PH perlu hala tuju jelas, jangan biar luka lama jadi kudis berpanjangan

MOHD ALI HASHI

Selagi Pakatan Harapan (PH) tiada halatuju yang jelas dan terang sama ada kekal PH sahaja atau pun kembangkan PH kepada PH Plus, maka selagi itulah aktivis dibawah akan terus serang-menyerang dan bertempur antara satu sama lain.

Seandainya ini berterusan, tidak dapat dinafikan luka-luka sedia ada akan merebak menjadi kudis yang lebih besar serta sukar untuk dirawat.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Komunikasi, AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Jelasnya, pimpinan PH mahu pun Majlis Presiden perlu menetapkan hala tuju PH dengan seberapa segera kerana perbezaan dan pertembungan akan mempengaruhi aktivis bawahan mengakibatkan mereka bertempur sesama sendiri.

“Telah difahami dan sedia maklum oleh aktivis di semua peringkat, iaitu PKR tidak duduk bersama parti-parti pembangkang yang lain seperti Warisan Sabah, UPKO, PSB, Pejuang dan MUDA.

” Manakala AMANAH dan DAP bersetuju membentuk gabungan semua pembangkang terlibat dan terkini sepertimana dinyatakan oleh Timbalan Presiden AMANAH bahawa parti ini mendukung aspirasi gabungan besar pembangkang iaitu ‘grand coalition’ yang turut melibatkan parti-parti pembangkang tersebut.

“Ia juga disahuti oleh Presiden Warisan apabila beliau menyatakan bahawa pembangkang perlu menukar kepimpinan baharu dan sudah pasti kedua-dua kenyataan tersebut iaitu dari AMANAH dan WARISAN tidak akan dipersetujui oleh PKR,” ujarnya.

Tidak dinafikan semua aktivis dan kepimpinan komponen PH disemua peringkat kepimpinan tahu, faham dan arif dengan kondisi serta situasi perbezaan dan pertembungan tersebut, sekali imbas ianya merupakan percaturan antara Tun M dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejarah turut membuktikan pertembungan Tun M dan Anwar telah mengheret semua parti pembangkang berada dalam dilema umpama diluah mati emak, ditelan mati bapa.

Sehubungan itu Majlis Presiden PH perlu segera memutuskan apa jua kaedah ‘ win-win’ atau menang-menang yang terbaik bagi semua kerana kenyataan media unilateral dari setiap parti komponen PH tidak mampu menyelesaikan masalah.

Tambah beliau, paparan pemimpin tertinggi PH berfoto maupun berselfie sambil minum semeja, senyum atau ketawa bersama termasuklah Perhimpunan Agong, Kongres Tahunan, Konvensyen Tahunan atau apa jua jenama bagi komponen PH tidak akan menyelesaikan masalah.

Yang pasti sarannya, hanyalah mesyuarat Majlis Presiden ataupun pimpinan PH bagi menyelesaikan segala kekusutan dan kemelut yang ada.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan