Umno akan bergolak, jika Muhyiddin kembali

Nicholas Chung
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik meramalkan Muhyiddin Yassin akan menghadapi kesulitan dalam politik, jika beliau kembali ke pangkuan Umno yang memecatnya 4 tahun lalu.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia memberitahu FMT, akan berlaku pergolakan dalam Umno mengenai siapa yang patut menerajui parti itu.

Katanya, kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri akan tergugat.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mengenai kesediaan parti itu menerima perdana menteri kembali ke pangkuannya.

Mohamad dalam wawancara dengan media baru-baru ini berkata, Umno boleh mengkaji semua keputusan disiplin memecatnya daripada parti itu pada 2016.

Muhyiddin kini ialah presiden PPBM.

Azmi berkata, Muhyiddin perlu menjadi presiden Umno untuk mempertahankan jawatan perdana menterinya dan ia sukar baginya jika Presiden ketika ini, Ahmad Zahid Hamidi atau Mohamad mencabarnya untuk jawatan tertinggi itu.

“Jika ada pertandingan, ia akan menjadi tugas yang sukar bagi Muhyiddin.”

Beliau berkata, satu-satunya cara untuk Muhyiddin menjadi presiden Umno ialah Zahid dan Mohamad memberi laluan kepadanya, tetapi beliau percaya penyokong 2 pemimpin itu tidak akan benarkan.

Seorang lagi penganalisis politik, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, meramalkan Zahid akan memberi laluan kepada Muhyiddin atas dasar perpaduan orang Melayu.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya akan menerajui Umno buat seketika.

Beliau berkata, jika Perikatan Nasional atau Barisan Nasional memenangi pilihan raya umum akan datang, jawatan presiden Umno akan terbuka untuk rebutan semua.

Azman turut menyentuh kemungkinan PPBM membentuk pakatan dengan Umno atau memutuskan ia dibubarkan sendiri dan menggalakkan ahlinya menyertai Umno.

Tidak kira apa keadaannya, beliau berkata, penyatuan itu mungkin menjadi kuasa digeruni.

“Bagaimanapun, hakikatnya ialah Umno mahu menguasai penyatuan itu dan PPBM perlu mengakui Umno mempunyai lebih banyak struktur dan sokongan akar umbi lebih kuat.”

Jika PPBM dibubarkan, katanya, persoalan bagaimana Umno akan menyerap ahli Majlis Pimpinan Tertingginya dan memberi jawatan kepada mereka dalam parti itu akan menjadi satu masalah.

Kemenangan terjamin jika PPBM, Umno, PAS berganding, kata penganalisis?

Robin Augustin
PETALING JAYA
: Dua orang penganalisis politik bersetuju kemenangan pilihan raya yang meyakinkan akan terjamin buat Umno, PPBM dan PAS sekiranya mereka berganding.

Namun, kedua-duanya memberitahu FMT keadaan semasa tidak memberi keyakinan suatu barisan yang bersatu boleh berlaku dalam masa terdekat.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia dan Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata terdapat banyak perselisihan antara PPBM dengan Umno dan PAS.

“Masalahnya ialah beberapa segmen dalam Umno dan PAS merasakan PPBM cuba mendominasi dan menjadi abang besar,” kata Kamarul.

“Hakikatnya tiada parti boleh peroleh kemenangan yang meyakinkan secara bersendirian.”

Katanya, penyelesaian untuk masalah itu terletak pada kesediaan PPBM untuk meredakan retoriknya dan bersetuju sertai pakatan Umno-PAS, Muafakat Nasional.

Tambahnya, itu akan lebih mudah dilaksanakan berbanding cuba mendapatkan Umno dan PAS bergabung dengan Perikatan Nasional (PN).

“PPBM perlu terima kenyataan bahawa ia tidak dapat mendominasi politik biarpun Muhyiddin Yassin ketika ini memimpin negara.”

Kamarul berkata Muhyiddin kemungkinan akan menjadi pemimpin kepada gabungan ketiga-tiga parti itu.

Prospek kemenangan pilihan raya untuk barisan sedemikian sangat bagus kerana pembangkang sekarang berpecah, dengan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta penyokong masing-masing bertentangan.

“Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang melibatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan juga akan beri kesan kepada pakatan pembangkang dan saya meramalkan lebih banyak ahli Parlimen akan sertai PN,” tambahnya.

Sementara itu, Awang Azman yakin pemimpin Umno seperti Presiden Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak lebih cenderung kepada Muafakat Nasional.

“Tapi tentunya, jika PN bertanding PRU-15 sebagai satu pasukan, undi orang Melayu tidak akan berpecah dan akan menang lebih dari cukup untuk membentuk kerajaan, walaupun majoriti 2/3 dilihat sukar.”

Namun, katanya, sukar bagi akar umbi Umno dan PAS untuk menerima PPBM kerana permusuhan menjelang PRU lepas.

“Kecuali jika PPBM kembali kepada Umno seperti Semangat 46 sebelum ini, pergaduhan tidak akan berhenti,” katanya.

Tambahnya, Umno menunjukkan mereka sedia berkompromi dengan parti kecil hanya apabila mereka berdepan masalah dan tiada banyak pilihan.

“Sudah pasti pemimpin akar umbi Umno akan tekan pimpinan tertinggi untuk mendapat lebih banyak kerusi pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Faktor Mahathir-Anwar ibarat kain tak cukup panjang

ZAKARIA MUSA
Walaupun Bersatu Hitam sudah terkeluar daripada kerjasama longgar Pakatan Harapan (PH), namun Parti Amanah Negara (AMANAH) dan juga DAP seperti terus menjalin hubungan dengan kelompok penyokong Dr Mahathir Mohamad itu.

AMANAH dan DAP menunjukkan isyarat untuk terus berusaha merebut kembali Putrajaya selagi peluang masih terbuka, sedangkan sekutu mereka, PKR, bagai berpatah arang.

Mahathir pula dilihat memutuskan hubungan dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan terus membuat serangan terbuka selepas beberapa opsyen perdana menteri gagal mendapat persetujuan dan mencapai hasilnya.

Timbul kemusykilan, mampukah “cukup bilang” dicapai jika Mahathir dan Anwar terus bertelingkah, dan lebih buruk sekiranya koalisi baharu terpaksa dibentuk. PKR mempunyai hampir 40 Ahli Parlimen, satu angka yang cukup besar di kala Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sendiri hanya mempunyai majoriti sokongan yang begitu tipis, sekitar dua hingga tiga undi sahaja.

Mahathir pula, meskipun sekadar membawa lima wakil rakyat daripada Bersatu Hitam, beliau dikira boleh mempengaruhi lebih ramai ahli Parlimen untuk bersamanya.

Paparan undian semasa usul Perdana Menteri menyingkirkan Speaker Dewan Rakyat baru-baru ini menunjukkan kedudukan Muhyiddin Yassin terus tidak stabil. Ramai syak dengan bilangan sokongan yang diperolehinya ketika pintu Istana Negara ditutup buat Mahathir, hujung Februari lalu.

Dengan segala usaha “menambat kesetiaan” wakil rakyat melalui tawaran pelbagai jawatan, Muhyiddin sekadar memperolehi undi “cukup-cukup makan” sahaja. Maka boleh dibayangkan proses melobi dan membeli sokongan akan berterusan, yang memungkinkan fokus lebih utama membangun dan memulihkan negara akan terabai dengan teruk.

Rekod empat bulan kerajaan Perikatan Nasional (yang dibentuk atas kepentingan sempit) mentadbir tanpa hala tuju yang jelas cukup membimbangkan. Tiga komponen utama — Bersatu, Umno dan Pas — memperalatkan kuasa serta kedudukan untuk memperkukuh pengaruh bagi melonjakkan diri sebagai parti Melayu paling kuat menjelang PRU15.

Ketiga-tiganya saling bersaing dan masa sama cuba menjatuhkan secara halus. Kepentingan rakyat dan masa depan negara dipertaruhkan. Penggubalan polisi dan dasar penting terabai.

Situasi tidak stabil ini dijangka berterusan. Komposisi pemerintah dan pembangkang yang hampir setara itu, daripada satu segi, akan memungkinkan elemen sogokan membeli atau menambat sokongan seperti tiada kesudahan.

Justeru, terdapat pandangan popular yang menyarankan agar “permainan kuasa” ini segera ditamatkan dengan pembubaran Parlimen, membolehkan PRU15 berlangsung.

Namun begitu, selain belanja besar mengadakan pilihan raya umum, banyak lagi persoalan berbangkit. Pandemik Covid-19 belum berakhir. Kita juga mungkin berdepan protes senyap pengundi yang bosan dengan karenah elit politik yang mengkhianati mandat rakyat dua tahun lalu. Pemilih masih terasa penat beratur panjang di tengah panas, 9 Mei 2018.

Isu berterusan Mahathir-Anwar dilihat mungkin mengundang protes senyap pengundi.

Dijual beli

Siapa boleh beri jaminan “langkah pengkhianatan” tidak boleh berulang lagi? Dijangka PRU15 mungkin mengheret keputusan hampir sama, tiada gabungan parti yang menang besar.

Tiada lagi majoriti selesa dua pertiga. Aksi lompat parti berterusan. Lebih buruk usaha membeli sokongan bagi membentuk kerajaan akan berterusan. Sebenarnya, tanpa majoriti dua pertiga pentadbiran kerajaan menjadi lebih transparen dan bertanggungjawab; proses semak-imbang boleh berjalan dengan baik.

Justeru, dikhuatiri ramai pengundi terutama anak-anak muda tidak lagi menghormati proses demokrasi. Mereka merasakan mandat rakyat dalam pilihan raya boleh dijual beli menurut selera dan kepentingan ahli-ahli Parlimen. Mereka sudah melihat parti yang menang dalam PRU14 menjadi pembangkang, manakala parti yang kalah menjadi kerajaan.

Ahli-ahli politik dilihat hilang integriti dan hanya memikirkan soal kepentingan diri dan kelompok. Mereka menjadikan undi rakyat sebagai bahan komoditi untuk tawar-menawar demi mengecap keuntungan jangka pendek.

Segala janji manis dan komitmen perjuangan hanya berkumandang semasa kempen pilihan raya. Tiada segan-silu untuk mengkhianati mandat rakyat dan sanggup meruntuhkan kerajaan pilihan ramai.

Rakaman audio yang dipercayai suara Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat terakhir Bersatu, sebelum keluar PH, lagi menimbulkan kekeliruan masyarakat umum. Melalui audio yang tular itu, Muhyiddin mengemukakan perancangan untuk membuat tawaran (sogokan) kepada ahli-ahli Parlimen Umno agar menyertai Bersatu menubuhkan kerajaan baharu dengan menjanjikan jawatan pentadbiran dan pengerusi GLC. Tujuannya agar Bersatu menjadi parti Melayu terbesar yang menguasai kerajaan.

Namun, mesej lebih ketara adalah aktiviti membeli sokongan menyebabkan kerajaan PH tumbang dan ini jelas satu penyalahgunaan kuasa dan amalan korupsi. Langkah Sheraton dilihat sarat elemen rasuah.

Difahamkan laporan polis dan aduan SPRM telah dibuat mengenai audio mirip suara Muhyiddin itu. Dalam perbahasan di Parlimen, wakil DAP juga membangkitkannya dan cuba memperdengar rakaman berkenaan tetapi dihalang Speaker.

Presiden Bersatu itu pernah mendakwa tidak suka “bermain politik” atas alasan rakyat sudah muak, tetapi beliau pula dilihat memperalat kuasa sewenang-wenangnya demi jawatan perdana menteri. Khalayak semakin rasa diperbodoh dengan gelagat politikus kita.

Sementara orang ramai menyaksikan hala tuju dan pentadbiran negara diuruskan mengikut warisan regim Barisan Nasional dan usaha pembaharuan yang dibawa PH telah terhenti, harapan mereka agar mandat rakyat dimartabat menjadi pudar apabila dua tokoh utama pembangkang, Mahathir-Anwar terus bercelaru menentukan sikap politik.

Perikatan Nasional (PN) jelas rapuh dan berselisih pandangan. Mereka hanya diikat dengan kepentingan politik masing-masing. Tidak sukar untuk diduga hubungan tegang itu bertambah parah apabila proses rundingan kerusi bermula.

Penyokong PH (kini di posisi pembangkang) ternyata kecewa, bukan sahaja di atas keruntuhan kerajaan akibat pengkhianatan dan kegagalan menguruskan pertelingkahan sesama sendiri, tetapi hubungan dingin itu tambah parah meskipun selepas terkeluar dari Putrajaya. PH sepatutnya diperkukuh untuk merebut kembali kuasa yang dirampas, malangnya ia semakin goyah dan retak menanti belah.

Pelbagai opsyen dikemukakan bagi mencari formula terbaik mencapai “cukup bilang” tetapi semuanya gagal merumuskan kesepakatan. Pertemuan dan rundingan berterusan; harapan dan impian indah dibayangkan.

Konspirasi 1998

Realitinya Muhyiddin masih kekal berkuasa. Mahathir dan Anwar terus berada di hujung kutub yang bertentangan. Sesekali sindiran yang melukakan dilemparkan, manakala penyokong masing-masing tetap serang-menyerang, balas-membalas, ungkit-mengungkit. Perdamaian hanya retorik.

Saya perhatikan, ada pendukung tegar Anwar yang sudah hilang kepercayaan kepada Mahathir. Apa juga aksi dan gerak bekas perdana menteri ketujuh itu akan ditafsirkan secara negatif. Sehingga sampai ke satu tahap Mahathir dianggap seteru utama Anwar; seolah-olah misi terbesarnya adalah untuk menggagalkan Presiden PKR itu daripada menjadi perdana menteri.

Tidak hairanlah jika Mahathir terus ditohmah sebagai arkitek utama kejatuhan kerajaannya sendiri, demi menghalang janji 7 Januari 2018 ditunaikan. Seolah-olah konspirasi 1998 berterusan. Lebih buruk Mahathir juga dituduh ingin menghancurkan PH dan menggagalkan agenda reformasi.

Mungkin itulah sebabnya apa jua opsyen melibatkan Mahathir sebagai perdana menteri kesembilan akan ditolak mentah-mentah oleh Anwar dan pengikutnya walaupun tempoh dihadkan kepada enam bulan sahaja. Syak wasangka terhadap Mahathir begitu tinggi.

Kem Anwar lebih bersedia untuk melupakan hasrat merebut kuasa yang dirampas Mac lalu itu sedangkan sekutunya dalam PH, iaitu DAP dan AMANAH dilihat masih belum berputus asa untuk mengembalikan mandat rakyat.

“Kenapa kita harus tolak peluang jika ruang masih terbuka untuk tamatkan pemerintahan pintu belakang Muhyiddin? Keputusan undian Speaker Dewan Rakyat membuktikan jika kena gayanya, sekiranya calon PM kita boleh tarik sokongan empat atau lima lagi ahli Parlimen, maka kerajaan baru dapat dibentuk. Kami percaya Mahathir boleh melakukannya, terutama mempengaruhi MP dari Borneo dan juga Bersatu,” kata seorang penyokong kuat Mahathir.

Timbul persoalan, bukankah lebih baik PH beri fokus kepada persiapan PRU15 daripada disibukkan dengan polemik berterusan siapa calon PM dan usaha merampas balik Putrajaya?

Jawab saya mudah, agenda perkukuh jentera pilihan raya sentiasa menjadi keutamaan. Malah, berakhir saja PRU14 dua tahun lalu, persiapan PRU15 sudah pun bermula. Cuma dalam skala kecil.

Manakala soal rundingan, perbincangan dan lobi memartabatkan semula mandat rakyat, atau mengumpul sokongan mencukupi ahli-ahli Parlimen, hanya melibatkan pemimpin tertinggi PH dan tak perlu riuh-rendah pun.

Pelik juga apabila politikus pembangkang bersikap acuh tak acuh dengan usaha membentuk kerajaan baru itu. Peluang yang datang mungkin terlepas begitu sahaja jika asyik berdebat “apa yang kami dapat” jika ditumbangkan pentadbiran Muhyiddin-Azmin.

Prioriti paling penting adalah kembali berkuasa bagi meneruskan agenda reformasi yang tertangguh atau terhenti sejak hujung Februari lalu. Lebih buruk apabila tradisi lama warisan rejim Umno-BN kembali diamalkan. Ia tidak pelik kerana Umno mempunyai wakil paling ramai dalam PN.

Selain itu, sektor awam sudah terbiasa dengan Umno yang menunjangi pemerintah selama 60 tahun. Semasa pentadbiran PH sering dimomokkan isu “daulah terpendam”, apabila kerajaan tebuk atap ditegakkan, rasanya isu “deep state” tidak timbul lagi. Muhyiddin pula, walaupun menteri kanan zaman PH, langsung tidak mengemukakan apa-apa wawasan atau polisi berelemen reformasi.

Malah, pentadbirannya tidak dipandu manifesto dan komitmen politik. Sebahagian besar menterinya pun tidak dikenali umum. Muhyiddin sendiri hanya muncul di kaca televisyen melalui perutusan khas; tiada sidang akhbar yang dapat menjelaskan misi besar perdana menteri.

Naik muak

Apabila Mahathir bersedia mengundur diri daripada pencalonan perdana menteri, dan nama Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal muncul, diharapkan kemelut lama dapat dijernihkan. Rupa-rupanya tidak. PKR tidak berganjak, malah mampu mempengaruhi DAP dan AMANAH untuk menyokong Anwar.

Mahathir meluahkan rasa kecewa kerana dakwanya, yang mencadangkan nama Shafie adalah DAP sendiri. Mahathir bertegas dengan pendiriannya bahawa Anwar tidak mampu meraih sokongan mencukupi.

Tambah Mahathir, wakil rakyat yang menyokongnya pun tidak bersedia untuk bersama Anwar. Justeru, tiada kata sepakat dapat dicapai. Ibarat kain tidak cukup panjang, tutup kaki terdedah kepala, tutup kepala terbuka kaki.

Kepada masyarakat umum, mereka mungkin naik muak dan bosan dengan permainan kuasa elit politik ini. Tambahan pula negara dilanda wabak Covid-19 yang berimpak serius terutama kepada ekonomi rakyat.

Pengangguran melonjak, pekerjaan terjejas teruk. Pilihan raya era koronavirus mengundang risiko besar. Di pihak PN pula, Muhyiddin masih dalam dilema untuk menbubarkan Parlimen; persefahaman tiga parti Melayu — Bersatu, Umno dan Pas — sukar mencari titik temu. Nasib dan masa depan partinya, Bersatu terawang-awang.

Kita harus bergerak dalam ruang yang tidak lagi terbelit dengan faktor Mahathir atau Anwar. Parti yang menang dalam PRU14 perlu segera kembali memulihkan negara. Ini bukan soal tamakkan kuasa atau tidak sanggup pikul tanggungjawab sebagai pembangkang berkesan.

Menyanjung pilihan pengundi dan memastikan demokrasi serta proses pilihan raya terus dihormati. Sebarang aksi rampasan kuasa harus ditolak dengan bersungguh-sungguh. Mahathir dan Anwar perlu bersemuka empat mata merungkai kekusutan pembangkang.

Jangan sampai anda berdua dikenang sejarah punca negara terperangkap dalam krisis tiada berkesudahan. Hayati semangat korban menjelang Aidiladha ini.

Mahathir dan Anwar perlu bersemuka empat mata merungkai kekusutan pembangkang.

Bekas pemimpin Pas tumbuk muka Ketua Armada Terengganu

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ketua Armada Bahagian Dungun, Hairil Mokhrim Hashim membuat laporan polis selepas dikasari seorang ahli Majlis Perbandaran Dungun yang juga bekas Setiausaha Pas kawasan itu.

Menerusi laporan polis dibuatnya semalam, Hairil mendakwa ditumbuk oleh Norulalzahar Ali.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Padang Bola Awam Kampung Telaga Mas, Paka kira-kira jam 6.30 petang, semalam.

Laporan itu juga menyatakan bahawa pemuda sayap Bersatu itu telah ditumbuk sebanyak dua kali di bahagian muka.

Untuk rekod, Norulalzahar Ali pernah menjadi Setiausaha Pas Kawasan Dungun pada tahun 2011 hingga 2013.

UNTUNG PAS ADA DALAM KERAJAAN, ISLAM AKHIRNYA BERJAYA DIDAULATKAN?

Shahbudin Husin
Kempen Sayangi Minyak Sawitku yang dimulakan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kini sudah dijenamakan semula dengan nama baru – Sawit Anugerah Tuhan.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Mohd Khairuddin Aman Razali di Dewan Rakyat hari ini dengan menyifatkan nama baru itu adalah “lebih baik” berbanding sebelumnya.

Mohd Khairuddin (PAS- Kuala Nerus) menjawab soalan Shamsul Iskandar Mohd Akin (PKR- Hang Tuah Jaya) yang bertanya sama ada kempen Sayangi Minyak Sawitku akan diteruskan di bawah kerajaan sekarang atau tidak.

“Saya telah bergerak untuk mengubah kempen itu kepada yang lebih baik, Insya-Allah, namanya iaitu Sawit Anugerah Tuhan.

“Itu pendekatan saya sepanjang saya menjadi menteri,” katanya.

Kempen Sayangi Minyak Sawitku dilancarkan Januari tahun lalu oleh mantan Menter Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) bagi memerangi kempen antisawit dari negara-negara luar.

Ini termasuklah saranan meminum sesudu minyak sawit merah setiap hari.

Kok bagaimanapun menjadi bahan sendaan, ejekan dan kecaman atas usaha tersebut.

Bagaimanapun pada 9 Julai lalu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan amalan meminum minyak sawit merah memang digalakkan kerana ia mengandungi khasiat yang tinggi, termasuklah vitamin A dan E yang baik untuk jantung, kesihatan mental, untuk diabetes dan sebagainya.

Mahkamah benarkan penghakiman terus, Najib perlu bayar cukai RM1.69b

Hidir Reduan Abdul Rashid
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk penghakiman terus dalam dalam saman tuntutan cukai berjumlah RM1.69 bilion ke atas bekas perdana menteri Najib Razak.

Keputusan itu bermakna Najib perlu membayar cukai berjumlah RM1.69 bilion kepada LHDN.

Penghakiman terus adalah apabila mahkamah membuat keputusan tanpa melalui perbicaraan penuh, iaitu antaranya tanpa mendengar keterangan saksi.

Pada 22 Jun lalu, hakim Ahmad Bache menangguhkan keputusan terhadap permohonan LHDN itu, selepas penghujahan peguam pihak LHDN dan Najib.

Kerajaan memfailkan saman itu terhadap Najib pada 25 Jun 2019.

Saman itu menuntut RM1.69 bilion daripada Najib, dengan kadar faedah tahunan lima peratus bermula tarikh notis taksiran, serta ganti rugi kos serta relif lain yang dirasakan wajar oleh mahkamah.

ADUN Serom letak jawatan dalam Amanah Johor


Adun Serom, Faizul Amri Adnan melepaskan jawatan sebagai pengerusi jawatan pendidikan dan ahli jawatankuasa parti Amanah Johor.

Melalui salinan surat peletakan jawatan yang dilihat Malaysiakini, Faizul memberi alasan melepaskan jawatan itu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti itu diperingkat negeri dan konflik dalam parti setiap peringkat.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa saya tidak lagi berminat untuk menjadi calon bagi mewakili parti Amanah Johor pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

"Akhir kata saya ingin mengucapkan ribuan terima masih di atas peluang dan kerjasama yang diberikan selama ini," katanya dalam surat berkenaan.

Faizul pada PRU14 lalu bertanding di kerusi berkenaan mewakili parti Amanah.

Sebelum ini ketika krisis politik Johor yang menyaksikan pertukaran kerajaan, Adun Amanah Johor turut dikaitkan dengan khabar angin akan menyokong Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, kesemua kesembilan Adun Amanah di negeri itu manzahirkan sokongan kepada PH.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan, berkata jawatankuasa parti itu akan bermesyuarat bagi menentukan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan Adun Serom itu.

Beliau memaklumkan surat peletakan jawatan tersebut diterima oleh pengerusi dan Setiausaha Amanah negeri Johor melalui aplikasi WhatsApp pada jam 8 pagi 21 Julai 2020.

"Jawatankuasa pimpinan Amanah negeri akan bermesyuarat bagi menentukan samada menerima peletakan jawatan tersebut atau sebaliknya," katanya dalam satu kenyataan.

KESIAN MAHATHIR, BELUM APA2 SUDAH DITOLAK WARISAN

Shahbudin Husin
Cadangan agar Parti Warisan Sabah (Warisan) dijadikan parti peringkat nasional sekiranya Tun Mahathir Mohamad menjadi ahlinya tidak pernah dibincangkan oleh pemimpin parti itu.

Menurut laporan FMT, seorang ahli kanan parti itu yang enggan dikenali berkata, cadangan membuka pintu Warisan kepada bekas Pengerusi Bersatu itu akan menyebabkan parti berkenaan menyimpang daripada perjuangannya untuk rakyat Sabah.

“Secara terus terang, itu hanya rancangan, belum ada keputusan dibuat.

“Warisan ialah parti berpangkalan di Sabah dan perjuangannya untuk penduduk negeri itu.

“Jika parti itu diluaskan ke peringkat nasional bermakna Warisan perlu merombak perjuangannya,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat Sabah menyokong Warisan semasa PRU14 lalu kerana parti itu ditubuhkan atas dasar orang Sabah untuk Sabah.

“Presidennya, Shafie Apdal sendiri meminta rakyatnya memutuskan apa yang mereka boleh lakukan untuk Sabah, bukan apa yang dapat dilakukan (kerajaan) Sabah untuk mereka,” katanya.

Semalam, Pengerusi Tetap Warisan, Liew Vui Keong berkata, parti itu tidak menghadapi masalah untuk menerima penyertaan Tun Mahathir sekiranya perlu.

Bagaimanapun katanya, jika perkara itu berlaku, perlembagaan parti tersebut perlu diubah terlebih dahulu.

“Presiden boleh memutuskan sama ada parti itu perlu menjadi parti nasional dan hanya Setiausaha Agung, Loretto Padua dapat memberikan jawapan berhubung keahliannya,” katanya.

Kesian Tun Mahathir, baru diura-urakan tetapi sudah pun ditolak penyertaannya.

Akhirnya, menubuhkan sebuah parti baru semakin tidak dapat dielakkan lagi bagi Tun Mahathir untuk meneruskan perjuangannya. (Shahbudindotcom 20/07/2020)

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim cabar Dr Mahathir

Kata saya penyamun tapi kenapa tidak dituduh? Azeez cabar Dr M

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Rahim hari ini membidas Dr Mahathir Mohamad (Bebas - Langkawi) kerana mendakwa beliau mencuri dana Tabung Haji tetapi tidak pernah didakwa ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

"Untuk maklumat YB Langkawi, saya tidak ada satu kes pun dituduh atas Tabung Haji.

"Satu kes pun tidak ada. Go check the facts sir (Pergi periksa fakta kamu tuan).

"YB Langkawi waktu duduk di sana tunjuk kat muka saya, itu lah dia, penyamun, penyangak Tabung Haji ada di sini. Tapi, hakikatnya saya tidak pernah ada sebarang tuduhan," katanya ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Abdul Azeez mengecam Mahathir setelah bekas perdana menteri itu cuba mencelah dan meminta laluan.

Beliau kemudian mencabar orang kuat Mahathir, Maszlee Malik (Bebas-Simpang Rengam) untuk mencari di internet dan membuktikan bahawa beliau ada dituduh berhubung sebarang kesalahan berkaitan Tabung Haji.

Untuk rekod, Abdul Azeez sedang berdepan 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Pihak pendakwaan belum mengenakan sebarang pertuduhan berkaitan dengan Tabung Haji terhadap Abdul Azeez ketika kerajaan Pakatan Harapan di bawah pemerintahan Mahathir yang tumbang pada Februari, sekaligus menamatkan tempoh pemerintahan 22 bulannya.

Abdul Azeez, dalam perbahasannya, sebelum itu dengan bersungguh-sungguh menyatakan bahawa dia tidak melakukan sebarang kesalahan semasa memegang jawatan sebagai pengerusi Tabung Haji dari tahun 2013 hingga 2018.

Kajian bebas oleh PriceWaterhouseCoopers pada tahun 2018 mendapati bahawa liabiliti Tabung Haji melebihi nilai asetnya, yang bermaksud bahawa ia tidak boleh membayar dividen selaras ian dengan Akta Tabung Haji 1995.

Namun, pihak pengurusan Tabung Haji ketika era BN didakwa menyembunyikan kerugian yang ditanggung itu dan sengaja menunjukkan lebihan untuk membayar dividen.

Bank Negara pada tahun 2016 juga memberi amaran mengenai defisit yang semakin meningkat.

Abdul Azeez mengakui bahawa Bank Negara ada memberi peringatan kepada Tabung Haji tetapi menyatakan bahawa mereka bukannya berada di bawah Bank Negara dan tidak beroperasi seperti sebuah bank.

Dia mempertahankan bahawa lembaga Tabung Haji mempunyai kuasa untuk memutuskan dividen yang mahu dibayar badan itu.

Di bawah kerajaan PH, Tabung Haji memindahkan aset anak syarikat yang mengalami kerugiannya kepada Menteri Kewangan Diperbadankan untuk memastikan ia mempunyai wang berlebihan untuk membayar dividen.

Abdul Azeez mendakwa pemindahan aset sebagai "menjual" Tabung Haji.

Maszlee kemudian mencelah, dan berkata bahawa dia menyahut cabaran Abdul Azeez tetapi ketika pemimpin Umno itu memberi laluan kepadanya, Maszlee memberitahu bahawa dia membenarkan Mahathir bercakap bagi pihaknya.

Maszlee: Tadi Baling minta saya mencelah.

Abdul Azeez: Ya, pasal kes itu.

Maszlee: Saya bagi hak saya kepada Langkawi untuk mewakili.

Abdul Azeez: Ey..tak boleh lah macam itu. Ini bukan tukar batton. I give it to you.

Maszlee: You must be a gentleman.

Abdul Azeez: Tak boleh. Yang di-Pertua, saya ada bukti maklumat Harapan membohong.

Maszlee: Kalau Baling anak jantan, sila berdepan dengan Tun (Dr Mahathir).

Abdul Azeez: No... tidak saya tak bagi.

Dalam ucapan perbahasan, Abdul Azeez turut menuntut supaya sebuah Suruhajaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat Tabung Haji.

Menurut kelaziman perbahasan parlimen, parti boleh menetapkan ahli parlimen pilihan mereka untuk berbahas dan mereka tidak boleh diganggu kecuali jika diberi kebenaran oleh speaker.

Namun, ketika Maria Chin Abdullah (PKR- Petaling Jaya) membahaskan titah Yang di-Pertuan Agong mewakili pihak pembangkang, dia memberi laluan kepada Dr Mahathir supaya bekas perdana menteri untuk boleh memberi jawapan kepada Abdul Azeez.

Mahathir kemudian berkata jika Abdul Azeez yakin PH telah melakukan kesalahan dalam kes Tabung Haji, dia harus membuat laporan polis.

"Setakat kita tahu memberi penjelasan dalam dewan ini tidak mempunyai kesan.

"Nak dengar pun susah juga kerana dia cakap terlalu kuat, sehingga telinga saya bengang,” katanya.

Pasukan Azmin karam tanpa layar, mahu bertanding atas tiket apa?

AMNI JAGAT

Pasukan Azmin yang sebelum ini membuat gerakan untuk keluar dari PKR dan bersama-sama menyokong kepimpinan Perikatan Nasional (PN) dilihat seperti kapal yang karam tanpa layar.

Naib Pengerusi AMANAH Johor, Abdul Hamid Jamah berkata, kem bekas Timbalan Presiden PKR itu pastinya akan ketinggalan untuk membuat gerak kerja mempromosikan diri mereka selepas kini dilihat tidak berparti.

Jelasnya, kem Azmin perlu sedar bahawa mereka hanyalah alat oleh rakan dalam komponen PN bagi keberlangsungan pentadbirann PN di negara ini.

“Pasukan Azmin pastinya tersepit kerana mereka tidak tahu ke mana hala tuju politik mereka untuk dibawa kepada rakyat.

“Kini mereka ibarat kapal yang karam tanpa layar. Lihat saja program-program yang mereka buat, ia tidak mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan hanya mereka menggunakan penama sebagai ‘menteri’ atau jawatan di dalam kerajaan sahaja,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Abdul Hamid menegaskan asas pemilihan pemimpin di negara ini umumnya berpandukan kepartian tetapi pasukan Azmin tiada parti diwakili mereka lagi.

“Atas ‘platform’ apa yang mereka mahu gerakan agenda mereka. Pasukan Azmin juga dilihat tidak ada asas dalam membawa agenda rakyat.

“Padahal, pasukan itu sendiri rapuh kerana tidak ada kesatuan membentuk sebuah pasukan yang berdaftar secara sah,” katanya.

Laluan mudah

Abdul Hamid yang merupakan Ketua AMANAH Kawasan Batu Pahat berkata, sekiranya PRU diadakan pastinya parlimen tersebut menjadi rebutan pelbagai parti dalam komponen PN termasuk kem Azmin.

“Sekarang ini di Parlimen Batu Pahat ia disandang oleh Ahli Parlimen yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat iaitu Datuk Rashid Hasnon.

“Pastinya pada PRU yang akan datang Datuk Rashid yang merupakan pasukan Azmin nak bertanding atas tiket apa?

“Adakah Umno ataupun Pas akan memberikan laluan mudah kepada Datuk Rashid untuk mempertahankan kerusi berkenaan dan dalam pada masa yang sama beliau tidak berparti?” soalnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat pasukan Azmin jelas semakin terdesak untuk terus mencatur karier atau masa depan politik mereka.

“Pasukan Azmin ini akhirnya akan terus karam dan tenggelam dengan arus kekuatan rakannya sekiranya percaturan pasukan tersebut lambat membuat tindakan,” tambahnya lagi.

Dalam masa sama, Abdul Hamid turut memberitahu PH di Batu Pahat sudah bersedia bagi melawan sesiapa sahaja dari PN dalam usaha mempertahankan suara rakyat di kerusi parlimen tersebut.

Mujahid cabar Abdul Azeez debat isu Tabung Haji

SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim untuk berdebat berkenaan isu-isu agensi itu dan segala dakwaan yang dilemparkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menerusi temubual bersama Malaysia Dateline di bangunan Parlimen tengah hari tadi, Naib Presiden AMANAH Nasional itu berkata, beliau tiada masalah untuk menjemput Abdul Azeez membentangkan segala fakta dan dakwaan dalam perdebatan itu nanti.

Lebih-lebih lagi, kata Mujahid, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu dilihat sering mencelah untuk mempertahankan diri sewaktu ucapan beliau dalam sidang Dewan Rakyat, 15 Julai lalu.

“Saya tiada masalah untuk menjemput supaya Pengerusi Tabung Haji yang dahulu, Abdul Azeez untuk berdebat. Ketika saya berucap di Parlimen, dia ganggu dan nak pertahankan hujah dia, jadi ayuh kita berdebat.

“Saya nak berdebat dengan dia ini. Kita bentangkan apa yang didakwa. Dia kata ada fakta, tak apa, dedahkanlah supaya jangan ada beringat-ingat seperti di Parlimen baru-baru ini.

“Kita dedahkan secara aman, damai, bertamadun dan kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” ujarnya.

Bagaimanapun, kata bekas Menteri Agama itu, tiada keperluan untuknya berdebat dengan Datuk Dr Asyraf Wajdi memandangkan Ketua Pemuda Umno itu bukanlah ahli Parlimen.

Tidak keluar

Malah kata Mujahid, sepanjang berada di bawah Kementerian Agama sewaktu pemerintahan Barisan Nasional (BN), Asyraf juga sama sekali tidak pernah membangkitkan isu tersebut.

“Orang tanya, kenapa Datuk Seri Azeez, kenapa tak nak berdebat dengan Asyraf Wajdi? Asyraf bukan ahli Parlimen.

“Azeez ini ahli Parlimen dan dia Pengerusi TH. Asyraf dulu dia pegang jawatan Timbalan Menteri, satu patah perkataan tidak keluar tentang TH.

“Kenapa pula hari ini dia berlebih-lebih dan saya perlu berdebat dengan dia?” soalnya lagi.

Terdahulu, dalam perbahasan usul yang menyentuh hal berhubung institusi kewangan yang mengurus dana umat Islam, Mujahid mendedahkan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula Lembaga TH yang dilakukan PH adalah berdasarkan laporan audit dan dapatan siasatan bebas mengenai kedudukan kewangan TH.

Beliau juga mendedahkan bahawa aset TH lebih rendah dari tanggungan sejak 2014 berdasarkan hasil dapatan siasatan beberapa badan yang dilantik untuk menyiasat kedudukan kewangan agensi tersebut.

Hal tersebut menarik perhatian Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez yang beberapa kali bangun mencelah meminta penjelasan Mujahid.

Mujahid cabar kerajaan PN bentang laporan tahunan TH 2018

SITI NUR ZAWANI MISCON

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mencabar kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tampil membentangkan Laporan Kewangan Tabung Haji (TH) bagi tahun 2018 yang masih belum dibentangkan kepada Kabinet.

Bekas Menteri Agama itu berkata, persoalan yang timbul tentang status laporan TH bukanlah terletak di tangannya.

Bahkan katanya, sebelum kuasa Persekutuan dirampas, Pakatan Harapan (PH) sudah pun melengkapkan laporan kewangan yang dijangka untuk dibentang pada Mac tahun ini.

Walau bagaimanapun, katanya, Langkah Sheraton yang berlaku ketika itu membantutkan pelan kerajaan di mana sehingga kini laporan kewangan itu masih belum lagi dibentangkan kepada Kabinet mahu pun orang ramai.

“Kalau ikut asal perancangan, pada Mac tahun ini kita akan pamerkan laporan TH 2018 pada orang ramai. Laporan sudah lengkap di atas meja.

“Itu adalah laporan akhir selepas kita ambil kira komen-komen dari Jabatan Audit Negara dan beberapa pihak penting. Tiba-tiba semua orang tahu apa yang berlaku pada bulan Februari.

“Saya cabar PN di mana laporan kewangan tahun 2018 itu, sebab kami dah selesaikan. Saya tunggu juga.

“Bermakna jika tiada, bukan kita sembunyikan. Ini isu teknikal daripada kerajaan PN,” katanya dalam satu temubual khas bersama Malaysia Dateline di Parlimen hari ini.

Polis maut disyaki tembak diri di berek

Bernama

LUMUT:
Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dipercayai menembak dirinya di Berek Polis Pantai Remis, dekat sini, malam tadi.

Difahamkan, mangsa yang bertugas di Batalion 18 Senoi Praaq, Pangkalan Hulu dan terlibat dalam Op Benteng Covid-19 di Manjung, menembak dirinya di kepala menggunakan senjata api M14 pada 9.25 malam Ahad.

Mangsa dibawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi ketika dihubungi mengesahkan insiden itu tanpa memberikan maklumat terperinci dan berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut.

GERAK98 buru Azmin dimana saja dia bertanding

1. GERAK98 alu-alukan sikap dan kenyataan negatif beberapa parti utama di Gombak terhadap Mohamed Azmin Ali.

2. Namun, mengenali Azmin yang amat licik, penuh muslihat dan mampu lacurkan prinsip politik demi kuasa, kita tidak boleh leka dan ambil mudah perkembangan ini.

3. GERAK98 akan terus fokus mensasarkan serangan terhadap Azmin Ali malah akan mempertingkatkan gerakan dan tumpuan kami di Gombak.

4. Kita juga tidak menolak kemungkinan beliau beralih ke kawasan lain. Dimana saja kawasan pilihannya kami tetap akan bertempur dan bertarung habis2an menghadapinya.

Mohamad Ezam Mohd Nor

GERAK98

19 Julai 2020

Pilihan lebih praktikal: Terus berusaha rebut Putrajaya atau fokus persiapan PRU15?

ZAKARIA MUSA

Dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan saya tidak pasti apakah keutamaan mereka sekarang?

Mungkinkah masih bergelut dan sibuk berunding “ke sana ke sini mencukupkan nombor” untuk merebut kembali Putrajaya yang di rampas itu?

Atau memberi tarikh akhir untuk Anwar Ibrahim membuktikan beliau mempunyai sokongan minimum daripada ahli-ahli Parlimen bagi melayakkan dirinya sebagai calon perdana menteri?

Bagaimana pula dengan opsyen menamakan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai alternatif kepada pilihan awal Dr Mahathir Mohamad atau Anwar, yang dilihat menemui jalan buntu? Atau, apakah Pakatan Harapan tidak lagi berpegang kepada cadangan yang disuarakan Mahathir itu, dengan hanya berminat kepada Anwar sahaja?

Meneliti perbahasan dan reaksi yang hangat di media sosial, penyokong pembangkang seperti terbahagi dua. Pertama, tetap menekankan keperluan untuk segera mengambil alih kuasa – berdasarkan mandat rakyat PRU14 – yang dirampas itu, apa lagi kerajaan pintu belakang Perikatan Nasional terbukti mempunyai majoriti terlalu tipis. Kedua, memusatkan tumpuan gerak kerja bagi memperkemas persiapan PRU15 yang dijangka diadakan secara mengejut.

Bagi kelompok yang bersetuju agar kerajaan tebuk atap – yang didirikan atas komplot pengkhianatan – direbut semula, peluang yang terbuka mesti dimanfaatkan sebaik mungkin. Dengan itu, siapa calon perdana menteri boleh dirundingkan, asal tokoh tersebut mampu “mencukupkan nombor”. Tidak sepatutnya timbul serang- menyerang di antara kem Mahathir atau Anwar. Malah, kedua-dua tokoh itu sendiri harus proaktif menenteramkan situasi.

Diakui tidak mudah mendekatkan jarak yang semakin jauh di antara dua kelompok itu. Masing-masing sudah nampak hilang kepercayaan dan dihantui buruk sangka, yang ada kalanya cukup keterlaluan. Semasa bertekad memandang ke hadapan, bagasi sejarah yang memisahkan Mahathir-Anwar sentiasa dibangkitkan. Sehingga setiap gerak langkah sentiasa dicurigai.

Justeru, langkah Mahathir yang dikira menarik diri daripada perebutan calon PM boleh meredakan sedikit ketegangan. Sama ada cadangan nama Shafie dibuat oleh Mahathir ataupun DAP-AMANAH itu tidak penting. Yang mustahak usaha “mencukupkan nombor” belum terhenti dan masih terbuka kepada perbincangan. Namun proses lobi atau rundingan itu mestilah ada tarikh akhirnya. Jangan sampai harapan terus diberi sehingga tiada kesudahan.

Berdasarkan respons Shafie, cadangan namanya sebagai calon PM seperti mengandungi kesamaran. Mahathir mendakwa cadangan awal membabitkan Shafie datang daripada DAP-AMANAH, tetapi selepas mesyuarat Majlis Presiden PH yang terakhir, ketetapan dibuat mengekalkan pencalonan Anwar. Namun masa masih diberikan kepada Anwar untuk berunding lebih lanjut dengan Shafie. Dan Shafie seperti tidak mahu terikat dengan teka-teki itu.

Masa yang sama, lebih ramai pihak yang melahirkan rasa tidak senang dengan polemik pencalonan PM ini. Ya, rakyat lebih terkesan dengan krisis kehidupan seharian yang membelit mereka. Impak korona virus masih di peringkat awal, tetapi sudah cukup menakutkan. Negara dihimpit masalah ekonomi yang serius dan tidak menentu. Kadar pengangguran dijangka melonjak. Kerajaan Muhyiddin Yassin pula selesa berselindung di sebalik pandemik ini. Natijahnya permainan kuasa elit politik tersembunyi di celah-celah pelbagai inisiatif popular atas nama kepentingan rakyat.

Ramai penyokong pembangkang yang bosan menunggu mandat rakyat PRU14 dimartabatkan kembali nampaknya cenderung menggesa PH mempersiapkan jentera pilihan raya. Bagi mereka, lupakan sahaja impian merebut Putrajaya kerana apa juga hasil akhirnya kerajaan tetap tidak stabil. Apa lagi apabila pertelingkahan di antara kem Mahathir dan Anwar seakan-akan tiada penghujung. Kedua-dua tokoh besar itu nampak sukar sekali memilih pendekatan damai. Seolah-olah ada cerita personal yang tidak terungkap menghalang kompromi di antara mereka.

Kelompok ini menggesa agar segala sumber dan potensi yang ada di pihak oposisi difokuskan untuk persiapan PRU15. Berterusan tenggelam dalam polemik calon PM dianggap membuang masa dan memungkinkan perpecahan lebih serius pada barisan pembangkang.

Berbanding situasi menjelang PRU14 dua tahun lalu, koalisi pembangkang kini dilihat agak tertekan dan berada di posisi defensif. Pakatan Harapan tinggal tiga parti. Bersatu pecah dua, manakala nasib dan masa depan kem penyokong Mahathir masih tidak menentu. Faktor bekas perdana menteri itu dalam PRU14 tidak kecil. Ia mencetuskan gelombang. PKR pun tidak sekompak dahulu. Kumpulan Azmin Ali tidak dapat dipastikan sekuat mana, namun dipercayai ia turut memberi impak yang agak serius.

Lebih daripada itu, pentadbiran 22 bulan PH di bawah Mahathir-Wan Azizah berakhir umpama pesawat terhempas dengan tiba-tiba. Sekiranya ia mendarat secara baik – yakni sehingga habis penggal – saya kira banyak pembetulan dan penambahbaikan dapat dilakukan, yang memungkinkan PH dapat memenangi perang persepsi khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim.

Dalam tulisan berikutnya nanti, saya akan menghuraikan pandangan peribadi saya, di antara dua pilihan, iaitu terus berusaha menangkap peluang untuk kembali berkuasa tanpa menunggu PRU15 ataupun melepaskan impian itu dan menumpukan fokus kepada persiapan memantapkan jentera pilihan raya barisan pembangkang?

Nik Omar: Mutiara Tok Guru, terus berjuang walaupun dibuang

SYAZMIR HARIZ NOORAZALAN
Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, nama Nik Omar Nik Abdul Aziz kurang dikenali oleh rakyat Malaysia. Namun setelah menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri Chempaka Kelantan atas logo KEADILAN, nama beliau terus memuncak naik. AMANAH sebagai parti naungan beliau secara tidak langsung dinaikkan oleh beliau dalam persada politik tanah air.

Walaupun ada persepsi buruk yang diwujudkan oleh pihak lawan beliau termasuk isu restu ibunya, namun ia tidak mengganggu gugat beliau meneruskan perjuangan menumbangkan kerajaan kleptokrasi. Malah jika soalan diajukan kepada beliau berkaitan ibu dan adiknya, beliau tetap menjawab dengan tenang dan mengambil jalan tengah agar keadaan tidak dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

Penglibatan awal beliau dalam politik sangat menarik untuk diulas. Umum mengetahui beliau merupakan cahaya mata kepada tokoh ulamak yang terkenal di Malaysia iaitu Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semasa almarhum tok guru masih hidup, beliau hanya memberi tumpuan kepada memimpin Maahad Tahfiz Darul Anuar . Selaku pengetua maahad tersebut, beliau telah memainkan peranan penting untuk membangukan institusi pendidikan agama itu. Disokong oleh kerjasama kerajaan negeri, maahad tersebut berkembang maju.

Setelah perginya almarhum tok guru mengadap ilahi, waris tok guru hanya tertumpu kepada anak almarhum yang masuk kedalam politik lebih awal lagi atau erti kata lain menyertai politik semasa almarhum tok guru masih hidup iaitu Ustaz Nik Abduh. Ramai yang tidak menyangka bahawa Ustaz Nik Omar (UNO) akan menyertai politik. Setelah ura-ura berbunyi bahawa aka nada seorang lagi waris almarhum tok guru yang akan menyertai PRU ke-14 semua teruja dan meramalkan UNO lah orangnya.

Kemunculan beliau bertanding di Kelantan sedikit sebanyak mengganggu fokus parti pemerintah Kelantan untuk menjalankan kempennya. Kehadiran beliau telah menjelmakan semula sifat almarhum tok guru dalam politik Malaysia. Kekuatan PAS di Kelanatan tak mampu digugat secara keseluruhan oleh UNO, tetapi kehadiran beliau telah berjaya mengubah pola undi orang melayu di pantai barat. Sambutan kepada beliau lebih besar di pantai barat berbanding pantai timur.

Kata Pengarah Strategik DAP, YB Senator Liew Chin Tong, strategi memunculkan UNO di saat-saat akhir merupakan strategi yang terbaik merebut undi melayu di pantai barat. Startegi ini dinamakan ‘Teori Angsa Hitam’. Teori tersebut bermaksud, peristiwa yang berlaku secara tiba-tiba. Peristiwa itu berlaku dengan memberi kesan besar pada keadaan sekeliling. Ternyata teori itu sangat merapati strategi AMANAH memunculkan beliau disaat akhir. UNO mampu menggerakkan undi atas pagar kepada Pakatan Harapan(PH). Peristiwa ini satu peristiwa ulangan dimana almarhum tok guru juga dari sifatnya telah berjaya menarik sokongan atas pagar dan bukan melayu kepada beliau.

Setelah keputusan PRU ke-14 diumumkan, UNO termasuk PH gagal mendapat sebarang kerusi sama ada di Kelantan mahupun Terengganu. Namun, di negeri lain, PH berjaya memenangi kerusi-kerusi tersebut sehingga berjaya merampas kerajaan pusat ditangan regim lama. Selain kerajaan pusat, PH melalui KEADILAN berjaya menawan Kedah, Perak,Negeri Sembilan, Melaka dan Johor serta Sabah melalui WARISAN bimbingan Dato Seri Shafie Apdal. PH juga kekal memerintah Selangor dan Pulau Pinang. Hal ini membuktikan bahawa UNO telah memberikan kesan yang besar kepada PH di negeri selain pantai timur.

Pengalaman politik yang masih awal memberi petunjuk yang jelas nama beliau tidak dicalonkan dalam senarai Jemaah menteri mewakili AMANAH, walaupun beliau dikatakan mampu menggalas AMANAH sebagai menteri hal ehwal agama Islam, tetapi peluang harus diberikan kepada tokoh lain untuk membolehkan UNO mengisi pengalaman politiknya sebelum diangkat ke tempat yang sesuai. Bagi mencengkamkan nilai almarhum tok guru ke arus Malaysia, UNO telah dilantik sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam Malaysia(YADIM). Dengan jawatan tersebut, UNO boleh berperanan lebih besar dalam medan dakwah negara.

Semasa pemimpin YADIM bersama Ustaz Zolkarnain Abidin yang juga Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH, beliau selalu menekankan soal perlumbaan melakukan kebaikan atau ‘Fastabiqul Khairat’ seiring dengan firman Allah SWT dalam al-quran yang berbunyi:

“Dan tiap-tiap umat ada kiblatnya(sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah(dalam membuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti Allah akan mengumpulkan kamu sekalian(pada hari kiamat). Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.” (Al-Baqarah, 2: 148)

Kebetulan nilai yang beliau dan AMANAH bawa sama dengan pendekatan yang dibawa oleh Mufti Wilayah ketika itu Dr. Dzulkifli Mohamad Al-Bakri . semasa memimpin, beliau telah mebawa pendekatan yang penuh ramah kepada bukan islam, namun tidak berkompromi dengan usaha-usaha yang melanggar syariah Islam.

Namun pada 16 Julai 2020, Menteri Jabatan Perdana Menteri( Hal Ehwal Agama Islam) telah memaklumkan kepada UNO yang tugas beliau sebagai Yang Dipertua YADIM telah ditamatkan lebih awal. Tiada alasan yang jelas mengapa tugasan beliau ditamatkan awal, namun ia lebih kepada memilih orang yang lebih sesuai mengikut parti yang memerintah. Sedih bila kita melihat bahawa sesetengah parti politik begitu gagah mempersoalkan perlantikan UNO sebagai Yang Dipertua YADIM kerana ia berunsur politik. Namun, setelah parti tersebut menjadi kerajaan, mereka juga melantik orang politik di posisi tersebut. Adakah tindakan tersebut haram bagi pihak lain, tetapi halal bagi mereka?

Lebih menyedihkan, jika benar ini merupakan tindakan politik semata-mata, ummah Malaysia telah kehilangan sebutir mutiara tok guru yang telah menyinar luas dalam dunia dakwah. Tindakan tersebut telah menyekat kemaraan UNO dalam berdakwah kepada masyarakat. Sedang nilai yang beliau bawa sesuai dengan kedudukan negara kita yang mempunyai kaum yang pelbagai. Gaya almarhum tok guru berdakwah ada UNO dan ia harus di arus perdanakan.

Namun sosok pendakwah yang mempunyai aura tok guru ini tetap bersabar dalam menghadapi ujian yang dihadapi. Malah beliau akan terus diangkat sebagai pendakwah yang akan mengukuhkan AMANAH di mata masyarakat.


Penulis adalah AJK Biro Komunikasi Pemuda AMANAH Selangor
Naib Ketua Pemuda AMANAH Gombak

25 juta penduduk Iran dijangkiti Covid-19

Reuters
TEHRAN:
Presiden Iran Hassan Rouhani berkata pada Sabtu, seramai 25 juta penduduk negara itu dijangkiti wabak Covid-19 dan 35 juta lagi berisiko untuk dijangkiti.

Rouhani berkata, angka itu berdasarkan laporan baru Kementerian Kesihatan, yang jauh lebih tinggi daripada jumlah rasmi Iran, iaitu 269,440 dijangkiti.

Rouhani dalam ucapannya di televisyen tidak menyanggah perbezaan itu.

Iran, dengan populasi lebih 80 juta menjadi negara Timur Tengah paling teruk terjejas akibat wabak itu.

“Anggaran kami kini 25 juta orang Iran dijangkiti virus ini dan sekitar 14,000 kehilangan nyawa,” katanyadalam ucapan itu.

“Ada kemungkinan antara 30 dan 35 juta orang lain berisiko. Secara keseluruhan, lebih 200,000 orang dirawat di hospital,” katanya.

Kementerian Kesihatan pada Jumaat berkata, 13,791 kematian dicatatkan akibat Covid-19.