Maszlee jelaskan cara pastikan usul tak percaya dibentang di parlimen

Anggota Parlimen Simpang Renggam Maszlee Malik menjelaskan bahawa terdapat cara untuk meminta Dewan Rakyat mendahulukan bacaan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Justeru itu, dia mendakwa dia telah menghantar satu usul di bawah Peraturan 90 (2) iaitu satu usul untuk menggantung sementara kuat kuasa Peraturan 15 (1) dan beberapa peraturan-peraturan mesyuarat lain yang berkaitan. 

“Bererti melalui usul ini saya telah meminta agar Dewan Rakyat membuat keputusan agar urusan kerajaan ditangguhkan sementara dan usul undi tidak percaya yang dibawa Yang Berhormat Langkawi (Dr Mahathir Mohamad) dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.

“Usul ini pada asasnya bukanlah untuk menambah rumit kemelut politik sedia ada di saat rakyat sedang berdepan bencana. Namun usul ini hakikatnya tampil untuk menamatkannya,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 15 (1) Dewan Rakyat menjelaskan bahawa pada tiap hari persidangan, urusan kerajaan hendaklah didahulukan daripada urusan lain.

Manakala, Peraturan Mesyuarat 90 (2) Dewan Rakyat pula menyatakan sesuatu masalah yang bertujuan menyebabkan terhenti kuat kuasa peraturan-peraturan mesyuarat, boleh dicadangkan hanya dengan persetujuan Tuan Yang di-Pertua yang hendaklah dengan serta-merta mengemukakan untuk diputuskan tanpa dibenarkan apa-apa perbahasan.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun bagi mendapatkan ulasan.

Pada 16 Okt lalu, Mahathir dan penyokongnya memfailkan usul tidak percaya terbaru terhadap Muhyiddin dalam usaha mencabar majoriti presiden Bersatu itu sebagai perdana menteri.

Selain Mahathir dan Maszlee, pemimpin lain yang mengemukakan usul serupa adalah Anggota Parlimen Kubang Pasu, Amiruddin Hamzah; Mukhriz Mahathir (Jerlun), dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Malah difahamkan, langkah itu diikuti oleh beberapa anggota parlimen dari parti Amanah dan salah seorang yang mengesahkannya adalah Mahfuz Omar (Pokok Sena).

Mahathir sendiri sebelum ini cuba mengemukakan usul tidak percaya dalam dua sesi di Dewan Rakyat terhadap Muhyiddin.

Bagaimanapun, disebabkan amalan parlimen yang mengutamakan usul dan rang undang-undang kerajaan berbanding pembangkang, ia tidak dapat dibentangkan untuk undian.

Sementara itu, Maszlee berkata, dia bertindak demikian bagi mematahkan taktik politik yang didakwa digunakan Muhyiddin, iaitu dengan menjadikan Peraturan Mesyuarat 15 (1) alasan untuk tidak menghalang undi tidak percaya terhadapnya.

“Dewan Rakyat akan disibukkan dengan urusan kerajaan. Ini taktik politik dalam sistem demokrasi berperlembagaan apatah lagi apabila perdana menteri tahu majoriti ahli parlimen tidak menyokongnya di Dewan Rakyat.

“Namun dalam masa yang sama, usul ini penting untuk memastikan keabsahan sokongan terhadap perdana menteri dan sekaligus menentukan kestabilan politik negara,” katanya lagi.

Untuk rekod, persidangan November ini akan menyaksikan pembentangan Belanjawan 2021, yang juga secara langsung boleh menentukan sokongan terhadap Muhyiddin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan