DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Gencatan politik adalah satu tanda kesediaan untuk berhenti seketika dari apa sahaja sengketa antara dua pihak yang bertelagah. Dalam hal ini, kenyataan Presiden UMNO, DSZH difahami merujuk kepada perbalahan UMNO dan BERSATU yang kritikal menanti pecah.
Perbalahan kedua parti ini adalah kerana UMNO merasa dirinya ‘dibuli’ parti ‘budak baru’ yang cuba berlagak macam ‘Abang Long Kawasan’.
Persengketaan ini merebak sampai ke akar umbi membabitkan sampai soal ‘maruah’ kerana rasa UMNO dihina begitu rupa oleh budak-budak BERSATU yang dikatakan berlagak kerana kuasa yang ada pada mereka sebagai PN.
UMNO dan BERSATU macam budak kecik bergaduh, mereka ungkit mengungkit antara satu sama lain, ugut mengugut dan perli memerli sehingga hubungan retak mereka kini menanti belah.
Bagi saya gencatan senjata ini adalah antara 2 entiti parti yang sebenarnya nak jaga ‘kawasan’ masing-masing supaya ada ruang mereka nak ‘berunding’ untuk kekal kuasa masing-masing dan jaga budak-budak mereka di bawah.
Gencatan politik kerana covid hanyalah taktik alih perhatian sahaja, sedangkan secara realitinya keduanya sedang berpolitik untuk tawar menawar posisi dan agih mengagih kuasa sesama mereka.
Sebab itu saya rasa nak ketawa apabila seluruh Malaya percaya satu gencatan politik kononnya sedang berlaku.
Saya juga tersenyum melihat sesetengah orang di medsos menyatakan rasa lega sebab kini negara boleh tumpu kepada urusan covid dan bukan politik.
Itulah hebatnya orang politik meyakinkan orang ramai mereka tidak berpolitik dengan hanya menggunakan perkataan ‘GENCATAN POLITIK’. Memang bijak….
Tiba-tiba dalam hal ini, ada yang kata ‘game over’ untuk DSAI. Bila masa DSAI ada dalam sifir perbalahan dua parti ni? DSAI ada PH yang berada dalam keadaan solid dan padu.
Perbalahan Zahid vs Mahyudin adalah masalah dalaman PN vs UMNO dalan usaha mereka mempertahankan ‘muka’ masing-masing dalam tawar menawar kuasa politik.
Kalau ada yang kaitkan keputusan gencatan politik Zahid bermakna DSAI tak akan dapat sokongan MP UMNO untuk majoriti yang didakwanya, memang dakwaan itu ada logiknya.
Tetapi logik itu boleh difahami jika sokongan kepada DSAI yang ditawarkan adalah secara en-block!
Tapi jangan kita lupa dan abaikan kenyataan Presiden UMNO sebelum ini yang mengatakan bahawa beliau tidak dapat menghalang mana-mana MP UMNO yang hendak menyokong DSAI. Apakah boleh kita kata game over untuk DSAI ataukah sebenarnya game over untuk TSMY?
Bagi PH, gencatan politik Zahid tidak ada kena mengena kenapa kami perlu berdiam diri dengan kegagalan PN dan TSMY mengendalikan krisis hari ini.
Salah satu fokus untuk pengurusan krisis covid ialah menukar PN dan seluruh kabinetnya yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada usaha kerajaan menangani covid 19.
PN juga ada latarbelakang pembelotan yang telah mengguris hati rakyat bermandatkan keputusan secara demokratik pada PRU 2018.
Saya akan ulangi sekali lagi apa yang telah saya nyatakan sebelum ini, “tiada gencatan politik kepada teras demokrasi yang dipandu perlembagaan dan undang-undang di mana politik terbina di atas tapaknya”.
Menangani kegagalan TSMY dan kemorosotan kepercayaan kepada cara beliau menangani krisis covid mestilah berpandu kepada asas-asas demokrasi termasuklah cara berperlembagaan untuk menggantikan kepimpinan yang lebih efisien dan berwibawa serta mendapat kembali kepercayaan rakyat.
Majoriti yang kukuh, kerajaan yang kuat serta kepercayaan rakyat yang padu adalah seruan untuk pengendalian krisis covid yang lebih berkesan.
Langkah DSAI konsisten pada teras perundangan dan landasan demokrasi yang menjadi tegak berdirinya proses politik bagi memelihara negara secara berterusan.
Gencatan politik antara UMNO dan BERSATU tak perlu mengheret rakyat dan negara kerana itu masalah nak jaga kawasan masing-masing.
Negara lebih besar dari perbalahan 2 ‘Abang Long Kawasan’ dan sebab itu kita wajib memelihara demokrasi dan prosesnya supaya negara mendapat yang terbaik untuk menguruskan krisis covid.
*DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA merupakan Naib Presiden AMANAH dan
Ahli Parlimen Parit Buntar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan