Titah Agong: Yang tersirat dan yang tersurat

A Kadir Jasin

Yang tersirat daripada apa yang tersurat dalam kenyataan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam sebenarnya menambahkukuhkan kesementaraan kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Seandainya benar ramalan, andaian dan perkhabaran bahawa Muhyiddin telah menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan maka ia adalah pendirian yang betul dan tindakan yang tepat.

Walaupun Yang di-Pertuan Agong, dalam kenyataan media Seri Paduka, telah mencampakkan pelampung kepada Muhyiddin dan kabinetnya, ia adalah langkah sementara.

Bahtera bocor Muhyiddin yang selama ini terapung kerana konspirasi menghalang undi tidak percaya di Parlimen, karam apabila Yang di-Pertuan Agong setelah bermesyuarat dengan Raja-raja Melayu, menolak cadangan dan permohonan Muhyiddin untuk mengisytiharkan darurat.

Setelah berjaya melengah-lengahkan usul tidak percaya terhadapnya di Parlimen, Muhyiddin dan konco-konco kabinetnya cuba mengukuhkan kedudukan mereka dengan menjadikan penerangan terhadap wabak Covid-19 sebagai "raison d'etre" untuk mengisytiharkan darurat.

Tidak kira siapa yang menjadi arkitek konspirasi ini (ada yang kata Mohamed Azmin Ali dan ada kata Hamzah Zainuddin), mereka telah membuat kesilapan besar dengan cuba memindahkan beban tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mungkin mereka beranggapan lebih mudah mempengaruhi dan meyakinkan Seri Paduka Baginda seorang daripada 222 orang Ahli Dewan Rakyat. Setelah berjaya meyakinkan Yang di-Pertuan Agong supaya melantik mereka menjadi kerajaan, mereka cuba berselindung di belakang tembok istana pula.

Walaupun Seri Paduka Baginda telah menitahkan supaya dikurangkan permainan politik dan menumpukan tenaga memerangi Covid-19 serta menyelamatkan ekonomi, persoalannya ialah kesahihan dan kemampuan kerajaan Perikatan Nasional untuk melaksanakan tanggung jawab itu.

Penolakan cadangan darurat oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong itu boleh dibaca sebagai undi tidak percaya yang mutakhir terhadap kerajaan Muhyiddin.

Dalam konteks ini, kita harus berani berterus terang mengenai kerajaan yang macam mana dan pemimpin mana yang kita mahu sehingga pilihan raya umum diadakan?

Mungkinkah sebuah kerajaan perpaduan nasional (national unity government) yang diketuai oleh seorang pemimpin yang bukan berebut jawatan "non-contenders".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan