Tiada pemenang jelas, tapi Warisan dijangka menang 37 kerusi, kata tinjauan bebas

Nora Mahpar
PETALING JAYA:
Warisan Plus dijangka menang sekurang-kurangnya di 37 daripada 73 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) Sabah hari ini seterusnya membentuk kerajaan negeri, menurut satu tinjauan bebas.

Tinjauan firma penyelidikan Ilham Centre pada 8 Sept hingga 24 Sept mendapati gabungan pimpinan Shafie Apdal mendahului dengan 23 kerusi ‘clear winner’, manakala 14 kerusi lagi kategori 50-50.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggota Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengikuti rapat dengan 19 kerusi ‘clear winner’.

“Warisan Plus mendahului dengan 23 kerusi yang boleh dikatakan kerusi ‘clear winner’ diikuti rapat dengan GRS sebanyak 19 kerusi. Selebihnya terdapat 31 kerusi yang menjadi rebutan semua pihak, termasuk calon Bebas dan parti lain.

“Kerusi dalam kategori 50-50 ini adalah penentu kepada mana-mana pihak untuk mencukupkan jumlah majoriti mudah sebanyak 37 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri yang baru.

“Daripada 31 kerusi kategori 50-50 ini, terdapat 14 kerusi yang cenderung kepada Warisan Plus, berbanding 5 kerusi yang cenderung kepada GRS, manakala 12 kerusi betul-betul sengit sehingga tidak dapat ditelah,” kata firma itu dalam kenyataan lewat semalam.

Menyifatkan PRN kali ini sebagai pilihan raya paling sukar dan mencabar, Ilham Centre berkata, pertembungan sepanjang tempoh kempen sebenarnya adalah antara 2 tokoh, iaitu Shafie dan Muhyiddin Yassin.

“Di antara keduanya, kami meninjau aura kedua tokoh ini dan rata-rata masih meletakkan Shafie mempunyai kelebihan besar sebagai ketua menteri, sementara populariti Muhyiddin agak terbatas di sini berbanding di Semenanjung,” katanya.

Dalam mendekati hati pengundi tempatan, tinjauan itu mendapati naratif Warisan Plus lebih padu dengan mengangkat tema “Sabahan for Sabah”, mengatasi naratif GRS “Sabah bersama Persekutuan”.

Menyentuh mengenai kualiti kepimpinan oleh tokoh politik di Negeri Di Bawah Bayu itu, tinjauan mendapati Shafie menonjol dalam mempamerkan kepimpinan beliau yang tegas dalam aspek pembahagian kerusi, penggunaan simbol dan penentuan calon, berbanding GRS yang tidak jelas siapakah yang mengetuai gabungan itu.

“Shafie menyerlahkan kemampuan beliau untuk menyelesaikan pengagihan kerusi Warisan Plus, walaupun ditekan oleh PKR pada pusingan rundingan kerusi, manakala Muhyiddin gagal menyelesaikan kesepakatan agihan kerusi di antara BN, PN dan PBS.

“Bagi Umno dan BN pula mengambil pendekatan menampilkan hampir 90% calon baru. Kedegilan dan ego pemimpin untuk akur kepada pertembungan ‘straight-fight’ kemungkinan memberikan sedikit kelebihan kepada Warisan Plus.”

Tinjauan itu mendapati hubungan dingin antara pengerusi Jentera Pilihan Raya BN, Bung Moktar Radin dengan Pengerusi PPBM Sabah Hajiji Noor sukar dibaca sejauh mana pengundi Umno dan PPBM menterjemahkan undi mereka pada hari pembuangan undi hari ini.

“Dalam cerapan kami di lapangan mendapati jentera Umno dan PPBM tidak bekerjasama antara satu sama lain. Isyarat ini sebenarnya juga memberi kesan tidak langsung kepada penyokong masing-masing,” kata tinjauan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan