#KlusterMenteri ‘trending’ di Twitter

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Hashtag kluster menteri “trending” di Twitter selepas menteri agama disahkan positif Covid-19 hari ini.

Sehingga 8.40 malam tadi, lebih 11,000 ciapan mengandungi hashtag itu.

Seorang pengguna media sosial dikenali Syefri Zulkefli menulis: “Seperti #KlusterMenteri menjadi perkara yang benar.

A Rohan Javet Beg menyatakan kluster seperti itu tidak dijangka.

“Ini adalah hasil yang tidak dapat dielakkan dari pemimpin kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP dan menganggap pandemik itu selektif.

“Ketidakpedulian mereka mencetuskan gelombang ini,” katanya.

Petang tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau positif Covid-19.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, seorang individu yang menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu disahkan positif.

Katanya, semua yang menghadiri mesyuarat itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan diuji bagi Covid-19 hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudian memaklumkan, beliau akan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Muhyiddin juga berkata, Kementerian Kesihatan mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli dan mendapat perintah kuarantin di rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan