Faizal tak jangka digulingkan sebagai MB

Ahmad Faizal Azumu mengakui bahawa dia sebelum ini tidak menjangka akan digulingkan, dengan Umno memainkan peranan utama.

Dalam wawancara dengan Astro Awani, Faizal mengatakan bahawa dia selalu bertemu pemimpin Umno di mesyuarat kabinet dan mesyuarat lain, tetapi tidak menjangka akan digulingkan.

"Kami selalu berjumpa di perjumpaan exco dan perjumpaan dalam urusan kerajaan. (Saya) tidak difahamkan mengenai apa-apa permasalahan. Tapi mungking kerana kerusi menteri besar itu terlalu diidamkan (dan) hasil percaturan dibuat untuk menepikan saya," katanya.

Faizal digulingkan di Dewan Undangan Negeri Perak hari ini dengan usul yang diajukan oleh ahli parlimen Umno dan disokong oleh 48 dari 59 Adun.

Dalam wawancara berasingan, Ketua Bahagian Umno Padang Rengas, Nazri Abdul Aziz memberitahu Malaysiakini bahawa rancangan untuk menyingkirkan Faizal sudah bermula sejak dua bulan lalu.

Ketika ditanya apakah dia merasakan Bersatu dikhianati oleh Umno, Faizal, yang merupakan timbalan presiden Bersatu, tidak menjawab secara langsung dan sekadar berkata keutamaannya adalah memberi tumpuan kepada rakyat.

"Kalau nak dikirakan perasaan saya, masih nak merajuk jugalah. (Tapi) akhirnya, sebagai pemimpin kita mesti berjiwa besar. Kepentingan rakyat ini mesti diutamakan.

"Saya akan berbincang dengan kepimpinan Umno, PAS dan lain-lain untuk perkara berkaitan," katanya.

Faizal menambah tumpuan utamanya adalah sama ada apa yang berlaku di Perak akan memberi kesan kepada perikatan Nasional-BN-PAS-GPS di peringkat nasional atau di negeri-negeri lain.

"Saya paling risaukan ia boleh mendatangkan impak yang tidak baik di peringkat kebangsaan, di negeri lain.

"Jadi saya mengesyorkan jika nak buat perkara seperti menukar menteri besar, ini boleh dibincangkan di peringkat PN.

"Tidak perlu dilakukan ke sidang dewan dan kerjasama dengan parti-parti lawan. Tentunya masalah ini akan menguris perasaan ahli-ahli kami di semua peringkat. Masa ini saya harap semua orang akan bersabar," katanya.

Mengenai spekulasi bahawa Umno dan Pakatan Harapan (PH) bersekongkol dalam rancangan untuk menggulingkannya, Faizal berkata kemungkinan itu yang terjadi.

"Mungkin ini petanda baik untuk negara kita masa Umno pun boleh berkerjasama dengan DAP untuk menggugurkan saya sebagai menteri besar," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan