IDEA DARURAT MANIFESTASI MUHYIDDIN LEBIH SAYANG AZMIN, MASIH BERDENDAM DENGAN UMNO

Shahbudin Husin

Walaupun isu darurat boleh dikira sudah selesai berikutan Agong telah menolak cadangan tersebut, tetapi masih ramai yang memperkatakan tentangnya.

Yang paling banyak ditanya ialah mengapa dan bagaimana Muhyiddin Yassin boleh tergerak hati kepada cadangan itu, walhal untuk meraih lebih sokongan untuk mengelakkan dijatuhkan di Parlimen, beliau sebagai Perdana Menteri mempunyai banyak pilihan lain untuk dipertimbangkan.

Seterusnya, yang lebih mengecewakan, jika penguatkuasaan darurat berjaya dilaksanakan, ia akan meletakkan Agong sebagai beban bersama yang tidak sepatutnya diletakkan di bahu Istana.

Lantaran itu, mengapa Muhyiddin begitu tergamak mahu melaksanakan darurat itu?

Kalau diperhalusi, ada dua sebab darurat menjadi pilihan dan kedua-duanya adalah salah Muhyiddin belaka.

Pertama, sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri pada Mac lalu, beliau tidak pernah berani mahu mengesahkan kedudukannya di Parlimen, walaupun ada usul percaya dan tidak percaya dikemukakan terhadapnya.

Sepatutnya, selepas dilantik oleh Agong dengan kepercayaan beliau mempunyai sokongan majoriti, Muhyiddin terus membawa isu keabsahan jawatannya untuk disahkan oleh Parlimen.

Selain itu, demi untuk mengelak pengundian, beliau turut menangguh dan menukar tarikh Sidang Parlimen, bahkan pembukaan Sidang Parlimen juga hanya diadakan selama setengah hari saja.

Jika daripada awal, beliau berani bersikap jantan dan membawa pertikaian mengenai kedudukannya ke Parlimen, pasti ribut-ribut mengenai kedudukannya tidak berbangkit sampai ke hari ini.

Malah, beliau juga tidak perlu takut lagi sama ada Belanjawan 2021 dilulus atau ditolak ketika pengundian.

Tentunya juga tidak perlu lagi sampai ke tahap mahu mengisytiharkan darurat yang perkara utama di sebaliknya ialah menggantung Parlimen dan mengelakkan pengundian bagi belanjawan tahun depan.

Kedua, cadangan darurat adalah manifestasi sayangnya Muhyiddin kepada Azmin berbanding kepada UMNO yang memiliki 39 kerusi Parlimen.

Melalui pembentukan kabinetnya, Muhyiddin mengumumkan Azmin bukan saja salah seorang menteri kanan bersama Ismail Sabri Yaakob, Dr. Radzi Jidin dan Fadillah Yusof, malah sebagai menteri kanan yang terkanan sekali.

Ia berikutan, Muhyiddin mengatakan jika semasa ketiadaan beliau, Azminlah yang akan mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Dengan jawatan menteri kanan paling kanan dan diberi kuasa mempengerusikan mesyuarat kabinet, secara tidak langsungnya beliaulah Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, dengan taraf yang dirasakan sebagai orang nombor dua selepas Muhyiddin, Azmin juga dikatakan turut menggunakan pejabat Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya sebagai kegunaannya, selain pejabatnya sebagai menteri MITI di Jalan Duta.

Kalau daripada awal lagi Muhyiddin mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sebaiknya memberikan jawatan tersebut kepada Presiden UMNO, Zahid Hamidi, sesuai dengan jumlah 39 kerusi Parlimen yang dimiliki UMNO berbanding Geng Azmin yang hanya ada 10 kerusi, kekeruhan hubungan dan konflik dalam PN sebagaimana yang berlaku sekarang pasti tidak terjadi.

Ini tidak, sudahlah UMNO tidak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri, kementerian-kementerian kanan turut lebih banyak diserahkan kepada Bersatu yang hanya memiliki enam kerusi asal, manakala selebihnya sebanyak 25 adalah kerusi-kerusi pelompat katak bekas UMNO (Geng Hamzah Zainuddin) dan 10 daripada bekas PKR (Geng Azmin).

Mengapa Muhyiddin tidak mahu memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada pemimpin UMNO sejak awal adalah kerana beliau amat sayangkan Azmin.

Jika ada jawatan Timbalan Perdana Menteri, tidaklah Azmin dapat diburung-merakkan seolah-olah dia adalah pemimpin nombor dua dalam negara dan bakal Perdana Menteri.

Jika diteliti, cadangan darurat yang dicadangkan kabinet kepada Agong andai berjaya dilaksanakan, dengan jelas bertujuan untuk mengekalkan keistimewaan sedia ada yang diberikan kepada Azmin sebagai pemimpin paling kanan kepada Muhyiddin.

Hanya setelah cadangan darurat itu ditolak Agong, barulah Muhyiddin ternampak sedia memberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO, itu pun dengan syarat bukan Zahid Hamidi orangnya.

Ternampak di sini bahawa Muhyiddin masih berdendam kepada UMNO dan punya niat untuk terus memecah-belahkan UMNO melalui pendekatan pecah dan perintah.

Jika Timbalan Perdana Menteri yang bakal dilantik bukan Presiden UMNO itu sendiri, malah Hishammuddin Hussein yang tiada kedudukan dalam hireaki parti dijadikan pilihan, selain memperlihatkan Muhyiddin terus mahu membuli UMNO, lebih penting ia juga menunjukkan rasa sayangnya kepada masa depan Azmin tidak pernah berkurangan, meski dilanda pelbagai badai dan rintangan.

Makna kata, selepas ini Hishammuddin dan Azmin adalah gandingan yang sedang diprojekkan untuk mengambil alih kepimpinan negara. (Shahbudindotcom 28/10/2020)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan