Anwar tidak ke Putrajaya tapi ke penjara?

RAYUSA

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut termasuk dalam senarai Timbalan Perdana Menteri (TPM) Malaysia yang tersingkir semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri (PM – 1981-2003). TPM lain ialah Tun Musa Hitam (1981-1986), dan Tun Ghafar Baba (1986-1993).

Anwar menjadi TPM dari 1 Disember 1993 hingga 2 September 1998, malah pernah memangku jawatan PM dari 19 Mei 1993 hingga 1998. Jadi, beliau sudah pernah menduduki kerusi PM sebelum tersingkir dari Kerajaan Umno-Barisan Nasional atas sebab yang semua orang tahu.

Selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada 9 Mei 2018, dan Yang di-Pertuan Agong (YdPA) ketika itu, Sultan Muhammad V berkenan mengampun, serta membebaskan serta-merta beliau seminggu kemudian, Anwar menyertai Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson, 13 Oktober 2018, dan menang besar, serta diangkat sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun yang sama.

Setelah dua kali mendekam di penjara dan kembali aktif berpolitik, kini Anwar sekali lagi berpeluang menjadi PM.

Tarikh 13 Oktober 2020 mengingatkan saya pada 17 Oktober 1998, semasa gerakan ‘Reformasi’ Anwar. Bezanya, jika ketika itu negara berbahang kerana isu Anwar; ketika ini Malaysia panas dengan wabak pandemik Covid-19.

Pada hari itu, rakan rapat saya ditahan oleh anggota Unit Simpanan Persekutuan berhampiran Dataran Merdeka ketika menyertai demonstrasi mingguan – ‘Reformasi’ (setiap Sabtu di Kuala Lumpur). Saya yang turut berdemontrasi, terselamat, tetapi kemudian perlu menjadi saksi di mahkamah untuk membelanya yang menjadi orang kena tuduh, atau OKT.

Tarikh 13 Oktober lalu menjadi tumpuan ramai apabila Anwar diperkenan menghadap YdPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk mempersembah senarai majoriti sokongan ahli Parlimen kepada beliau.

Sebelum itu, pada 23 September, Anwar mengejutkan apabila membuat pengumuman dalam sidang media beliau mempunyai majoriti ahli Parlimen untuk mengetuai PH membentuk kerajaan menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Majoriti bererti jumlah yang sukar dicabar lagi. Anwar dikatakan berada di landasan tepat untuk menjadi PM Malaysia yang ke-9.

Walau bagaimanapun, perjalanan Anwar seperti kembali tersekat apabila Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman memanggil beliau pada tarikh yang sama untuk memberikan keterangan mengenai laporan polis oleh Umno terhadap pengumuman sokongan majoriti ahli Parlimen yang melibatkan beberapa ahli parti tersebut kepada Anwar.

Pengarah JSJ, Datuk Huzir Mohamed mengesahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memang memanggil Anwar ke Bukit Aman. Ada penyokong yang terkejut, ada juga yang memang menjangka ia akan berlaku.

Anwar (belum lagi) tidak mendedahkan senarai itu, tetapi mengapa ramai yang menggelabah? Bagaimana boleh mengatakan ada ahli Parlimen Umno yang menyokong? Mengapa Umno perasan? Mahu mencari publisiti murah? Kenapa ramai yang kepanasan padahal Anwar baru diperkenan menghadap YdPA, bukan mengangkat sumpah sebagai PM.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan yakin YdPA tidak akan melayan Anwar, dan menganggap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sebagai ‘desprado’. Adakah Takiyuddin bimbang kehilangan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Siapa yang ‘desprado’?

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ustaz Mokhtar Senik pula memberitahu hatinya mengatakan tidak akan berlaku perubahan kerajaan selepas pertemuan Anwar-YdPA. Kerajaan PN tidak akan berpenghujung, kata Mokhtar, sebaliknya kerjaya politik Anwar yang berkubur.

Memang perubahan kerajaan tidak berlaku, tetapi kerjaya Anwar juga belum berakhir. Mokhtar harus sedar, kedua-duanya bukan seumpama proses beli-belah di pasar raya!

Begitu juga dengan penganalisis politik, Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fithri Othman, yang mengatakan Anwar belum pasti dapat membentuk kerajaan meskipun membawa senarai nama ahli Parlimen majoriti yang didakwa menyokongnya.

Eloklah kalau Mohd Zainul sedar pembentukan kerajaan perlu melalui beberapa proses termasuk tertakluk pada kebijaksanaan YdPA.

Pun begitu, dalam tempoh yang tidak lama, Huzir mengesahkan pula PDRM menangguhkan pemanggilan Anwar ke Bukit Aman yang sepatutnya bermula jam 9 pagi, 13 Oktober itu.

Anwar dapat menghadap YdPA walaupun hanya dalam masa 25 minit sahaja. Namun demikian, ramai (penyokong) yang terkejut, dan kecewa kerana pihak Istana Negara menyatakan Anwar hanya mengemuka jumlah ahli Dewan Rakyat yang didakwa menyokong beliau untuk membentuk kerajaan ketika sesi menghadap itu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Anwar tidak mengemuka senarai nama tersebut untuk mengukuhkan dakwaan beliau.

Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Anwar pada sidang media memberitahu beliau telah mempersembah dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 ahli Parlimen buatnya kepada YdPA.

Namun demikian, katanya, memandangkan YdPA akan memanggil ketua-ketua parti-parti politik, maka “munasabah untuk kita bersabar, memberi ruang dan wewenang untuk baginda memutuskan.” Menurut Anwar, tidak wajar ditetapkan masa untuk YdPA membuat keputusan.

Sesi menghadap itu sepatutnya pada 22 September lalu, tetapi ditangguhkan susulan kegeringan Al-Sultan Abdullah yang terpaksa menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

Benarkah Anwar tidak menyerahkan nama-nama Ahli Parlimen yang menyokongnya? Pemerhati dan penyokong bertanya ‘permainan’ apa yang Anwar cuba lakukan. Adakah itu sebenarnya strategi Anwar yang sukar diteka?

Ketika ramai menebak-nebak, dan Anwar (berpeluang) mendakwa Kerajaan PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah tumbang, nama Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) pula tular setiap hari. Ahli Parlimen Gua Musang itu dilihat turut berpeluang menjadi PM ke-9 apabila dikatakan mendapat sokongan ramai Ahli Parlimen Umno.

Saham Ku Li juga menanjak apabila membuat pendedahan beliau pernah mengemuka usul tidak percaya terhadap Muhyiddin, tetapi ditolak daripada dibahaskan oleh Speaker Dewan Negara, Datuk Azhar Azizan Harun, dan enggan menerima tawaran jawatan tinggi daripada Muhyiddin.

Mahathir dan Parti Warisan Sabah (Warisan) juga dikatakan menyokong beliau. Gabungan parti Mahathir, Parti Pejuang Tanah Air, dengan Warisan, penyokong Ku Li, dan PN bakal memadam kelebihan Anwar. Ku Li berpotensi menjadi PM ke-9.

Itu dari segi congak politik tanah air yang kian parah dengan wabak jual-beli wakil rakyat. Aspek lain yang sebenarnya sudah klise, kembali menghantui, dan menghalang Anwar.

Ditangguhkan bukan bererti dibatalkan. Justeru, beberapa hari selepas menghadap YdPA, Anwar tetap dipanggil ke Bukit Aman.

Walau bagaimanapun, – yang saya maksudkan klise tadi, Anwar mendakwa beliau turut disoal berkaitan ‘kes liwat’. Ada, katanya, tetapi biasa dan longgar. Tiada modal lainkah hingga menimbulkan kes Liwat III pula?

Ogos lalu, tular akuan berkanun (SD) mendakwa seorang lelaki mengadakan hubungan luar tabii dengan Anwar empat kali di hotel berbeza di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang pada 2013.

Namun demikian, individu SD itu membuat laporan polis mendakwa aktivis politik Ramesh Rao mempengaruhinya membuat tuduhan tersebut dengan memberikan habuan. Ramesh walau bagaimanapun memberitahu dia tidak pernah berjanji bahawa seorang menteri akan membiayai lelaki itu.

Anwar pernah dipenjarakan selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Walaupun klise, tetapi enam tuduhan sekali gus memang mengejutkan peguam Anwar, Ramkarpal Singh!

Ramkarpal hairan anak guamnya itu disiasat enam kes serentak. Biasanya, kata beliau, siasatan tidak dijalankan dengan tergesa-gesa, tetapi melibatkan tempoh masa tertentu.

Anwar, yang memberikan kerjasama penuh, menganggap ia satu rencana politik untuk menekan beliau. Apa pun, ia klise kerana dakwaan tiba-tiba muncul, dan masih ada juga kes liwat!

Anwar disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 atas dakwaan menimbulkan kegentaran awam.

Beliau juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan dakwaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, atau perkhidmatan rangkaian.

Dengan perkembangan memualkan ini, adakah Anwar tidak akan ke Putrajaya, tetapi ke penjara?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan