Belanjawan 2021: Umno masih dolak-dalik, PN kurang tiga undi

Umno masih berdolak-dalik sama ada parti itu akan menyokong Belanjawan 2021 atau sebaliknya, manakala kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini terumbang-ambing dengan majoriti yang agak tipis.

Mereka kini kekurangan tiga anggota parlimen dengan Dewan Rakyat menyaksikan sokongan 110 wakil rakyat berbanding pembangkang yang mempunyai 108 orang.

Antara punca kekurangan undi itu adalah disebabkan oleh kematian anggota Parlimen Gerik Hasbullah Osman. Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin pula masih dalam kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga dengan penularan wabak Covid-19.

Pendirian anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pula tidak jelas setelah pemimpin veteran Umno itu tidak turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021. Dia belum menyatakan pendirian seterusnya.

Portal The Malaysian Insight melaporkan, Bung Moktar dikuarantinkan selepas pulang dari Sabah dan tidak boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat sehingga akhir bulan ini.

Sementara itu, anggota Parlimen Keningau Jeffrey Kitingan, juga dalam kuarantin selepas pulang dari Sabah - syarat buat wakil rakyat dari negeri itu susulan kes Covid-19 yang tinggi.

Bagaimanapun, dia memberitahu Malaysiakini bahawa tempoh kuarantinnya sudah berakhir dan akan menyertai persidangan Dewan Rakyat.

Namun, ahli parlimen pembangkang mendakwa, Jeffrey tidak seharusnya berada dalam Dewan Rakyat lagi.

Jeffrey masih di Sabah sehingga 12 Nov dan sekiranya dia ke Kuala Lumpur pada malam tarikh tersebut, tempoh kuarantinnya sepatutnya berakhir pada 26 Nov ini.

Jika dia tidak dibenarkan ke Dewan Rakyat, PN hanya akan tinggal 109 undi.

Razaleigh pula masih tidak memberi kata putus sama ada dia akan mengundi selepas memutuskan untuk tidak ikut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021. Sebaliknya, dia masih menggesa ahli parlimen lain supaya menyokong usul undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Pengundian belanjawan dilihat beberapa pihak sebagai proksi untuk undi tidak percaya terhadap perdana menteri.

Malah, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Dr Puad Zarkashi turut menyifatkan, apa-apa boleh berlaku minggu ini termasuk negara mempunyai perdana menteri baru.

"Macam macam boleh berlaku minggu ini. Bajet (belanjawan) lulus, bajet ditolak, undi tidak percaya, parlimen bubar, Muhyiddin PM (perdana menteri) paling singkat dan mungkin akan ada PM baru," katanya katanya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Puad yang bukan seorang ahli parlimen berkata, kerajaan akan stabil sekiranya ada kejujuran politik - merujuk kepada hubungan Umno dengan parti Bersatu.

Namun katanya, terlalu banyak game plan berlaku untuk menikam dari belakang.

"Maka inilah harga mahal yang terpaksa dibayar oleh Muhyiddin. 

“Selain penggunaan “darurat” yang gagal, Muhyiddin perlu keajaiban lain untuk selamatkan kerajaan PN?” soalnya.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mempunyai masa sehingga Khamis ini untuk mempertimbangkan tuntutan partinya berhubung Belanjawan 2021.

Antara tuntutan Umno, termasuk lanjutan moratorium pinjaman dan kebenaran individu mengeluarkan sehingga RM10,000 dari akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Mengulas lanjut dalam akaun Twitter, Ahmad berkata, Zafrul sewajarnya membenarkan pengeluaran wang KWSP menerusi akaun 1 buat pencarum aktif.

Buat masa ini, hanya mereka yang kehilangan pekerjaan, diberikan cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan dibenarkan mengeluarkan wang KWSP sebanyak 10 peratus dalam akaun 1.

Malah, kata Ahmad, mereka yang mempunyai wang simpanan kurang RM10,000 wajar dibenarkan membuat pengeluaran sebanyak 50 peratus.

Anggota parlimen Pontian itu turut menambah, pinjaman moratorium enam bulan secara automatik perlu dilanjutkan enam bulan lagi buat golongan B40, M40 dan T20 yang kehilangan pekerjaan.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga perlu diberi keutamaan untuk lanjutan moratorium itu.

Jika rang undang-undang (RUU) Perbekalan mendapat undi mencukupi pada minggu ini, ia masih belum berakhir.

Pengundian juga akan diadakan semasa perbahasan pada peringkat jawatankuasa.

Biasanya, segala usaha untuk mengalahkan belanjawan hanya dilakukan semasa pengundian peringkat dasar dan RUU Perbekalan akan melewati peringkat jawatankuasa dengan undi suara.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan pada tahun 2017 pernah melakukan serangan mendadak semasa pengundian peringkat jawatankuasa Belanjawan 2018 dan kalah dengan hanya dengan satu undi.

Beberapa anggota parlimen pembangkang memberitahu Malaysiakini, sekiranya Belanjawan 2021 tidak dapat diluluskan, Perkara 102 Perlembagaan Persekutuan dapat digunakan untuk membentangkan rang undang-undang terpisah untuk mengizinkan perbelanjaan penting.

Perbelanjaan penting boleh merangkumi emolumen penjawat awam dan perbelanjaan penjagaan kesihatan yang diperlukan untuk memerangi wabak Covid-19.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan