‘PM dalam tawanan rakan politik, pendakwaan rasuah berakhir dengan pembebasan’

ADLY ZAHARI

Perdana Menteri kita sudah ditawan. Ditawan oleh rakan kerjasama politik.

Tidak berupaya membuat keputusan bagi memastikan politik kita stabil, ekonomi pulih dan covid 19 diperangi.

Ini kerana niat beliau hanya untuk berkuasa, khianati perjanjian bertulis, membeli wakil rakyat dan lakukan sogokan politik melalui GLC.

Setelah berjaya berkuasa selama hampir 10 bulan, negara kekal dengan krisis politik, ekonomi dan covid 19, malah lebih buruk.

Krisis politik menatijahkan pertukaran kerajaan di negeri Perak, undi percaya menjadi tak percaya, termasuk usul undi tidak percaya dikalangan wakil rakyat kerajaan di parlimen.

Rakan kerjasama politik menikam dari belakang. PM gagal menyatukan Melayu Islam. Penyatuan menjadi retorik.

Krisis ekonomi tidak perlu diceritakan, semua orang merasainya, haiwan dalam zoo pun terasa.

Krisis Covid-19 lebih parah, kalau dulu beratus kes setiap hari sudah dikira ngeri, sekarang beribu kes setiap hari sudah dikira biasa. Macam-macam SOP pelik termasuk menghadiri sidang dewan rakyat dengan memakai PPE.

Selepas 10 bulan, negara hilang kawalan, kemaruk kuasa politik sesama pemimpin Melayu Islam makin membarah.

Sehingga sesetengah pemimpin itupun sudah tiada kepastian dia menyertai parti apa dan dia terlibat dalam gabungan mana sama ada PN, MN, BN. Pening.

Rakyat memang terabai, negara hilang fokus, pelabur tiada keyakinan kerana semuanya tiada kepastian.

Perdana Menteri sentiasa dalam tawanan rakan politik, pendakwaan rasuah berakhir dengan pembebasan.

Krisis ekonomi dan covid 19 berpaksi kepada kestabilan politik negara, ia tentang kepimpinan yang mampu membuat keputusan untuk kepentingan rakyat.

Kepimpinan negara mesti dipulihkan, tidak boleh melalui proses beli membeli kesetiaan, yang akhirnya menjadi tawanan dan ketakutan kehilangan kuasa.

Masa belum terlambat untuk kita membetulkan keadaan. Semoga wakil rakyat di dewan rakyat kembali membetulkan hala tuju kepimpinan negara dilandasan yang jelas.

Berpadu untuk negara dan bebaskan PM yang ditawan dengan tunjukkan jalan keluar pintu hadapan.

Saya doakan yang terbaik buat Malaysia.

*ADLY ZAHARI merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka dan bekas Ketua Menteri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan