Jelas Umno masih mahu PRU, kata Mujahid

SITI NUR ZAWANI MISCON

Naib Presiden AMANAH Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, mengulangi pendiriannya bahawa Umno masih mahukan Pilihan Raya Umum (PRU) biarpun spekulasi kini bertiup berkenaan kemungkinan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memilih calon timbalannya dalam kalangan pemimpin Umno.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, penyertaan Umno dalam kerajaan boleh difahami sebagai persediaan ke arah pembubaran parlimen dan pilihanraya umum.

Kerana itu katanya, tidak ada guna untuk Umno menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri seperti mana yang dicadangkan Muhyiddin untuk ‘meredakan” hubungan tegang Umno dan Bersatu.

Malah menurut Mujahid, disebabkan tiada kata putus mengenai calon TPM, ianya mengukuhkan lagi kehendak parti itu untuk membubarkan Parlimen lebih awal, namun pengalaman Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menghalang mereka meneruskan hajat PRU.

“Umno juga berhati-hati menawarkan sokongan Bajet 2021 dengan meletakkan perkataan ‘yang bermanfaat’ kepada rakyat.

“Umno mula menggunakan perkataan kembalikan mandat rakyat sekaligus memberi isyarat kepada Muhyiddin dan PN bahawa entiti pemerintah sekarang tidak mendapat mandat rakyat, perkara yang berulangkali ditegaskan oleh PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekurangnya ada persetujuan bersama dalam hal terpenting ini,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebooknya.

Sebelum ini, tersebar desas -desus yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, sedang menunggu Umno untuk menamakan calon daripada parti itu sebagai TPM.

Bagaimanapun Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa, dalam Twitternya menyifatkan laporan tersebut sebagai karut.

Mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Isnin lalu dilaporkan tidak berbincang dan memutuskan calon dalam kalangan ahli Parlimen Umno untuk diangkat sebagai TPM.

Bahkan, Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi Umno pada semalam (29 Oktober) juga tidak membuat sebarang ketetapan untuk menyokong Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan pada 6 November nanti, walaupun Umno menyatakan akan menjunjung kasih terhadap titah Agong.

Umno juga memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mewujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan PRU setelah wabak Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Beberapa pihak juga melontarkan jangkaan Umno akan menolak Belanjawan 2021 sekiranya pandemik Covid-19 semakin terkawal, yang dengan itu memudahkan Umno menjatuhkan kerajaan dan seterusnya membolehkan PRU diadakan segera.

Sementara itu, Mujahid yang juga bekas Menteri Agama berpendapat, Umno seolah-olah terburu-buru mahu selesaikan masalah melalui PRU dan sekaligus menjelaskan kepada masyarakat bahawa tekanan membubarkan parlimen akan menjadi ancaman terbesar kepada Muhyiddin dan PN.

Beliau juga menganggap, Muhyiddin kini dalam keadaan bahaya dari ‘musuh dalaman’ termasuk tuntutan PH yang menuntut hak mandat kembali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan