Anwar minta rakan biarkan belanjawan lulus dulu

Presiden PKR, Anwar Ibrahim berkata dia telah meminta Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk tidak melakukan undi belah bahagi pada Belanjawan 2021 hari ini.

Ini kerana kata Anwar, dia tidak mahu dilihat menolak insentif baru yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Namun, Anwar berikrar pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Menjelaskan tindakannya setelah mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan, Anwar berkata gabungan itu tetap menentang belanjawan yang dibentangkan Perikatan Nasional (PN).

Ini kerana isu utama seperti perbelanjaan "tidak realistik" belum dijawab oleh Zafrul, katanya.

"Tetapi apa yang dilakukannya adalah mengumumkan geran dan elaun tambahan untuk barisan depan, petani, nelayan dan lain-lain.

"Itu menjadikan isu ini sulit. Saya tidak mahu dilihat mengabaikan fakta bahawa menteri telah mengambil beberapa langkah, yang lebih diterima oleh rakyat.

"Walaupun Lim dan Mohamad mempunyai pandangan yang kuat, saya merayu mereka, berikan tugas itu, buat masa ini kita harus biarkan (belanjawan) terus berjalan," katanya kepada wartawan di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa keputusan Anwar untuk tidak melakukan undi belah bahagi dibuat pada saat-saat akhir.

Berikutan itu berlaku satu pertemuan selama dua jam mengenai perkara itu yang dikatakan berlangsung 'panas'.

"Ia ambil masa lama sebab mereka (MP) sama ada hentam atau pertahankan dia (Anwar)," kata seorang ahli Parlimen Harapan yang hadir dalam mesyuarat itu.

"Keputusan Anwar jadikan semua orang berada dalam posisi yang sangat sulit," katanya.

Sumber berkata Presiden Amanah, Mohamad "geram dan kecewa" terhadap presiden PKR itu, manakala DAP "sangat tidak senang" dengan keputusan berkenaan.

Bercakap kepada wartawan, Anwar berkata keputusan hari ini bukan bermaksud Pakatan Harapan akan membenarkan belanjawan diluluskan pada peringkat jawatankuasa atau bacaan kali ketiga nanti.

"Kita telah buat keputusan untuk minta belah bahagi

"Seandainya beberapa kementerian bercanggah dengan pendirian kita dalam pengurusan kerajaan baik, penyelewengan, soal dasar. Ini kita mula dari hari Isnin," katanya.

PH katanya, juga ingin penjelasan lebih terperinci mengenai pengumuman terbaru yang dibuat oleh menteri kewangan hari ini.

Hari ini, Zafrul mengumumkan beberapa perubahan, termasuk meluaskan pengeluaran Akaun 1 KWSP kepada semua pencarum yang terjejas pendapatan tahun ini.

Terdahulu, Umno turut menuntut perkara itu dan membayangkan akan menolak belanjawan jika ia tidak dipenuhi.

Zafrul turut mengumumkan bahawa peruntukan untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) akan dikurangkan. Perinciannya akan dimaklumkan di peringkat jawatankuasa.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada dia mempunyai cukup majoriti di Dewan Rakyat, Anwar berkata: "Kita akan menyentuh soal itu bila tiba masanya (we will cross it at the right time)".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan