MUHYIDDIN TAK LAYAK DIBERI PUJIAN

Shahbudin Husin
Sekarang ini seolah-olah terdapat kecenderungan yang membuak-buak untuk pelbagai pihak mula tampil memuji dan menyanjung Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Penganalis politik, pensyarah universiti dan pusat-pusat kajian tertentu nampaknya macam silih berganti mengeluarkan naratif dan dapatan baru yang kononnya Muhyiddin adalah Perdana Menteri terbaik dan kian mendapat sokongan rakyat.

Cuba juga digambarkan bukan setakat Muhyiddin lebih diterima rakyat, bahkan dibentangkan bahawa Perikatan Nasional atau PN lebih dikehendaki terus menjadi kerajaan berbanding MN atau BN yang merupakan sebahagian daripada PN sekarang.

Secara kasarnya dapat dilihat bahawa semua penonjolan itu tidak setakat untuk meremehkan kedudukan MN dan BN, malah secara halus seperti tidak mahu memberi ruang kepada PH menjadi kerajaan semula.

Benarkah gambaran yang cuba diberi terhadap Muhyiddin itu?

Atau layakkah Muhyiddin diberi pujian dan terus dikekalkan lagi jika ada PRU mengejut diadakan?

Satu perkara nyata yang harus kita sedari ialah menjadi Perdana Menteri bermakna seseorang itu harus banyak bercakap, tidak takut melontarkan idea, berani menonjolkan diri dan tidak bersembunyi di pejabat saja.

Meski ketika PKP dahulu kita boleh menerima keadaan Muhyiddin yang tidak muncul di khalayak awam, tiada program terbuka, tidak bersoal jawab dengan media dan seumpamanya, tetapi apakah setelah enam bulan duduki di kerusi empuk paling berkuasa dan era PKP sudah bertukar kepada PKPP, kita masih mahu menerima keadaan yang sama?

Apakah pada waktu ini beliau masih perlu hanya sekadar memberi perutusan khas secara sehala, mengeluarkan kenyataan media atas semua isu, tidak mahu bersoal jawab dengan wartawan dan seolah-olah seorang Perdana Menteri yang bisu terhadap segala persoalan yang bermain di minda rakyat?

Jika begitu, bagaimana kita mahu menilai Muhyiddin sebagai seorang Perdana Menteri yang hebat, ada idea, hujahnya boleh diterima serta berketrampilan yang meyakinkan yang kalau pun tidak lebih tinggi, setidak-tidaknya menyamai semua Perdana Menteri sebelum ini?

Sampai bilakah Muhyiddin mahu berselindung di sebalik Covid-19 untuk menyelamatkan kedudukannya?

Walaupun Covid-19 diakui banyak pihak telah menyelamatkan kedudukan Muhyiddin daripada asakan ramai, beliau harus juga sedar banyak penyelesaian kepada rakyat akibat wabak itu tidak begitu menggembirakan rakyat dan hanya menunggu masa saja untuk memuntahkan lahar yang lebih membahang selepas ini.

Terutamanya apabila habis tempoh moratorium bulan depan dan dalam masa yang sama permintaan lanjutan tidak dihiraukan, selain banyak yang terkecuali daripada menerima bantuan kerana alasan-alasan kecil, semua itu dijangka akan memberi kesan kepada tahap penerimaan rakyat terhadapnya.

Kalau diperhatikan juga, watak Muhyiddin yang banyak bersembunyi dan berselindung sekarang ini tidak ubah seperti apa yang dilakukan Najib Razak sebelum PRU14 lalu.

Ketika itu, jika ada majlis atau program yang dihadirinya, Najib hanya bercakap secara sehala dan tiada wartawan boleh mendekati atau bertanya soalan kepadanya selepas majlis berakhir.

Ketika itu juga, diampu dengan pelbagai kenyataan daripada penganalisa politik, pensyarah dan pusat-pusat kajian yang menyanjung dan meramalkannya akan menang besar, Najib akhirnya terbuai dengan penyakit syok sendiri dan seolah-olah dirinya tidak mampu dikalahkan oleh sesiapa.

Tetapi, apakah jadi kepada Najib, UMNO dan BN pada PRU14 lalu?

Dengan Muhyiddin mula dijangkiti penyakit yang sama, malah sanjungan dan pujian terhadapnya juga agak berlebihan, padah yang sama tidaklah mustahil akan menimpa juga.

Lebih-lebih lagi, selain tiada pembaharuan dari segi meningkatkan pendapatan rakyat yang diperkenalkannya sejak enam bulan lalu, cabaran ekonomi yang lebih parah, malah Muhyiddin juga bukan seorang yang cukup sihat daripada amukan kanser dalam tubuhnya sehingga timbul dakwaan cergasnya beliau hanya selama empat jam saja dalam sehari, sebenarnya cukup menghairankan bilamana pujian datang melantun-lantun terhadapnya.

Itu belum lagi diambil kira bagaimana kedudukannya majoriti kerajaannya sekarang hanya ada dua undi, cara membentuk kerajaan yang dipertikaikan, UMNO tetap berkeras tidak mahu berbahagi kerusi dan Bersatu pula hampir tiada jentera akar umbi untuk menghadapi PRU akan datang nanti.

Atas semua persoalan itu, tentu saja agak menghairankan bagaimana Muhyiddin digambarkan lebih diterima rakyat dan diyakini mampu terus kekal lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU akan datang.

Hakikatnya, Muhyiddin tidak layak diberi apa-apa pujian sepanjang enam bulan menjadi Perdana Menteri ini kerana tiada apa-apa yang luar biasa dilakukannya, bahkan program bantuan Covid-19 yang diumumkannya adalah pendekatan yang diambil oleh semua kerajaan di seluruh dunia, bukan di Malaysia semata-mata. (Shahbudindotcom 05/09/2020)

Prof Dr Kamil Majid umum sertai AMANAH

MALAYSIA DATELINE


Pakar dalam bidang Usuluddin dan Pemikiran Islam Prof Dr Mohamad Kami Abdul Majid hari ini menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Adik kepada Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi itu menyertai AMANAH dalam Majlis Pelancaran Tanweer Parti AMANAH Negeri Kelantan oleh Naib Presiden Dato Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa di Kota Bharu pagi ini.

Penyertaan beliau sudah pasti memberikan suntikan baru kepada AMANAH kerana beliau merupakan antara tokoh ulama’ tersohor tanahair dan berkhidmat di Universiti Malaya lebih 35 tahun.

Beliau lebih mesra dipanggil Ustaz Kamil pernah menjadi pensyarah di Akademi Islam dari tahun 1981 hingga 2016 telah menjawat pelbagai jawatan di API.

Antaranya, Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin (1987-1990), Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Islam (1996-2002), Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan (2005-2005) dan lain-lain lagi.

Beliau dilahirkan pada tahun 1950 di Kg Kayu Rindang, Melor Kota Bharu, Kelantan. Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syari`ah dan Undang-undang daripada Yayasan Pengajian Tinggi Islam kelantan (YPTIK), dan Sarjana Muda Syari`ah daripada Universiti Al Azhar, Kaherah, Mesir.

Pernah menjadi Anggota Ulama, majlis Agama Islam kelantan (MAIK), Ahli panel Kajian Akidah JAKIM dan juga terlibat dengan peristilahan (Agama) Dewan Bahasa dan Pustaka.

Manakala dalam bidang penerbitan beliau telah menghasilkan lebih 10 buah buku di samping artikel dalam jurnal tempatan dan antarabangsa.

Zahidi terlalu naif, memalukan dan wajar dipecat

MALAYASIA DATELINE

DAP mencadangkan agar Timbalan Menteri Komunikasi, Datuk Zahidi Zainal Abidin dipecat kerana kejahilan dan ketidakcekapanya yang telah membawa malu kepada Perdana Menteri dan negara.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataannya berkata, tindakan Zahidi telah menunjukkan yang kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah sebuah kakistokrasi atau penipu.

“Zahidi akan terlepas daripada bertanggungjawab jika beliau dibenarkan untuk memohon maaf dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau telah berkata di dalam Dewan Negara semalam yang beliau telah menyemak dan mendapat Vevenoah Mosibin daripada Kampung Sapatalang di Pitas, Sabah hanya berlakon mengambil peperiksaan di atas pokok untuk membawa populariti kepada saluran Youtube beliau.

Kemudian, pada malamnya juga Zahidi mengatakan yang beliau ingin membuat pembetulan mengenai kenyataan beliau yang menuduh Vevenoah tidak menduduki peperiksaan.

“Kesilapan besar Zahidi ini bukanlah satu perkara yang boleh diperbetulkan begitu sahaja.

“Apakah “semakan” yang kononnya telah dibuat oleh Kementerian beliau ini yang telah menyebabkan beliau menuduh Vevenoah sebagai menipu dalam satu jawapan soalan lisan kepada Senator Datuk Donald Peter Mojuntin?” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Beliau bertanya, adakah pihak Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah “menyemak” sama ada Zahidi telah menipu di dalam Dewan Negara — satu perkara yang jelas menyalahguna hak dan kebebasan beliau di dalam Dewan tersebut.

“Dia perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara, melakar sejarah sebagai orang pertama yang dirujuk kepada jawatankuasa Dewan Negara tersebut,” katanya.

Bagi beliau, perkara ini boleh difahami jika kejadian “Vevenoah menduduki peperiksaan di atas pokok” ini berlaku beberapa hari sebelum beliau menjawab soalan ini, memandangkan pihak Kementerian memerlukan masa untuk mengesahkan kejadian ini.

“Tetapi kejadian ini berlaku dua bulan yang lalu,” katanya lagi.

Insiden tersebut telah menjadi sensasi apabila internet dan saluran Youtube beliau mendapat lebih daripada 740,000 tontonan sejak video tersebut disiarkan pada 12 Jun.

Vevenoah telah ditawarkan biasiswa daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kini sedang menjalani kursus pengajian asasi di UMS.

Dalam bulan Jun lagi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah menyemak dan berjanji untuk menambah baik sambungan internet di kawasan tersebut dengan memasang lebih banyak menara pemancar menjelang pertengahan tahun hadapan.

Isteri Yang Dipertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah Jasni, yang juga merupakan penasihat Yayasan Nur Jauhar juga telah menyampaikan sumbangan kepada Vevenoah di istana negeri.

“Malah, Perdana Menteri sendiri tahu mengenai kejadian ini. Bagaimana seorang Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia jadi begitu jahil mengenai satu perkara yang berada di bawah bidang kuasa beliau?” tanya beliau lagi.

Dalam pertengahan bulan lepas, Muhyiddin merujuk kepada insiden Vevenoah ini dalam satu mesyuarat “town hall” dengan penjawat awam di Johor apabila beliau mengatakan yang gergasi teknologi global seperti Microsoft, Amazon, dan Google berminat untuk membantu membangunkan Malaysia sebagai hab serantau IT walaupun negara kita berhadapan dengan cabaran sambungan dan akses internet.

Muhyiddin berkata yang Malaysia belum mencapai tahap sambungan internet yang berdaya saing dan memetik contoh insiden yang berlaku kepada Vevenoah di Sabah yang terpaksa memanjat sebatang pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang baik untuk menduduki peperiksaan beliau.

“Jelas sekalilah yang Zahidi ini tidak sesuai untuk menjadi seorang Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia!” kata Kit Siang lagi.

Siapa kata Pas sentiasa untung bila bekerjasama dengan pihak lain?

MALAYASIA DATELINE

Kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas sentiasa untung ketika bekerjasama dengan pihak lain ditempelak kerana ketika Pas bekerjasama dengan Umno buat pertama kali dahulu Pas telah rugi besar.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, atas dasar itulah bekas Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sangat anti terhadap sebarang usaha dari Pas untuk bekerjasama dengan Umno.

“Kenyataan Presiden Pas Haji Hadi Awang bahawa Pas sentiasa untung apabila bekerjasama dengan pihak lain tak betul. Masa Pas kerjasama dengan Umno dulu Pas rugi besar. Masa mula kerjasama Pas perintah Kelantan tetapi selepas kerjasama, Pas hilang negeri Kelantan.

“Sebab itu Tok Guru Nik Aziz sangat anti kepada usaha mahu bekerjasama dengan Umno,” kata Khalid dalam wawancara secara live dengan TV Internet Jom Channel malam tadi.

Pas bekerjasama dengan Umno selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak ekoran peristiwa 13 Mei 1969 untuk menjaga perpaduan orang Melayu.

Ketika itu, Pas memerintah negeri Kelantan.

Namun selepas Pas ditendang oleh Umno dari Barisan Nasional dalam tahun 1978, Pas kehilangan segala-galanya termasuk Kelantan.

“Pas rugi besar selepas dikhianati oleh Umno,” kata Khalid dalam wawancara itu.

Usaha Pas merampas Kelantan dari Umno hanya berjaya selepas 22 tahun kemudian apabila Pas menang di Kelantan pada tahun 1990 dengan kerjasama Parti Melayu Semangat 46.

Pas kini bekerjsama kembali dengan Umno melalui Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional selepas ia dinafikan oleh pimpinan Pas sendiri sejak sekian lama.

Merakam hubungan sulit Umno-Pas dan transaksi RM2.5 juta

AHMAD LUTFI OTHMAN
Tanggal 21 Mac 2018. Jam 2.30 petang. Lokasi: Bank Islam Malaysia Bhd, cawangan Medan Mara, Kuala Lumpur.

Tidak sampai dua bulan sebelum hari pengundian PRU14. Ketika dunia gempar dengan kes kleptokrasi terbesar di dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), rekod kes kecurian wang negara dalam skala paling dahsyat.

Senario politik tanah air waktu itu tegang dan cukup mendebarkan. Rakyat mempunyai kesempatan dan peluang terbaik untuk menukar kerajaan; pertama kali sejak 61 tahun merdeka.

Bekas perdana menteri dan presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad mengetuai koalisi pembangkang bagi menegakkan sebuah kerajaan baharu. Dua seteru ketat politik selama hampir dua dekad, Anwar Ibrahim dan Mahathir boleh bersepakat meleraikan permusuhan bagi menumbangkan regim Najib Razak.

Harapan rakyat — mewakili semua kaum dan lapisan masyarakat — setinggi gunung. Koalisi menyeluruh pembangkang buat pertama kali terbentuk dengan struktur rasmi dan kerjasama mantap.

Cuma Pas — parti pembangkang tertua dan paling berpengalaman — tidak bersedia bersama “grand coalition”, sebaliknya selesa mengambil sikap dan pendekatan mesra-BN. Ada-ada sahaja kritikan terhadap pembangkang, khususnya Mahathir-DAP, dan sudah tentu Parti Amanah Negara.

Usaha Bersatu memujuk Pas bersama PH gagal. Pas mahu menjadi “penasihat” kepada kerajaan Najib-BN. Pas dilihat mahu mengekalkan rejim kleptokrasi yang dicemuh seluruh planet bumi.

Kepimpinan ulamak

Tidak sedikit yang kecewa dengan sikap politik Pas itu. Undi tradisi pembangkang dipercayai akan berpecah. Pertandingan tiga penjuru PH-BN-Pas dijangka menguntungkan BN, dan itulah rupanya strategi yang diatur oleh pemimpin tertinggi Umno-Pas.

Namun, ia dinafikan mati-matian oleh pemimpin Pas di kala itu, semua andaian atau tuduhan bahawa Pas berbaik-baik atau bermain mata dalam gelap dengan Umno itu dikatakan hanyalah fitnah jahat. Manakala pemimpin Pas yang membantah “perselingkuhan” dengan Umno itu telah pun disingkir daripada parti dalam muktamar 2015.

Ya, ini memang cerita lama. Lebih dua tahun lalu. Cerita ini pada masa itu, 2018, dianggap fitnah dan pembohongan besar.

Pembawa naratif ini digelar pelbagai istilah jelik; jebon, khadam DAP, munafik haraki, penentang ulamak, Anwarinas dan macam-macam lagi.

Mati-mati Pas menafikan. Dan sudah tentu majoriti ahlinya menelan bulat-bulat penafian itu. Mereka percaya kepada kepimpinan ulamak. Mereka yakin ulamak lebih faham untuk “membawa mereka ke syurga”.

Sudah lebih dua tahun pun insiden ini berlaku. Kini tiada sensasinya lagi dengan cerita ini. Jadi, tidak perlulah kalut menafikan atau menyerang balas pihak yang membongkarnya.

Umno pun sudah bertukar menjadi regu baik atau sekutu akrab buat Pas. Secara rasmi. Tidak berselindung dan bersembunyi lagi seperti pra-PRU14.

Pas merangkul mesra Umno waktu parti pemerintah itu berada pada titik paling bawah, paling rendah dan paling busuk.

Hikayat lama

Apa berlaku pada petang 21 Mac 2018 itu? Sejumlah RM2.5 juta tunai duit Umno dimasukkan ke dalam dua akaun (satu, akaun tabung pembangunan dan satu lagi atas nama tiga pemimpin kanan negeri Terengganu) Pas oleh pegawai khas Bendahari Umno Malaysia/ Bendahari Barisan Nasional (Salleh Said Keruak yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Insiden kemasukan dana Umno ke dalam tabung Pas bukan berlaku buat pertama kali. Ia diakui sudah lama berlangsung, tetapi tidak melalui Bank Islam. Mereka menggunakan bank lain, antaranya Maybank. Namun, transaksi terdahulu tidak pernah bocor.

Hikayat lama ini sedang disusun semula untuk tatapan rakan-rakan penyokong dan ahli Pas.

Anggaplah ia sebagai kisah menarik yang tidak terduga tetapi berlaku dalam sejarah politik Malaysia moden. Tak salah Pas terima derma Umno, ‘kan? Pas selalu kata, ia terima derma siapa saja.

Hikayat lama ini sedang disusun semula untuk tatapan rakan-rakan penyokong dan ahli Pas. Anggaplah ia sebagai kisah menarik tidak terduga yang pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia moden.

Perihal “hubungan gelap” Pas dengan Umno ketika parti Melayu yang berkuasa sejak enam dasawarsa itu dilanda skandal gergasi yang menghanguskan puluhan bilion dana awam. Pas merangkul mesra Umno waktu parti pemerintah itu berada pada titik paling bawah, paling rendah dan paling busuk.

Namun, tanpa sedikit pun rasa bersalah, ada pemimpin Pas terpaksa mengaku menerima dana Umno RM2.5 juta itu: “Tak salah Pas terima derma Umno, ‘kan? Kami terima derma siapa saja, tak perlu kita semak siapa latar belakang pendernanya.” Ya, Pas selalu mendakwa, ia bersedia terima derma siapa saja.

Hubungan sulit

Di peringkat pimpinan tertinggi parti, menjelang PRU14, Pas tetap tegas menafikan ia mempunyai hubungan sulit dengan Umno-BN. Hujah mereka, Pas meletakkan lebih kurang 160 calon Parlimen, kebanyakannya menentang Umno bukannya DAP, bilangan tertinggi dalam sejarah pilihan raya.

Sedangkan penyertaan Pas dalam PRU14 dengan ketumbukan paling besar itu, dipercayai mendapat sokongan dana Umno.

Tujuannya, seperti diakui pemimpin dan strategis kedua-dua parti — selepas PRU14 — adalah untuk memecahkan undi tradisi pembangkang, mengambil rujukan apa yang berlaku dalam dua PRK, Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Agak aneh memikirkan bagaimana Pas tidak mengambil masa lama selepas PRU14, Mei 2018, untuk menjalin hubungan baik dengan Umno.

Namun ia juga menggambarkan persefahaman tidak rasmi sudah lama terbentuk. Hanya beberapa bulan selepas Umno berada di posisi pembangkang, melalui PRK Dun Selangor, Pas tidak menghantar calonnya sebaliknya berkempen memenangkan BN.

Berbanding rekod tahalufnya dengan Semangat 46, DAP, PKR (sebelumnya Keadilan), kerjasama politik Pas bersama Umno dikira paling mudah dan tidak menerima bantahan daripada akar umbi. Kalau ada pun yang memprotes, kelompok itu sudah keluar Pas dan menubuhkan Parti Amanah Negara.

Mungkin ada pihak mempersoalkan tujuan saya menimbulkan kembali cerita lama ini.

Kata mereka, penyokong, ahli dan pemimpin Pas di pelbagai lapisan pun sudah boleh menerima kerjasama baik dengan Umno, malah kini berada dalam kerajaan yang sama.

Penyokong Pas dilihat akan menerima apa jua hujah dan dalih pemimpin mereka.

Sejarah perseteruan

Hakikat itu saya terima. Umno dan Pas sekarang dalam gabungan yang sama, Muafakat Nasional (MN). Seperti kata presidennya, Abdul Hadi Awang, Umno-Pas (dan Bersatu) kini tidak boleh dipisahkan lagi. Sejarah perseteruan lama wajar dilupakan. Amanat Hadi sudah tidak relevan lagi.

Saya sekadar mahu membetulkan naratif hubungan Pas-Umno yang dipesongkan. Ia bermula lebih awal, sekitar 2008 lagi.

Namun, ahli-ahli Pas telah diperdaya. Ketika Umno menuju keruntuhan, rupa-rupanya pemimpin Pas lebih cemas menunggu hukuman rakyat, ibarat “dua kepala lutut yang sakit walaupun diketuk satu”.

Yang terbongkar dan ada bukti sahih hanyalah RM2.5 juta dana Umno dan sumbangan RM1 juta (dua kali transaksi RM500,000 awal sebelumnya ke dalam akaun sama).

Perpindahan wang Umno sebelum itu gagal dikesan tetapi dipercayai lama berlaku sehingga menyebabkan keberadaan Pas dalam barisan pembangkang banyak menimbulkan persoalan.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hasan mengakui, usaha penyatuan kedua-dua parti itu bermula pada 2015 lagi ketika dia mula dilantik pentadbir utama parti.

Tambahnya, gerak kerja awal itu dibuat atas arahan presiden sendiri. Malah, dalam ucapan terbuka di Perak, pada 2019, Takiyuddin merakamkan terima kasih kepada pimpinan Umno negeri kerana pernah mengusahakan rancangan sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat (menteri besarnya daripada Pas) 10 tahun lalu, pada 2009.

Sebenarnya, dua akaun Pas diguna untuk tujuan mendepositkan RM2.5 juta oleh pegawai khas Bendahari Umno Malaysia, atas nama Tabung Pembangunan JPP (dipindahkan RM1.5 juta tunai) dan satu lagi dengan tiga penama (RM1 juta), iaitu Ustaz Saiful Bahri Mamat, M. Shukrimun Shamsudin, dan Muhyidin Abdul Rashid; ketiga-tiganya pemimpin kanan Pas Terengganu.

Kepada pihak yang meminta bukti, slip transaksi duit Umno itu sudah pun tersiar dalam media sosial. Reaksi pemimpin Pas mudah. Segala tuduhan itu, biarpun dikembarkan dengan dokumen sahih, adalah fitnah jahat semata-mata.

Bayangkan senario politik ketika itu, Mac-April 2018, jika umum mengetahui hubungan sulit Pas-Umno, nescaya sokongan terhadap parti Islam itu menjunam dan merosot teruk dalam PRU14 Mei 2018.

Penyokong Pas tidak boleh menerima hakikat parti yang mereka sokong mengadakan hubungan sulit dan menerima berjuta-juta ringgit wang Umno.

Justeru, strategi Pas-Umno ini dirahsiakan, termasuk kepada pemimpin parti, kecuali segelintir di peringkat tertinggi.

Menangkap peluang

Saya menanti, apa respons ahli dan penyokong Pas sekarang selepas terbongkar — dengan bukti sahih — parti itu menerima duit Umno jutaan ringgit menjelang PRU14. Mungkin dalam konteks semasa, ia bukan isu besar, selepas Umno-Pas rasmi berpelukan, tetapi cuba bayangkan situasi Mac-April 2018.

Ahli-ahli Pas telah ditipu hidup-hidup kononnya Pas tidak akan bekerjasama dengan Umno menghadapi PRU14. Walhal, sudah diatur strategi tiga penjuru dengan maksud mengekalkan pentadbiran BN-Najib.

Cuma, strategi itu tidak menjadi. Namun yang penting, terbongkar misi Pas untuk pecahkan undi tradisi pembangkang bagi memenangkan rejim kleptokrasi.

Hakikatnya, penolakan rakyat terhadap BN begitu besar dan dapat menampung kekurangan undi Pas yang cuba berlagak sebagai kuasa ketiga. Maka, gagallah strategi Pas-Umno itu!

Apa pun saya menyedari, penyokong Pas akan menerima apa jua hujah dan dalih pemimpin mereka. Bercakap dusta sudah menjadi kelaziman dan budaya apabila tersepit.

Ingatkah anda pengakuan Nik Abduh Nik Abd Aziz tentang penerimaan duit Umno oleh ramai pemimpin Pas, seperti terdedah dalam satu klip audio?

Demi maslahat dan kepentingan parti, apa sahaja boleh dilakukan, termasuk pembohongan. Sebaliknya orang yang membongkar hubungan gelap itu pula dituduh penyebar fitnah. Dan ahli-ahli Pas sekadar “kami dengar dan taat”.

Saya juga tidak berhasrat memanjangkan cerita hubungan sulit Pas-Umno sebelum PRU14 ini. Hanya berusaha merakamnya dalam lembaran sejarah.

Biarlah jadi kenangan bersama bagaimana pemimpin tertinggi Pas mengatur rentak dan strategi politik secara halus demi mempertahan dan mengambil keuntungan daripada sang kleptokrasi atau pencuri dana awam bertaraf global.

Biar masyarakat membuat penilaian sewajarnya tentang sikap politik Pas itu; apakah selari dan serasi dengan prinsip Islam atau terbukti ia sekadar parti siyasah yang licik menangkap peluang?

Hubungan sulit Pas-Umno sebelum PRU14 bukti bagaimana pemimpin tertinggi Pas mengatur strategi politik secara halus demi mengambil keuntungan daripada sang kleptokrasi.

Tun M - Pembangkang tak boleh hidup bawah Muhyiddin

SITI NUR ZAWANI MISCON
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pembangkang sekarang seolah-olah tidak boleh ‘hidup’ selepas menentang kerajaan Perikatan Nasional Nasional (PN).

Beliau mendakwa, ahli Parlimen pembangkang sukar mendapat sumber kewangan untuk membantu rakyat hanya kerana tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah katanya, kerajaan Muhyiddin hanya menyediakan peluang kerja dan wang kepada ahli-ahli politik yang menyokongnya.

“Pembangkang sekarang tak boleh hidup. Ahli Parlimen yang tak menyokong Muhyiddin tak boleh dapat duit untuk tolong rakyat. Ini lah yang terjadi.

“Kerajaan memang mewujudkan peluang pekerjaan cuma untuk beri mereka lebih banyak duit. Kalau tak dapat jawatan (dalam Kabinet), mereka akan dilantik dalam GLC (syarikat bukan kerajaan). Ini salah guna kuasa,” katanya ketika sidang media di Putrajaya hari ini.

Justeru itu katanya, parti baharu yang ditubuhkannya ketika ini akan memastikan pemimpinnya kelak tidak akan terlibat dalam rasuah dan politik wang.

Namun buat masa ini, bekas Pengerusi Bersatu itu berkata, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih belum memilih senarai pimpinannya lagi.

Tegasnya, mereka yang akan menyertai Pejuang kelak perlu memastikan penglibatan mereka ke dalam parti bukan kerana mahu merebut jawatan, menjadi calon wakil rakyat dan Menteri.

Anwar perlu kembali jadi milik Malaysia bukan PKR sahaja

DR RAZAM RAMLI

1. Pendapat dan pandangan saya kali ini mungkin tak begitu disenangi sesetengah pihak. Tapi saya kira ia adalah apa yang ramai sedang fikirkan.

2. Sejak Kerajaan PH tumbang, ada usaha-usaha yang dibuat untuk mengambil kembali mandat. Rentetan peristiwanya itu bersimpang dan sehingga ke hari ini usaha itu gagal.

3. Gagal atas beberapa perkara. Salah satunya adalah tidak direstui Anwar Ibrahim.

4. Anwar Ibrahim layak untuk kecewa dan menolak idea atau anjuran yang dibuat oleh Tun Mahathir atau orang-orang sekelilingnya.

5. Semua pun tahu dan anggap langkah Tun letak jawatan tanpa bincang itu menyimpang. Yang setuju tindakan itu mungkin hanya Mat Sabu.

6. Tetapi menjadi keras, hilang rahmah untuk membuka jalan bincang, cuba mengelak untuk menyusun atur strategi bersama dan bersifat keakuan itu bukan sifat Anwar Ibrahim.

7. Anwar Ibrahim sejak awal dalam PKR didokong oleh ramai tokoh. Banyak langkah politiknya terdorong oleh nasihat tokoh-tokoh ini. Pada masa yang sama tidak kurang ramai juga yang meninggalkannya.

8. Tidak mengapa. Pemimpin dan penyokong datang dan pergi. Cuma kali ini Anwar Ibrahim mengulang perkara sama. Dikuasai orang-orang keliling yang membuatkan golongan luar PKR menjadi jelik terhadap langkah politiknya.

9. Entah mengapa sekarang ini, Anwar Ibrahim seperti diolah gerakannya oleh ekstremis parti. Gerak Reformasi 98, Otai Reformasi, Iswardy Morni, Shukri Razab, dan beberapa nama lain yang membuatkan public merasakan Anwar begitu jauh dari mereka.

10. Anwar Ibrahim yang dulunya dianggap sebagai pemimpin harapan Malaysia, milik Malaysia, kini hanya menjadi pemimpin kelompok PKR, bukan lagi milik Malaysia.

11. Ini menjarakkan beliau daripada gerakan massa sehingga saingannya Muhyiddin Yassin jauh meninggalkan beliau dalam menarik sokongan rakyat.

12. Apa yang Anwar Ibrahim buat hari ini tidak seperti dahulunya. Kita juga jadi tertanya-tanya di mana ketangkasan beliau yang dikagumi kawan dan lawan seperti sebelum-sebelum ini.

13. Anwar seolah-olah sudah mensubsidikan tugas menjelajah negara kepada Gerakan Reformasi 98 yang terus menyanyi lagu-lagu lama yang difahami kelompok tuanya sahaja.

14. Iswardy pula teracah-acah ingin menjadi seperti Rafizi Ramli dengan bebelan kosong seolah-olah menjadi jurucakap Anwar.

15. AMK pula dipandu Shukri Razab yang taksub tak tentu hala dan inginkan semua ikut arahan dia sahaja.

16. Imej Anwar Ibrahim akan sekali rosak dengan kumpulan dan orang-orang seperti ini.

17. Anwar Ibrahim sewajarnya memimpin, bukan dipimpin mereka. Anwar Ibrahim wajar menunjukkan beliau benar-benar milik Malaysia, bukan milik PKR semata.

18. Jika suasana ini berterusan, Anwar Ibrahim akan sekali lagi mengulang langkah sama, dan hanya terus mengulang skrip ‘Reformasi’ dalam ucapan dan siri fb live nya.

19. Ramai mahu melihat Anwar Ibrahim diangkat sebagai Perdana Menteri Malaysia. Tetapi kalau eksremis parti yang bina strategi untuk beliau ke Putrajaya, saya kira kita sekali lagi akan melihat pengumuman keputusan pilihan raya umum seawal jam 7 petang.

20. Kekal di belakang, memenuhi kerusi pembangkang.

'70 peratus ahli sudah tinggalkan Bersatu, sertai Pejuang'

TUAN BUQHAIRAH TUAN MUHAMAD ADNAN

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Sebanyak 70 peratus ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) didakwa meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Presiden penaja Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu berlaku akibat rasa tidak puas hati ahli terhadap pindaan Perlembagaan Bersatu yang membenarkan bukan bumiputera menyertai parti itu.

"70 peratus tidak lagi bersama Bersatu," katanya kepada pemberita selepas hadir pada sidang media Pejuang di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Umno diugut bubar jika enggan bersama PN, dakwa penyokong Najib

NALAYASIA DATELINE
Umno telah diugut akan dibubarkan sekiranya tidak menyertai Perikatan Nasional (PN), dakwa penyokong Datuk Seri Najib Razak, Datuk Lokman Noor Adam.

“Mereka ugut akan bubar Umno jika tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) dengan menggunakan alasan kononnya kerana Umno menggunakan dana 1MDB dan sebagainya,” kata orang kanan Najib itu melalui facebook beliau.

Lokman menjawab dakwaan Tan Sri Muhyiddin bahawa kemenangan calon BN dari Umno dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim adalah kerana restu rakyat kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan beliau.

“Diaorang ni bukan sahaja kata macam tu, tetapi mengugut Umno jika tidak mahu sertai Perikatan Nasional,” kata Lokman lagi.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta agar Muhyiddin tidak mengugut Umno lagi.

“Tak perlulah ugut-ugut Umno ini. Saya tahu dah ada atas meja ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan atas meja Hamzah Zainuddin (Menteri Dalam Negeri) untuk membubarkan Umno semata-mata kerana Umno kononnya menerima duit 1MDB.

“Sehingga hari ini mereka gagalkan buktikan bahawa duit yang Datuk Seri Najib terima daripada Arab Saudi adalah duit 1MDB,”kata Lokamn lagi.

Umno telah membuat keputusan tidak akan menyertai PN walaupun ditawarkan oleh Muhyiddin. Kenyataan ini dibuat selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah dalam kes SRC.

Dua pemimpin Umno iaitu Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang sepatutnya berucap di Konvensyen PN kelmarin telah tidak menghadiri majlis itu walaupun ia turut disertai oleh Pas, rakan Umno dalam Muafakat Nasional (MN).

Menurut Lokman, kemenangan BN dalam PRK Slim adalah tanda sokongan rakyat kembali kepada BN selepas mereka sedar Umno telah difitnah dalam pilihan raya umum ke 14 lalu.

“Hari ini orang yang memfitnah kita ini dakwa kemenangan calon BN ini adalah kemenangan Perikatan Nasional. Mana lojiknya. Kita tidak bertanding atas dasar Perikatan Nasional,” kata beliau.

KEHADIRAN AZMIN KURANGKAN MAJORITI BN DI SLIM

Tindakan menghantar Azmin untuk berkempen di Slim telah menyebabkan majoriti BN berkurang dari yang sepatutnya, dakwa Lokman.

Menurut Lokman, kehadiran Menteri Kanan Ekonomi kerajaan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ke kempen BN di Slim telah mengurangkan majoriti calon BN dalam pilihan raya kecil itu.

“Malah kehadiran Azmin Ali itu sendiri menjejaskan keputusan itu. Sepatutnya kita ada keputusan yang jauh lebih baik lagi. Tetapi apabila dihantar tokoh semburit negara ini untuk hadir berkempen, ianya menjejaskan reputasi BN sendiri.

“Saya rasa Tan Sri Muhyiddin ini dia kena ukur baju di badan sendiri. Kalau betul PN ini boleh memenangi PRU 15, saya cadangkan beliau bertanding gunalah lambang PN itu atau lambang Bersatu dan biarkan Umno,” kata Lokman bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya.

Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan majoriti yang besar apabila calonnya Mohd Zaidi Aziz mengalahkan dua lagi calon bebas dengan majoriti sebanyak 10,945.

Berakhirnya status Amerika sebagai kuasa dunia?

Phar Kim Beng

Dalam ucapan mantan presiden Amerika Syarikat (AS) Ronald Reagan pada tahun 1989, beliau menyatakan bahawa Amerika diibaratkan sebagai “bandar yang bersinar di puncak”.

Bagaimanapun, dengan catatan kes Covid-19 yang kian meningkat saban hari, Amerika Syarikat dianggap sebagai sebuah negara yang berada di mod “unit rawatan rapi” kerana kes-kes Covid-19 terus bertambah dari masa ke semasa.

Jika catatan kes pandemik ini saban hari meningkat mendadak, ini akan memberikan masalah kepada kerajaan AS.

Persoalan utama adakah Amerika mampu untuk bangkit atau akan terus mengalami kejatuhan sekiranya keadaan seperti diungkapkan oleh Jared Diamond bahawa SARS Cov II akan terus kekal bersama manusia?

Menambah lagi permasalahan AS, menurut kajian Sarah Zhang daripada The Atlantic Council, seramai 20 peratus rakyat Amerika dianggap sebagai “anti-vacciner” dan 30 peratus pula kurang pasti sama ada untuk mendapatkan vaksin atau tidak.

Oleh itu, jika Amerika terus “jatuh” dek kerana Covid-19, permasalahannya adalah terletak kepada kepimpinan Presiden Donald Trump.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Amerika telah gagal menangani pandemik ini kerana Presiden Donald Trump tidak bertindak tegas dalam memastikan rakyat Amerika patuh kepada norma baharu – memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa mencuci tangan.

Malah, kesemua 50 negeri-negeri di AS mempunyai dasar berbeza tentang pemakaian pelitup muka bagi mengurangkan jangkitan pandemik tersebut.

Bagaimanapun, Stephen Walt daripada universiti terkemuka dunia pula berpendapat bahawa Amerika pasti akan bangkit.

Tambahnya, Amerika masih mampu untuk meneruskan status quo sebagai kuasa besar dunia. Bagaimana?

Menurut pakar sosiologi Jerman, Ulrich Beck, beliau menyatakan bahawa “masyarakat berisiko” seperti kebanyakan rakyat Amerika, adalah situasi biasa di mana-mana negara.

Oleh itu, cabaran utama bagi Presiden Donald Trump adalah memastikan kerajaan mampu untuk mengurangkan jika tidak dapat menangani risiko-risiko Covid-19.

Jika Amerika mampu untuk menggarap konsep risiko yang dihadapinya, negara kuasa besar Uncle Sam ini mampu untuk bangkit.

29 vaksin percubaan, 179 percubaan praklinikal

Salah satu cara adalah bagi Amerika mendukung kemajuan teknologi sains dalam menemui vaksin bagi pandemik Covid-19 ini, walaupun dalam usaha menemui vaksin tersebut terdapat pelbagai cabaran yang harus ditempuhi.

Sehingga kini, dunia mencatatkan beberapa kajian dijalankan bagi menemui vaksin.

Terdapat 29 vaksin bagi percubaan ke atas manusia manakala 179 vaksin di peringkat percubaan praklinikal.

Amerika kini sedang giat menjalankan kajian-kajian dalam menemui vaksin sebagai penawar bagi pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perlumbaan vaksin antara Amerika, Rusia dan China masih belum memasuki fasa pemulihan bentuk V.

Oleh itu, kerajaan Amerika seharusnya mempunyai perancangan jangka masa negara tersebut dapat menangani pandemik Covid-19 sepenuhnya menerusi penemuan vaksin.

Perancangan yang rapi akan memberi ruang masa buat Federal Reserve Authority untuk mencetak sejumlah AS$3.5 trillion dalam merangsang ekonomi AS.

Pandangan bahawa kebangkitan Amerika adalah kenyataan walau dibelenggu pandemik, turut disokong oleh penyunting The New York Times.

Tidak dinafikan bahawa kejatuhan dan kebangkitan sebuah kuasa besar adalah satu kitaran semula jadi.

Bagaimanapun, jika terdapat calon Presiden Amerika yang baharu dilantik selepas Donald Trump, maka rakyat Amerika dan masyarakat antarabangsa mempunyai peluang untuk mengekalkan status Amerika sebagai kuasa besar melebihi China.

HADI BAKAL TPM? KENAPA UMNO TAK HADIR KONVENSYEN PN?

Shahbudin Husin
Selepas enam bulan Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan, Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang merupakan orang pertama yang menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Ia kemudian, kata Muhyiddin, diikuti oleh pimpinan parti-parti lain yang membawa kepada pembentukan kerajaan PN.

“Saya dilantik sebagai Perdana Menteri oleh Yang Di-Pertuan Agong setelah mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad meletak jawatannya.

“Antara yang paling awal menyokong saya ialah Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS yang ada di sini pada hari ini.

“Terima kasih saya ucapkan,” kata Muhyiddin ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran PN, hari ini.

Mengapa hanya setelah enam bulan, baru Muhyiddin mendedahkan perkara ini?

Adakah ia kerana Hadi begitu kuat mendokong Muhyiddin dan menyokong pendaftaran PN, walaupun Pas sudah berada dalam MN bersama dengan UMNO?

Atau ini petanda Hadi bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak lama lagi?

Hadi adalah antara pemimpin yang hadir dan berucap pada konvenseyen sempena enam bulan PN menjadi kerajaan.

Presiden UMNO, Zahid Hamidi dan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang turut dijadualkan berucap pada konvenseyen itu bagaimanapun tidak kelihatan menghadirkan diri.

Wakil daripada UMNO juga difahamkan tiada seorang pun yang hadir pada konvensyen itu.

Zahid Hamidi dan Dr. Asyraf dikatakan berada di Sabah atas urusan persiapan menghadapi PRN di sana.

Tetapi, mengapakah tiada wakil Presiden UMNO dan wakil Ketua Pemuda UMNO yang dihantar?

Begitu juga, mengapa tiada pemimpin UMNO lain yang hadir sama? (Shahbudindotcom 01/09/2020)

Setelah lama berdiam diri, Mufti Perlis bidas Pas

SITI NUR ZAWANI MISCON

Susulan perumpamaan diberikan kepada Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang diibaratkan sebagai seekor burung hud-hud oleh Mursyidul Am Pas, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga tampil membidas kenyataan yang mempertahankan Menteri Pas itu.

Ini adalah kali pertama selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang disertai Pas Mufti Perlis itu mengambil sikap membidas pimpinan Pas.

Menerusi hantaran Facebooknya hari ini, beliau berkata ketidakpatuhan burung Hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman sama sekali tidak mengancam nyawa rakyat.

Sebaliknya beliau berkata, penularan wabak Covid-19 ketika ini adalah satu ancaman.

“Ketidakpatuhan Hud-hud sekali pun dimarahi oleh Nabi Sulaiman a.s, tidak mengancam rakyat.

“(Tetapi) Covid-19 satu ancaman kepada rakyat,” katanya.

Sebelum ini, Mursyidul Am Pas Hashim Jasin mengeluarkan ‘dalil’ baharu bagi mempertahankan tindakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang ingkar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara

Hashim menyifatkan Mohd Khairuddin ibarat seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman yang membawa keuntungan besar melalui kesalahannya melanggar undang-undang.

Beliau berkata demikian yang memetik kisah dalam Surah An-Naml ketika berucap di Muktamar Dewan Ulama Pas Perak baru-baru ini.

WAH! Hebat Selepas ‘Menteri belatuk’ pergi Turki, harga sawit naik melonjak

ARIF ATAN

Enggan mengakui Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ingkar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mendakwa harga minyak sawit di pasaran melonjak naik selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu pulang dari Turki.

Dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama Pas Perak, 29 Ogos lalu, Hashim berkata, Khairuddin telah mengadakan rundingan dengan Turki selama empat hari bagi tujuan meningkatkan pasaran eksport minyak sawit ke negara pengimport baharu kepada komoditi itu.

“Apabila dilihat pada natijah apa yang dibuat oleh menteri ini (Khairuddin) banyak yang tidak tahu.

“Saya pun dapat maklumat dalam sehari, dua ini. Sebelum ini minyak kelapa sawit kita dihantar ke Turki dan melalui Turki sebanyak 700,000 tan (metrik) setahun.

“Dr Khairuddin Takiri pergi sana empat hari berunding, dapat mengadakan perjanjian MoU (Memorandum Persefahaman) tambah lagi 300,000 tan setahun menjadikan 1 juta tan setahun,” katanya.

Hashim yang juga bekas Ahli Parlimen Arau pada Pilihan Raya Kecil 1998 bagaimanapun mengakui dirinya bukan ahli ekonomi.

“Mungkin ini bab ekonomi saya tidak faham. Saya bukan ahli ekonomi tapi tidak pernah tidak makan.

“Selepas dia (Khairuddin) pergi (Turki), harga kelapa sawit melonjak daripada kepada 180 kepada 230 atau 250. Wallahualam. Ertinya dia bawa satu benda yang baik,” katanya.

Sehubungan itu, Hashim mengibaratkan Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus sebagai burung belatuk kepada rakyat Malaysia.

“Kalau usaha burung hud-hud, berita yang disampaikannya itu membawa sebuah negara termasuk raja peluk Islam, maka di sini puak-puak itu suruh letak jawatan.

“Orang yang berjasa. Hud-hud ini, Dr Khairuddin itu belatuk kepada rakyat Malaysia.

“Kelapa sawit naik harga bukan untuk orang Melayu saja, (tapi) untuk semua rakyat, untuk ekonomi negara,” tambah bapa kepada anak yang tahun lalu gempar membeli kereta mewah jenis Porsche Cayman itu.

Alasan berteduh dari hujan tapi bertuala sahaja

SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA

Pasangan ini memberi alasan singgah sebentar di sebuah hotel bajet kerana hujan lebat sebelum pulang ke rumah.

SUNGAI PETANI
- Sepasang kekasih memberi alasan kononnya hanya singgah sebentar di sebuah hotel bajet di sini untuk berteduh sementara menunggu hujan berhenti ketika dicekup berkhalwat pada Ops Ambang Merdeka semalam.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Radzi Abd Mutalib berkata, pasangan itu ditahan dalam sebuah premis hotel di Bandar Puteri Jaya kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, ketika pintu diketuk, seorang lelaki keluar dengan hanya bertuala manakala pasangannya berada di tandas dengan berpakaian lengkap.

"Ketika disoal, wanita berusia 20 tahun dari Kuala Ketil bersama pasangannya berusia 18 tahun dari Pulau Pinang memberitahu mereka baru balik dari majlis kenduri di Kulim dan singgah sebentar di Sungai Petani kerana hujan lebat sebelum pulang ke rumah.

"Dia juga memberi alasan keluarganya tiada di rumah kerana keluar kawasan," katanya.

Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Petani dan pasangan itu dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut.

Menurut Radzi, anggota penguat kuasa kemudian menghubungi penjamin bagi memaklumkan perkara itu dan diminta hadir untuk tindakan seterusnya.

"Bagaimanapun, abang kandung wanita terbabit menjelaskan mereka telah cuba menghubungi adiknya berkali-kali, namun gagal.

"Disebabkan bimbang keselamatannya, ahli keluarga bercadang mahu keluar mencarinya," katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat iaitu berdua-duaan dalam sebuah bilik tanpa ikatan mahram atau suami isteri yang sah.

Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Operasi yang disertai 15 anggota diketuai Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kuala Muda, Zaiferi Zainul Abidin telah menumpukan ke beberapa kawasan 'hotspot' sekitar daerah bagi membanteras aktiviti maksiat pada ambang merdeka.
-sinarharian

Kalau menteri DAP pakai ‘baju komunis’ sekarang menteri PN bukan komunis?

Dulu timbalan menteri DAP dikecam, kini pemimpin PN pula pakai ‘baju komunis’
FAZLI RADZI


Antara hantaran di media sosial yang mengecam pakaian Chin Tong pada bulan-bulan awal pembentukan kerajaan Pakatan Harapan PH).

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong mempersoal tindakan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengenakan pakaian yang pernah didakwa menyerupai tentera komunis.

Pengarah Pendidikan Politik Kebangsaan DAP itu berkata, beliau sebelum ini difitnah berbuat demikian ketika membuat pemeriksaan kawalan kuarter pada 2018.

“Dulu, saya difitnah kerana pakai baju korporat. Azwanddin pun belum bayar RM40,000 dari kes mahkamah.

“Sekarang pula, pemimpin PN pakai baju yang sama. Dah bukan baju komunis?” sindir Chin Tong lagi.

Dua tahun lalu, Presiden Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Datuk Azwanddin Hamzah memuat naik status di Facebook mendakwa Chin Tong dengan sengaja berpakaian seperti seragam komunis.

Walhal, pakaian itu adalah baju korporat rasmi (bush jacket) yang disediakan Kementerian Pertahanan kepada Menteri dan Timbalan Menteri Pertahanan untuk lawatan kerja khususnya membabitkan lawatan ke markas formasi dan kem.

Ekoran itu, Chin Tong memfailkan saman terhadap Azwanddin pada Disember tahun sama selepas Azwanddin pada mulanya enggan memohon maaf terhadap tuduhannya.

Namun, dia kemudiannya membuat permohonan maaf serta berjanji untuk tidak lagi mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Chin Tong dan membayar RM40,000 kepadanya dalam tempoh 90 hari.

Apa punya ngong samakan menteri PAS ingkar kuarantin dengan kisah burung hud hud


Senator Aiman Athirah Sabu membidas Mursyidul Am PAS Hashim Jasin (gambar atas) kerana mengumpamakan pelanggaran kuarantin Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali dengan kisah burung hud-hud dalam al-Quran.

Aiman, yang juga ketua Wanita Amanah, menyifatkan perbandingan itu sebagai "sangat semberono dan bersifat melampau" serta mengundang persepsi negatif kepada agama Islam.

"Perumpamaan itu juga tidak tepat, malah tidak cocok sama sekali.

"Pertama, kisah burung hud-hud yang diceritakan dalam al-Quran itu berlaku di luar pandemik atau pun wabak yang telah menjejaskan sekurang-kurangnya 25.1 juta orang dan membunuh sekurang-kurangnya 844,000 nyawa manusia di di seluruh dunia .

"Kedua, tiada arahan dan SOP kuarantin wajib 14 hari yang dikuatkuasakan pada masa itu oleh Nabi Sulaiman a.s sedangkan dunia hari ini umumnya telah menerima pakai peraturan dan SOP khusus sejak pandemik Covid-19 tercetus," katanya.

Tambah Aiman, tindakan undang-undang diambil kepada semua yang melanggar peraturan dan kesalahan tanpa mengira sama ada mereka rakyat biasa ataupun pemimpin-pemimpin negara.

Malah, katanya, sudah kurang lebih enam orang pemimpin beberapa buah negara terpaksa melepaskan jawatan dan kedudukan masing-masing dalam kerajaan akibat kesalahan ingkar arahan dan SOP Covid-19.

Aiman juga berkata Hashim tidak seharusnya menyalahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai gagal memakaikan gelang tangan merah jambu kepada Khairuddin.

"Sebagai seorang menteri kabinet, Khairuddin seharusnya lebih tahu dan sedar darihal perintah memakai gelang tangan merah jambu dan menjalani kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara memandangkan ini adalah keputusan kabinet.

"Maklumat ini juga telah selalu diwar-warkan oleh kerajaan melalui media massa sama ada cetak mahupun elektronik.

"Islam mengajar kita tentang kepentingan mematuhi undang-undang dan menjaga kebajikan dan keselamatan masyarakat umum.

"Justeru, suka saya menyeru agar Hashim memberi fakta yang benar sebelum mengeluarkan kenyataan membela Khairuddin," katanya.

Hashim sebelum ini membuat perumpamaan berhubung pelanggaran kuarantin Khairuddin selepas pulang dari Turki dengan kisah burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Kisah berkenaan menceritakan bagaimana burung hud-hud tidak mengikut arahan Nabi Sulaiman untuk mencari sumber air.

Dalam kisah itu, burung hud-hud berkata kepada Nabi Sulaiman bahawa ia telah terbang untuk melakukan pengintaian dan menemui kerajaan mewah di Saba yang diperintah Ratu Balkis.

Nabi Sulaiman lalu mengampunkan hud-hud dan mengarahkannya terbang ke istana Ratu Balkis untuk menyampaikan surat dan memintanya tunduk kepada keesaan Allah.

Dalam ucapannya di Muktamar Dewan Ulama PAS Perak itu, Hashim memetik kisah dalam Surah An-Naml itu dengan mengatakan keingkaran burung hud-hud itu menyebabkan Ratu Balkis dan rakyatnya memeluk Islam.

Hashim juga berkata kunjungan Khairuddin ke Turki meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia.

Khairuddin sebelum ini mendapat kecaman susulan pelanggaran kuaranti dan akhirnya didenda RM1,000.

Dia juga telah memohon maaf dan mendermakan gajinya kepada tabung Covid-19.

Pada Jumaat lalu, Khairuddin hadir memberi keterangan bersama beberapa orang saksi di Bukit Aman bagi kesalahan itu.

SELEPAS CEMERLANG DI SLIM, UMNO JANGAN LAGI BERLENGAH TARIK SOKONGAN JATUHKAN MUHYIDDIN

Shahbudin Husin
Bukanlah suatu rahsia lagi bahawa UMNO, rakan Muhyiddin Yassin dalam kerajaan PN sendiri, begitu inginkan PRU awal diadakan dengan segera.

Kalau boleh, UMNO malah mahukan PRU awal diadakan sebelum tirai 2020 ini dilabuhkan.

Keinginan UMNO terhadap PRU awal melebihi kebiasaan di mana selalunya pembangkang yang begitu beria-ia mendesak agar pilihanraya segera diadakan.

Tapi norma baru ini parti dalam kerajaan sendiri lebih berkehendakan pilihanraya segera diadakan.

Selepas kemenangan besar BN di Slim semalam dengan majoriti 10,945 undi, keadaan ini pasti akan meningkatkan lagi tekanan UMNO terhadap Muhyiddin agar membubarkan Parlimen.

Kenapa UMNO begitu mahukan PRU awal sedangkan parti itu sekarang sudah menjadi sebahagian daripada kerajaan?

Apa lagi yang tidak cukup buat UMNO?

Walaupun menjadi sebahagian daripada kerajaan, tidak syak lagi UMNO kini mahu menjatuhkan Bersatu daripada tampuk dominan dalam kerajaan.

Dengan menjatuhkan Bersatu, Muhyiddin seterusnya akan dapat disingkirkan dan digantikan dengan pemimpin UMNO sendiri sebagai Perdana Menteri.

Itulah dua tujuan UMNO mahukan PRU awal dan dengan bantuan Pas bersamanya, khususnya selepas keputusan PRK Slim, memang tidak dinafikan UMNO mampu mencapai tujuan tersebut.

Kemenangan di Slim adalah kemenangan BN dan MN yang dianggotai UMNO dan Pas setakat ini, manakala penyertaan Bersatu ke dalam MN belum lagi disahkan secara rasmi.

Kemenangan BN di Slim bukan kemenangan PN, bahkan Bersatu boleh dikira hanya memberi sumbangan kecil saja kepada kemenangan itu.

Semua faktor kemenangan adalah melalui kerja keras pemimpin utama UMNO serta jenteranya yang disokong oleh Pas dan kalau ada peranan Bersatu hanyalah dengan tumpang bergambar saja.

Malah, jika tanpa bantuan dan sokongan Bersatu pun, majoriti kemenangan BN di Slim tidak banyak berganjak daripada angka 10 ribu undi yang dicapai semalam.

Tempoh sebelum berakhir tahun 2020 adalah masa paling sesuai untuk PRU awal jika UMNO ingin mengecapi kemenangan seperti di Slim.

Dalam hal ini, jika benar ingin meletakkan UMNO kembali dominan di puncak kuasa serta pemimpinnya sendiri yang berada di kerusi Perdana Menteri, UMNO bukan saja mesti terus memberi tekanan kepada Muhyiddin, bahkan juga mesti tidak “malu-malu” bertindak ke arah itu.

Setakat ini, UMNO memang mahu PRU awal tetapi masih bersikap “malu-malu kucing” dengan hanya mengharapkan Muhyiddin yang akan membubarkan Parlimen.

Tetapi, UMNO mesti sedar bahawa Muhyiddin tidak mungkin akan berani membubarkan Parlimen kerana beliau tahu Bersatu dalam kedudukan lemah dan berpecah, selain beliau juga ingin sekurang-kurangnya duduk lebih lama sebagai Perdana Menteri tanpa tergesa-gesa mengadakan pilihanraya.

Cara yang terbaik dan jujur jika benar UMNO mahukan PRU awal ialah dengan cara tiga atau empat orang Ahli Parlimennya diarah segera menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Dengan Muhyiddin hanya ada sokongan 111-109, melalui cara itu maka tumbanglah Muhyiddin dan terpaksalah PRU semula diadakan.

Sebagai Presiden UMNO, apakah Zahid Hamidi tidak mampu melakukan perkara itu?

Jika tidak berani bertindak menarik sokongan, lebih baiklah UMNO berhenti bising-bising di media mendesak tanpa henti mahukan PRU awal diadakan segera.

UMNO hendaklah jujur mahukan PRU awal dan mesti jujur juga bertindak ke arah itu. (Shahbudindotcom 30/08/2020)