhyiddin hanya ada sokongan 111-109, melalui cara itu maka tumbanglah Muhyiddin dan terpaksalah PRU semula diadakan.

Sebagai Presiden UMNO, apakah Zahid Hamidi tidak mampu melakukan perkara itu?

Jika tidak berani bertindak menarik sokongan, lebih baiklah UMNO berhenti bising-bising di media mendesak tanpa henti mahukan PRU awal diadakan segera.

UMNO hendaklah jujur mahukan PRU awal dan mesti jujur juga bertindak ke arah itu. (Shahbudindotcom 30/08/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan