‘Abah’ sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai PM?

RAYUSA

Ucapan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam Perutusan Khas Perdana Menteri (PM), 6 Oktober lalu mengenai situasi Covid-19 menyebabkan rakyat tidak peduli lagi pada pemberian Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 nanti yang telah diumumkan oleh beliau sendiri.

Ramai yang kecewa, malah berang dengan perutusan Muhyiddin kali ini. Mereka yang pernah menyanjung, kini beralih arah, malah ada yang meminta Muhyiddin meletakkan jawatan.

Selepas perutusan tersebut, #MuhyiddinOut menjadi trending di media sosial. Selebriti terkenal Adibah Noor turut sinis dalam akaun Twitternya apabila menulis, ‘Sebenarnya nak cakap pasal apa ni…????’

Pada hari itu, kes baharu Covid-19 yang tertinggi setakat ini – 691, dan berlaku empat kematian. Ramai yang menunggu-nunggu apakah perkara penting, terutamanya yang berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan disampaikan oleh Muhyiddin.

Walau bagaimanapun, selepas (seperti biasa) memulakan perutusan dengan bertanya khabar dan berharap semua rakyat sihat sejahtera, Muhyiddin mengulang-ulang perkara yang serupa tentang Covid-19.

Memang Muhyiddin mengakui antara sebab kenaikan mendadak kes Covid-19 hari demi hari ialah Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke-16, atau Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu.

Gabungan Rakyat Sabah memenangi PRN Sabah itu dengan majoriti mudah. Daripada 73 kerusi, ia memperoleh 38 kerusi (Perikatan Nasional mendapat 17 kerusi, Barisan Nasional 14, dan Parti Bersatu Sabah tujuh kerusi).

Dalam ucapan yang dianggap oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang sebagai paling lemah itu, Muhyiddin menceritakan beliau berkempen dengan selamat, dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP). Beliau juga meminta maaf kerana tidak mampu ke semua tempat.

Bagus menunjukkan teladan sedemikian biarpun seperti ‘masuk bakul angkat sendiri’. Namun begitu, Muhyiddin terlupa/tidak meminta/menasihati menteri-menterinya, serta wakil rakyat Kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar tidak melanggar SOP ketika berkempen, dan setelah pulang dari berkempen PRN Sabah.

Sebaliknya, rakyat yang dinasihati Ahli Parlimen Pagoh itu. Kita belum menang, katanya. Muhyiddin seperti cuba tegas dalam berseloroh apabila memohon maaf kerana mula mahu merotan rakyat yang ingkar. “Maaflah kalau abah mula mahu merotan sekarang,” katanya yang disambut oleh kecaman warga Internet.

Mengapa rakyat juga yang disalahkan, padahal ahli politik PN yang sepatutnya bertanggungjawab? Kalau mahu merotan, rotanlah menteri-menteri yang ingkar terlebih dahulu, kata mereka.

Muhyiddin sepatutnya merotan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ahli Parlimen Bera itu menyatakan mereka yang pulang dari Sabah tidak perlu kuarantin wajib 14 hari, sebaliknya cukup menjalani ujian swab sahaja.

Ismail bukan sahaja salah, malah tidak menghiraukan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar semua yang pulang dari Sabah menjalani kuarantin wajib 14 hari. Oleh kerana Ismail Menteri Kanan, Noor Hisham terpaksa mengubah (mengalah) nasihat beliau agar selaras.

Lihatlah hasil ‘kebijaksanaan’ Ismail itu. Semua, termasuk menteri-menteri PN yang pulang dari Sabah ke sana ke sini di Semenanjung, walaupun ada yang kemudian sahkan positif Covid-19.

Malang sekali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang (paling) diharapkan memberi teladan murni pun ingkar, dan kini dirawat di hospital akibat positif Covid-19! Ramai yang kecewa hingga meminta Dr Zulkifli meletakkan jawatan kerana gagal menjadi contoh yang baik.

Setelah kes naik mencanak dan kematian bertambah, ‘Abah’ hanya berkata sudah mula mahu merotan. Cuma mahu merotan, bukannya sudah merotan. Mahu hanya keinginan, belum (bukan) perbuatan lagi.

Apakah Muhyiddin mahu merotan anak-anak buahnya yang degil? Jika serius, sebelum Zulkifli, beliau telah merotan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kerana mengingkari kuarantin wajib selepas pulang dari Turki, lama sebelum PRN Sabah. Ahli Parlimen Kuala Nerus itu hanya membayar denda RM1,000 dan mendermakan empat bulan gajinya, sambil memohon maaf.

Muhyiddin juga wajar merotan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor kerana tidak memakai topeng/pelitup separuh muka ketika membuat tinjauan terhadap masalah rakyatnya. Wajar dan sangat bagus walaupun tidak menghairankan kerana itu memang tugas beliau apabila mengatakan gembira membuat tinjauan.

Cuma, kecaknaan dan keriangan Sanusi itu akan lebih mantap/lengkap jika beliau memakai pelitup separuh muka. Teladan boleh diberikan menerusi atau dalam pelbagai hal/cara. Sanusi tentu maklum keadaan Covid-19, apatah lagi di Kedah ketika ini, dan SOP. Malangnya, mengapa beliau seperti ‘menempah’ penyakit, sambil memberi contoh buruk?

Persendaan baharu terhadap Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba turut muncul dalam media sosial. Kekaguman dan hormat yang tinggi terhadap Noor Hisham menyebabkan ada warga Internet yang membuat cadangan kepada Muhyiddin agar melantik Hisham sebagai Menteri Kesihatan Malaysia. Adham cukup sekadar menjadi pemandu ambulans sahaja, kata mereka. Beliau juga tidak dirotan oleh Abah awal-awal dahulu kerana saranan air suamnya.

Sebelum ini, ramai yang kekal memuji dan berterima kasih kepada Muhyiddin kerana akan memberikan BPN 2.0 pada penghujung Oktober 2020, dan awal Januari 2021 meskipun jumlahnya berkurangan.

Di samping sedang berdepan gesaan meletakkan jawatan, Muhyiddin juga dihantui kemungkinan hilang jawatan. Barangkali itu yang menyebabkan beliau memberikan ucapan paling lemah sebagai PM. Keyakinan dan tumpuannya goyah.

Masakan tidak. Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk mempersembah senarai majoriti sokongan ahli Parlimen pada 13 Oktober nanti. Benarkah ‘Abah’ sedang meniti hari-hari terakhirnya sebagai PM?

Timbalan pendakwa raya direman 6 hari

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapat kebenaran menahan reman seorang timbalan pendakwa raya selama enam hari untuk membantu siasatan, lapor media.

Kebenaran itu diberikan majistret Shah Wira Abdul Hadi di Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Harian Metro timbalan pendakwa raya terbabit disyaki menerima habuan bernilai RM345,000 semasa bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Memetik sumber tidak dinamakan, portal itu berkata, lelaki terbabit berusia 50-an dan ditahan semasa hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk memberi keterangan pagi tadi.

Katanya timbalan pendakwa raya itu kini bertugas di Selangor dan disyaki menerima habuan untuk menyelesaikan kes berkaitan penipuan urusan jual beli tanah pada 2016.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2019," katanya. 

Kerajaan baru Anwar tanpa pemimpin DAP dalam Kabinet?

BORHAN AHMAD

Kerajaan baru yang bakal dibentuk selepas 13 Oktober ini besar kemungkinan tanpa DAP menyertai Kabinet walaupun menyokong usaha yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim itu.

Ini kerana DAP tidak senang untuk bekerjasama dengan Umno manakala Umno pula tidak mahu bersama-sama kerajaan yang di dalamnya ada pemimpin DAP.

Inilah rumusan yang boleh diambil dengan apa yang berlaku sekarang menjelang tiga hari Anwar menghadap Yang Dipertuan Agong 13 Oktober ini.

Menurut orang kanan Datuk Seri Najib Razak, pemimpin yang banyak mempengaruhi sikap Umno sekarang, Umno memang sah tidak boleh lagi bekerjasama dengan Bersatu.

“Akar umbi Umno juga tidak boleh bersama dengan DAP,” kata Datuk Lokman Noor Adam dalam siri facebook live beliau.

Namun, katanya, Anwar boleh meredakan keadaan jika DAP tidak berada dalam Kabinet yang akan dibentuk Anwar nanti.

“Anwar kata dia ada 122 kerusi. Jika dia dapat tarik 19 MP Umno, dia kena mengekalkan 42 DAP dalam kerajaan tersebut.

“Kalau dia nak redakan keadaan, dia boleh minta DAP tidak berada dalam kerajaan. Itu akan kemungkinan besar meredakan keadaan,” kata Lokman, bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib adalah menterinya.

Kabinet itu nanti, kata Lokman, mungkin ada orang PKR, ada orang Umno, AMANAH tetapi tidak ada orang DAP.

Sebelum ini, Setiausaha Agong DAP, LIm Guan Eng berkata, DAP sukar untuk bekerjasama dengan Najib atau presiden Umno sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Kita lawan Umno, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) kerana kita tak boleh terima dasar memecahbelahkan rakyat.

“Saya tegaskan di sini bahawa DAP tidak akan kerjasama dengan Umno di bawah pimpinan Zahid dan juga Najib,” katanya ketika berucap dalam ceramahnya di Kota Kinabalu, dua hari selepas Anwar mengumumkan mempunyai sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Isu bekerjasama dengan Umno menjadi isu pokok dalam pembentukan kerajaan baru yang diumumkan Anwar itu.

DAP dan AMANAH dalam kenyataan mereka sebaik sahaja Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan itu berkata, mereka akan akan menyokong Anwar.

Namun selepas itu berbangkit, dari manakah sokongan ‘yang kuat’ yang diumumkan Anwar itu.

Presiden Umno, Ahmad Zahid mengumumkan Umno tidak akan menghalang mana-mana ahli parlimen Umno yang mahu menyokong usaha Anwar itu.

Penyokong Anwar pula berkata, kerjasama yang dibuat Anwar adalah dengan individu MP Umno tidak termasuk Najib dan Zahid.

Mana Pas dalam isu gabungan Eco World dan UEM Sunrise?

MALAYSIA DATELINE

Tindakan ketua eksekutif UEM Sunrise Bhd , Anwar Syahrin Abdul Ajib, meletak jawatan selepas Sunrise Group Bhd menerima cadangan penggabungan dengan ECO World Development Bhd telah mengemparkan banyak pihak.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Banyak pihak menganggap penggabungan ini akan merugikan UEM Sunrise- Khazanah dan lebih banyak menguntungkan ECO World.

Katanya, ECO World juga di beritakan akan menguasai syarikat baru ini sementara UEM Sunway yang di miliki Khazanah akan kurang berkuasa menentukan hala tuju syarikat baru.

“Banyak pihak menyatakan penggabungan ini di katakan satu ‘bail out’ untuk menyelamatkan ECO World.

“Keuntungan lebih berpihak kepada ECO World yang akan menguasai gabungan baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau yang juga Pengerusi AMANAH Terengganu mendesak kerajaan Perikatan Nasional dan Khazanah mengkaji kewajaran rancangan ini diteruskan dan kenapa syarikat milik Khazanah perlu menyelamatkan ECO World.

“Umno telah lama mendabik dada sebagai pejuang pembela hak Melayu yang tidak ada tolak bandingnya.

“Pas yang mendakwa sebuah parti Islam telah juga menjadi pembela hak kerajaan Melayu seperti Umno,”katanya.

Tambahnya, Kerajaan Perikatan Nasional telah mengistiharkan diri sebagai kerajaan Melayu-Islam dan rakyat ingin melihat kerajaan ini memenuhi janji mereka untuk menjaga kepentingan syarikat kerajaan Malaysia dan kepentingan kerajaan Melayu- Islam dalam isu ini.

“Ingatlah kalau Perdana Menteri, yang mengelar dirinya Abah, mengugut hendak “merotan” rakyat yang melakukan salah laku peraturan undang undang, rakyat juga berhak menghukum Perdana Menteri dan Kerajaan Perikatan Nasional di peti undi atas salah laku yang mengrugikan Khazanah sebuah syarikat milik kerajaan, EPF dan juga dengan kepentingan Tabung Haji,” katanya.

UEM Sunrise Bhd di miliki oleh Khazanah, EPF dan juga kepentingan Tabung Haji serta beberapa lagi pemegang saham lain.

Pemegang saham ECO World Bhd adalah dari kalangan sektor swasta yang di beritakan sedang menanggung hutang yang tinggi.

Video dakwa MP Indonesia ada perempuan, lelaki simpanan muncul

 GLOBAL | Semalam, demonstrasi membantah RUU buruh republik itu, Omnibus Law bertukar rusuhan di Jakarta.

Sementara itu, di media sosial pula muncul video meminta sokongan ahli parlimen dengan iringan dakwaan skandal hubungan sulit.

Dalam satu bebenang, seorang pengguna Twitter @tasyavww berkongsi beberapa klip video yang diambil daripada aplikasi TikTok, yang menurutnya merupakan video yang memaparkan perempuan dan lelaki ahli parlimen Indonesia yang menganggotai Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

“Kumpulan video Tiktok “simpenan” bapak/ ibu DPR,” ciapnya.

• A Thread•

Kumpulan Video Tiktok “simpenan” Bapak/Ibu DPR.

Yang mau nambahin, boleh drop dibawah wkwkw ngakakk bangetttt🤣 pic.twitter.com/KEOleqGEks

— omamamay (@tasyavww) October 9, 2020

“Bapak DPR, masih ingat sama saya,” kata teks tertera pada salah satu klip video berkenaan.

Malah, kebanyakan video turut dimulakan dengan soalan senada.

Kemudian, beberapa video memasukkan kata-kata berunsur ugutan supaya ahli DPR yang dimaksudkan di dalam video masing-masing membatalkan pelaksanaan undang-undang Omni Bus Law yang diluluskan Parlimen Indonesia pada Isnin lepas.

“Tolak Omnibus apa mau saya kasih tau isteri anda,” tulis paparan teks pada video.

“Abang DPR dari partai kuning kesayangan aku, revisi (semak semula) Omnibuslaw nya atau aku aduin ke isteri abang”.

“antu tolak RUU Omnibus law atau bini lu tau?” papar satu lagi tulisan.

Malah, beberapa video turut menayangkan tangkap layar perbualan telefon serta gambar intim dengan individu tertentu dalam klip masing-masing.

Bagaimanapun, Malaysiakini tidak dapat memastikan kesahihan secara bebas mengenai dakwaan, tangkap layar dan gambar tersebut.

Bebenang itu setakat ini sudah diulang ciap sebanyak 12,700 kali dan menerima hampir 27,000 tanda suka.

Semalam, beberapa siri demonstrasi membantah undang-undang berkenaan berlangsung di beberapa wilayah di Indonesia, termasuk di kota Jakarta yang turut mencetuskan rusuhan sehingga merosakkan harta benda awam.

Demonstrasi yang didokong golongan mahasiswa dan Persatuan Buruh Indonesia itu, adalah bagi membantah Undang-undang Omnibus Law Cipta Kerja yang didakwa akan lebih memihak kepada pelabur dan menindas hak pekerja serta alam sekitar.

Undang-undang itu juga didakwa akan mengabaikan hak pekerja, antaranya pengurangan kos pampasan terhadap pekerja yang diberhentikan, pengurangan cuti tahunan, pembatalan peraturan gaji minimum, dan pindaan berkaitan peraturan pekerja kontrak.

Media Indonesia Tempo dan Kompas hari ini melaporkan pandangan pakar perubatan yang bimbang timbulnya kluster baru Covid-19 di republik itu ekoran demonstrasi besar-besaran berkenaan. 

Misi Anwar 13 Oktober, keperluan utama waktu COVID-19

R MUJAHID YUSOF RAWA

13 Oktober 2020 adalah tanggal yang mendebarkan semua pihak. DSAI akan mengadap YDPA di Istana Negara, secara logiknya semua boleh agak tujuan dan hasil pertemuan itu nanti. Ini berpandukan sidang akhbar DSAI yang telah diadakan pada 22Sept lalu. DSAI mendakwa dia ada majoriti yang kuat dan meyakinkan dari kalangan Ahli Parlimen yang menyokong beliau untuk membentuk kerajaan. Dengan pengumuman itu kerajaan PN bawah TSMY telahpun tumbang.

Logiknya, PM ke 9 akan dipilih di kalangan yang ada majoriti dan akan dipersembahkan kepada YDPA untuk perkenan dan akan berlaku perlantikan. Itulah yang dijangkakan akan berlaku pada 13 Oktober dan pasca 13 Oktober nanti dan akhirnya secara logik akan terbentuk sebuah kerajaan baru di bawah kepimpinan DSAI sebagai Perdana Menteri.

Saya dihujani berbagai reaksi sebagai respons kepada tulisan-tulisan saya selepas pengumuman 22hb September. Ada yang mengkritik soal kewajaran, samada sesuai pada masa pandemik mahupun pandangan yang menolak samasekali pengumuman DSAI atas alasan DSAI dan PH main politik saat rakyat menderita kerana covid 19. Ada juga yang menyokong gerakan ‘PAUSE’ kononnya masa sekarang ialah masa ‘gencatan senjata’ dalam soal-soal politik untuk memberi tumpuan kepada masalah negara.

Saya memahami semua respons itu tetapi saya perlu menjelaskan di sini bahawa intipati langkah DSAI adalah berpandukan kepada beberapa keperluan utama yang sangat mendesak khususnya di waktu covid ini, iaitu;

a. Mengembalikan mandat asal (restore back the original mandate) yang diamanahkan oleh pengundi kepada Pakatan Harapan pada PRU 2018 yang lalu setelah ‘dijatuhkan’ oleh Langkah Sheraton (Feb 2020) melalui perancangan licik TSMY dan DSAA semasa covid sudahpun melanda negara. Mandat asal akan mengembalikan kepercayaan rakyat semula kepada kerajaan dan ia sangat diperlukan pada saat krisis.

b. Membentuk majoriti yang kukuh setelah majoriti kerajaan TSMY terbukti sangat rapuh sedangkan semasa krisis seperti ini, sebuah kerajaan yang kukuh majoritinya sangat diperlukan dan DSAI ada kekuatan itu untuk menyumbang kepada pengurusan krisis covid dengan sokongan majoriti lebih padu dan kukuh.

c. Mengembalikan balik asal kedudukan kuasa yang diambil secara demokratik oleh PH dahulu selepas kes awalan yang buruk ditunjukkan oleh Langkah Sheraton supaya tindakan sebegitu rupa tidak lagi berulang. Langkah DSAI adalah ‘rebooting’ situasi untuk memelihara semula proses demokrasi dan prinsipnya supaya mana-mana kerajaan yang akan dibentuk di masa hadapan mestilah daripada mandat rakyat melalui pilihanraya dan bukan tebuk atap.

d. Kesepaduan rakyat yang telah dinodai oleh sekelompok puak yang berfikiran perkauman sempit dan para penunggang agama yang menjadi pendokong tegar terbentuknya kerajaan PN hari ini. Propaganda terancang yang tidak ada asas semata menimbulkan kebencian kaum terbukti satu pembohongan. Langkah DSAI adalah menolak kelompok ini yang boleh menjejaskan kesepaduan rakyat dan misi DSAI ialah berusaha membentuk semangat Perpaduan Nasional yang akan menyumbang kepada penyelesaian krisis covid hari ini.

Jangan kita abaikan keperluan utama yang telah dijelaskan di atas kerana memenuhi kehendak tersebut akan meningkatkan lagi keberkesanan negara mengatasi krisis covid. Yang mempolitikkan covid ialah mereka yang mengambil alih kerajaan melalui ‘scheme of things’ tanpa visi dan lebih tertumpu mengagihkan habuan sebagai balasan sokongan. Sebab itu kerajaan PN membuat sesuatu yang tak pernah dibuat oleh mana-mana kerajaan, iaitu kabinet yang bersaiz xxxl, jaminan GLC kepada Ahli Parlimen dan hasilnya ialah anggota kabinet yang tidak kompeten dan MP yang hilang fokus mengendalikan krisis. Bagaimana polisi dan keputusan semasa dapat dijayakan jikalau anggota kabinet xxxl gagal berfungsi? Bagaimana pula persepsi penguatkuasaan yang dilihat berlaku secara sistem berkasta?

Jangan biarkan negara ini yang dilanda krisis pandemik dikendalikan oleh sebuah kerajaan tanpa mandat rakyat, lemah dan tanpa hala tuju nasional, kelak kita akan menyesal kerana mempertikaikan soal kewajaran atau atas alasan gencatan senjata.

Mari kita doakan langkah DSAI akan sampai dengan izin Allah pada 13 Oktober nanti di balai mengadap istana. Saya ingin ingatkan, jika sampai masanya nanti usahlah kita berseronok dan bersorak, kita harus insaf dan berendah diri kerana bebanan atas bahu DSAI dan majoriti MP yang menyokongnya lebih berat dari apa yang boleh kita bayangkan. Ia bukan tentang politik KUASA tetapi AMANAH dan TAKLIF menguruskan negara di saat krisis!

Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Naib Presiden AMANAH

Johor sedia menyusul jika kerajaan baharu di Pusat

AMNI JAGAT

Pakatan Harapan (PH) Johor hari ini bersedia untuk mengubah sekali lagi landskap politik negeri ini dengan perubahan kerajaan sekiranya perkara tersebut berlaku di peringkat pusat.

Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan dalam satu kenyataan berkata pihaknya dimaklumkan dengan kenyataan dari Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan perkenan menghadap ke bawah DYMM pada 13 Oktober nanti.

Katanya, sekiranya perubahan kerajaan itu berlaku ia juga akan melibatkan kerajaan negeri Johor yang dikatakan mempunyai majoriti yang terlalu tipis untuk bertahan sebagai sebuah kerajaan.

“Kita bersedia apa jua situasi termasuk untuk memerintah semula negeri ini dan agenda yang utama adalah memberikan semula semangat kepada rakyat berkenaan dengan suara mereka yang selama ini berkeramat.

“Apa-apa pun kita masih menanti detik 13 Oktober dan segala keputusan pihak kami akan menerimanya dengan secara terbuka tanpa ada sebarang masalah.

“Kita juga telah mengaturkan beberapa pertemuan sesama kita dalam PH supaya perkara ini diutuhkan lagi bagi persediaan apa sahaja termasuk mengambil alih semula kerajaan ini.

“Apa yang penting adalah mandat rakyat serta kebajikan mereka terjaga dan terbela bukan membiarkan rakyat terus berusaha sendiri dalam keadaan ekonomi mereka yang semakin meruncing hari ini,” katanya.

Beliau yang merupakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor ketika ditanya soal peralihan kuasa beliau memaklumkan pencapaian selama memerintah negeri Johor akan diteruskan bagi menjayakan misi mengutamakan rakyat Johor.

“Pengalaman dalam memerintah negeri dengan pencapaian yang baik dilakukan oleh kita akan terus digarap bagi membantu rakyat di negeri ini.

“Sekiranya peralihan kuasa itu berlaku di peringkat pusat dan Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kita di Johor turut bersedia meneraju semula negeri ini dan sudah pastinya pencapaian sebelum ini akan diteruskan,” katanya.

Menjawab pertanyaan berkenaan dengan penerimaan ahli-ahli Dewan Negeri (Adun) Johor di negeri ini, beliau menjawab pihaknya terbuka untuk membincangkan perkara tersebut.

“Kesediaan kita untuk berbincang dengan mereka yang mahu bersama PH boleh dilakukan. Apa yang penting adalah penerusan usaha memartabatkan rakyat perlu dijalankan segera bagi tujuan membantu mereka yang semakin tertekan,” katanya lagi.

Menurut rekod Dun di Johor mempunyai sebanyak 29 Adun Perikatan Nasional (PN) dan 27 Adun dari PH.

Politik Covid: Penurunan sokongan untuk Muhyiddin dan langkah Anwar

DR YUSRI IBRAHIM

Penghujung Mac lalu, populariti TS Muhyiddin sebagai PM memuncak naik, khususnya sejurus beliau membentang Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin bagi menangani pandemik Covid-19.

Pada waktu itu beliau dilihat sebagai penyelamat Malaysia, ucapan beliau sangat dinanti-nanti, gurauan beliau serba menjadi dan diterima oleh khalayak umum.

Ketepatan menangani Covid-19 pada waktu itu memberi pulangan politik (political miliage) yang besar terhadap kepimpinan beliau.

Namun tanpa diduga, hanya dalam tempoh enam bulan lebih populariti TS Muhyiddin kembali menjunam, juga disebabkan Covid-19.

Analisis sentimen menunjukkan bunga-bunga hilang kepercayaan (trust deficit) masyarakat awam terhadap kerajaan bermula apabila seorang menteri kabinet terlepas kuarantin sekembalinya dari luar negara.

Kegagalan menangani isu tersebut secara tuntas ditambah dengan pelbagai drama dolak dalih, menyebabkan rakyat mula mempertikai keseriusan kerajaan menangani ancaman virus itu.

Walau pelbagai hujah digunakan untuk mempertahankan tindakan menteri tersebut termasuk menghudhudkan tindakan beliau, kerajaan terpaksa membayar harga sangat mahal untuk kelemahan tersebut.

Insiden itu mencetus protes khalayak awam yang bukan sedikit, rakyat mula melihat kerajaan menggunakan dua set undang2 berbeza untuk menangani Covid-19, bangsawan dan marhain.

Ketidakpuasan yang bermula waktu itu mula berkembang dan memuncak pasca PRN Sabah apabila masyarakat awam sekali lagi mempertikai cara kerajaan mengendali elit politik yang balik berkempen dari sana.

Setelah bermula cemerlang Mac lepas, TS Muhyiddin nampaknya perlu mencari formula ampuh untuk meningkatkan kembali populariti beliau sebagai PM, sekaligus populariti Kerajaan PN.

Ucapan beliau dalam perutusan khas dua hari lepas tidak mencapai impak yang diingini bahkan jadi backfire, gurauan rotan pun tidak lagi mampu mencetus senyum seperti mauduk Makcik Kiah dan pelbagai gurauan lain sebelum ini.

Adun lantikan Sabah

Pasca PRN Sabah, hari ini KM Datuk Hajiji Noor melantik wakil Pas sebagai wakil rakyat lantikan untuk DUN negeri tersebut, mencetus sejarah baru kepada parti bernuansa Islam itu.

Lantikan tersebut merupakan langkah strategik untuk pengukuhan PN, khususnya sewaktu Umno sedang mempertimbang semula kerjasama dengan Bersatu.

Keputusan itu akan menguatkan lagi kerjasama Pas dengan Bersatu dan mengukuhkan keberadaan dalam PN, sekaligus mengurangkan pilihan Umno untuk meninggalkan kerjasama dengan Bersatu jika Pas memilih untuk kekal.

Walaupun langkah bijak, namun tindakan melantik Pas ke dalam DUN Sabah juga mendedahkan PN kepada risiko sokongan parti2 Borneo kepada perikatan tersebut.

Sama ada parti-parti di Sabah atau di Sarawak khususnya GPS, bukan rahsia lagi bahawa mereka kurang senang dan bimbang dengan penyertaan Pas dalam kerjasama mereka.

Mereka bimbang penerimaan terhadap Pas akan mengurangkan sokongan penduduk tempatan Borneo kepada parti2 lokal mereka, stigma sekian lama terhadap Pas.

Langkah Anwar

Asalnya risiko tersebut tidak terlalu besar, khususnya dalam masa terdekat, apatah lagi dengan jangkaan PRU akan ditangguhkan dulu buat sementara akibat Covid-19 sekarang ini.

Namun risiko itu kembali meningkat apabila Anwar hari ini mengumumkan telah mendapat perkenan Istana Negara untuk majlis mengadap KDYMM Tuanku YDPA.

Anwar mendakwa beliau akan menyembah maklum kepada YDPA bahawa beliau telah mempunyai majoriti sokongan untuk dilantik sebagai PM.

Sama ada dakwaan tersebut benar atau tidak bukan lagi menjadi isu, dakwaan itu sendiri dan keizinan mengadap telah berjaya mencetus polemik baru politik tanah air.

Dalam politik tiada yang mustahil, termasuk kemungkinan parti-parti Borneo mula merundingkan sokongan kepada Anwar dalam tempoh sehari dua sebelum menjelang Selasa ini.

Dakwaan oleh Anwar dan keizinan mengadap boleh jadi faktor penarik kepada rundingan ini, manakala lantikan wakil Pas dalam DUN Sabah berisiko jadi faktor penolak kepada PN oleh parti-parti Borneo khususnya GPS.

Inilah situasi politik negara kita sehari dua ini, situasi yang saya rumuskan sebagai Politik Kovid.

Politik Kovid ini akan terus bergerak dengan pantas, walaupun lenguh dan patah tangan Sayed Sadiq menekan butang pause.

Penulis adalah Ketua Penganalisis Ilham Centre.

Ketua Pembangkang memang jadi PM kalau kerajaan bertukar

RAYUSA

PENGGERAK Komuniti Negara (PKN), kumpulan yang dipercayai ada kaitan dengan Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 4 Oktober lalu mengenai sokongan majoriti ahli Parlimen terhadap beliau. PKN mendakwa, pengumuman Anwar itu berbau hasutan.

Oleh kerana berkiblatkan Azmin, maka usah ditanya di mana PKN ketika mantan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu melakukan ‘Langkah Sheraton’, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Muta’in Billah untuk menjadi Perdana Menteri (PM).

Azmin dan Tan Sri Muhyiddin berkolaborasi diam-diam ‘menumbangkan’ Kerajaan Pakatan Harapan (PH). Muhyiddin dijadikan Perdana Menteri (PM), dengan Azmin bersabar dahulu – dilantik sebagai antara Menteri Kanan, iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Setelah dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, beliau menyertai PPBM.

Justeru, kini PKN sibuk bersuara meminta pihak berkuasa menghentikan ‘kegilaan’ Datuk Seri Anwar mahu menjadi PM? Jika Covid-19 dijadikan alasan, semasa Azmin dan Muhyiddin mahu merampas kuasa itu juga negara sedang sibuk mengatasi ancaman wabak tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr Wan Azizah serta Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan lain-lain ketika itu sedang merangka strategi memerangi Covid-19 bersama-sama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Walau bagaimanapun, sewaktu kes mereda dan harapan berbunga untuk bebas Covis-19, keadaan negara tidak stabil. Kerajaan PH tumbang dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terumbang-ambing. Datuk Seri Dzulkefly bukan lagi menteri untuk mempimpin KKM menangani kes Covid-19 dengan sewajarnya.

Kenapa mengatakan Anwar gila mahu menjadi PM? Beliau Ketua Pembangkang, bukan ketua penyamun. Jika PH berkuasa semula, tentulah Anwar menjadi PM. Apa yang gilanya.

Adakah mengkhianati rakan-rakan PH oleh Azmin dan Muhyiddin itu yang siuman, dan halal? Usahlah terlalu menonjolkan diri sebagai pengampu Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Siapa yang sebenarnya gila mahu menjadi PM?

Muhyiddin dikatakan tidak dapat bersabar lagi. Beliau enggan menunggu lebih lama kerana bimbang penyokongnya dipenjarakan jika PH terus memerintah. Beliau akan susah kalau mereka sudah ‘di dalam’.

Apa masalahnya kalau Anwar mahu menjadi PM? Adakah semasa Anwar PM, semua pegawai kerajaan tiada gaji? Sekolah dan pusat kesihatan ditutup? Sukan dihapuskan? Pasar ditutup? Rakyat tidak boleh berkeluarga?

Kalau Anwar kemaruk dan gila menjadi PM, beliau telah ‘memancung’ Tun Dr Mahathir Mohamad, sekali gus membelakangi perjanjian dalam PH, iaitu memberi jalan kepada Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi PM selama dua tahun. Dikhabarkan Anwar akan menemui Yang di-Pertuan Agong minggu ini. Adakah kerana senarai 121 ahli Parlimen itu?

Kesabaran Anwar sudah terbukti tahap tinggi atau kata beliau sendiri, tahap dewa. Bayangkan sejak 1998 hingga kini, dan dua kali beliau mendekam di penjara. Azmin dan Muhyiddin pernah menghuni penjara? Bermalam di lokap Polis Diraja Malaysia pun tidak pernah.

Dari segi mana menghasutnya pengumuman Anwar itu? Azmin mengadakan ‘Langkah Sheraton’ bukan menghasut? Jika menghasut itu jenayah, mengkhianati rakan-rakan dan bergabung dengan musuh bukan jenayah? Menjatuhkan kerajaan sendiri tidak salah?

Mengumumkan mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen itu menghasut? Jika pemimpin PN mengatakan Anwar menjadi PM bukan kerana pilihan rakyat, Muhyiddin yang sebenarnya bukan pilihan rakyat, tetapi pilihan Yang di-Pertuan Agong. Muhyiddin sendiri menyedari perkara itu (tetapi, terus menjadi PM).

Silap kalau mengatakan Anwar gila jawatan/kuasa kerana beliau mengetuai PH yang dipilih oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei 2018.

Anwar dihalang antaranya kerana beliau dikatakan bersikap sama rata terhadap semua kaum. Beliau tidak mengira bangsa untuk disantuni. Adakah itu kesalahan jenayah hingga amat wajar disekat?

PKN perlu sedar rakyat Malaysia bukan orang Melayu sahaja. Nama pun Malaysia – sudah 57 tahun! Bukan Tanah Melayu lagi.

Kalau itu yang dijadikan alasan, ternyata PKN rasis. Menyedihkan kerana ketika pembinaan Malaysia Baharu, masih ada pihak yang masih berfahaman lama, dan perkauman – apatah lagi ada hubungan dengan Menteri Kanan Kerajaan PN.

Usah membangkitkan rasis dan mengatakan negara ini hanya untuk orang Melayu. Terimalah takdir yang ‘diusahakan’ oleh pentadbir negara masa lalu menerusi jus soli.

Akibat ‘hak untuk kawasan’/kewarganegaraan hak lahir itu, rakyat keturunan China (sekarang ejaannya Cina) dan India yang lahir di Tanah Melayu menjadi warganegara. Bukan sahaja menjadi rakyat, malah boleh mengundi dalam pilihan raya dan menjadi wakil rakyat!

Siapakah yang Umno lebih percaya, Muhyiddin atau Anwar jadi kunci kerajaan baharu

BORHAN AHMAD

Kegagalan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menjaga hati para pemimpin dan ahli Umno khasnya selepas pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini dipercayai telah menjadi sebab langsung kenapa kerajaan beliau bakal jatuh.

Inilah pandangan para pemerhati politik bahkan juga orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri selepas beliau (Anwar) diterima menghadap Yang Dipertuan Agong, yang dijadualkan Selasa 13 Oktober ini.

“Siapa yang Umno lebih percaya. Bos (Anwar) atau Muhyiddin. Terbukti Umno tidak boleh percaya kepada Muhyiddin selepas diberikan peluang untuk membentuk kerajaan bersama Umno.

“Kes di Sabah saya yakin menjadi punca utama Umno membuat keputusan untuk menyokong bos,” kata orang kanan Anwar kepada Malaysia Dateline.

Selepas Yang Dipertuan Agong bertemu dengan Anwar Selasa depan, baginda dipercayai akan bertemu dengan semua pegawai kanan kerajaan yang ada kaitan khasnya Muhyiddin sendiri di samping Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan lain-lain pihak.

“Oleh kerana Muhyiddin dalam kuarantin sehingga 16 Oktober, beliau dijangka akan dipanggil menghadap selepas itu.

“Jika semua berjalan lancar, Ahad atau Isnin (18 atau 19 Oktober) majlis angkat sumpah akan berlangsung,” kata sumber itu lagi.

Menurut beliau, jumlah ahli parlimen yang menyokong Anwar sudah cukup. Turut menyokong adalah parti Warisan pimpinan Datuk Seri Shafie Apdal.

Dalam pertemuan antara pemimpin AMANAH, DAP dengan Shafie dan Tun Dr Mahathir Mohamad minggu lalu, Mahathir memberitahu beliau tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Anwar.

“Saya tidak tolak Anwar. Dia yang tolak saya,” kata Tun Dr Mahathir kepada pemimpin dari AMANAH, DAP dan Warisan dalam pertemuan itu.

“Kalau macam itu lagi mudah,” kata orang kanan Anwar ketika diberitahu mengenai perkara itu. Beliau turut berkata, Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu diberikan mandat untuk berunding dengan Tun Dr Mahathir.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar mempunyai sokongan sekitar 123 MP tidak termasuk Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib dari Umno.

Turut tidak termasuk dalam senarai ketika itu adalah Tun Dr Mahathir dan penyokongnya.

“Najib dan Zahid tidak termasuk dalam senarai itu,” kata sumber kepada media yang membawa maksud hanya MP Umno yang menyokong bukan Umno keseluruhannya.

Ia disahkan oleh Zahid kemudiannya yang berkata, Umno tidak mempunyai hubungan dengan Perikatan Nasional, hanya MP Umno secara individu.

“Umno dan BN tidak dapat menghalang ahli-ahli parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong YB Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk mengadap KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan hasrat beliau sebagaimana dimaklumi.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli parlimen Umno dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli parlimen berkenaan,” kata Zahid dalam kenyataan selepas pengumuman Anwar 23 September lepas.

Sokongan MP Umno kepada Anwar sudah bertambah

Sumber PKR mendedahkan bahawa presiden parti itu, Anwar Ibrahim masih mempunyai sokongan kukuh dan menyakinkan daripada wakil rakyat Umno, sebelum dia dijadual mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan. Malah, katanya, sokongan ahli parlimen Umno kepada ketua pembangkang itu sudah bertambah berbanding pengumuman Anwar pada 23 September lalu."Ramai yang tanya betulkah Anwar mempunyai sokongan khususnya daripada Umno? "Ya, beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada ahli parlimen Umno "Malah, saya boleh beritahu bahawa sokongan wakil rakyat Umno sudah bertambah jika dibandingkan (semasa) pada sidang media Anwar pada 23 September yang lepas," kata sumber itu Sumber yang rapat dengan Anwar itu tetapi tidak mahu identitinya didedahkan menegaskan bahawa anggota parlimen Port Dickson itu turut mendapat sokongan daripada ahli parlimen di Sabah dan Sarawak.

"Berkenaan berapa jumlah wakil rakyat dan siapa mereka, akan diketahui dalam masa terdekat. Harap semua bersabar.”

Terdahulu, hari ini Anwar mengesahkan bahawa dia akan mengadap Seri Paduka untuk mempersembahkan butiran bahawa dirinya  mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Anwar menghadap Agong hari Selasa 13 Oktober

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa dia akan mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan untuk mempersembahkan butiran bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Saya ingin menjunjung kasih kerana Ke bawah Duli Tuanku telah memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober, Insya-Allah.

“Pada majlis mengadap tersebut saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

“Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 23 September lalu, presiden PKR itu pada satu sidang media mendakwa dia mempunyai sokongan yang "kukuh dan menyakinkan" untuk menubuhkan kerajaan persekutuan dan mempunyai "dokumen tetap yang tidak boleh diragui" bagi membuktikannya.

Dia turut berkata telah diperkenan untuk mengadap Al-Sultan Abdullah pada hari sebelumnya tetapi ia terpaksa ditangguhkan susulan kegeringan baginda.

Perkara itu turut disahkan Istana Negara dalam satu kenyataan pada hari sama Anwar membuat sidang medianya.

Seri Paduka dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) sejak 21 September dan berangkat pulang ke Istana Negara pada 3 Oktober lalu.

Ada yang mendakwa ini sekadar gimik Anwar, tidak kurang yang mendakwanya berbohong, dan ada pula tidak yakin memandangkan itu bukan kali pertama dia membuat dakwaan sedemikian.

Namun, kenyataan Anwar dikuatkan dengan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa dia dimaklumkan ramai ahli parlimen Umno dan BN menyokong Anwar, dan hal itu tidak dapat dihalang oleh parti.

Gabungan Parti sarawak (GPS) pula yang sebelum ini diura-urakan akan menyokong Anwar, menepis dakwaan tersebut dan menzahirkan sokongan teguh kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin sendiri menegaskan dia masih perdana menteri selagi mana Anwar tidak membuktikan sokongan majoriti yang didakwanya.

Seri Paduka pada Februari lalu juga berdepan dengan krisis seumpama itu susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri, selepas Muhyiddin membawa keluar parti Bersatu daripada Pakatan Harapan sehingga menyebabkan tumbangnya kerajaan itu.

Baginda seterusnya bertemu semua 222 ahli parlimen sebelum melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri baru setelah presiden Bersatu itu membentuk kerjasama dengan Umno-BN, PAS, GPS, PBS, dan Star yang dinamakan Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, majoriti tiga kerusi dimiliki PN menyebabkan kerajaan yang terbentuk berada dengan kedudukan goyah di Parlimen.

Senarai lokasi terjejas Covid-19 (8 Okt)

Dalam beberapa hari terakhir ini, pelbagai lokasi, termasuk sekolah, universiti, pusat beli-belah, bank, pejabat dan kediaman dilaporkan mempunyai kes Covid-19.

Berikut adalah lokasi yang disahkan yang dilaporkan terjejas hari ini.

Bagaimanapun, senarai ini tidak termasuk lokasi yang ditutup sementara menunggu keputusan ujian swab pada individu yang sedang dalam siasatan.

Lokasi yang terlibat telah dinyahkuman.

Malaysiakini akan mengemas kini senarai ini kerana lebih banyak lokasi diumumkan.

Sekolah

SK Mempagar
Beberapa pengundi di daerah Beaufort, yang keluar mengundi semasa pilihan raya Sabah pada 26 September, diuji positif.

Pejabat Kesihatan Beaufort menggesa mereka yang menggunakan saluran mengundi tiga dan empat, iaitu pengundi yang mengundi dari jam 3 hingga 5 petang, untuk mengirim pesanan teks ke 019 6056704 dengan nama penuh, nombor IC, nombor telefon untuk dihubungi dan waktu mereka membuang undi.

SMK Seri Kembangan
Seorang pelajar perempuan di SMK Seri Kembangan diuji positif semalam, menurut Adun Ean Yong Hian Wah.

Dia berkata kerja pembersihan dilakukan di sekolah malam tadi dan menggesa rakan sekelas pesakit lain untuk melakukan ujian swab sukarela.

SK Bangsar
Pengurusan SK Bangsar diberitahu oleh penjaga kepada dua pelajar bahawa anak jagaan mereka diuji positif dengan Covid-19.

Ketika dihubungi petang ini, seorang anggota kanan pengurusan mengatakan bahawa mereka masih menunggu pengesahan dari Kementerian Kesihatan.

SMK Mutiara Labuan
Bernama memetik pengarah Jabatan Kesihatan Labuan bahawa SMK Mutiara di wilayah itu telah diperintahkan untuk tutup sementara mulai hari ini.

Perintah itu dikeluarkan setelah seorang pelajar diuji positif.

Pengangkutan awam

Nilai Sentral dan KLIA2
Kes dilaporkan melibatkan individu yang menaiki bas (myBAS, nombor pendaftaran NDH 2259) dari KLIA2 Platform B10 ke Nilai Sentral, berlepas pada jam 9 malam dan tiba pada pukul 10 malam pada 30 September.

Penumpang lain diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Seremban di talian 06-763 4809.

Pusat beli-belah

One Utama
Seorang pekerja di Parkson One Utama diuji positif Covid-19, menurut laporan oleh Sinchew Daily.

Dikatakan bahawa premis itu akan ditutup mulai hari ini sehingga diberitahu kelak.

Setia City Mall
Pengurusan pusat beli-belah itu memaklumkan bahawa seorang ahli gim Fitness First di pusat beli-belah ini positif Covid-19.

Semua kakitangan yang terlibat telah menjalani ujian dan akan menjalani kuarantin.

Kediaman

Metropolitan Square, Petaling Jaya
Seorang penduduk di Blok F didapati positif pada 5 Oktober, kata pihak pengurusan dalam notis kediaman yang dilihat oleh Malaysiakini.

Desa Impiana, Puchong Prima
Pengurusan Impiana Condo telah mengeluarkan notis semalam untuk memberitahu bahawa dua penduduk di Blok H telah diuji positif Covid-19.

Mengikut notis dan pengurus operasi kondo, Wan Mohd Asyraf, kedua-dua penghuni tersebut adalah pasangan yang baru pulang dari kawasan berisiko tinggi dan mereka telah dibawa ke hospital oleh pihak kesihatan pada 4 Oktober.

Pejabat kerajaan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya
Seorang pemandu yang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Kesihatan dan Alam Sekitar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diuji positif semalam, menurut sumber.

Lelaki berusia 20-an itu dikatakan tidak bekerja kerana demam selama seminggu sebelum dia diuji positif.

Menurut sumber, antara tempat yang dikunjungi individu itu sebelum dia jatuh sakit adalah sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Muhyiddin perlu berundur secara bermaruah!

DZULHILMI ZAIN

Pelbagai isu timbul sejak kebelakangan ini yang melibatkan kegusaran dan keresahan rakyat secara keseluruhannya, terutamanya apabila peningkatan kes penularan wabak Covid-19 naik mendadak dan ianya disusuli kematian seorang bayi di Semporna, Sabah.

Secara kronologinya, Muhyiddin mula berhadapan dengan krisis kepimpinannya apabila 2 Timbalan Menteri Kesihatan yang didapati melanggar SOP atau standard piawaian yang telah ditetapkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan sedang dijalankan kira-kira 4 bulan yang lepas.

Hari demi hari, detik demi detik dan saat demi saat, beliau terbukti gagal dalam menguruskan seluruh jentera kabinet dan kerajaan apabila pelbagai isu ketidakadilan berlaku sehingga didapati sebahagian besar ahli politik yang terdiri daripada pegawai kerajaan, menteri dan timbalan menteri didapati tidak kuarantin selepas pulang daripada berkempen sempena Pilihanraya Negeri Sabah.

Ianya bertambah parah apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Dr Dzulkifli Al-Bakri telah disahkan positif Covid-19 baru-baru ini.

Tan Sri Muhyiddin perlu kembali kepada masalah dasar yang sebenarnya beliau hadapi sejak hari pertama beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 8 iaitu legitimacy ataupun keabsahan kerajaan pimpinan beliau.

AMK Damansara menuntut dengan setegas-tegasnya supaya Tan Sri Muhyiddin mengadakan persidangan khas parlimen bagi menentukan sama ada beliau memiliki sokongan majoriti ahli parlimen ataupun sebaliknya, demi memastikan kestabilan politik tanah air dan segala urusan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar.

Tan Sri Muhyiddin perlu berani menegakkan kebenaran demi kemaslahatan rakyat dan negara dengan berundur secara bermaruah selepas siri kegagalan pengurusan beliau dalam mentadbir kerajaan selama 8 bulan ini.

—————————-
Penulis adalah Ketua AMK Damansara

MB Kedah: Ramai lagi orang mati sebab denggi dari Covid-19

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Mohd Nor berkata, kerajaan negeri tidak boleh disalahkan atas lonjakan kes di negeri tu kerana ia bukan sesuatu yang dapat dapat dijangkakan.

Dia berkata demikian selepas Kedah mencatatkan 153 kes hari ini, yang kebanyakannya dikesan di penjara Alor Setar.

“Kluster Tembok ni, orang kata Kedah tak pandai buat kerjalah, apa. Kita nak buat macam mana? Benda tu nak mai. Benda tu tak nampak.

“Kita bukan nak dosa apa. Dia pandemik dan ada orang mati lebih banyak denggi, malaria, H1N1, taun, TB (batuk kering)…dan apa lagi yang tidak ada ubat nak merawatnya pun.

“Lama-kelamaan kita kena terima Covid-19 ni ada di sekitar kita dan kita menimbulkan stigma yang berlebihan,” katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman hari ini.

Bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat exco, dia berkata pesakit Covid-19 kini dilihat seperti orang yang melakukan dosa walaupun mereka tidak melakukan apa-apa apabila dijangkiti.

Tambahnya, pesakit HIV/AIDS juga telah diterima oleh masyarakat walaupun mereka kemungkinan dijangkiti disebabkan aktiviti yang tidak bermoral.

“Pandangan awam sekarang seolah-olah orang yang positif Covid buat dosa dan patut dikecam, termasuk menteri agama pun orang kecam…bukan dosa apa, dia terkena.

“Siapa pun yang minta kena Covid? Tuan-tuan pun tak minta. Kalau di kalangan tuan-tuan ni ada yang kena Covid, bukan kehendak kita.

“Kita buat kerja, tiba-tiba terkena kepada pandemik. Ini bukan Aids atau HIV (yang mana) antara penularan HIV ni (dari) seks songsang. Ini haram, tak boleh, dosa,” katanya.

Berhenti salahkan ahli politik

Malaysia berdepan dengan gelombang baru Covid-19 seluruh negara, susulan kluster dari penjara di Sabah dan Kedah, kluster pendatang tanpa izin di Sabah dan juga individu yang mempunyai sejarah perjalanan di kawasan zon merah di Sabah ke seluruh Malaysia.

Pada 5 Okt, Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad dilaporkan sebagai menteri kabinet pertama yang positif Covid-19.

Dia pulang dari Sabah pada 24 September dan kemudian mengunjungi enam negeri dan wilayah lain, sehinggalah dia didapati positif.

Dia tidak menjalani kuarantin kendiri kerana arahan berkenaan yang dikenakan kepada mereka yang baru pulang dari Sabah hanya dimaklumkan pada 27 Sept.

Bagaimanapun, dia telah mendapat kecaman orang ramai kerana tidak menjalani kuarantin kendiri dan sebaliknya melakukan perjalanan antara negeri selepas pulang dari kawasan berisiko Covid-19.

Di media sosial, tanda palang #KlusterMenteri telah menjadi trending selepas tujuh menteri kabinet diarahkan menjalani kuarantin kendiri ekoran mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli.

Selain Zulkifli, 10 ahli politik lain telah disahkan positif selepas pulang dari berkempen di Sabah. Ia telah mengundang kemarahan masyarakat.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi berkata kemarahan itu tidak adil dan patut dihentikan kerana bukan hanya ahli politik yang dijangkiti setelah pulang dari Sabah.

“Saya rasa ini patut dihentikan. Kita tak minta sakit itu,” katanya.

Covid-19: Rakyat ada hak ambil tindakan mahkamah terhadap kerajaan

MUHAMMAD RAFIQUE RASHID ALI
Peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 kebelakangan ini amat memeranjatkan. Semalam, angkanya mencecah 691 kes berbanding 260 kes baharu pada 1 Oktober.

Keseluruhan rakyat menyuarakan kebimbangan dan kritikan pedas terhadap pihak kerajaan yang dilihat tidak berkeupayaan untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam membendung penyebaran wabak berbahaya ini.

Artikel ringkas ini bertujuan untuk melihat dan mengenalpasti apakah punca-punca peningkatan kes secara mendadak tersebut dan apakah remedi undang-undang yang tersedia kepada rakyat untuk membawa tindakan undang-undang terhadap kerajaan.

Gelombang pertama wabak Covid-19 melanda negara pada 24.01.2020 sehingga 13.02.2020. Dalam tempoh itu hanya 22 kes dicatatkan. Kemudiannya sifar kes mulai 14.02.2020 sehingga 27.02.2020.

Walaubagaimanapun, keupayaan kerajaan Pakatan Harapan dalam membendung wabak ini tidak dapat dinilai dengan adil kerana mereka mempunyai tempoh yang singkat di mana kerajaan PH jatuh pada 24.02.2020.

Pada 24.02.2020, negara dilanda krisis politik yang mengakibatkan jatuhnya kerajaan PH. Pada 01.03.2020, Tas Sri Muhyiddin Yasin dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Dr. Mahathir dan kemudiannya membentuk kerajaan baharu.

Dato’ Adham Baba kemudiannya dilantik menjadi Menteri Kesihatan yang baharu. Untuk rekod, dari 27.02.2020- 18.03.2020, sebanyak 768 kes dicatatkan.

Melalui penguatkuasaan PKP, PKPB dan PKPP, kerajaan Tan Sri Muhyiddin dilihat mampu membendung penularan wabak Covid-19 tetapi tempoh 31.08.2020 sehingga hari ini (06.10.2020) adalah menarik perhatian rakyat kerana peningkatan yang amat-amat ketara.

Kami telah melihat kembali pola penularan wabak Covid-19 ini mulai gerakan oleh kerajaan pusat di Sabah. Pada 29.07.2020, Tan Sri Musa Aman mengumumkan beliau mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu Sabah.

Pada 30.07.2020, Yang Di-Pertua Sabah telah berkenan untuk membubarkan DUN Sabah. Pada 27.08.2020, SPR mengumumkan bahawa PRN Sabah akan diadakan pada 26.09.2020 dan penamaan calon adalah pada 12.09.2020. Tempoh berkempen bermula pada 12.09.2020 sehingga jam 11.59 malam 25.09.2020.

Ahli-ahli politik dari serata negara termasuk Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalan Menteri serta Exco-Exco Negeri telah ke Sabah untuk berkempen. PRN Sabah ini terpaksa diadakan memandangkan cubaan mengambil alih kuasa sah pilihan rakyat di tangan kerajaan Warisan.

Ini jelas apabila TS Musa Aman menamakan Menteri Dalam Negeri dan seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri yang terlibat berjumpa dengan TYT Yang Di-Pertua Sabah.

Peningkatan kes secara mendadak dilihat telah berlaku bermula dari tempoh pembubaran DUN Sabah sehingga kini. Ini antara lainnya disebabkan oleh Menteri-Menteri dan ahli-ahli politik yang berkunjung ke Sabah telah tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.

Walaupun Sabah adalah ‘kawasan merah’, namun mereka semasa berkempen telah tidak mematuhi SOP yang ditetapkan. Sedikit sebanyak perkara ini diakui sendiri oleh Tan Sri Muhyiddin di dalam Perutusan Khas semalam.

Apa yang lebih memeranjatkan selepas mereka pulang ke Semenanjung, mereka telah tidak melakukan sebarang kuarantin selama 14 hari. Mereka masih bergerak bebas menjalankan tugas seperti biasa demi menjadi ‘kerajaan popular’ di mata rakyat.

Menteri Kanan (Pertahanan) DS Ismail Sabri baru-baru ini berkata bahawa kes positif dari Sabah tidak hanya melibatkan ahli politik sahaja bahkan orang awam juga. Menteri Kesihatan pula berkata bahawa peningkatan kes adalah disebabkan oleh kealpaan rakyat dalam mematuhi SOP.

Pada 12.09.2020, DS Ismail Sabri dilaporkan berkata bahawa tiada kuarantin adalah diwajibkan untuk mereka yang pulang dari Sabah. Pada 29.09.2020, beliau selanjutnya menyatakan melalui akaun Facebook miliknya:

“Perlu kuarantin di rumah sehingga dapat result. Dengan izin Allah selepas result negatif perlu ke klinik kesihatan untuk potong gelang kuarantin. Ramai yang tanya kenapa bukan 14 hari? Rentas negeri kita benarkan. Sabah samalah dengan negeri lain.

“Seperti Kedah, terdapat kes mendadak kita tidak kuarantin pun mereka yang datang dari Kedah. Namun kita buat swab test mereka yang balik dari Sabah kerana peningkatan kes. Swab test untuk kepastian status. Jika negatif terus lah dibebaskan dari kuarantin.

“Lagipun, seluruh Sabah tidak ‘red zone’ kecuali 4 daerah. Walaupun dah bebas kerana negatif namun mesti teruskan kawalan kendiri. Patuhi setiap SOP” .

Kecuaian oleh kerajaan dalam menangani penyebaran wabak berbahaya ini hingga menyebabkan kesusahan dan/atau kerugian kepada rakyat, maka rakyat mempunyai hak untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan di mahkamah.

Sama ada tindakan undang-undang tersebut akan dibenarkan oleh mahkamah atau tidak, ianya adalah perkara lain.

Sebagai contoh, di dalam kes Kerajaan Malaysia & Ors v Lay Kee Tee & Ors [2009] 1 MLJ 1, kesemua 184 Plaintif-Plaintif adalah sama ada orang yang mengalami penyakit akibat daripada Japanese Encephalitis (‘JE’)/virus Nipah atau tanggungan orang yang mati akibat daripada JE/virus nipah atau pemilik ladang khinzir yang terjejas akibat daripada JE/virus Nipah.

Bimbang mengenai virus tersebut, Plaintif-Plaintif yang terlibat meminta kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk mengawal virus daripada merebak. Kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri tersebut masing-masing telah gagal bertindak dengan segera, sebaliknya membenarkan dan/atau menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan Plaintif-Plaintif mengalami kesakitan.

Kausa tindakan Plaintif-Plaintif adalah, antara lain, untuk kecuaian, kemungkiran tanggungjawab fidusiari, pelanggaran kewajipan statutori, kecuaian salah nyata, fraud, kehilangan hak-hak asas secara yang salah di sisi undang-undang, misfeasans jawatan awam dan pencerobohan terhadap tanah, bangunan dan barangan.

Di dalam kes Master Brisbane ak Itang v Robinson Lee & Ors [2014] 2 MLJ 565 pula, isu yang timbul ialah sama ada Jabatan/Kementerian Kesihatan terhutang kewajipan berjaga-jaga kepada perayu untuk memastikan perayu sudah diimunkan terhadap virus Japanese Encephalitis (‘JE’).

Harus ditekankan di sini bahawa meskipun kedua-dua kes di atas ditolak oleh Mahkamah, apa yang penting adalah bahawa satu tindakan undang-undang di bawah tort kecuaian boleh dibawa oleh rakyat yang terjejas dengan tindakan dan/atau omission oleh kerajaan dalam membendung penyebaran wabak ini.

Maka, persoalannya adalah adakah Kerajaan ini harus dibiarkan terus menerus alpa dan lalai dalam tanggungjawabnya tanpa sebarang mekanisme untuk ‘merotan’ mereka?

Artikel ini bermaksud untuk menelusuri tindakan perundangan yang mungkin boleh digunapakai sebagai satu mekanisme semak imbang.


*Disediakan oleh: Law Practice of Rafique, Peguambela & Peguamcara, Shah Alam.

Kak Wan Azizah masuk hospital sejak semalam (Gambar)


Bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak semalam.

Suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan perkara itu melalui kemas kini laman Facebook beliau.

“Azizah dirawat di PPUM sejak semalam. Covid-19 negatif. Pemeriksaan umum diteruskan.

"Doakan, insya-Allah,” tulis Anwar tanpa menyatakan masalah kesihatan yang dihadapi isterinya.

PERUTUSAN KHAS PM BANYAK PEMBOHONGAN, DIKECAM DAN RAMAI INGIN BELIAU SEGERA DIHUMBAN

Shahbudin Husin
Walaupun Muhyiddin Yassin sedang dikuarantin di kediamannya selama 14 hari buat kali kedua ketika ini, perutusan khas secara langsung yang disampaikannya petang semalam tetap dikecam ramai, malah ditolak oleh majoriti rakyat.

Rata-rata rakyat bersuara memperlekeh tindakan Muhyiddin yang asyik melakukan perutusan khas, sedangkan isi yang disampaikannya bukan perkara baru, sudah diketahui umum, tidak penting, mengarut, hanya untuk membela diri sendiri serta terselit beberapa pembohongan.

Kalau sekadar mahu menyampaikan isi-isi yang begitu, lebih baiklah Muhyiddin berehat dan bermain dengan cucu-cucu saja dalam tempoh kuarantin ini.

Kata mereka, mesej dalam perutusan khas sepatutnya melibatkan perkara penting untuk rakyat dan sebab itu perutusan khas bukan boleh dilakukan terlalu kerap, misalnya setahun sekali atau ketika hari-hari kebesaran tertentu saja.

Ini perutusan khas apa namanya kalau ia dilakukan hampir setiap bulan dan sejak memegang jawatan PM sejak Mac saja hampir 10 kali perutusan khas telah disampaikan oleh Muhyiddin.

Ramai yang berharap agar tiada lagi perutusan khas disampaikan Muhyiddin selepas ini, sebaliknya lebih wajar beliau menunjukkan keberaniannya dengan mengadakan sidang media dengan para wartawan bebas bertanyakan soalan kepadanya.

Dengan asyik mengadakan perutusan khas dan takut berdepan secara terbuka dengan media, Muhyiddin kini adalah satu-satunya Perdana Menteri yang paling lekeh dan berjiwa kecil berbanding semua Perdana Menteri sebelum ini.

Yang paling membuatkan rakyat meluat dan menyampah ialah kata-katanya mahu merotan mereka yang enggan mematuhi SOP untuk mencegah penularan Covid-19.

Kata-kata itu tidak lebih hanya merupakan suatu retorik untuk menunjukkan ketegasannya sedangkan Khairuddin Attakiri yang melanggar perintah kuarantin dan Zulkifli Albakri yang didapati selalu tidak memakai pelitup muka dalam beberapa program sekembalinya dari Sabah sehingga akhirnya disahkan positif Covid-19, tidak pun berani dijentiknya.

Kalau betul nak merotan, rotanlah dulu Attakiri dan Albakri, dua menterinya itu terlebih dahulu.

Muhyiddin seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan tidak bersikap “double standard” dalam bertindak terhadap mereka yang melanggar arahan dalam mengawal penularan Covid-19.

Heyyy…janganlah temberang kuat sangat, kalau tiada “double standard”, mengapa kes Attakiri yang sudah begitu lama berlalu, tetapi masih belum ada apa-apa tindakan?

Kalau rakyat biasa tidak memakai pelitup muka didenda RM1000, mengapa menteri yang tidak memakainya tidak dikenakan apa-apa denda?

Selain itu, dalam usahanya membela diri konon beliau sentiasa mematuhi SOP ketika berkempen dalam PRN Sabah, Muhyiddin mengatakan, selepas saja berceramah, beliau akan terus pulang dan tidak melibatkan diri dalam sebarang perkumpulan dengan orangramai.

Namun, berdasarkan beberapa keping gambar yang didedahkan di media sosial, banyak sekali terdapat beliau bersama dengan orangramai selepas berkempen dan dalam keadaan penjarakan fizikal tidak dijaga.

Tidakkah dalam hal ini Muhyiddin sebenarnya telah berbohong?

Muhyiddin juga cuba meletakkan kesalahan berkenaan pembubaran DUN Sabah kepada TYT negeri itu sehingga PRN terpaksa diadakan dan seterusnya menyebabkan Covid-19 menular semula.

Katanya, oleh kerana pembubaran dilakukan oleh TYT Sabah, maka tidak dapat dielak daripada diadakan pilihanraya.

Sekali lagi, Muhyiddin cuba berbohong sambil tidak menghormati kedudukan TYT Sabah selaku ketua negeri tersebut.

Dalam hal tersebut, siapakah yang membuat kacau dan cuba menjatuhkan kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal?

Bukankah ia dilakukan oleh Musa Aman yang melakukannya setelah 46 kes rasuah dan penggubahan haram melibatkannya digugurkan secara tiba-tiba oleh Jabatan Peguam Negara?

Berkaitan hal yang sama, siapa pula yang menghantar Menteri Dalam Negeri merangkap Setiausaha Agung Bersatu, Hamzah Zainuddin dan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Nardin Awang ke Sabah untuk membantu Musa Aman dalam usahanya menumbangkan Shafie Apdal?

Kalau kerajaan negeri pimpinan Shafie Apdal tidak diganggu dan Hamzah serta Nardin tidak terlibat membantu Musa, apakah mungkin DUN Sabah dibubarkan?

Siapa yang Muhyiddin cuba bohongi dalam perutusan khasnya kali ini?

Yang nyata, perutusan khas semalam lebih menyerlahkan penolakan rakyat yang semakin melebar terhadap Muhyiddin.

Ternampak begitu ramai yang mengecam, meluahkan rasa marah, benci dan ingin menolaknya daripada terus menerajui negara ini.

Ia kemudian disusuli dengan tanda pagar #MuhyiddinOut, #AbahResign dan #NotMyPM yang semakin sarat dan meluas di media sosial.

Baru lapan bukan menduduki pejabat di Perdana Putra, Muhyiddin nampaknya lebih cepat dikecam, ditolak dan ingin dihumban berbanding Najib Razak dahulu.(Shahbudindotcom 07/10/2020)

MP yang menyokong Anwar termasuk orang Azmin Ali?

Anwar ada sokongan yang cukup, kata orang kanan Najib
SITI NUR ZAWANI MISCON


Exco Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo mengakui menerima maklumat bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sememangnya sudah mempunyai sokongan daripada majoriti ahli Parlimen.

Menerusi sedutan video berdurasi 37 saat yang disebarkan di media sosial, orang kanan Najib itu mendakwa senarai sokongan ahli Parlimen termasuklah dalam kalangan penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sendiri.

Katanya, mereka yang melompat keluar dari PKR sudah mula kembali kepada Anwar Ibrahim.

“Anwar Ibrahim sudah mempunyai sokongan daripada majoriti ahli Parlimen. Ini info yang saya dapat cuma saya tak tahu berapa banyak dan berapa angka.

“Daripada apa yang dimaklumkan, memang Anwar ada angka. Termasuklah mereka sebelum ini bersama Azmin yang lompat daripada PKR, sudah kembali pada Anwar Ibrahim,” katanya.

Terdahulu, timbul desas desus yang mendakwa beberapa penyokong Azmin Ali menukar kem selepas disisihkan dalam beberapa Bersatu bahagian dan negeri.

Mereka dikatakan mula mencari jalan menyokong kembali Presiden mereka, Anwar sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin dan Hamzah punca Covid-19 melonjak

MALAYSIA DATELINE

Orang kanan Datuk Seri Najib Razak mendakwa, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bertanggungjawab apabila kes Covid 19 meningkat mendadak.

Datuk Lokman Noor Adam berkata, kerana tindakan mereka berdua mahu merampas kerajaan negeri Sabah lah menyebabkan Datuk Seri Shafie Apdal memohon Yang Dipertuan Negeri Sabah membubarkan Dewan Negeri Sabah.

“Dua manusia inilah yang melakukan gerakan merampas kerajaan negeri Sabah daripada tangan Warisan akibatnya berlakulah kluster Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temubual di Facebooknya baru-baru ini.

Tambah beliau, sepatutnya semua yang berusaha merampas kerajaan negeri Sabah haruslah bertanggungjawab.

Ketika ditanya, mengapa Menteri Kesihatan tidak menasihati Perdana Menteri terlebih dahulu Lokman berkata “PM ni bukan nak dengar pun orang nasihat”.

“Menteri Kesihatan orang Umno, PM dan Menteri KDN orang Bersatu,” ujar beliau.

Semalam dalam perutusan khas, Muhyiddin mengakui kempen pilihan raya di negeri Sabah menjadi antara punca peningkatan kes Covid-19.

PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Tuan Yang Terutama Yang di- Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah pada 30 Julai yang lalu.

Perkara penting berlaku dalam masa 14 hari, kata orang kanan Najib

MALAYSIA DATELINE

Siber trooper Datuk Seri Najib Razak menjangkakan akan berlaku perkara penting dalam politik negara dalam masa 14 hari ini yang bakal mengubah lanskap politik negara.

Blogger Papa Gomo ataupun Papa Azri atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, suka atau tidak suka itulah yang akan berlaku.

“Apa pun dalam masa 14 hari ini akan ada pekara penting yang berlaku yang mana sekali lagi akan mengubah landskap politik negara.

“Suka atau tidak suka memang itulah permainan politik yang menjadikan kita akar umbi terpalit dengan apa yang berlaku,” katanya.

Bagi beliau, rakyat pastinya berang dengan pementasan politik yang bakal berlaku.

“Namun Rakyat lah juga yang menjadi taruhan kita menyelamatkan negara ini jatuh ke tangan yang salah.

“Bukan semua rakyat faham apa itu politik tetapi setidak tidaknya selepas PRU14 rakyat sudah melihat bagaimana tangan yang salah pangkah hampir menghancurkan negara ini,” kata blogger yang pernah di sebut sebagai salah seorang penulis upahan untuk isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor itu.

Walau apapun yang berlaku, beliau meminta semua pihak jangan susah hati.

“Nasihat Aku, biarkan ianya berlaku dan berbangga lah bahawa kita merupakan sebahagian sejarah yang tercipta.

“Suka atau tidak ianya tetap akan berlaku. Kemaruk Gila kuasa nak jadi Perdana Menteri tak dapat dibendung lagi,” katanya yang dipercayai ditujukan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam sidang medianya 23 September lepas, Anwar berkata, beliau mempunyai sokongan yang kuat untuk membentuk kerajaan baru di negara ini.

Orang kanan beliau, Datuk Johari Abdul pula berkata, mereka menunggu pintu istana dibuka untuk masuk menghadap Yang Dipertuan Agong.

Dulu jemaah tabligh dikecam, kini jemaah PRN Sabah lonjak kes Covid-19

RAYUSA
SAYA menulis artikel ini pada lewat 2 Oktober selepas terkejut dengan jumlah kes baharu Covid-19 hari tersebut, iaitu 287.

Apabila menyambungnya pada lewat 3 Oktober pula, catatan bukan sahaja memeranjat, malah merisau dan menyedihkan. Sebanyak 317 kes pula, iaitu yang tertinggi sejak wabak pandemik ini melanda negara.

Sengaja saya menunda untuk menyiapkan artikel ini kerana mahu menunggu catatan pada 4 Oktober. Biarpun Alhamdulillah jumlah kes baharu menurun kepada 293, tetapi ia masih tiga angka dan empat hari berturut-turut di sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) fasa 2. Fasa pemulihan apa kalau berterusan tiga angka begini?

Setakat ini, hanya tiga hari berturut-turut tiga angka, iaitu dari 27 hingga 29 September – masing-masing 150, 115 dan 101 kes. Jumlah 293 lebih tinggi daripada 260, dan 287.

Setelah Malaysia dipuji-puji, dan dibangga-banggakan kerana berjaya membendung penularan Covid-19 dalam masa yang relatif singkat, keadaan sekarang menjadi sebaliknya.

Jumlah kes tertinggi sebelum ini ialah 277, yang dicatatkan pada 4 Jun. Tidak disangka semakin tinggi ketika harapan berbunga negara kita akan mampu bebas Coronavirus. Malaysia pernah mencatat jumlah kes terendah dua kali, iaitu hanya satu kes pada 1 Julai, dan 4 Ogos.

Malang sekali dan mungkin juga takdir yang terpaksa ditelan. Walau bagaimanapun, semua yang berlaku di dunia ini ada sebab, dan akibatnya. Lantaran jumlah kes terendah pernah dicatatkan, dan turun naik pada dua angka, ramai yang semakin alpa.

Peraturan dalam prosedur operasi standard (SOP), terutamanya penjarakan fizikal satu meter kian dilupakan. Topeng pelitup separuh muka memang dipakai, tetapi kaedah dan niatnya masih boleh dipertikai – ada yang lebih takut didenda RM1,000 dan suka meletakkan di bawah dagu.

Pun masih ada juga yang tidak memakai topeng pelitup separuh muka. Adakah mereka kebal atau bebal? Ada yang melagakan penumbuk, malah berjabat tangan seperti biasa ketika bertemu.

Mengapa kes baharu Covid-19 mencanak semula, terutama setelah PKPP kian jauh memasuki fasa dua mulai 1 September lalu?

Menyalahkan pelaksanaan PKPP mulai 10 Jun (banyak kelonggaran) semata-mata sebagai puncanya kurang wajar. Begitu juga dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum itu dari 4 Mei hingga 9 Jun. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 3 Mei memang berkesan membendung penularan wabak maut tersebut.

Namun demikian, ekonomi negara pula kian meruncing dan akan lumpuh jika PKP berterusan sekian lama.

Justeru, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi, dan sosial yang diarah tutup, dibuka semula dengan penguatkuasaan SOP kesihatan yang ketat.

Langkah tersebut diambil agar ekonomi negara tidak lumpuh lantaran kegiatan perniagaan tidak berjalan, atau kurang rancak.

Jumlah kes baharu harian Covid-19 masih terkawal, dan turun naik. Kerap tercatat dua angka biarpun ada peringatan daripada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa PKP akan dilaksanakan semula jika kes kembali mencatatkan tiga angka!

Wajarkah (perlu) PKP dilaksanakan semula? Saya fikir, mahu tidak mahu, mungkin itu sahaja yang mampu membendung masalah sekarang. Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri pada 1 Oktober lalu bertanya dalam akaun Twitter beliau, ‘Boleh kita semua duduk di rumah semula buat sementara waktu?’

Ada yang berpendapat setelah kembali mereda, PKP ditukar kepada PKPB kemudian PKPP semula, dan kes rancak kembali. Seperti déjà vu, ia berulang-ulang (selagi vaksin masih belum ditemui). Setelah pertanyaan di Twitter tersebut menjadi agak kecoh, Dr Noor Hisham menjelaskan itu hanya peringatan beliau, bukan permintaan atau arahan kerajaan.

Walau bagaimanapun, dalam sidang media harian pada 3 Oktober, Ismail menyatakan buat masa ini tiada keperluan pelaksanaan semula PKP di seluruh negara.

Keadaan wabak, kata Ismail, masih terkawal kerana beberapa negeri mencatatkan jumlah yang rendah. Kes yang banyak pun, tambahnya, hanya melibatkan penghuni penjara, dan lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM). Apa yang dilakukan ialah PKP Diperketat Bersasar di kawasan-kawasan tenat.

Para pelajar universiti awam yang baharu, dan yang pulang semula ke kampus telah menerima arahan penangguhan dari Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia demi keselamatan mereka, meskipun ibu bapa agak berang, dan sakit kepala kerana perintah itu mengejut.

Namun demikian, belum ada arahan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar sekolah rendah dan menengah ditutup,

Ada pro kontranya pelaksanaan PKP di seluruh Malaysia. Pro dan baik untuk memastikan rakyat patuh duduk di rumah. Tiada jaminan mereka (semua) akan mendengar nasihat KKM jika tidak di‘paksa’. Kontra dan buruknya pula, ekonomi merudum dan lebih ramai hilang pekerjaan/perniagaan.

Setakat ini, belum ada komen atau sanggahan ramai pada cadangan tidak perlu melaksanakan PKP di seluruh negara. Jika Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bercadang begitu, saya fikir, akan bertubi-tubi cercaan yang dihamburkan. Oleh kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang memerintah dan tanpa DAP, tiada makian dan cacian dilemparkan.

Saya paparkan catatan kes baharu Covid-19 di sepanjang PKPP fasa dua untuk maklumat, dan peringatan semua. Paling rendah ialah enam kes, iaitu pada 2, 5 dan 6 September. Walau bagaimanapun, mengejutkan kerana dua hari berikutnya mendadak menjadi 62, dan 100 kes!

Setelah dua angka dua hari kemudiannya, kes baharu mencanak kepada 182 kes pada 11 September. Kemudian turun kepada dua angka (turun naik berselang-seli) hingga naik kepada 147 kes pada 23 September. Setelah turun ke dua angka keesokannya, kes menaik tiga angka semula, iaitu 111 pada 25 September.

Catatan kes baharu positif selepas itu kian membimbangkan. Meskipun ada penurunan ke dua angka, tetapi mulai 26 September hingga 1 Oktober, hanya dua kali sahaja, iaitu 82 kes (26 September) dan 89 kes (30 September). Satu angka ‘jauh panggang dari api’!

Apakah Oktober akan menjadi bulan pelaksanaan semula PKP jika jumlah kes baharu terus mencanak? Yang nyata, empat hari pertamanya berturut-turut mencatat tiga angka yang tinggi!

Walaupun tidak diminta, potensinya amat besar. Ada yang berharap tiada pelaksanaan semula PKP kerana semua orang akan menghadapi kesukaran. Malang sekali, kesusahan tidak mengenal siapa.

Cuma, yang dikesali ialah mereka yang patuh SOP turut berdepan kesusahan akibat mereka yang (suka/sengaja) melanggarnya. Bukan yang tidak patuh sahaja yang menanggung!

Tarikh kira-kira dua minggu akhir September hingga dua minggu awal Oktober menarik perhatian kerana ia sebelum, dan selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah (PRU Sabah) ke-16, 26 September.

Sebelum PRU Sabah ialah penamaan calon, dan kempen bermula pada 12 September. Kegiatan itu memang melibatkan ramai orang – tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi pada hari pengundian. Tidak kurang selepasnya pula.

Virus Covid-19 pula bertahan selama 14 hari. Walaupun mengikut SOP, tetapi ramai yang tidak/sukar mematuhi – memang payah mengawal di setiap masa.

Sebelum ini pun memang kes baharu Covid-19 di Sabah kembali meningkat yang dikatakan berpunca daripada tindakan menahan pendatang asing tanpa izin – Kluster Benteng.

Setelah kempen PRU Sabah bermula, ramai yang datang ke sana, terutamanya pemimpin parti politik dari Semenanjung. Mereka berkempen siang malam di sana, kemudian selepas hari pengundian, pulang semula ke tempat masing-masing di Semenanjung. Tidak semua yang bergejala menjalani kuarantin wajib.

Misalnya, ada anggota PDRM yang bertugas semasa PRU Sabah tidak mengkuarantin diri, sebaliknya terus bertugas sekembali ke Semenanjung (Puchong). Beberapa anggota Kabinet turut dijangkiti. Lebih parah, dikatakan Muhyiddin sendiri tidak menjalani kuarantin wajib!

Justeru, hampir setiap negeri di Semenanjung ada kes baharu Covid-19. Akhir-akhir ini terus meningkat setiap hari. Bukan saya mengenepi Kedah kerana jumlah kes baharu yang tercatat di negeri itu pada 4 Oktober ialah 113. Cuma, Sabah sedang panas sekarang, sementelah jumlah kes baharunya ialah 126 (menjadi 2,389)!

Mengapa PRN Sabah diadakan? Inilah yang menjadi kemarahan ramai sekarang. Tan Sri Datuk Seri Panglima Musa Aman, mantan Ketua Menteri Sabah (Mac 2003-Mei 2018) kini menjadi individu kecaman ramai.

Gara-gara Musa ghairah mahu menjadi Ketua Menteri semula, rakyat Malaysia kembali tidak aman. Percubaannya untuk kembali berkuasa mendorong Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal membubarkan Dun Sabah.

Bukanlah Shafie tidak peka Covid-19, tetapi beliau mahukan keadilan, dan menolak perbalahan/rampasan kuasa, serta menyerahkan semula kepada rakyat.

Memang Warisan Plus tumbang, tetapi keadilan telah dilakukan dan rakyat sudah membuat pilihan walaupun banyak faktor masih boleh dibahaskan. Mana mungkin pemimpin korupsi seperti Musa dibiarkan oleh Shafie memimpin Sabah!

Jadi, ketika Musa sibuk menjaja kelebihan yang didakwanya, Shafie telah bertindak bijak, dan pantas memohon Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin membubarkan Dun.

Untuk seketika, rakyat Sabah terselamat daripada Ketua Menteri yang korupsi dan pengumpul harta peribadi. Memang kita para penyokong PH berharap, dan mahukan Warisan Plus/Shafie terus memerintah Sabah.

Walau bagaimanapun, ketika ada yang kecewa kerana yang buruk mendapat kuasa, hikmah tersembunyi harus dilihat. Setelah Kerajaan Persekutuan diterajui PN terus ‘terpaksa’ menangani Covid-19, kini giliran Gabungan Rakyat Sabah pula di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Pada awal kes dan pelaksanaan PKP Mac lalu, setiap hari jari dituding kepada jemaah tabligh Masjid Seri Petaling. Namun begitu, mengapa kini tidak berkata apa-apa terhadap jemaah PRN Sabah walaupun jumlah kes lebih besar?

Dikesali juga pada 4 Oktober apabila Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Adham Baba mengatakan kes mencanak kerana rakyat mula lupa. Sebenarnya, beliau yang lupa ada pemimpin politik PN, dan menteri yang tidak mempedulikan SOP!

Ismail Sabri buat keputusan sa

ARIF ATAN

Tindakan tidak mewajibkan saringan dan kuarantin terhadap individu yang pulang dari Sabah sebelum 27 September lalu punca berlakunya peningkatan mendadak kes positif Covid-19.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil menyifatkan keputusan kerajaan melalui Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kelonggaran itu sebagai satu perkara yang salah.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, kes Covid-19 yang sah menjangkiti Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dr Zulkifli Mohamad menjadi bukti paling kukuh keputusan salah itu.

“Keputusan yang tidak berasaskan bukti, tidak berasaskan sains perubatan, dan tidak betul.

“Malah saya berpandangan bahawa keputusan membenarkan mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 September dan diuji negatif di KLIA, KLIA2 untuk potong gelang merah jambu juga adalah keputusan yang tidak berasaskan fakta sains perubatan, dan tidak betul.

“Ia juga keputusan yang salah,” tegas Fahmi pada siri ciapan di Twitter malam ini yang ditujukan kepada Ismail Sabri.

Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan beliau disahkan negatif Covid-19 oleh Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan dibenarkan keluar dari kuarantin di rumah.

Menurutnya, beliau telah dibukakan gelang merah jambu selepas lebih 14 hari sejak bertemu dengan staf pejabatnya kali terakhir pada 20 September lalu.

“Terima kasih kepada semua staf di Pejabat Kesihatan Lembah Pantai dan Klinik Kesihatan Tanglin yang telah membantu saya dan staf Pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai.

“Untuk makluman, saya tidak pergi ke Sabah waktu kempen PRN. Tetapi salah seorang staf pejabat saya telah ke sana pada 23 ke 25 September, dan pada 28 September beliau telah disahkan positif Covid-19,” katanya lagi.

Menteri lawat lima negeri, tiga masjid, tiga IPT sebelum sah positif

Seperti semua kes Covid-19 lain, pengesan kontak kini berlumba dengan masa untuk mengesan individu yang mempunyai kontak dengan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Zulkifli Mohamad sejak 14 hari lepas.

Kali ini, tugas itu menjadi lebih mencabar kerana dua minggu sebelum dijangkiti, Zulkifli telah merasmikan pelbagai acara yang dihadiri ratusan peserta, merentasi beberapa negeri- jika berdasarkan hantaran di laman Facebooknya.

Negeri-negeri berkenaan ialah Sabah, Selangor, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Beliau turut melawat Putrajaya dan Kuala Lumpur,

Di tempat-tempat berkenaan, beliau dilihat memberikan ucapan di atas pentas, atau menyampaikan sijil atau bantuan dalam acara yang dihadiri ramai peserta.

Pada kebanyakan masa, Zulkifli mengenakan pelitup muka, tetapi ada ketikanya- seperti di Kampung Serusup, Tuaran ketika beliau menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan pada 24 September- pelitup mukanya diturunkan ke bawah.

Lawatan ke Sabah itu merupakan titik genting. Selain kes penjara di Alor Setar, Kedah dan kes-kes yang dikaitkan dengan pendatang tanpa dokumen di Klang, Selangor, hampir semua kes di semenanjung Malaysia mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah.

Selepas pulang dari Sabah, Zulkifli telah melawat beberapa masjid di pelbagai negeri, kebanyakannya untuk menyampaikan khutbah atau ceramah.

Ini termasuklah Masjid Dato Kelana Petra, Nilai, yang pada hari ini mengumumkan penutupan serta-merta sehingga pengumuman lanjut kerana “beberapa suspek pesakit Covid-19 hadir ke masjid” berkenaan.

Zulkifli menyampaikan khutbah di situ sebanyak dua kali sejak pulang dari Sabah.

Masjid dan surau lain termasuklah Masjid Ulul Albab di Jerteh (25 September), Surau An-Nur di Bangi (27 September), Masjid Jamek Sultan Hisamuddin di Serdang (3 Oktober).

Selain acara-acara, menteri itu turut berkongsi gambar mesyuarat yang dihadirinya, termasuklah di pejabatnya, yang menyaksikan kebanyakan peserta mesyuarat tidak memakai pelitup muka.

Beliau turut melawat kedai makan, dan seperti pelanggan lain, dia menanggalkan pelitup mukanya untuk makan, seperti di Putrajaya (Kedai Pak Tam Sup Utara di Presint 8) dan Tuaran (Gerai Kelapa Bakar Kak Tini).

Dalam pengumumannya hari ini, Zulkifli menggesa semua pihak yang mempunyai kontak dengannya untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata menteri-menteri kabinet dan pegawai tertinggi kerajaan turut dikenakan perintah kuarantin di rumah, selepas berlakunya kontak dengan Zulkifli dalam satu mesyuarat pada 3 Oktober.

(Di bawah, Zulkifli dilihat mengenakan kopiah merah putih, di bahagian atas-kiri gambar).

Sidang khas MKN Covid-19, Oktober 3, 2020, kredit FB Muhyiddin Yassin.
Di bawah ini, disenaraikan tempat dan acara yang dilawati atau dihadiri menteri berkenaan sekembalinya dari Sabah, berdasarkan hantaran Facebooknya:

Majlis di Kampung Serusup.
24 September (Sabah)

Menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran.

- Kampung Serusup, Tuaran
Menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan sebagai sebahagian daripada program Food Bank Yapeim.

- Gerai Kelapa Bakar Kak Tini
Makan tengah hari.

- Kediaman Sakaran Dandai

Melawat bekas gabenor Sabah dan isterinya (gambar, atas).

- Lapangan Terbang Kota Kinabalu

Berlepas dari Sabah, dihantar oleh Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar.

25 September (Kelantan, Terengganu & Putrajaya)

- Dewan Jubli Perak, Kota Bharu

Menghadiri Hari Terbuka Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

- Sekolah Pondok Pasir Tumboh, Kota Bharu
Menyampaikan bantuan kewangan kepada sekolah.

- Masjid Ulu Albab, Jerteh
Menyampaikan khutbah Jumaat.

- Kedai Pak Tam Putrajaya Sup Utara, Presint 8, Putrajaya

Minum (atas).

26 September (Kelantan, Kuala Lumpur)

-Dewan Jubli Perak, Kota Bharu
Menghadiri program ‘Tausiyah Khas Sempena Hari Terbuka Yadim’.

- Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa
Berlepas dari Kelantan.

- PPR Pantai Ria, Kuala Lumpur
Mengagihkan zakat kepada penerima, sebagai sebahagian daripada program ‘Projek Bakul Rezeki Khaira PPZ’ (bawah).

27 September (Selangor)

- Surau An-Nur, Bangi
Menyampaikan kuliah (bawah).

30 September (Selangor)

- Hotel Movenpick, Sepang
Menghadiri ‘Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara’ pada 30 September.

2 Oktober (Negeri Sembilan)

- Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)
Melancarkan portal ‘Jom Infaq’ di Usim, Nilai. Turut menyampaikan khutbah Jumaat di Kompleks Islam Tuanku Mukhriz di universiti itu, dan mengadakan mesyuarat dengan pihak pengurusan universiti.

Zulkifli Mohamad menghadiri mesyuarat dengan pihak pengurusan Usim pada 2 Oktober, 2020.
3 Oktober (Selangor)
- Jabatan Perdana Menteri
Menghadiri mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

- Masjid Jamek Sultan Hishamuddin, Serdang

Menyampaikan kuliah.

- Dewan Muktamar Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu
Menghadiri Majlis Pengijazahan Perubatan dan Pengubatan Islam Darussyifa’ Sesi 2020 dan Majlis Penganugerahan Darul Quran Jakim.

Zulkifli Mohamad menyampaikan bantuan kepada pelajar UiTM, 4 Oktober 2020.
4 Oktober (Selangor)

- Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam
Menyampaikan bantuan kepada pelajar (atas).

- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi
Menyampaikan bantuan kepada pelajar.

- Hotel Geno, Subang Jaya
Menghadiri ‘Majlis Tilawah dan Hafazan al-Qur’an KAFA Peringkat Kebangsaan 1442 / 2020’. (bawah).

#KlusterMenteri ‘trending’ di Twitter

FMT Reporters
PETALING JAYA:
Hashtag kluster menteri “trending” di Twitter selepas menteri agama disahkan positif Covid-19 hari ini.

Sehingga 8.40 malam tadi, lebih 11,000 ciapan mengandungi hashtag itu.

Seorang pengguna media sosial dikenali Syefri Zulkefli menulis: “Seperti #KlusterMenteri menjadi perkara yang benar.

A Rohan Javet Beg menyatakan kluster seperti itu tidak dijangka.

“Ini adalah hasil yang tidak dapat dielakkan dari pemimpin kerajaan yang secara terang-terangan melanggar SOP dan menganggap pandemik itu selektif.

“Ketidakpedulian mereka mencetuskan gelombang ini,” katanya.

Petang tadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan beliau positif Covid-19.

Terdahulu Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, seorang individu yang menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu disahkan positif.

Katanya, semua yang menghadiri mesyuarat itu menjalani pemeriksaan kesihatan dan diuji bagi Covid-19 hari ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang mempengerusikan mesyuarat itu kemudian memaklumkan, beliau akan menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.

Muhyiddin juga berkata, Kementerian Kesihatan mengenal pasti mereka yang mempunyai kontak rapat dengan Zulkifli dan mendapat perintah kuarantin di rumah.

Gelombang kedua Covid-19 ‘membunuh’ kerajaan Muhyiddin

MOHD ARIF JUHANI
Semasa seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sebagai salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19, ruang waktu itu menjadi peluang serta kelebihan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan kerajaan selepas Langkah Sheraton.

Ucapan Muhyiddin yang disifatkan penuh keramahan, ke’abah’an, merakyat dan menenangkan dilihat begitu meyakinkan sekaligus meningkatkan persepsi positif dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Imej kekeluargaan yang dibentuk telah mengukuhkan kerajaan Muhyiddin apabila beliau diberi gelaran ‘abah’; Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dipanggil ‘Pak Long’; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul pula ‘Pak Su’; dan Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah (Pak Ngah).

Media rasmi kerajaan pula berulang kali menyiarkan bacaan doa abah yang menyentuh hati dengan nada sebak pada penghujung doa. Ini gabungan resepi terbaik PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Penggunaan bahasa yang mudah oleh Muhyiddin untuk memujuk rakyat supaya kekal di rumah di samping pengenalan beberapa pakej bantuan besar seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang menelan belanja sebanyak RM250 bilion pada 27 Mac lalu sedikit sebanyak menenangkan emosi orang ramai khususnya golongan B40 dan M40 yang terkesan kerana PKP.

Tidak cukup itu, pengenalan moratorium juga telah menenangkan orang ramai yang bimbang jika masih perlu membayar beberapa komitmen seperti pinjaman peribadi, rumah dan kereta selama enam bulan walhal pada masa yang sama kehilangan sumber pendapatan bagi yang bekerja sendiri atau memperoleh pendapatan harian.

Secara keseluruhan, tempoh PKP tersebut berjaya ditempuhi dengan meyakinkan oleh Muhyiddin. Bukan sahaja peningkatan penularan Covid-19 berjaya dilengkuk dan diratakan, malah rakyat semakin yakin bahawa PN adalah kerajaan yang diperlukan walaupun tidak mendapat mandat rakyat dalam PRU pada 2018 lalu.

Tanpa perlu dinafikan, situasi ini sedikit sebanyak memang menyukarkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha untuk menegakkan semula haknya dengan merampas mandat berkuasa yang dimiliki.

Ditambah pula, dalam kalangan PH, perseteruan antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan gabungan pembangkang ini pada kedudukan yang sukar. Rakyat menjadi jemu dan bosan dengan drama yang berterusan ini.

Dalam tempoh PKP yang masih belum berpenghujung dan melalui fasa baharu seperti PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei hingga 9 Jun serta PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos lalu, rupa-rupanya nafsu berpolitik terus menguasai PN apabila bertindak merampas Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir.

Mukhriz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei selepas kehilangan majoriti. Pada hari yang sama, Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.

Nafsu PN dan Barisan Nasional (BN) untuk menambah cengkaman kuasa diteruskan apabila pada 29 Julai lalu, bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Shafie Apdal.

Rakyat dilihat semakin marah dengan keupayaan kerajaan Muhyiddin menangani penularan Covid-19.

Namun Shafie bertindak pantas apabila pada esoknya, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan memohon untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Tindakan ini sekaligus membawa kepada pemilihan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.

Sepanjang tempoh kempen berlangsung, Covid-19 pula menunjukkan peningkatan gelombang kedua dan akhirnya, hanya seminggu selepas PRN Sabah, Malaysia mencatatkan rekod tinggi pada 3 Oktober lalu apabila sebanyak 317 kes dilaporkan.

Berbeza dengan gelombang pertama Covid-19 yang agak tenang ditangani oleh kerajaan. Kini, kerajaan Muhyiddin dan kabinetnya berhadapan serangan berterusan dalam rangkaian media sosial. Tiada lagi imej ‘abah’ yang menjadi pesona kepada rakyat.

Mengeruhkan keadaan

Di celah-celah kebimbangan rakyat, Muhyiddin pula dilaporkan hadir ke majlis Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) yang berlangsung Lotus Desaru Beach Resort pada 1 dan 2 Oktober lalu.

Kerosakan imej kerajaan disambung pula dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang menyalahkan rakyat kononnya tidak patuh SOP Covid-19 sehingga meningkatkan kembali angka kes kepada tiga digit. Kementerian dibawah Adham Baba dengan dua timbalan menterinya memang dilihat tidak membantu memulihkan keadaan, sebaliknya lebih mengeruhkan keadaan.

Situasi ditambah buruk apabila Kementeri Pengajian Tinggi (KPT) mengeluarkan kenyataan yang mengarahkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama.

Kenyataan itu mengundang kecaman kerana telah menyusahkan kebanyakan pelajar dan keluarga yang telah berhabis wang ringgit untuk menguruskan perjalanan ke kampus.

Walaupun menteri, Dr Noraini Ahmad telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan saat akhir tetapi kelihatan sukar dimaafkan apabila reaksi keras yang diterima adalah desakan supaya beliau meletakkan jawatan.

Malangnya, berdasarkan tinjauan secara rambang, PH jugak tidak aktif secara menyeluruh untuk membantu para pelajar.

Setakat dilaporkan media dan di laman sosial, hanya ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta parti politik baharu, MUDA yang dilihat aktif menggerakkan dana membantu meringankan beban pelajar yang terkesan.

Tidak dinafikan ahli Parlimen PH menghulurkan sumbangan bagi membantu menangani masalah pelajar dan rakyat. Tetapi secara umumnya masih belum dilihat secara besar-besaran di seluruh negara. Jika peluang dan kesempatan ini gagal direbut dengan baik dan diuruskan dengan berkesan, rugilah.

Inilah peluang terbaik untuk PH kembali tampil secara drastik dan agresif sebagai kerajaan yang diharapkan untuk membela nasib rakyat bawahan.

Kerosakan imej kerajaan PN disambung dengan siri kenyataan menteri-menteri yang mengundang kecaman rakyat.

Kemarahan rakyat mula dilihat di mana-mana

SITI NUR ZAWANI MISCON

Susulan peningkatan kes Covid-19 yang naik mendadak terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan, kemarahan rakyat tidak dapat dibendung lagi apabila mereka terus menyalahkan ahli politik sebagai penyebab peningkatan wabak berkenaan.

Tersebar beberapa gambar memaparkan kain rentang yang mencaci ahli politik selepas negara dikejutkan dengan 317 kes iaitu yang tertinggi pernah direkodkan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 pada Februari lalu.

Kain rentang itu dipercayai dipasang di sebuah jejantas berhadapan Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dengan tertulis kata kesat berikutan keadaan politik negara yang tengah panas.

Satu lagi kain rentang juga tersebar yang tertulis, “Rakyat jaga rakyat, Menteri jaga poket,”.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan lokasi tersebut.

Sejak kebelakangan ini, kes Covid-19 mencatatkan peningkatan membimbangkan sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai apabila beberapa ahli politik gagal mematuhi SOP yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sewaktu berkempen.

Mereka antaranya ada yang tidak memakai pelitup muka, malah ketika ini sudah lebih tiga bulan masih lagi tiada tindakan diambil terhadap Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi yang gagal kuarantin selepas pulang dari Turki.

Sat kata tak mahu bertanding dah PRU 15, sat kata tak tolak bertanding

Dr M tak tolak bertanding pilihan raya akan datang
FMT Reporters
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad memberi isyarat mungkin akan bertanding pilihan raya akan datang, mengatakan penyokongnya tidak mahu beliau bersara.

Dalam temu bual The Straits Times of Singapore, Mahathir, 95, juga berkata tidak dapat berbaik dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, kerana penggantinya “guna strategi seperti strategi Najib Razak, dan melemahkan semua pihak yang menentangnya” .

Katanya, cadangan untuk tidak bertanding PRU-15 menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokongnya.

“Mereka masih mahu saya kata mahu bertanding. Memang betul kebanyakan orang yang berusia 95 tahun tak akan berfungsi. Saya bernasib baik kerana masih boleh aktif. Tetapi mereka tak fikir yang saya akan merosot bila semakin tua. Mereka lihat saya seperti saya sekarang. Jadi, mereka mahu saya, sekurang-kurangnya, tidak kata tak akan bertanding,” katanya.

Mengenai bekerja dengan Muhyiddin, Mahathir tidak dapat berbaik dengannya kerana perdana menteri itu terlibat dalam politik yang mereka berusaha membuat reformasi apabila kerajaan pimpinan Najib kalah pada pilihan raya umum lalu.

“Macam mana saya boleh terima Muhyiddin seperti itu?” katanya, sambil menambah presiden PPBM itu sedia bekerjasama dengan Najib kerana “politik lebih penting daripada prinsip”.

Namun, lapor ST, Mahathir akui beliau dan parti pembangkang lain tidak berada pada kedudukan untuk mencabar majoriti milik Muhyiddin di Parlimen kerana mereka berpecah dalam isu siapa yang perlu mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Ada ramai orang tentang Anwar Ibrahim. Sekiranya saya tidak diterima, ramai (penyokong) akan tarik diri supaya dia tak dapat majoriti. Sekarang dia dakwa dapat sokongan 20 hingga 30 ahli Parlimen, tetapi semua orang menafikannya,” katanya.

Mahathir juga tidak suka pilihan raya kilat, kerana tidak fikir mana-mana pihak akan dapat mandat yang lebih kuat.

Ini kerana, katanya, masyarakat belum bersedia untuk memilih atas dasar isu substantif berikutan pergolakan politik beberapa bulan lalu, dan akan membuat pilihan “bukan kerana parti itu bagus” tetapi berdasarkan sentimen sejarah.

“Orang yang sama akan dipilih dan anda akan dapati akan berlaku Parlimen tergantung atau majoriti yang sangat tipis,” katanya.

“Macam sekarang, kalau 3 orang sakit perut dan tak hadiri Parlimen, mereka akan jatuh. Kerajaan jenis apa macam tu?”

Mengenai dasar tindakan afirmatif Malaysia yang banyak menguntungkan majoriti orang Melayu, Mahathir berkata ia boleh diakhiri sekiranya negara ini kekal pada landasan ke arah negara maju, dengan jurang kekayaan yang sempit menjelang tahun ini.

Tetapi, katanya, rasuah endemik membelenggu kemajuan dalam pembangunan ekonomi dan cubaan pengagihan semula kekayaan yang bermula setengah abad lalu bawah Dasar Ekonomi Baru.

“Sekiranya anda kurangkan perbezaan itu (antara kaya dan miskin), dengki, iri hati akan berkurang. Negara akan stabil, kemudian akan berkembang,” katanya kepada ST dalam temu bual pada Jumaat.

“Apabila perbezaan dari segi kekayaan tidak begitu besar, maka baguslah. Kita boleh tamatkan (tindakan afirmatif).”