Azmin rancang ‘rampasan kuasa’ terhadap PH sejak Oktober 2019, dakwa Chin Tong

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Liew Chin Tong dari DAP mendakwa Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali merancang “rampasan kuasa politik” untuk memecah-belahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sejak Oktober tahun lalu.

Liew mendakwa, menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu dibantu Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin dan Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussein dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Katanya, objektif utama rancangan itu untuk menghalang pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.

“Rancangan mereka pada Oktober 2019 untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan Melayu dengan penambahan kumpulan Hishammuddin (17 Ahli Parlimen), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (18) dan PAS (18) untuk menjadikan jumlah 53 Ahli Parlimen, jumlah yang diperlukan untuk menggantikan Amanah (11) dan DAP (42),” katanya dalam catatan di blog hari ini.

“Azmin percaya apabila DAP dan Amanah keluar, dia akan dapat mengawal sebahagian besar Ahli Parlimen PKR, atau tidak ada yang akan menyokong Anwar sebagai perdana menteri.”

Liew berkata, bahagian pertama rancangan itu ialah pengumuman Hishammuddin mengenai ideanya untuk membina “Bangsa Malaysia” tanpa DAP dan Amanah, tetapi “rampasan kuasa” itu gagal kerana sekretariat PH mendedahkan rancangan mereka tepat pada masanya.

Bagaimanapun katanya, PH gagal untuk menghalang “Langkah Sheraton” pada Februari ketika perdana menteri sekarang Muhyiddin Yassin memberikan sokongannya terhadap langkah itu dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi membawa keseluruhan blok Umno untuk rampasan kuasa itu.

“Ketika negara terus terpengaruh oleh rampasan kuasa Sheraton, lebih banyak cerita untuk ‘memutihkan’ konspirasi muncul. Sudah tiba masanya kita mendokumentasikan apa sebenar yang berlaku,” kata Liew.

Terdahulu, Azmin mendakwa pembentukan Perikatan Nasional (PN) adalah idea Dr Mahathir Mohamad untuk memastikannya kekal sebagai perdana menteri dengan sokongan Ahli Parlimen semua parti.

Beliau berkata, pengunduran Mahathir sebagai perdana menteri meletakkan negara dalam krisis politik.

Mahathir menafikan dakwaan itu semalam, dengan menuduh Azmin merancang Langkah Sheraton kerana beliau sendiri bercita-cita menjadi perdana menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan