FAZLI RADZI
Yang di-Pertua Negeri Sabah Juhar Mahiruddin meminta tempoh dalam masa terdekat untuk memutuskan Ketua Menteri baharu Sabah.
Pelantikan tersebut dilihat menemui jalan buntu walaupun empat pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah memasuki pekarangan Istana Negeri petang tadi.
Mereka ialah Ketua Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor; Setiausaha Agung Bersatu Sabah, Datuk Jahid Jahim dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan.
Kehadiran pimpinan terbabit dipercayai untuk mengemukakan nama calon penyandang jawatan Ketua Menteri Sabah baharu kepada Tun Juhar.
Terdahulu, pemimpin GRS yang membabitkan kerjasama Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu bertemu kira-kira dua jam membincangkan Ketua Menteri baharu.
Difahamkan Umno dan Bersatu sedang berebut mahu menjadi Ketua Menteri Sabah.
Ekoran itu, sehingga malam ini, masih belum ada pengumuman siapa Ketua Menteri Sabah yang baharu selepas GRS memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) dengan majoriti mudah.
Difahamkan selain 38 kerusi yang dimenangi GRS, tiga Adun bebas turut menyokong penubuhan kerajaan baharu.
Hal itu menjadikan gabungan tersebut mempunyai kelebihan sembilan kerusi berbanding Warisan Plus yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Tiga Adun tersebut ialah Rubin Balang (Kemabong), Ruddy Awah (Pitas) dan Masiung Banah (Kuamut).
Selain nama Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah dan Pengerusi PN Sabah, Hajiji, nama bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak juga antara yang disebut bakal memimpin negeri itu.
Salleh memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Usukan menewaskan pencabarnya, Cikgu Abdul Bahkrin Mohd Yusof daripada Warisan dengan majoriti 4,298 undi.
Salleh sebelum ini pernah dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah kesembilan dari 27 Disember 1994 hingga 28 Mei 1996.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan