Siapakah menteri pendidikan kabinet Anwar kelak?

Farid Attar

Sebagai rakyat biasa yang sentiasa concern terhadap isu pendidikan negara, soalan ini timbul serentak dalam kepala saya saat desas-desus timbul berkenaan Langkah Anwar untuk mendirikan kerajaan baharu, kerajaan mandat rakyat seperti yang beliau tekankan.S

Saya tidak peduli betul atau tidak, menjadi atau tidak. Yang saya tahu, kerajaan sekarang ini perlu ditamatkan riwayatnya walau apa sahaja cara. Saya mendoakan Anwar berjaya mencapai cita-cita beliau sejak dulu. Lebih daripada itu saya mendoakan agar negara kembali bernafas semula dengan kita semua percaya yang perubahan itu boleh dilakukan.

Sudah tentu timbul beberapa persoalan. Koalisi baru ini khabarnya termasuk juga dengan angkatan musuh tradisi politik DAP, PKR dan PAS suatu ketika dahulu, iaitu Umno. Tetapi sampai hari ini, sampai esok atau sampai Yang di-Pertuan Agong mengumumkan berkenan untuk Anwar menjadi perdana menteri, tiada siapa tahu siapa mereka, siapa ahli parlimen yang diam-diam menyokong Anwar Ibrahim.

Inilah Langkah Anwar yang paling berjaya. Menggelabah Abah mengorek sana-sini, menghantar special branch sampai ke Kota Marudu, khabarnya untuk cari tahu siapakah ahli parlimen yang diam-diam berpaling tadah. Seronok betul bila tiada siapa mengaku dan Abah terpaksa simpan semula rotan sebab tidak tahu siapa yang perlu dirotan.

Saya cuma mahu membayangkan esok-esok bangun, Anwar sudah berjaya menjadi perdana menteri dan Abah dan sekutunya menjadi pembangkang. Abah perlu sedar yang semua ini berlaku kerana Abah yang mulakan. Kalau Abah tidak mulakan, negara tidaklah jadi seteruk ini.

Jadi saya tidak mahu memikirkan senario yang negatif; iaitu ada tangan jahat menghalang Anwar. Saya cuma mahu membayangkan Langkah Anwar yang buat ke entah kali berapa ini, menjadi.

Justeru mari kita fikirkan apa akan jadi selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri?

Seluruh Malaysia akan bising dan bingit tentang kabinet Anwar. Ini kali pertama Anwar membentuk kabinet. Tentu Anwar mahukan yang terbaik. Tentu menteri-menteri kanan diberi keutamaan bagi Anwar. Tetapi siapa yang akan dipilih Anwar?

Saya tidak peduli sangat tentang siapa yang akan menteri pertahanan. Bagilah siapapun, asalkan tidak korup, saya terima. Timbalan perdana menteri pun saya fikir cuma simbol kepada kesatuan dan kekukuhan kabinet. Tidak terlalu memberi bayangan kepada usaha-usaha reformasi yang rakyat harapkan.

Seperti yang Anwar sering tekankan dalam mana-mana ucapan beliau, dua isu yang menjadi barah kepada Malaysia sekarang – ekonomi dan pendidikan.

Soal pendidikan saya masih ingat lagi. Anwar sering sebut berkaitan pendidikan sejak dulu, cuma baru-baru ini bicara Anwar tentang pendidikan sudah samar-samar, sebaliknya naratifnya berubah kepada soal ekonomi, yang mana kita semua tahu, memang perlu diberi perhatian juga.

Saya boleh simpulkan secara ringkas dua perkara ini akan menjadi penekanan Anwar. Saya harap Anwar pegang portfolio ekonomi atau kewangan, walaupun ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan, tetapi saya tidak nampak apa masalahnya dan saya juga melihat Anwar figura paling layak untuk mengemudi kedua sektor ini.

Cuma sebagai seorang bapa yang anaknya bersekolah di sekolah kebangsaan, saya paling menanti-nanti siapakah yang akan Anwar letak sebagai menteri pendidikan?

Anwar sendiri tidak boleh memegang portfolio pendidikan. Pendidikan perlukan tumpuan dan komitmen yang tinggi. Anwar perlu fokus bina kestabilan kerajaan di samping kukuhkan ekonomi.

Kita lihat usaha Abah untuk tekankan soal pendidikan seperti di dalam ucapan sulung beliau sebagai PM sebelum ini akhirnya “ke laut” setelah dua menteri yang dilantik langsung tidak berfungsi.

Abah mahu banyakkan posisi menteri kononnya untuk mengukuhkan kedudukannya, tetapi Abah gagal melihat sentimen rakyat apabila meletakkan Radzi Jidin dan Noraini Ahmad sebagai menteri pendidikan dan menteri pengajian tinggi.

Radzi Jidin hampir 10 bulan langsung kita tidak nampak apa yang dibuatnya. Beritahu saya, apa perubahan yang dibuat oleh Radzi Jidin selama 10 bulan ini? 10 bulan ini sudah separuh daripada tempoh Maszlee Malik memegang jawatan ini dahulu. Jangan ceritalah apa yang Maszlee buat dalam masa 10 bulan pertama, semua orang tahu dan sedar walaupun mereka tidaklah setuju semuanya.

Tetapi perubahan itu ada dan berjalan. Itu yang rakyat mahu.

Radzi Jidin? Tutup sekolah pun perlu perdana menteri yang putuskan. What an indecisive leader. Jadi tidak usah ceritalah soal perubahan pendidikan. Tutup buku, baik kita tengok Doraemon sambil berdoa Abah tukar orang lain walaupun mustahil.

Noraini? Selain Tiktok, Noraini juga bakal menjadi menteri dengan trending dua hari berturut-turut apabila keputusan cacamerba berkaitan larangan pelajar mendaftar di universiti dikeluarkan pada hari yang sama sejumlah pelajar sudah mula mendaftar.

Dan Noraini diam, diam seribu bahasa. Pelajar-pelajar sudah menderita.

Ketika itu juga Maszlee lancarkan crowdfunding. Maszlee boleh dapat RM150++ dalam masa 24 jam dan mampu tolong seribu lebih pelajar. Noraini masih diam.

Dua portfolio ini dulu dipegang Maszlee sehingga ada yang mengatakan ia terlalu besar dan Maszlee tak mampu. Siti Kasim berteriak sakan waktu itu. Sekarang mak cik itupun diam seribu bahasa, diam macam Radzi Jidin, diam macam Noraini.

Dan sekarang semua orang bercakap-cakap pula tentang Maszlee.

Mana tidaknya, dulu saya pun rasa perkara yang sama. Maszlee tidak mampu. Terlalu amatur, tidak berpengalaman. Tetapi Radzi dan Noraini yang juga politician, yang katanya ‘berpengalaman’, tetap gagal segagal-gagalnya. Apakah pengalaman yang memainkan peranan?

Sudah tentu tidak. Maszlee nampak lebih jauh ke depan berbanding dua menteri. Maszlee tapau mereka dengan mudah. Maszlee tidak serang membuta tuli di Facebook, tetapi buat macam-macam perkara untuk bantu pendidikan negara. Perkara yang Radzi dan Noraini tidak buat bahkan langsung tidak terfikir.

Cuma saya kesal apabila Anwar beritahu, Pejuang tidak termasuk dalam koalisi Anwar ini.

Bermakna kekuatan Maszlee yang merupakan ahli parlimen dari Pejuang bakal diabaikan sekali lagi.

Adakah Anwar akan berjiwa besar, meletakkan negara dan rakyat mengatasi parti dan kepentingan peribadi lalu melantik Maszlee yang bukan dari PKR dan bukan dari mana-mana parti komponen sebagai menteri pendidikan?

Mengenali Anwar dan sejarahnya, saya fikir Anwar amat berjiwa besar untuk lakukannya.

Anwar akan melihatnya sebagai pelaburan besar buat negara, dan dalam masa yang sama sebagai langkah selamat Anwar agar tidak tersilap langkah seperti Abah.

Ya, mungkin Anwar akan utamakan ahli-ahli parlimen dari PKR untuk menjadi menteri pendidikan. Tetapi siapa? Siapa yang boleh berdiri sama tinggi dengan reputasi Maszlee? Kerana kesannya besar. Jika tidak mampu buat seperti Maszlee atau lebih hebat dari Maszlee, Kerajaan ini juga akan tercalar, reputasi Anwar juga akan tercalar.

Terserahlah kepada Anwar untuk mencatur bagaimana kabinetnya.

Selaku seorang bapa, saya cuma minta diletakkan orang yang tepat seperti Maszlee sebagai menteri pendidikan kerana masa depan anak saya bergantung di situ sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan