Remaja 18 tahun disyaki pancung kepala guru tunjuk kartun nabi

AFP 

PARIS: Seorang lelaki berusia 18 tahun yang lahir di Moscow dan berasal dari Chechnya di selatan Rusia, disyaki memenggal kepala seorang guru Perancis menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada pelajarnya, kata sumber kehakiman pada Sabtu.

Lima lagi suspek ditahan di luar Paris pada Jumaat berhubung pembunuhan itu, termasuk ibu bapa seorang pelajar di sekolah guru itu bekerja.

Sumber yang tidak mahu dinamakan berkata, ini menjadikan keseluruhan 9 suspek ditahan setakat ini.

Menurut sumber, kedua-dua ibu bapa yang ditahan itu memberi isyarat tidak bersetuju dengan keputusan guru terbabit menunjukkan kartun berkenaan.

Suspek lain yang ditahan untuk soal siasat ialah ahli dalam lingkaran sosial suspek, tetapi bukannya ahli keluarga.

Penyerang itu ditembak polis dan maut akibat kecederaan dialaminya. Dokumen pengenalan diri ditemui pada mayatnya.

Perancis berdepan satu siri gelombang keganasan Islam sejak serangan keganasan pada 2015 ke atas majalah satira Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi di Paris.

Pendakwa raya anti-keganasan Perancis berkata, mereka menganggap serangan itu sebagai “pembunuhan dikaitkan dengan organisasi pengganas”.

Serangan itu berlaku di pinggir Paris kira-kira 5 petang berhampiran sekolah menengah di mana guru itu bekerja di Conflans Saint-Honorine, kawasan pinggir bandar di barat laut, kira-kira 30km dari pusat bandar.

Pembunuhan itu mempunyai ciri “serangan pengganas Islam”, kata Presiden Emmanuel Macron ketika melawat tempat kejadian.

Polis berkata, mangsa ialah guru sejarah yang baru-baru ini menunjukkan kartun Nabi Muhammad sebagai sebahagian daripada perbincangan dalam kelas mengenai kebebasan bersuara.

Muslihat Anwar perangkap PN Muslihat Anwar perangkap PN

ARIF JUHANI ABDUL RAHMAN

Pasti ramai kecewa selepas 13 Oktober lalu apabila hajat untuk melihat Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri belum kesampaian. Masing-masing sugul kerana hajat untuk menamatkan pentadbiran Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri belum terlaksana.

Memanglah banyak alasan atau dalih boleh dibuat-buat tetapi hakikatnya Anwar belum menjadi Perdana Menteri dan Pakatan Harapan masih berstatus pembangkang. Di Perak dan Johor, walaupun beberapa lama sebelum ini sudah kedengaran bahawa kerajaan negeri akan beralih, sudahnya, hingga kini tiada apa yang berubah.

Berbalik kepada cerita Anwar Ibrahim. Sidang media yang diadakan susulan pertemuan ahli Parlimen Port Dickson itu yang datang mengadap Yang di-Pertuan Agong masih mengulang pada nada yang sama; ada majoriti sokongan yang kukuh dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin sudah tumbang.

Tetapi kemudiannya, muncul pula sebuah kenyataan media daripada Istana Negara yang menjelaskan bahawa Anwar tidak datang mengadap YDPA dengan senarai akuan sumpah (SD) seperti dimaklumkan. Makin huru-haralah warganet dalam media-media sosial.

Ketika itu, bersorak dan melolonglah para penyokong Pas dan Bersatu mengatakan bahawa Anwar itu penipu dan mencemarkan wibawa Agong. Di sebelah pihak Pakatan Harapan pula malu alah untuk menahan sindiran daripada pihak lawan.

Beberapa kerat pemimpin Pas dan Bersatu begitu ghairah membuat kenyataan dan sindiran. Azmin Ali sebagai perancang penting Langkah Sheraton menyindir lewat media sosial Twitter. Wan Saiful Wan Jan pula mengangkat suara lebih tinggi berbanding dirinya dengan mendesak Anwar bersara daripada dunia politik.

Dalam kalangan Pakatan Harapan baik ahli mahupun pimpinan di semua peringkat mula berbisik-bisik menyatakan rasa pudar dengan kemampuan Pakatan Harapan untuk merampas semula mandat rakyat yang dicuri.

Sudah ada yang persoalkan kewibawaan Anwar malah menggunakan nada sindiran yang sama seperti seteru politik. Hampir kesemuanya menganggap bahawa Anwar itu seolah-olah terlalu bodoh untuk mencipta langkah dan strategi yang mudah dibaca dan diterka.

Seolah-olah tiada siapa dalam kalangan ‘circle’ Anwar yang boleh menjangkakan apa kesannya jika pengumuman Anwar dalam sidang media pada September lalu itu gagal. Seolah-olah semuanya begitu mentah dan hijau dalam dunia politik.

Hakikatnya, benarkah begitu? Benarkah tiada pimpinan PKR yang membuat unjuran persepsi atau analisis risiko kepada Anwar, PKR dan Pakatan Harapan di atas setiap langkah yang dibuat oleh bekas Timbalan Perdana Menteri itu?

Tetapi jika diperhatikan, selepas Anwar melewati pagar Istana Negara pada pagi 13 Oktober lalu. Tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh pula timbul kerana dipanggil mengadap YDPA sebelah petang.

Sebelah malamnya, Biro Politik Umno pula bermesyuarat dan hasilnya keputusan yang diambil bolehlah disifatkan lebih vokal dan agresif. Ketegasan itu sekaligus meletakkan kerajaan PN kini berada semakin dekat di hujung tanduk.

Pemimpin Pakatan Harapan yang mewakili parti komponen seperti Mohamad Sabu (AMANAH) dan Lim Guan Eng (DAP) turut dijemput mengadap YDPA pada 14 Oktober. Tetapi kemudian dimaklumkan majlis mengadap itu ditangguhkan kerana alasan COVID-19 dan PKPB.

Maka, soalannya, apa sebenarnya permainan baharu yang sedang direncanakan pada tarikh 13 Oktober dan selepasnya itu?

Jika benar Anwar berbohong tentang angka sokongan tersebut, mengapa suasana dalaman PN menjadi semakin keruh sebelum dan selepas 13 Oktober?

Setaka ini hanya Pas sahaja yang mengambil sikap berdiam diri dan berharap segala konflik dalaman PN diselesaikan secara adik-beradik. Sudah pasti Pas tidak mahu melihat kerajaan yang sedang sama-sama dibahterai itu tumbang dalam tempoh yang lebih singkat berbanding Pakatan Harapan selama 22 bulan.

Walaupun tiada malu ketika bersubahat membantu pengkhianat menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan tetapi jika kerajaan tebuk atap yang ditubuhkan pun tumbang dalam tempoh singkat, malu juga rasanya.

Begitu banyak ghanimah jawatan dan elaun dalam GLC telah diagihkan di peringkat pusat dan negeri. Kalaulah tumbang PN dalam tempoh terdekat, ramailah yang hilang jawatan dan elaun.

Abdul Hadi Awang yang juga Duta Khas Malaysia ke Timur Tengah juga terpaksa berputih mata melihat jawatan tersebut lenyap walaupun entah apa yang dicapai sepanjang pegang jawatan tersebut.

Ketika ini, elaun dan jawatan GLC tidak menjadi keutamaan kepada Umno. Rencana mereka jauh lebih besar. Mereka tidak berpuas hati dengan peruntukan jawatan kabinet yang dianggap tidak adil dalam kerajaan sekarang.

Sebab itu mereka tidak kisah pun kalau PN tumbang. Pada mereka, wang bukan masalah lagi. Yang telah dibekukan telah dicairkan melalui perintah mahkamah.

Kini Umno benar-benar menjadikan parti itu sebagai ‘king maker’. Naik atau jatuhnya PN sekarang bergantung kepada mereka.

Pas mungkin sudah semakin nampak di manakah kepentingan mereka dalam Muafakat Nasional (MN) dan PN. Apa yang lebih penting adalah supaya kerajaan tidak tumbang dan mereka tidak hilang jawatan.

Dari segi ini, Pas memang agak mudah dibeli. Bohonglah kalau bersembang pasal integriti semata-mata. Tidak sampai setahun jadi kerajaan pun sudah ada yang beriya-iya menagih simpati supaya diberikan pangkat gelaran kebesaran.

Kalau terpaksa jadi pembangkang, modal-modal lama perkauman dan pandangan agama yang jumud akan dikeluarkan semula untuk menjadi peluru menyerang kerajaan baharu.

Begitulah kedudukan Pas dalam suasana sekarang. Walaupun mereka memandang rendah kepada kenyataan Anwar bahawa kerajaan Muhyiddin sudah tumbang, tetapi jauh di sudut hati, terasa gusar juga berdasarkan kepada kemelut awal yang melanda dalam kerajaan sekarang.

Selepas 13 Oktober mengadap Agong, pada 16 Oktober pula, Anwar dipanggil ke Bukit Aman untuk disoal siasat selepas enam laporan polis dibuat. Tanpa berselindung, Anwar menegaskan soal siasat itu memang bermotif politik. Itu sahajalah caranya untuk memintas pergerakan Anwar daripada menguasai Putrajaya.

Pastinya kalau itu soal siasat itu bermotif politik, maka perancang kali ini mungkin juga Hamzah Zainuddin kerana beliau adalah Menteri Dalam Negeri. Dia juga menjadi perancang penting kepada Langkah Sheraton.

Penegasan Anwar bahawa soal siasat itu bemotif politik kerana antara soalan yang ditanya adalah mengenai bilangan SD yang diperoleh. Anwar menolak untuk mendedahkan jumlah rasmi tersebut bagi mengelakkan kegagalan berulang seperti 16 September 2008 dahulu.

Anwar juga enggan mendedahkan butiran perbualannya dengan Agong kerana menganggap itu adalah urusan yang tidak berkaitan dengan pihak polis.

Memang, jika diperhatikan ketika ini, hampir tiada siapa yang tahu berapakah jumlah sokongan yang diterima oleh Anwar. Khalid Samad, Pengarah Komunikasi AMANAH ada membuat anggaran kira-kira 30 ahli Parlimen Umno menyokong Anwar. Tetapi dalam sidang media depan Bukit Aman pada 16 Oktober itu Anwar tetap menafikan.

Sikit pun tidak disebut angka sokongan yang diperoleh. Anggaran pun tidak ada. Cuma kekal pada majoriti yang disifatkan sebagai ‘strong, formidable and convincing’. Anwar begitu berhati-hati kali ini dan sengaja membiarkan angka sokongan itu dinujum oleh semua pihak.

Maka jika dilihat setakat ini, 13 Oktober dilihat hari kegagalan lagi sekali Anwar dibukakan langkah menjadi Perdana Menteri. Tetapi berdasarkan perkembangan sebelum, semasa dan selepas tarikh itu, wujud satu perubahan yang agak mengganggu kerajaan sekarang.

Sekarang ini, semakin sulit untuk dijangka apa pula langkah Anwar seterusnya. Hampir seperti tiada tarikh yang boleh digunakan untuk menjangka apa yang akan berlaku selepas ini. Lensa perhatian kini ditumpukan kepada hasil pertemuan ketua-ketua parti yang akan dipanggil mengadap Agong.

Paling mudah, sesi Parlimen yang akan bersidang pada November hadapan. Walaupun usul undi tidak percaya hampir mustahil untuk diberikan laluan. Tetapi Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan jika gagal mendapat sokongan oleh ahli Dewan Rakyat, maka situasi akan menjadi lebih parah.

Tentunya Muhyiddin dan sekumpulan pengkhianat tidak akan mahu keadaan itu berlaku. Bagi kedua-dua belah pihak, masa semakin suntuk dan keadaan semakin genting dan kritikal.

Mahathir mahu bunuh Umno, Anwar dan Muhyiddin dengan 1 batu, kata MT Umno

MALAYSIA DATELINE

Anggota Majlis Tertinggi Umno mendakwa, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu membunuh tiga pihak sekarang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Umno.

“Ini yang Tun Mahathir mahu lakukan. Dia lain dari yang lain. Dia mahu bunuh Umno, Muhyiddin dan Anwar. Bunuh Umno bermakna bunuh Najib, Zahid dan Ku Li,” tulis Datuk Dr Puad Zarkashi dalam facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, Mahathir terkejut bila Anwar umum dia sudah cukup nombor untuk menjadi Perdana Menteri.

Mahathir bertambah gerun bila Umno mahu bagi ultimatum kepada Muhyiddin, kata bekas Ketua Pengarah Jasa itu.

Semua itu, katanya, kalau berlaku akan menamatkan riwayat politik Mahathir.

“Meminjam ayat Kadir Jasin, Mahathir tidak tahu nak hidup tanpa kuasa.

“Dalam senarai Anwar, pasti tidak ada nama Mahathir. Tetapi mungkin ada nama Maszlee, Dr Shaharuddin dan Amiruddin.

“Sebab itu dalam satu perjumpaan tertutup, Mahathir tanya Anthony Loke dan Khalid Samad, Anwar ada cukup nombor ke?

“Itu tanda Mahathir risau dan rancang game lain,” kata Puad, bekas timbalan menteri itu.

Menurut beliau, Anthony Loke mencadangkan kepada Tun Mahathir, supaya move on.

“Terima sahajalah kerajaan PN yang ada. Beri sokongan dan bantu terutama dengan ancaman COVID-19.

“Jawapan Mahathir ialah, Amerika amat membenci “terroris”. Sebut sahaja terroris, Amerika akan kejar dan bunuh sampai habis.

“Itulah sikap Mahathir terhadap Umno, Muhyiddin dan Anwar. Bunuh sampai habis. Dia tidak akan berhenti. No mercy,” kata Puad lagi.

Yang berbangkit sekarang, apakah yang Mahathir sepakat dengan Ku Li.

“Anwar umum dia cukup nombor pada 23 September. Surat Ku Li kepada Speaker Dewan Rakyat bertarikh 25 September. Apakah kebetulan?

“Surat Ku Li kepada Speaker meminta supaya usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin diberi keutamaan dan dinaikkan ke atas.

“Semalam Maszlee, Dr Shaharuddin, Amiruddin dan Mukhriz memaklumkan mereka juga telah menghantar usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

“Apakah ini juga kebetulan?” soal Puad lagi.

Sekarang ini, katanya, cerita Ku Li mengadap Yang Dipertuan Agong menimbulkan banyak tanda tanya.

“Adakah dia beritahu Tuanku, “Saya juga cukup nombor” atau dia mahu maklumkan kaedah undi tidak percaya akan digunakan,” katanya.

Bagi Puad, kalau Muhyiddin tolak terma baru dari Umno, Muhyiddin habis.

Jika Muhyiddin terima, Mahathir habis, Anwar pun habis.

“Sampai masanya Mahathir dibiasakan untuk terus hidup tanpa kuasa,” katanya.

Siapakah menteri pendidikan kabinet Anwar kelak?

Farid Attar

Sebagai rakyat biasa yang sentiasa concern terhadap isu pendidikan negara, soalan ini timbul serentak dalam kepala saya saat desas-desus timbul berkenaan Langkah Anwar untuk mendirikan kerajaan baharu, kerajaan mandat rakyat seperti yang beliau tekankan.S

Saya tidak peduli betul atau tidak, menjadi atau tidak. Yang saya tahu, kerajaan sekarang ini perlu ditamatkan riwayatnya walau apa sahaja cara. Saya mendoakan Anwar berjaya mencapai cita-cita beliau sejak dulu. Lebih daripada itu saya mendoakan agar negara kembali bernafas semula dengan kita semua percaya yang perubahan itu boleh dilakukan.

Sudah tentu timbul beberapa persoalan. Koalisi baru ini khabarnya termasuk juga dengan angkatan musuh tradisi politik DAP, PKR dan PAS suatu ketika dahulu, iaitu Umno. Tetapi sampai hari ini, sampai esok atau sampai Yang di-Pertuan Agong mengumumkan berkenan untuk Anwar menjadi perdana menteri, tiada siapa tahu siapa mereka, siapa ahli parlimen yang diam-diam menyokong Anwar Ibrahim.

Inilah Langkah Anwar yang paling berjaya. Menggelabah Abah mengorek sana-sini, menghantar special branch sampai ke Kota Marudu, khabarnya untuk cari tahu siapakah ahli parlimen yang diam-diam berpaling tadah. Seronok betul bila tiada siapa mengaku dan Abah terpaksa simpan semula rotan sebab tidak tahu siapa yang perlu dirotan.

Saya cuma mahu membayangkan esok-esok bangun, Anwar sudah berjaya menjadi perdana menteri dan Abah dan sekutunya menjadi pembangkang. Abah perlu sedar yang semua ini berlaku kerana Abah yang mulakan. Kalau Abah tidak mulakan, negara tidaklah jadi seteruk ini.

Jadi saya tidak mahu memikirkan senario yang negatif; iaitu ada tangan jahat menghalang Anwar. Saya cuma mahu membayangkan Langkah Anwar yang buat ke entah kali berapa ini, menjadi.

Justeru mari kita fikirkan apa akan jadi selepas Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri?

Seluruh Malaysia akan bising dan bingit tentang kabinet Anwar. Ini kali pertama Anwar membentuk kabinet. Tentu Anwar mahukan yang terbaik. Tentu menteri-menteri kanan diberi keutamaan bagi Anwar. Tetapi siapa yang akan dipilih Anwar?

Saya tidak peduli sangat tentang siapa yang akan menteri pertahanan. Bagilah siapapun, asalkan tidak korup, saya terima. Timbalan perdana menteri pun saya fikir cuma simbol kepada kesatuan dan kekukuhan kabinet. Tidak terlalu memberi bayangan kepada usaha-usaha reformasi yang rakyat harapkan.

Seperti yang Anwar sering tekankan dalam mana-mana ucapan beliau, dua isu yang menjadi barah kepada Malaysia sekarang – ekonomi dan pendidikan.

Soal pendidikan saya masih ingat lagi. Anwar sering sebut berkaitan pendidikan sejak dulu, cuma baru-baru ini bicara Anwar tentang pendidikan sudah samar-samar, sebaliknya naratifnya berubah kepada soal ekonomi, yang mana kita semua tahu, memang perlu diberi perhatian juga.

Saya boleh simpulkan secara ringkas dua perkara ini akan menjadi penekanan Anwar. Saya harap Anwar pegang portfolio ekonomi atau kewangan, walaupun ia bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan, tetapi saya tidak nampak apa masalahnya dan saya juga melihat Anwar figura paling layak untuk mengemudi kedua sektor ini.

Cuma sebagai seorang bapa yang anaknya bersekolah di sekolah kebangsaan, saya paling menanti-nanti siapakah yang akan Anwar letak sebagai menteri pendidikan?

Anwar sendiri tidak boleh memegang portfolio pendidikan. Pendidikan perlukan tumpuan dan komitmen yang tinggi. Anwar perlu fokus bina kestabilan kerajaan di samping kukuhkan ekonomi.

Kita lihat usaha Abah untuk tekankan soal pendidikan seperti di dalam ucapan sulung beliau sebagai PM sebelum ini akhirnya “ke laut” setelah dua menteri yang dilantik langsung tidak berfungsi.

Abah mahu banyakkan posisi menteri kononnya untuk mengukuhkan kedudukannya, tetapi Abah gagal melihat sentimen rakyat apabila meletakkan Radzi Jidin dan Noraini Ahmad sebagai menteri pendidikan dan menteri pengajian tinggi.

Radzi Jidin hampir 10 bulan langsung kita tidak nampak apa yang dibuatnya. Beritahu saya, apa perubahan yang dibuat oleh Radzi Jidin selama 10 bulan ini? 10 bulan ini sudah separuh daripada tempoh Maszlee Malik memegang jawatan ini dahulu. Jangan ceritalah apa yang Maszlee buat dalam masa 10 bulan pertama, semua orang tahu dan sedar walaupun mereka tidaklah setuju semuanya.

Tetapi perubahan itu ada dan berjalan. Itu yang rakyat mahu.

Radzi Jidin? Tutup sekolah pun perlu perdana menteri yang putuskan. What an indecisive leader. Jadi tidak usah ceritalah soal perubahan pendidikan. Tutup buku, baik kita tengok Doraemon sambil berdoa Abah tukar orang lain walaupun mustahil.

Noraini? Selain Tiktok, Noraini juga bakal menjadi menteri dengan trending dua hari berturut-turut apabila keputusan cacamerba berkaitan larangan pelajar mendaftar di universiti dikeluarkan pada hari yang sama sejumlah pelajar sudah mula mendaftar.

Dan Noraini diam, diam seribu bahasa. Pelajar-pelajar sudah menderita.

Ketika itu juga Maszlee lancarkan crowdfunding. Maszlee boleh dapat RM150++ dalam masa 24 jam dan mampu tolong seribu lebih pelajar. Noraini masih diam.

Dua portfolio ini dulu dipegang Maszlee sehingga ada yang mengatakan ia terlalu besar dan Maszlee tak mampu. Siti Kasim berteriak sakan waktu itu. Sekarang mak cik itupun diam seribu bahasa, diam macam Radzi Jidin, diam macam Noraini.

Dan sekarang semua orang bercakap-cakap pula tentang Maszlee.

Mana tidaknya, dulu saya pun rasa perkara yang sama. Maszlee tidak mampu. Terlalu amatur, tidak berpengalaman. Tetapi Radzi dan Noraini yang juga politician, yang katanya ‘berpengalaman’, tetap gagal segagal-gagalnya. Apakah pengalaman yang memainkan peranan?

Sudah tentu tidak. Maszlee nampak lebih jauh ke depan berbanding dua menteri. Maszlee tapau mereka dengan mudah. Maszlee tidak serang membuta tuli di Facebook, tetapi buat macam-macam perkara untuk bantu pendidikan negara. Perkara yang Radzi dan Noraini tidak buat bahkan langsung tidak terfikir.

Cuma saya kesal apabila Anwar beritahu, Pejuang tidak termasuk dalam koalisi Anwar ini.

Bermakna kekuatan Maszlee yang merupakan ahli parlimen dari Pejuang bakal diabaikan sekali lagi.

Adakah Anwar akan berjiwa besar, meletakkan negara dan rakyat mengatasi parti dan kepentingan peribadi lalu melantik Maszlee yang bukan dari PKR dan bukan dari mana-mana parti komponen sebagai menteri pendidikan?

Mengenali Anwar dan sejarahnya, saya fikir Anwar amat berjiwa besar untuk lakukannya.

Anwar akan melihatnya sebagai pelaburan besar buat negara, dan dalam masa yang sama sebagai langkah selamat Anwar agar tidak tersilap langkah seperti Abah.

Ya, mungkin Anwar akan utamakan ahli-ahli parlimen dari PKR untuk menjadi menteri pendidikan. Tetapi siapa? Siapa yang boleh berdiri sama tinggi dengan reputasi Maszlee? Kerana kesannya besar. Jika tidak mampu buat seperti Maszlee atau lebih hebat dari Maszlee, Kerajaan ini juga akan tercalar, reputasi Anwar juga akan tercalar.

Terserahlah kepada Anwar untuk mencatur bagaimana kabinetnya.

Selaku seorang bapa, saya cuma minta diletakkan orang yang tepat seperti Maszlee sebagai menteri pendidikan kerana masa depan anak saya bergantung di situ sepenuhnya.

Menanti berakhirnya ‘Tragedi Oktober’?

LIEW CHIN TONG

‘Tragedi Oktober’ di Malaysia telah sampai ke tahap di mana sama ada kerajaan Muhyiddin akan tumbang dahulu, atau Umno berpecah sebelum rampasan kuasa oleh Najib-Zahid terhadap Muhyiddin dilancarkan.

Minggu-minggu seterusnya sehingga Belanjawan 2021 diputuskan Parlimen, akan menentukan nasib Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kerajaan Sheraton beliau yang begitu rapuh boleh tumbang dalam masa beberapa minggu, kalau pun tidak beberapa hari mendatang. Puak utama dalam Umno yang dipimpin Najib Razak dan Zahid Hamidi sedang cuba menjatuhkan Muhyiddin dengan menarik balik sokongan terhadap kerajaan beliau. Namun langkah Zahid ini mungkin juga mempercepatkan kehancuran Umno.

Pemimpin-pemimpin utama Umno tidak begitu gembira, terutamanya selepas pengalaman pahit bersama Bersatu dalam pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini. Sekiranya Muhyiddin kehilangan kuasa akibat langkah-langkah Umno, ini adalah semata-mata disebabkan oleh kegagalannya memahami bahawa keseluruhan usaha Hamzah Zainuddin di Sabah – yang dirumitkan oleh beberapa kesilapan oleh Azmin Ali yang menambah kemarahan beberapa pihak yang mewakili Muhyiddin – adalah satu usaha selingan yang tidak diperlukan.

Apa yang pemimpin Umno marah sangat?

Tanpa kerusi Umno, Langkah Sheraton tidak mungkin berlaku. Tetapi sejak mula, objektif utama Muhyiddin, Hamzah, Azmin dan operator mereka adalah untuk memecah-belahkan Umno.

Kebencian Umno terhadap Bersatu

Rungutan utama Umno ialah hakikat bahawa walaupun mempunyai 39 kerusi, parti Muhyiddin (yang mempunyai 31 kerusi) telah diberikan portfolio kementerian yang paling penting.

Bersatu mendapat dua daripada empat jawatan Menteri Kanan yang diberikan kepada Azmin Ali dan Radzi Jidin. Bersatu juga mendapat portfolio dianggap penting seperti Menteri Dalam Negeri (Hamzah Zainuddin), Pembangunan Luar Bandar (Abdul Latif Ahmad), Hal Ehwal Ekonomi (Mustapha Mohamad), Pertanian (Ronald Kiandee) dan Komunikasi (Saifuddin Abdullah).

Perdana Menteri juga melantik dua orang bukan ahli politik sebagai proksi peribadinya untuk menjaga portfolio kewangan (Tengku Zafrul) dan agama (Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri), kedua-duanya jawatan idaman Umno. Malah PAS pun turut kecewa kerana tidak diberikan portfolio agama.

Daripada sembilan pimpinan Umno yang dilantik sebagai menteri dalam Kabinet Muhyiddin, empat daripada bukan Ahli Majlis Tertinggi: Hishammuddin Huessein (menteri luar), Khairy Jamaluddin (sains dan teknologi), Halimah Sadique (perpaduan) dan Adham Baba (kesihatan).

Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa adalah AMT lantikan. Enam daripada tujuh timbalan menteri Umno juga bukan AMT.

Selain daripada kumpulan Azmin dalam Bersatu, pimpinan Bersatu yang lainnya adalah bekas pimpinan Umno. Ada yang meninggalkan Umno sebelum pilihan raya 2018, selebihnya pengkhianat yang menyertai Bersatu selepas Umno hilang kuasa.

Parti Muhyiddin itu turut mahu memecahkan Muafakat Nasional, gabungan setahun jagung antara Umno dan PAS. Jika dipaksa memilih antara Umno dan Bersatu, PAS tentunya akan memilih Bersatu.

Setelah kehilangan pemimpin-pemimpin progresifnya pada tahun 2015, PAS tidak lagi bercita-cita besar untuk meluaskan pengaruhnya di peringkat nasional. Objektif yang realistik bagi PAS ialah untuk mendominasi di Kelantan, Terengganu, Kedah Utara dan Pahang Timur. Bersatu tiada masalah untuk menyerahkan kawasan-kawasan ini kepada PAS; sedangkan Umno tidak boleh berbuat demikian kerana mereka telah bertanding di kawasan-kawasan tersebut sekian lama dan masih terus mempunyai kehadiran akar umbi yang signifikan di sana.

“Apa lagi UMNO mahu?”

Secara asasnya, apa yang sedang kita hadapi sekarang ialah kesan berpanjangan daripada kejatuhan Umno pada 2018.

Selepas kekalahan Umno, pemimpin yang kurang dicemari dana Najib Razak seperti Mohamad Hassan dan Khairy Jamaluddin memasang cita-cita untuk bangkit menerajui parti. Mereka berharap Najib dan Zahid Hamidi akan meninggalkan parti kepada pelapis baharu untuk membina semula parti dari kerusi pembangkang dan seterusnya menang dalam PRU akan datang.

Tetapi Najib dan Zahid belum bersedia untuk melepaskan. Mereka memerlukan wadah politik yang boleh digunakan untuk mendapatkan sokongan ramai supaya mereka boleh kekal relevan dan kembali berkuasa untuk mengelak daripada masuk penjara. Mereka gunakan isu ICERD dan kemudian rusuhan Seafield untuk menghangatkan suasana.

Umno di bawah Najib dan Zahid beralih ke arah PAS dan mereka sama-sama menjalankan ‘strategi bumi hangus’ untuk membakar negara dengan isu kaum dan agama. PAS dan Umno mempermainkan keresahan umat Islam dan memperkukuh persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan dikawal oleh DAP, dan orang Cina memegang tampuk kuasa.

Tujuan kumpulan ini ialah untuk menyusahkan pentadbiran Pakatan sehinggakan PRU perlu diadakan dan kemenangan akan berpihak kepada PAS dan Umno, manakala Najib dan Zahid boleh terlepas daripada kes-kes mahkamah.

Pada masa yang sama, faktor-faktor lain turut menyumbang. Azmin tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri, lalu beliau bekerja keras untuk membentuk gabungan baharu yang tidak akan mencalonkan Anwar sebagai PM. Segala-galanya memecut laju setelah beberapa klip video muncul pada Jun 2019 yang mendakwa Azmin melakukan hubungan seks bersama seorang lelaki.

Cubaan rampasan kuasa Oktober tahun lalu

Gabungan yang cuba dibentuk oleh Azmin melibatkan dua lagi perencana utama: Hamzah Zainuddin dan Hishammuddin Hussein. Hamzah membawa sejumlah 15 Ahli Parlimen untuk melompat menyertai Bersatu, mengurangi kerusi Umno daripada 54 menjadi 39. Hishammuddin pula didakwa mengawal 17 orang Ahli Parlimen Umno.

Rancangan pada Oktober 2019 ialah untuk membentuk sebuah kerajaan perpaduan Melayu dengan tambahan kumpulan Hishammuddin (17), Gabungan Parti Sarawak, GPS (18) dan PAS (18) untuk mencukupkan angka 53, bagi menggantikan angka-angka Amanah (11) dan DAP (42).

Kongres Maruah Melayu pada 6 Oktober 2019 direncana oleh Hamzah Zainuddin, bersama-sama Azmin Ali dan Hishammuddin Hussein di belakang tabir. Serangan berterusan terhadap DAP sepanjang Oktober bertujuan untuk memecahkan Pakatan Harapan.

Objektif utama rancangan untuk menggunakan 53 Ahli Parlimen daripada kumpulan Hishammuddin, GPS dan PAS bagi menggantikan 53 kerusi Amanah dan DAP ialah untuk menafikan peluang Anwar menjadi Perdana Menteri. Azmin percaya bahawa apabila DAP dan Amanah tidak lagi sebahagian daripada sifir terbabit, beliau akan dapat mengawal majoriti Ahli Parlimen PKR, atau tiada sesiapa akan menyokong Anwar sebagai PM.

Pada 14 Oktober 2019, akhbar New Straits Times menyiarkan laporan muka depan tentang idea besar Hishammuddin untuk membina sebuah ‘Bangsa Malaysia’ tanpa DAP dan Amanah. Itu merupakan serangan yang pertama.

Namun pada waktu itu, Muhyiddin Yassin dan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak berkenan dengan cubaan sedemikian.

Pada 15 Oktober 2019, saya berjaya meyakinkan Setiausaha Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah untuk menandatangani kenyataan bersama Majlis Setiausaha PH bersama empat setiausaha parti: Hatta Ramli (Amanah), Saifuddin Nasution (PKR), Marzuki Yahya (Bersatu ketika itu) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP menganggotai Majlis Presiden manakala orang nombor dua, Setiausaha Organisasi menganggotai Majlis Setiausaha).

Sehingga hari ini saya masih tertanya-tanya kenapa Saifuddin Abdullah, yang begitu rapat dengan Azmin dan mempunyai peranan besar dalam Langkah Sheraton, tidak teragak-agak untuk menandatangani kenyataan yang mendedahkan rencana Hishamuddin-Azmin-Hamzah. Mungkin beliau tidak tahu mengenainya pada waktu itu.

Kenyataan Pakatan itu disiarkan akhbar-akhbar utama pada 16 Oktober 2019, genap setahun hari ini. Saya berani sebut bahawa kita berjaya menggagalkan rampasan kuasa 53 ganti 53 (Hishamuddin, GPS dan PAS menggantikan Amanah dan DAP) pada hari itu.

Langkah Pasca-Sheraton

Pakatan gagal mengelakkan rampasan kuasa seterusnya pada 23 Februari 2020 apabila Muhyiddin menyokong rancangan terbabit dan Zahid membawa keseluruhan blok Umno ke meja rundingan dan mendesak bahawa beliau satu-satunya jurucakap bagi pihak Umno.

Pada Februari, dengan sokongan 39 kerusi Umno, rancangan mereka adalah untuk menendang keluar kumpulan Anwar dalam PKR, DAP dan Amanah. Mereka beranggapan bahawa parti Warisan pimpinan Shafie Apdal bersama Dr Mahathir dan kerajaan Sheraton akan berkuasa dengan sekurang-kurangnya 125 kerusi, kalau pun bukan 130. Mereka terkejut apabila Dr Mahathir dan Shafie enggan masuk campur dengan rancangan terbabit dan sejak itu, kerajaan Sheraton ini hanya mampu mentadbir dengan majoriti kurang daripada bilangan jari di sebelah tangan.

Apa yang penting, Umno tidak mampu bertindak secara berpadu sejak kekalahannya pada 2018. Rancangan Hishammuddin ialah supaya Umno berpecah pada Oktober 2019. Kita menanti apa yang bakal terjadi pada Oktober 2020.

Cubaan Zahid dan Najib untuk bercerai dengan Muhyiddin akan menyebabkan Umno bercerai-berai terlebih dahulu. Kita masih memerhatikan apakah peranan Naib Presiden Umno merangkap menteri paling kanan dalam Umno, Ismail Sabri. Beliau mungkin menjadi penentu pihak yang mana akan terakam sejarah.

Banyak kejutan mendatang dalam Tragedi Oktober kali ini.

Anwar dakwa turut disoal isu liwat

Ramieza Wahid

Presiden PKR Anwar Ibrahim mendakwa dia turut disoal berkaitan “kes liwat” dalam siasatan polis hari ini.

“Ada tetapi ini biasa dan soalan pun longgar.

“Dan ini satu rencana politik untuk menekan saya saat saat seperti ini,” katanya ketika ditanya pemberita sama ada terdapat laporan polis berkaitan kes liwat dibuat terhadapnya. 

Ketua pembangkang tidak mengulas panjang siasatan berkaitan kes itu.

Anwar berkata demikian selepas memberi keterangan berkaitan siasatan berhubung dakwaan dia mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan baru di ibu pejabat polis di Kuala Lumpur Lumpur.

Anwar disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 atas dakwaan menimbulkan kegentaran awam.

Dia juga disiasat bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan dakwaan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Siasatan hari ini dibuat beberapa hari selepas dia mendakwa mengemukakan akuan berkanun (SD) dan surat kepada Agong berkaitan sokongan “lebih 120” anggota parlimen untuk membentuk kerajaan baru.

Istana berkata Anwar tidak memberikan senarai itu.

Ogos lalu, tular SD mendakwa seorang lelaki mengadakan hubungan luar tabii dengan Anwar sebanyak empat kali di hotel berbeza di Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang pada 2013.

Bagaimanapun, individu yang membuat SD itu membuat laporan polis mendakwa aktivis politik Ramesh Rao mempengaruhinya membuat tuduhan itu dengan memberikan habuan.

Ramesh bagaimanapun memberitahu Malaysiakini dia tidak pernah berjanji bahawa seorang menteri akan membiayai lelaki itu.

Media sebelum ini tidak menamakan Anwar kerana gagal mendapatkan penjelasan Anwar terhadap dakwaan itu.

Anwar sebelum ini dimasukkan ke penjara selepas disabitkan bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Yang di-Pertuan Agong sebelum ini Sultan Muhammad V bagaimanapun menitah perkenan bahawa rayuan pengampunan penuh Anwar dibenarkan dan diberi pembebasan serta-merta pada 16 Mei.

Ku Li kuda hitam ketika Anwar mencelah antara Umno dan Muhyiddin

SITI NUR ZAWANI MISCON

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dianggap sedang memanfaatkan pertembungan antara Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun tidak pula dilihat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi ruangan kolumnya, Timbalan Pengarang Eksekutif Sin Chew Daily, Tay Tian Yan berkata, Razaleigh atau Ku Li berada di waktu yang tepat ketika Anwar memutuskan untuk menggulingkan Muhyiddin.

Ku Li adalah pemain utama dan penampilannya telah mengubah keseluruhan senario apabila pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini bukanlah sebagai perantara politik untuk Umno dan bukan juga ‘gaun pengantin’ bagi Anwar.

“Ku Li tetap diam, bertindak secara diam-diam untuk berhubung dengan akar umbi bagi membentuk kekuatan.

“Menurut laporan Umno, dengan sokongan kem Mat Hassan, Hishammuddin, dan Annuar Musa, Ku Li mungkin dapat memperoleh sokongan 24 Ahli Parlimen Umno, sementara kem Ahmad Zahid dan Najib mungkin hanya mempunyai 15 Ahli Parlimen,” tulisnya.

Dia juga menganggap pertemuan Ku Li bersama Dr Mahathir menguatkan spekulasi bahawa ahli Parlimen Umno itu perlu mendapatkan restu dari bekas Perdana Menteri ke 7.

Menurutnya, Mahathir pasti akan melakukan apa sahaja untuk mengelakkan Anwar menjadi Perdana Menteri dan sekiranya Mahathir menyokong Ku Li, maka secara tidak langsung ia akan melemahkan peluang Anwar.

Setelah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Pas mendapati bahawa Muhyiddin disingkirkan, mereka akan berpaling untuk menyokong Ku Li walaupun GPS dan Pas tidak mahu bekerjasama dengan DAP.

“Ketika Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub memuatnaik foto pertemuan dengan Ku Li, spekulasi makin kuat dibangkitkan.

“Anwar dan Ku Li kini sedang berlumba. Mana-mana parti dengan sokongan majoriti ahli Parlimen, akan menghampiri garis pertama. Pada pandangan pertama, Ku Li akan memimpin,” tulisnya lagi.

“Siapa Takiyuddin ini sehingga dia perlu disembah untuk membolehkan usul tidak percaya dibuat. Memalukan"

 Ibrahim Ali cadang Ku Li jadi PM kerajaan perpaduan

MALAYSIA DATELINE

Bekas pengikut dan orang kanan Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan agar Ahli Parlimen Gua Musang itu dilantik mengetuai ‘kerajaan perpaduan’ (unity government) bagi menyelesaikan masalah yang sedang melanda negara sekarang.

Dalam ucapan yang dibuat melalui media sosial, Presiden Parti Putra itu berkata, dengan cara ini, negara boleh ditadbir dengan aman dan berkesan di mana semua pihak berada di dalamnya.

“Beliau tidak kontroversi, kakitangan kerajaan menghormati beliau. Orang Melayu, Cina dan India selesa dengan Tengku Razaleigh.

“Jadi dia calon terbaik untuk dipertimbangkan,” kata Ibrahim yang pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal itu.

Bagaimanapun, ia perlu mendapat sokongan dari semua parti yang terlibat, katanya.

Selain cadangan itu, Ibrahim menyelar sikap Speaker Dewan Rakyat yang meminta Tengku Razalegh berunding dengan Datuk Takiyuddin Hassan, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) untuk membolehkan usul undi tidak percaya dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Siapa Takiyuddin ini sehingga dia perlu disembah untuk membolehkan usul tidak percaya dibuat. Memalukan,” kata Ibrahim kesal.

Semalam Tengku Razaleigh menyebarkan notis usul undi tidak percaya yang dikemukakan beliau 25 September lalu dan jawapan Speaker Dewan Rakyat yang berkata agenda kerajaan terpaksa didahulukan.

Pergolakan Umno-PN ancam kerajaan Sabah, kata penganalisis

Durie Rainer Fong

KOTA KINABALU: Penganalisis politik bersetuju bahawa kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baru dibentuk boleh tumbang sekiranya Umno menarik sokongannya kepada Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT, mereka mengakui akan hubungan yang sedia tegang dalam GRS.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, ketegangan dalam kerajaan negeri sangat ketara dalam hubungan antara Umno dan PN, khususnya PPBM.

Bridget Welsh dari Universiti Nottingham (Malaysia) berkata, perselisihan antara Umno dan PPBM boleh menyebabkan perpecahan dalam GRS.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, kestabilan kerajaan negeri akan tergugat sekiranya Umno Sabah memutuskan untuk mengikut telunjuk ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Selasa lalu, selepas mesyuarat tertutup selama 5 jam, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, parti itu mempertimbang untuk menarik diri daripada menyokong PN, selain menetapkan syarat baru kepada kerajaan dalam meneruskan kerjasama politik sedia ada.

Awang Azman berkata, keadaan ini pasti akan mempengaruhi hubungan yang sudah tegang antara Umno Sabah dan PN.

“Apa sahaja yang berlaku di Putrajaya akan mempengaruhi keadaan mana-mana kerajaan negeri di bawah sayap PN,” katanya.

“Sekiranya Umno menarik diri daripada PN, maka kerajaan Sabah akan tumbang. Ini boleh membuka jalan kepada Umno untuk bekerjasama dengan Warisan bagi menubuhkan kerajaan baru seterusnya.

“Namun, sekiranya perdana menteri tidak lagi datang daripada PPBM, pemimpin PPBM Sabah akan meninggalkan parti itu dan kembali kepada Umno.

Welsh berkata, wujud kemungkinan episod di peringkat nasional tidak mempengaruhi keadaan di negeri itu kerana Umno Sabah bebas untuk memilih jalannya sendiri.

“Namun begitu, ketidakstabilan di peringkat persekutuan berpotensi memecah-belahkan kerajaan GRS, yang terus dilanda ketegangan Umno-PPBM.

“Pelantikan wakil PAS ke kedudukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh menyebabkan penolakan serius daripada sekutu Kadazan Dusun Murut,” katanya.

“Ini akan menguji autonomi Umno Sabah.”

Bagang juga mengakui kebebasan Umno Sabah untuk membuat keputusan.

Namun katanya, ancaman Umno untuk meninggalkan PN akan menyukarkan Kabinet Sabah untuk berfungsi.

Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, pengaturan kuasa dan dinamika politik di Sabah pasti akan berubah sekiranya Umno tidak lagi bekerjasama dengan PN.

“Sabah tidak lagi terhindar daripada politik di Semenanjung Malaysia,” katanya.

“Ini kini terdedah kepada keadaan yang berlaku di sana.”

Mahathir tempelak pemimpin Bersatu sebab tak mahu dengar nasihat dia dulu

Dengarlah nasihat The Old Man ni, dah penat dah, kata Tun Mahathir

MALAYSIA DATELINE

“Dengarlah nasihat ‘the old man’ ni selagi dia masih hidup. Dah penat dah,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad berikutan kecelaruan politik yang berlaku sekarang.

“Tak lama dah pun, malah tak rugi,” kata Dr Mahathir ketika mengingatkan rakyat dan pemimpin negara ini tentang pentingnya kestabilan kerajaan.

Mahathir mengungkitkan, sejak kebelakangan ini, apa yang dikatakan beliau menjadi kenyataan walaupun tidak diikuti oleh orang yang dinasihati beliau.

“Bila The Old Man kata ‘Jangan ambik depa, nanti depa buh syarat macam macam. Nanti kita kena jadi pak turut dia’.

“The Old Man betul. Semua orang nampak. Umno ugut itu ini kepada Muhyiddin. Walaupun mula mula nampak Umno terpaksa mengalah,” tulis bekas PM selama dua kali itu.

Beliau dipercayai merujuk kepada pandangan beliau dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sebelum kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan dimana beliau menolak untuk bekerjasama dengan Umno secara keseluruhannya.

Namun ketika itu, Muhyiddin bersedia untuk berbuat demikian dan diterima oleh anggota majlis mesyuarat itu dan menolak pandangan Tun Mahathir.

Mahathir juga mengungkitkan kembali cadangan beliau agar Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas beliau meletakkan jawatan dan dijadikan PM Interim.

“Bila The Old Man kata, ‘Kena buh politik kepartian ni ke belakang, masa sekarang dan nanti akan berlaku lagi tak stabil, negara kena diutamakan. Sebab tu dicadangkan kerajaan perpaduan’

“Sekali lagi The Old Man betul. Now, politik negara bertambah tak stabil,” kata Mahathir dalam tulisan di facebook beliau.

Ketika Mahathir mencadangkan agar satu kerajaan perpaduan dibentuk tanpa mengambil kira parti, hampir kesemua parti politik ketika itu menolaknya kerana mereka menganggap beliau mahu berkuasa penuh untuk melantik sesiapa yang beliau kehendaki tanpa mengambil kira parti-parti yang ada.

Namun begitu, Tun Dr Mahathir berkata, dia tidak tahu apa mahu komen dengan apa yang berlaku ini.

“Entahlah. Nak kata padan muka pun, kesian pulak. Tapi saya cuma doakan negara ini kembali aman dan stabil, penat dah,” kata beliau.

Strategi UMNO atau peluru makan diri?

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN

Langkah politik terbaharu UMNO sudah pasti akan menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tergugat, namun adakah parti itu benar-benar memperoleh manfaat daripada tindakan itu?

POLEMIK politik Malaysia, jika dipersembahkan dalam bentuk filem atau drama, sudah pasti berpotensi memenangi anugerah Oscar atau Golden Globe Award sebagaimana filem Parasite dari Korea Selatan pada tahun 2019.

Plot penceritaannya penuh kejutan, drama, berpusing-pusing dan aksinya penuh mendebarkan serta para pelakonnya sentiasa mengujakan penonton sama ada pelakon berstatus veteran atau baharu.

Bahkan, pengarah filem Hollywood tersohor sekalipun mungkin tidak akan menyangka sebegitu rumit plot drama politik Malaysia yang menyaksikan pemainnya sentiasa ‘bekerja keras’ membentuk strategi politik baharu.

Pada 13 Oktober lalu, drama politik negara mencapai satu percaturan baharu apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi menyerahkan bukti sokongan majoriti ahli Parlimen terhadapnya.

Hasrat Anwar membentuk kerajaan baharu itu bukan satu perkara yang pelik jika mengambil sejarah politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang sudah lama menunjukkan cita-cita hendak menjadi Perdana Menteri.

Lebih parah, gerakan politik terbaharu Anwar itu dilakukan pada saat negara berdepan ancaman gelombang ketiga koronavirus (Covid-19) yang semakin serius.

Meskipun hasil pertemuan Anwar dengan Seri Paduka Baginda belum mengesahkan apa-apa, namun pelbagai andaian dan jangkaan dikemukakan golongan rakyat sama ada di dada akhbar hingga kedai kopi.

Tidak cukup dengan itu, kerumitan politik negara semakin terserlah apabila Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan parti itu memutuskan kemungkinan mengambil pertimbangan menarik diri daripada menyokong kerajaan Perikatan Nasional.

Lebih menarik, Ahli Parlimen Pontian itu menegaskan UMNO akan memberikan syarat baharu kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya mahu meneruskan kerjasama politik secara perjanjian bertulis.

“Selain itu, UMNO akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) agar ia didaftarkan dengan segera sebagai sebuah gabungan politik sah,” katanya pada mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Semakin menarik

Langkah politik terbaharu UMNO sekali gus mengundang persoalan mengenai bentuk permainan politik yang cuba diketengahkan parti itu serta kesannya kepada keutuhan kerajaan PN.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui tuntutan terkini UMNO itu adalah kesinambungan rasa ketidakpuashatian terhadap cara layanan Muhyiddin selaku Perdana Menteri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Bermula dengan pemberian jawatan Kabinet kurang penting, isu pembahagian kerusi menimbulkan perbalahan sehingga konflik pelantikan Ketua Menteri dan sabotaj kerusi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, UMNO merasakan parti itu seolah-olah sedang dibuli oleh Bersatu.

“Dakwaan layanan tidak adil Muhyiddin juga menyebabkan pucuk pimpinan UMNO disalah tafsir oleh majoriti akar umbi parti sebagai terlalu mengalah kepada Bersatu,” katanya kepada Sinar Harian.

Dari satu sudut lain pula, tuntutan UMNO itu boleh dianggap sebagai satu bentuk kata dua atau ugutan bagi memaksa Bersatu memberikan konsesi ke arah mengukuhkan kerajaan campuran PN yang rapuh.

Kata dua UMNO itu lebih memberi isyarat kepada akar umbi bahawa parti itu sedia berlawan dengan Bersatu mahupun Pas yang kini dilihat lebih memihak Bersatu jika perlu.

“Selepas PRN Sabah, akar umbi UMNO berasa amat gusar parti mereka dipinggirkan dan berkemungkinan ditelan perlahan-lahan oleh Bersatu.

“Kalau tidak menunjukkan persediaan untuk berlawan, mungkin lebih ramai ahli akan meninggalkan parti bagi menyertai Bersatu atau Pas pula.

“Namun, sekiranya Muhyiddin tunduk kepada desakan UMNO, Kabinet dijangka dirombak sebelum sidang Parlimen berlangsung pada 2 November hadapan, dengan penambahan beberapa menteri dan timbalan menteri daripada parti itu akan berlaku,” kata saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat.

Di sebalik kejutan gerakan politik terbaharu UMNO itu, terdapat pandangan keputusan itu sebenarnya bukan bersifat kolektif kerana ia tidak dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu terlebih dahulu.

Bagi penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib, keputusan UMNO itu secara tidak langsung menunjukkan ketidakselarian pendapat antara pemimpin-pemimpin dalam parti itu.

“Saya rasa keputusan UMNO semalam bersifat terburu-buru dan seolah-olah mengambil kesempatan di atas polemik rancangan politik yang dibawa Anwar.

“Atas kertas, kelihatan tindakan itu sekadar menguntungkan ahli-ahli Parlimen UMNO yang berkait kes mahkamah sahaja sekiranya dipersetujui Muhyiddin,” katanya.

UMNO tersilap langkah

Satu lagi perkara yang berkemungkinan tidak akan berlaku daripada langkah politik terkini UMNO itu adalah penyertaan parti itu dalam rancangan Anwar.

Bahkan, Mustapha turut menjangkakan UMNO akan mengambil langkah drastik keluar daripada kerajaan PN dan bersendirian bersama koalisi asal, Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Namun, sekiranya berlaku juga pemberian sokongan kepada Anwar, itu adalah berbentuk persendirian dan bukan en bloc.

“Mungkin juga satu solusi berbentuk pelantikan Perdana Menteri interim akan dikemukakan Seri Paduka Baginda bagi menyelesaikan isu ketidaktentuan politik negara dengan Muhyiddin akan diminta meletak jawatan sekiranya terbukti hilang majoriti,” katanya.

Bagi Kartini, sekiranya UMNO berterusan mahu menunjukkan mereka lebih dominan berbanding parti-parti lain dalam kerajaan PN, tindakan itu tidak akan memberi imej lebih baik kepada rakyat.

Jelasnya, langkah terkini UMNO pada saat Covid-19 semakin mengganas memberi petunjuk parti itu seolah-olah tidak ada beza dengan Anwar dari segi usaha untuk mencapai kuasa 

https://www.sinarharian.com

Ahmad Maslan akui 16 MP Umno ‘berpindah’

FAZLI RADZI

Bibit perpecahan dalam Umno dilihat semakin ketara apabila Setiausaha Agungnya, Datuk Ahmad Maslan mengakui 16 daripada 39 Ahli Parlimen parti Melayu terbesar itu sudah ‘berpindah’.

Ahli Parlimen Pontian itu dalam ciapan di Twitter serta hantaran di Facebook dan Instagram malam ini turut menyenaraikan kedudukan kerajaan pada ini yang berjumlah 113 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu, beliau membahagikan Umno kepada dua iaitu Kumpulan A dan B.

Selain Umno, MCA mempunyai dua kerusi, diikuti MIC dan PBRS masing-masing satu kerusi.

Turut menganggotai kerajaan pada masa ini ialah GPS dengan 18 kerusi, PPBM (16), Pas (18) manakala STAR dan PBS masing-masing satu kerusi.

“Kerajaan sekarang ada 113 kerusi. Untuk ingatan kita semua.

“[Umno (B) 16 MP Umno Berpindah tapi asalnya bertanding atas tiket Umno. Umno (A) yang Asal/Asli].

“Umno/BN yang terbanyak kerusi,” tegas Ahmad sekali gus mengesahkan desas-desus tentang pergeseran dalam kalangan Umno.

Walau bagaimanapun rata-rata warganet menyuarakan rasa bosan dengan permainan politik yang tidak berkesudahan ketika jangkitan Covid-19 semakin mengganas.

Ada juga komentar yang menyarankan pemimpin Umno dan kerajaan pada masa ini lebih baik ke meja rundingan berbanding asyik bercakaran di media sosial.

Susulan pengumuman Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti lebih 120 ahli Parlimen, Umno dilihat berpecah kepada dua blok.

Difahamkan, kem Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak bertembung dengan blok Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li.

Setakat ini, dikatakan sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno menyokong Ku Li sebagai calon Perdana Menteri sekali gus lebih banyak berbanding Anwar.

Kelmarin, Umno melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi parti yang dipengerusikan Ahmad Zahid meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahmad Maslan, melalui kenyataan media berkata, Umno akan memberikan syarat baharu melalui perjanjian bertulis kepada kerajaan PN untuk dilaksanakan secepat mungkin bagi meneruskan kerjasama politik.

Ku Li dapat jumlah sokongan lebih besar dari Anwar?

MALAYSIA DATELINE

Sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno dikatakan menyokong Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri.

Memetik laporan Astro Awani, antara pemimpin Umno yang menyokong Tengku Razaleigh yang dikenali sebagai Ku Li itu ialah Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hassan; Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

“Jika dicongak dan dilihat kepada jumlah sokongan, gerakan Ku Li ini mempunyai sokongan lebih besar dalam kalangan Ahli Parlimen Umno.

“Sekurang-kurangnya 24 daripada 39 ahli Parlimen Umno sokong beliau sebagai calon perdana menteri.

“Bila kita tengok semula kem Zahid-Najib ini, mereka hanya mempunyai 15 sokongan Ahli Parlimen. Kebanyakan mereka ini adalah mereka yang telah didakwa atas kesalahan jenayah atau sedang menunggu hukuman,” lapor Astro Awani.

Dalam masa sama, gerakan Ku Li didakwa mempunyai sokongan yang jauh lebih besar daripada jumlah yang diperoleh Anwar.

“Selain lebih dari separuh ahli Parlimen Umno, difahamkan terdapat juga sokongan sebahagian wakil dari Pas, DAP, AMANAH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), PKR dan Pejuang.

“Ikutkan, semua ahli Parlimen dari Pejuang ini menyokong Ku Li termasuk Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad,” kata sumber itu lagi.

Muhyiddin sogok Ku Li, AMK lapor polis esok

Dakwaan sogokan: AMK lapor polis terhadap Muhyiddin esok

Low Choon Chyuan

Pemuda PKR (AMK) akan membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan melakukan "sogokan politik" dengan menawarkan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada pemimpin tertentu.

Setiausaha pengelola AMK pusat, Chua Wei Kiat berkata, laporan polis berkenaan dibuat susulan dakwaan yang dibangkitkan dalam surat pemimpin veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah semalam.

"Kenyataan (Tengku Razaleigh) itu menyebut bahawa Perdana Menteri menawarkan jawatan GLC sebagai balasan bagi menyokongnya," katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, Adun Rawang itu berkata sayap pemuda PKR itu akan membuat laporan polis terhadap Muhyiddin di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi jam 10 pagi esok.

Dalam surat berkenaan, Razaleigh mendakwa Muhyiddin menawarkan jawatan penasihat Petronas, yang secara tradisi ditawarkan kepada bekas perdana menteri.

Razaleigh bagaimanapun menolak tawaran itu kerana bimbang dengan Perkara 48 (1) (c) Perlembagaan Persekutuan mengenai 'hilang kelayakan keanggotaan Parlimen' jika memegang sesuatu jawatan berpendapatan.

Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli Parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana "penyogokan politik".

Untuk rekod sejak mengambil alih kerajaan pada Februari lalu, pembangkang mendakwa Muhyiddin melantik ahli politik dalam GLC untuk menguatkan pengaruhnya.

Dakwaan Razaleigh atau lebih mesra dengan panggilan Ku Li itu didedahkan dalam sepucuk surat yang dihantar kepada speaker Dewan Rakyat.

Dalam surat berkenaan beliau turut menggesa speaker membenarkan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin untuk dibahaskan.

Pendedahan itu juga dibuat sehari selepas anggota Parlimen Gua Musang itu dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Seri Padukan bagi menunjukkan dokumen yang dikatakan bukti dia mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Umno menguatkan tekanan terhadap Muhyiddin

Umno kemuka formula perkongsian kuasa sama kepada Muhyiddin, Anwar, kata sumber

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Umno mengemukakan formula perkongsian kuasa yang sama kepada Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim, menurut sumber dalaman Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sumber itu berkata, sekiranya kedua-dua pemimpin itu tidak menerima formula tersebut, pilihan raya kilat mungkin akan diadakan.

Sumber dalaman BN berkata: “Sekiranya rundingan antara Muhyiddin dengan Umno gagal, ahli Umno boleh mendesak Zahid (presiden parti Ahmad Zahid Hamidi) supaya menyokong Anwar ketika beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong.”

Zahid dijadualkan menghadap Agong lewat hari ini.

Sumber BN memberitahu FMT bahawa beberapa ahli Umno berharap rombakan Kabinet dibuat bagi memperkuatkan kedudukan parti itu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan jawatan timbalan perdana menteri diberikan kepadanya.

“Sebilangan ahli Umno tidak selesa dengan seorang atau 2 menteri PPBM yang terlalu mengawal Muhyiddin,” katanya.

Beliau berkata, Umno mempunyai masa sehingga Zahid menghadap Agong untuk mengemukakan tuntutannya kepada PPBM.

“Fokus sekarang adalah untuk lihat sama ada Umno dan PPBM boleh bersetuju dengannya,” katanya. 

Beliau berkata, sekiranya Umno gagal mendapat persetujuan PPBM, ia akan cuba membuat perjanjian dengan Anwar untuk mencetuskan pilihan raya kilat.

Beliau berkata, ini kerana mereka menyokong PPBM untuk membentuk kerajaan baru, tetapi gagal dalam usaha melantik pengerusi Umno negeri itu Bung Moktar Radin sebagai ketua menteri.

“Sekiranya Umno akhirnya menyokong Anwar, mereka tidak tahu bagaimana Anwar akan bertindak balas selepas mendapat jawatan perdana menteri. Tetapi jika Anwar bersetuju dengan formula berkongsi kuasa secara saksama, mereka mungkin akan bergabung dengannya.”

Sementera itu, sumber PH memberitahu FMT bahawa anggota gabungan itu kini smenunggu hasil rundingan antara Umno dan PPBM.

“Walaupun jika Umno akhirnya menyokong Anwar,” katanya, “ia mungkin hanya sehingga situasi Covid-19 reda.

Bekas pembantu Mat Sabu berdepan 5 pertuduhan rasuah

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 5 pertuduhan rasuah melibatkan projek Kementerian Pertahanan bernilai RM6.35 juta.

Mohd Azhar Che Mat Dali didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana meminta RM5 juta dan menerima rasuah RM1.35 juta daripada sebuah syarikat, FEHM Entity Sdn Bhd, untuk membantunya menjadi rakan kongsi strategik dan kontraktor bagi projek kementerian dalam penyelenggaraan peranti perisik.

Dia dituduh atas jawatannya sebelum ini sebagai setiausaha politik Mohamad, lebih dikenali sebagai Mat Sabu, yang merupakan menteri pertahanan pada ketika itu.

Anwar dapat sokongan cukup, termasuk 30 dari Umno, kata Khalid Samad

MALAYSIA DATELINE

Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan yang jelas, termasuk 30 ahli parlimen Umno, ketika beliau mempersembahkan bukti sokongan itu kepada Yang Dipertuan Agong, kata Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad.

Khalid, satu-satunya pemimpin AMANAH yang berada dalam sidang media Anwar selepas menghadap Agong berkata, jumlah sokongan yang dimiliki oleh Anwar adalah kombinasi sokongan PKR (39), DAP (42), AMANAH (11) dan 30 daripada Umno.

“Saya difahamkan, selain surat-surat dari Mohamad Sabu yang mewakili AMANAH dan surat Lim Guan Eng yang mewakili DAP, Datuk Seri Anwar juga membawa surat daripada Datuk Seri Zahid Hamidi yang menyatakan 30 MP Umno, kalau tak silap saya, menyokong Anwar.

“Ia dikemukakan setakat itu sahaja tanpa SD. Namun, saya difahamkan surat Zahid Hamidi ada senarai namanya,” kata Ahli Parlimen Shah Alam itu dalam wawancara dengan tv internet Jom Channel malam tadi.

Dari jumlah itu sahaja, Anwar sudah mendapat 122 MP tidak termasuk ahli parlimen bebas yang lain yang memberikan SD kepada Anwar, kata Khalid menjelaskan dari mana Anwar mendapat sokongan itu.

JANGKAAN BERBEZA

Khalid mengaku, ramai yang kecewa dengan sidang media Anwar baru-baru ini kerana jangkaan mereka berbeza dengan apa yang dimaklumkan Anwar dalam sidang media itu.

“Ramai tak faham kerana isu ini sangat complicated dan anggap Anwar akan umum penubuhan kerajaan selepas menghadap Agong.

“Apa yang sepatutnya dibuat untuk memudahkan keadaan adalah Muhyiddin kena letak jawatan selepas tahu dia sudah hilang majoriti sebagaimana yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebelum ini selepas tahu dia sudah hilang majoriti apabila Bersatu keluar dari PH,” katanya.

Menurut Khalid juga, apa yang dianggap orang ramai ketika Anwar menghadap Yang Dipertuan Agong adalah Anwar akan membawa SD (akuan berkanun) semua ahli-ahli parlimen yang menyokong beliau.

“Tetapi kalau Anwar bawa SD sekalipun, Agong tetap perlu perincian dan siasatan. Betul atau tidak.

“Yang ada semalam adalah surat (dari ketua-ketua parti) yang sememangnya tidak akan berakhir pada hari semalam. Ia perlu disiasat dan ditemuramah.

“Selepas itu, maka Yang Dipertuan Agong akan berjumpa dengan ketua-ketua parti ini untuk disahkan apakah surat itu benar atau tidak,” katanya.

Yang Dipertuan Agong dijadualkan bertemu dengan ketua-ketua parti selepas Anwar mempersembahkan bukti beliau mempunyai sokongan itu.

Namun, semua pertemuan dengan ketua-ketua parti telah ditangguhkan oleh pihak istana.

Kerajaan Muhyiddin kini disokong 111 dari 222 Ahli Dewan Rakyat

MALAYSIA DATELINE

Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya bertahan dengan 111 daripada 222 ahli Dewan Rakyat sahaja selepas dua Ahli Parlimen Umno iaitu Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Nazeri Aziz tidak lagi menyokong kepimpinan beliau.

Hari ini Ku Li mendedahkan usul undi tidak percaya beliau kepada Muhyiddin yang dikemukakan kepada Speaker Dewan Rakyat pada 25 September lalu, dua hari selepas Datuk Seri Anwar mengumumkan beliau mempunyai undi yang cukup untuk membentuk kerajaan.

Sebelum ini, Nazeri mengumumkan beliau tidak menyokong kepimpinan Muhyiddin manakala Umno pula memutuskan untuk mempertimbangkan tidak lagi menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin jika syarat-syarat mereka tidak dipenuhi.

Dalam surat notis usul undi tidak percaya itu, Ku Li mendakwa, Perdana Menteri telah dua kali enggan membenarkan usul undi tidak percaya ini dibahaskan dengan cara menyenaraikannya di hujung sidang perbahasan.

“Dengan itu, perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat,” kata Ku Li dalam notis usul itu kepada Speaker.

Ku Li juga mendedahkan beliau ditawarkan sebagai Pengerusi Petronas yang beliau sifatkan sebagai “penyogokan politik”.

Ku Li juga mendedahkan jawapan Speaker yang berkata, beliau terikat dengan peraturan yang memperuntukkan urusan kerajaan perlu didahulukan.

Sehubungan itu, Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mencadangkan, sokongan seorang menteri diperolehi untuk membolehakn usul itu dibahaskan.

“Perlu saya tegaskan bahawa kedudukan usul undi tidak percaya di dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat bukanlah unik kepada sistem yang kita amalkan.

“Malah, sistem yang di amalkan di Australia juga hampir serupa dengan amalan kita di mana sesuatu usul undi tidak percaya itu tidak akan dipercepatkan perbahasannya tanpa penerimaan oleh seorang Menteri,” kata Azizan dalam kenyataan penjelasan terhadap surat yang didedahkan Ku Li itu.

K'jaan Muhyiddin di hujung tanduk, kata sumber Umno

B Nantha Kumar

Pengumuman Biro Politik Umno semalam bahawa parti itu mempertimbangkan menarik diri daripada menyokong gabungan Perikatan Nasional (PN) dan akan mengenakan syarat baru jika ingin terus bekerjasama bukan satu ancaman sebaliknya satu keputusan matang, kata sumber parti itu.

"Umno yang menyokong kerajaan PN diketuai Muhyiddin Yassin sebelum ini berbeza dengan keputusan semalam yang berasaskan satu keputusan menyeluruh oleh parti itu.

"Ini kerana, Umno memberi sokongan kepada Muhyiddin hanya sekadar sokongan oleh wakil rakyat daripada parti itu. Tetapi, pengumuman untuk mempertimbang tarik diri daripada PN merupakan satu keputusan kolektif oleh parti itu.

"Maka, saya boleh memberi bayangan bahawa kerajaan Muhyiddin di hujung tanduk," kata sumber pucuk pimpinan tinggi itu kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian ketika menjelaskan perjalanan mesyuarat biro politik yang turut dihadiri oleh semua pengerusi Umno negeri kecuali pengerusi badan perhubungan Sabah, Bung Moktar, malam tadi di Kuala Lumpur.

Mesyuarat semalam dikatakan hampir sebulat suara menyokong keputusan Umno untuk mempertimbangkan kedudukan mereka di dalam PN. Namun, seorang pemimpin kanan meninggalkan mesyuarat tersebut yang sedang berlangsung atas alasan kecemasan.

“Kami percaya beliau tidak puas hati dengan isu yang dibangkitkan dengan ramai yang mengkritik pentadbiran Muhyiddin,” katanya

Sumber itu turut menyenaraikan beberapa perkara dalam masa enam bulan ini yang membuat Umno mengambil keputusan tegas.

"Sejak penubuhan kerajaan PN, Umno satu-satunya parti dalam gabungan itu menjadi lemah dan makin tiada hala tuju. Semua parti lain dalam gabungan PN merupakan pembangkang kecuali Bersatu.

"Selesai penubuhan kerajaan, Umno yang mempunyai jumlah ahli majoriti dalam gabungan dipinggirkan dalam kabinet. Dah lah hilang jawatan PM walaupun parti paling dominan...TPM pun tak bagi... jawatan kabinet semuanya kurang penting sahaja.

"Yang kalah hilang deposit dalam PRU14 diberikan jawatan menteri kanan. Tapi, Umno diperuntukkan menteri-menteri yang kurang penting sahaja. Yang dapat dua tiga kementerian besar pun, bukan (mereka yang) memegang jawatan penting atau ahli MT (majlis tertinggi Umno).

"Ini satu strategi untuk melemahkan Umno dengan memberi nyawa kepada pemimpin-pemimpin yang tidak sehaluan dengan pucuk pimpinan," kata sumber itu.

Untuk rekod, Umno diberikan sembilan jawatan kabinet dalam kerajaan PN yang ditubuhkan pada Mac lalu.

Namun, kabinet Muhyiddin tidak diterima baik oleh akar umbi Umno yang beranggapan pemimpin parti itu tidak diberikan kementerian penting.

"Di peringkat negeri, kami hilang kerusi MB Perak walaupun mempunyai kekuatan 25 Adun. Jawatan GLC, JKKK, ahli majlis semuanya dikuasai oleh Bersatu dan geng kartel.

"Terbaru, kami hilang jawatan ketua menteri Sabah sedangkan kami merupakan parti paling banyak memenangi kerusi DUN berbanding Bersatu. Lebih menyedihkan, Umno juga terpaksa berhadapan dengan calon bebas yang ditaja oleh pihak berkepentingan.

"Kesimpulannya, Bersatu semakin berkembang dengan kekuatan Umno. Manakala, Umno menjadi semakin terpencil," katanya.

Pada PRN Sabah, Umno menang 14 DUN berbanding Bersatu yang hanya mendapat 11 kerusi sahaja. Namun, Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Mohd Noor yang dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang ke-16. 

Lebih merumitkan keadaan, spekulasi bahawa pemimpin Umno dan BN tidak berpuas hati dengan agihan portfolio kerajaan negeri.

Ketika ditanya, apakah Umno akan kekal bersama PN jika Muhyiddin bersetuju dengan semua syarat baru yang dikenakan, ini jawapannya.

"Ia masih awal untuk diramalkan. Yang pasti sebahagian syarat akan dilihat sebagai 'agak berat' bagi Muhyiddin untuk persetujui.

"Mungkin, Umno akan meminta semua kerusi yang dimenangi oleh ahli parlimen Umno yang menyertai Bersatu.

"Tidak menolak juga kawasan parlimen kumpulan Mohamed Azmin Ali di mana Umno merupakan pihak lebih sesuai bertanding menentang PH pada pemilihan akan datang kerana mendapat undi kedua tertinggi pada PRU14.

"Sanggupkah Muhyiddin korbankan pemimpin dari Umno dan kumpulan Azmin untuk kekal sebagai kerajaan?

“Sebab itu saya kata kerajaan Muhyiddin di hujung tanduk. Apa pun, kita akan tunggu dan lihat perkembangan terbaru nanti selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno pada 17 Oktober ini," katanya lagi.

Malaysiakini telah menghubungi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan untuk mendapatkan reaksi dan maklum balasnya.

Ku Li gesa speaker benarkan usul tidak percaya dibahas

Sepucuk surat oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan, telah didedahkan hari ini.

Pendedahan itu sehari selepas anggota Parlimen Gua Musang itu dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Sultan Abdullah bagi menunjukkan dokumen yang dikatakan bukti dia kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Surat Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, bertarikh 25 September 2020 - dua hari selepas Anwar mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan majoriti yang dikatakan dimilikinya.

Dalam surat itu yang dilihat Malaysiakini, Ku Li berkata usul tidak percaya sangat penting bagi menentukan sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

"Usul tidak percaya amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan, termasuklah kesahihan kerajaan sekaran bawah pimpinan perdana menteri. Sekiranya usul itu disokong sebahagian besar hali Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berpendapat usul tersebut seharusnya dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera agar kerajaan kepimpinan perdana menteri kini dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat

"Tanpa kepercayaan oleh Dewan Rakyat, perdana menteri tidak berhak menuntut kesahihan terhadap jawatannya, dan pengelakan terhadap hakikat ini merupakan niat buruk dan penipuan terhadap Perlembagaan," katanya.

Dalam surat itu, Ku Li berkata, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap Dewan Rakyat yang boleh menghalang usul itu daripada dibentang sebagai "suatu keutamaan mendesak".

"Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar usul tidak percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai satu keutamaan pada sidang akan datang," katanya lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas speaker, Azhar harun berkenaan perkara ini.

Azhar telah membalas surat tersebut pada 29 September, yang antara lain mengatakan Peraturan Mesyuarat menyatakan urusan kerajaan adalah keutamaan dalam sidang.

Dia juga berkata usul-usul persendirian yang dihantar ahli Parlimen, termasuk usul undi tidak percaya, disusun berdasarkan waktu ia dihantar.

Malah dia mengatakan susunan Aturan Mesyuarat lalu adalah dibuat speaker sebelumnya, iaitu Mohamad Ariff Yusof.

"Tugasan saya terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada.

"Mana-mana ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat.

"Saya tiada masalah untuk Dewan mempertimbang usul persendirian jika telah selesai semua urusan kerajaan atau terdapat usul seorang menteri di bawah Peraturan 14 (2) untuk mendahulukan usul persendirian," katanya lagi.

Azhar berkata lagi, jika Ku Li mahu usul persendirian diberi keutamaan, dia perlu berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Ancaman rasuah politik

Dalam surat itu, Ku Li turut mendakwa Muhyiddin telah menawarkan jawatan penasihat Petronas kepadanya, tetapi dia menolaknya.

"(Penolakan) kerana prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan 'hilang kelayakan menjadi ahli parlimen' sekiranya 'memegang sesuatu jawatan berpendapatan'," katanya.

Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli Parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana "penyogokan politik".

"Penyogokan politik menyebabkan demokrasi berperlembagaan kita menghadapi cabaran serius. Saya khuatir sama ada demokrasi berperlembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi," katanya, sambil menyifatkan perkara itu sebagai "musuh dalam selimut".

Selepas penubuhannya Mac lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikritik kerana membuat pelbagai lantikan politik.

Pihak yang menyuarakan kritikan itu mendakwa ia satu percubaan Muhyiddin untuk mengukuhkan sokongannya - yang hanya memiliki majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Usul undi tidak percaya dibuat Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad sebelum sidang pertama tahun ini.

Bagaimanapun, sidang itu dipendekkan kepada sehari sahaja - iaitu pada 18 Mei - susulan penularan wabak Covid-19.

Usul itu juga tidak dibentangkan dalam sidang seterusny iaitu pada Julai lalu.

Najib beri senarai mengapa Umno harus tinggalkan Muhyiddin

Ada yang sokong dan ada yang kritik kenyataan Umno semalam untuk pertimbangkan sokongan pada kerajaan PN dan meletakkan syarat.

Keputusan ini adalah keputusan sebulat suara Biro Politik Umno dan disokong oleh semua ketua perhubungan setiap negeri.

Sememangnya pemimpin-pemimpin Umno tidak akan membuat keputusan yang tidak mengambil kira suara akar umbi.

Jika akar umbi tak mahu, pemimpin Umno tidak akan membuat keputusan.

Walaupun saya bukan lagi ahli biro politik Umno atau ketua perhubungan mana-mana negeri, saya ingin memberi pendapat saya.

Semasa perdana menteri ketujuh, Dr Mahathir Mohamad letak jawatan secara mengejut, pendirian Umno masa itu ialah untuk pilihan raya umum diadakan untuk menyelesaikan kemelut politik masa itu.

Namun, Majlis Raja-raja tidak bersetuju dan kita diminta untuk memberi sokongan untuk mewujudkan kerajaan PN.

Di sebalik kegembiraan bahawa kerajaan Pakatan harapan (PH) sudah tumbamg, ramai penyokong dan akar umbi Umno masa itu juga membantah kita bekerjasama dengan Bersatu sebab Bersatu telah banyak mengambil ahli parlimen serta ahli parti dan kita baru bertembung di PRK Tanjung Piai.

Selama berbulan-bulan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibentuk, ramai yang juga mahu kita tolak PN dan kukuhkan Muafakat Nasional.

Ramai yang juga percaya bahawa jika kita tidak membentuk kerajaan PN bersama, Bersatu serta geng yang lompat keluar PKR untuk masuk Bersatu juga akan terkubur pada PRU15.

Namun apa yang berlaku di Sabah (termasuk mengambil kerusi Umno dan PN letak calon bebas untuk pecahkan undi BN), kenyataan-kenyataan dari ketua Armada Bersatu serta perkongsian kuasa yang di lihat berat sebelah telah terus membakar ketidakpuasan dan kemarahan ramai ahli-ahli Umno.

Sebagai contoh, perdana menteri adalah dari Bersatu dan pengganti pengganti iaitu Azmin juga dari Bersatu sekarang.

Dalam hal ekonomi, menteri kewangan bukan dari BN mahupun PAS.

Menteri yang jaga ekonomi dan yang jaga perdagangan luar juga bukan dari BN ataupun PAS.

Begitu juga dengan Khazanah dan Petronas.

Malah, tiada seorang pun dari Umno atau PAS dilantik dalam Majlis Tindakan Ekonomi untuk melawan Covid-19.

Sebaliknya, individu seperti boss The Edge dilantik ke dalam pula bersama tiga orang menteri Bersatu. Umno kini digelar gila kuasa pulak?

Sebab kita bersama dalam kerajaan PN, suka atau tidak, Umno dan BN juga akan turut dipersalahkan jika adanya keputusan ekonomi yang meragukan ataupun ekonomi bertambah teruk walaupun tiada seorang dari BN atau PAS terlibat dalam sebarang keputusan yang melibatkan ekonomi.

Contohnya seperti gesaan berulang-kali Umno untuk moratorium pinjaman dilanjutkan atau diberi kepada Sabah tidak didengar oleh kerajaan PN serta penggabungan UEM Sunrise dengan Eco World yang diteruskan dan bakal menyebabkan kerajaan hilang syarikat hartanah terbesar negara dengn pemilikan tanah terbesar walaupun Umno sudah bantah langkah ini sejak tahun lalu.

Dari segi pengawalan Covid-19 pula, Majlis Keselamatan Negara menolak cadangan menteri kesihatan dari Umno untuk melaksanakan kuarantin wajib untuk mereka yang pulang dari Sabah sebelum PRN.

Keputusan MKN untuk mula-mula tidak mewajibkan kuarantin mandatori di pusat kuarantin kerajaan bagi mereka yang pulang dari luar negera serta kegagalan menteri Bersatu untuk mengasingkan tahanan serta SOP yang sepatutnya turut menyebabkan kluster Sivagangga di Kedah dan penularan amat teruk di Sabah serta beberapa lagi pusat tahanan di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Jika kesilapan-kesilapan ini tidak berlaku, tidak wujudnya gelombang ketiga Covid-19 ini di Malaysia.

Dan kini, Umno turut dipersalahkan bagi gelombang ketiga Covid pada masa kini.

Sejak kerajaan PN dibentuk, pemimpin BN mempertahankanya (termasuk saya yang juga sering memberi pelbagai saranan yang seterusnya diambil kerajaan) biarpun ramai keputusan atau kesilapan adalah dilakukan oleh menteri Bersatu sebab itu adalah janji kami semasa membentuk kerajaan PN.

Namun ramai yang rasa ini tidak adil sebab yang buat silap mereka tapi yang mempertahankan mereka adalah ktia pula.

Keputusan Umno semalam adalah untuk mempertimbangkan semula sokongan pada PN, memberi syarat baru kerjasama serta mendaftarkan Muafakat Nasional secara rasmi sebagai parti politik.

Keputusan mesyuarat Umno semalam tidak menyentuh tentang sokongan kepada Anwar jadi perdana menteri ataupun bekerjasama dengan DAP (namun Setiauasha Agung DAP, Lim Guan Eng tentu happy jika dia berpeluang kerjasama dengan saya).

Memandangkan sentimen akar umbi serta lapisan pemimpin Umno, saya rasa keputusan semalam adalah munasabah dan tidak keterlaluan sebab ianya mampu membuka ruang lebih besar dan lebih adil untuk kami menyumbang kepada usaha pemulihan ekonomi dan membendung Covid-19.

Dan jika PN boleh didaftarkan sebagai parti politik, kenapa pula Muafakat Nasional tidak boleh?

Ini selaras dengan jawapan saya bulan lepas bahawa saya dalah "orang parti" dan akan menyokong penuh keputusan rasmi parti biarpun ada kala saya tak setuju secara peribadai tetapi saya akan bincang melalui saluran dalaman dan tidak akan mengkritik secara terbuka.

Pendirian saya tiada kena-mengena dengan kes-kes mahkamah saya seperti dimainkan propaganda-propaganda PH dan Dr Mahathir sebab saya tetap percaya saya tidak bersalah.

Apa yang saya buat selama ini ialah demi rakyat serta parti dan saya boleh jawab pada Allah.

Saya yakin dan past saya dapat membersihkan nama saya dan didapati tidak bersalah termasuk di mahkamah rayuan jika sistem perundangan adalah adil dan bebas dari pencaturan Dr Mahathir dan kerajaan PH dahulu untuk memangsakan saya.

Berhubung dengan itu juga, saya tidak mahu menerima apa-apa jawatan menteri biarpun dalam kerajaan PN ataupun apa-apa kerajaan baru selama kes-kes saya belum selesai dan nama saya belum dibersihkan.

Bagaimanapun, nasihat saya pada Umno dan kerajaan PN secara am ialah pemulihan ekonomi, pengawalan Covid-19 serta kebajikan rakyat adalah keutamaan dan apa-apa langkah politik yang dilakukan tidak boleh dibenarkan untuk menjejaskannya.

Menteri-menteri dari Umno dan BN dalam kerajaan PN sekarang perlu sentiasa menumpukan fokus sepenuhnya kepada keutamaan ini pada ketika ini.

Pas masih pertahankan PN

 FAZLI RADZI

Ketika Umno sudah meletakkan syarat baharu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas pula cuba mempertahankan kerjasama politik itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man terus mengulangi pendirian itu walaupun Umno telah menetapkannya demikian melalui Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi Umno malam tadi.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air itu turut menegaskan Pas juga akan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Kita akan mengadakan perbincangan berhubung perkara ini,” kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Umno malam tadi dalam yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid membuat pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong PN.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan, melalui kenyataan media berkata parti itu juga akan memberikan syarat baharu melalui perjanjian bertulis kepada kerajaan PN untuk dilaksanakan secepat mungkin bagi meneruskan kerjasama politik.

“Umno akan mencadangkan kepada Jawatankuasa Pemandu Muafakat Nasional (MN) supaya MN didaftar dengan segera sebagai sebuah gabungan politik yang sah,” dipetik dari kenyataan itu lagi.

Gandingan Anwar dan Ku Li demi penyatuan sebuah kerajaan rakyat?

Ku Li ke arah penyatuan sebuah kerajaan rakyat?

DR MAZLAN ALI

Saya fikir pada tubuh badan Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li kini ada satu petunjuk dan rahsia besar yang bakal meletuskan satu keadaan yang tidak mungkin dijangkakan oleh orang yang terbanyak.

Kemunculan Ku Li di Istana Negara di tengah-tengah fokus dan tumpuan orang ramai terhadap sosok yang bernama Anwar Ibrahim yang dikatakan bakal dinobatkan sebagai Perdana Memteri kesembilan Malaysia menimbulkan banyak persoalan.

Adakah Ku Li bakal mencuri tumpuan untuk hari-hari yang berikutnya sebagai individu yang bakal mencetuskan suatu keadaan politik di luar dari kotak pemikiran pemerhati politik dan orang ramai waktu ini?

Ku Li kini seorang tokoh yang dilihat berada di tengah-tengah pertentangan politik antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH). Ku Li tidak dilihat terlalu mempertahankan BN dan sekutunya, serta tidak pula terlalu menyerang PH.

Ku Li mempunyai paparan wajah Melayu-Islam-Raja yang sangat kental, menjadikan Ku Li dilihat seorang tokoh yang paling sesuai berperanan dalam negara yang berada dalam kecelaruan politik, pertentangan kaum-agama dan ancaman wabak Covid-19 yang tidak mengenal batas sempadan bangsa dan agama.

Apabila Ku Li yang bukan seorang ketua parti dipanggil mengadap ke bawah Duli Tuanku, seusai Datuk Seri Anwar, saya fikir mungkin kedua-dua pemimpin ini (Anwar-Ku Li) sudah mencapai kata sepakat menubuhkan sebuah kerajaan rakyat (people government).

Kerajaan rakyat itu nanti bakal akan menamatkan segera ketidakpastian dan ketidakstabilan politik yang jika tidak diatasi segera, boleh menjerumuskan negara ke kancah krisis politik yang berterusan dan tidak menemui titik noktahnya.

Adakah Ku Li adalah tokoh yang akan membawa ahli-ahli Parlimen Umno untuk menyokong penyatuan sebuah kerajaan rakyat?

Sama-sama kita tunggu dan saksikan.

Pas pertikai syarat Umno

SITI NUR ZAWANI MISCON

Pas mula mempertikaikan langkah Umno yang mahu meletakkan syarat jika mahu parti itu terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bendahari Pas Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, Umno yang dahulunya sedang nyawa-nyawa ikan tidak pula meletakkan syarat kepada Perikatan Nasional (PN). 

“Masa nyawa-nyawa ikan dulu tak pula letak syarat,” tempelak Iskandar yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dalam kicauan di Twitter dan hantaran di Facebook pagi ini.

Dalam satu posting di Facebook juga, beliau membandingkan situasi semasa politik dengan kejatuhan kota Baghdad.

“Kalau macam ni jatuh juga kota Baghdad ke tangan Hulagu dan tentera-tentera Mongol,” ujarnya.

Terdahulu, Umno bertindak menarik diri dari kerajaan PN jika gabungan yang membentuk kerajaan itu tidak memenuhi syarat yang akan mereka tetapkan.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat Biro Politik parti itu di Menara Dato Onn malam tadi.

Syarat-syarat yang ditetapkan itu dimaklumkan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam hal berkaitan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengulangi pendirian mempertahankan kerjasama PN dan masa sama akan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

YAB Tan Sri berkemas lah untuk memudahkan tugas Agong

TENANG, YANG PENTING MUHYIDDIN SEMAKIN MENUJU KEJATUHANNYA

Shahbudin Husin

Segala yang dirancang nampaknya berjalan seperti yang diatur.

Pagi semalam, Anwar Ibrahim mengadap Agong untuk mempersembahkan bukti sahih mengenai jumlah sokongan Ahli-Ahli Parlimen yang dimilikinya untuk membentuk sebuah kerajaan baru.

Bukti sahih itu bagaimanapun bukanlah dalam bentuk senarai penuh siapa Ahli Parlimen yang sudah setuju untuk menyokongnya.

Anwar hanya memberikan jumlahnya saja, tetapi senarai siapa mereka yang berkenaan ada dalam kawalan ketua-ketua parti yang terbabit.

Ia hanya akan dipersembahkan kepada Agong apabila ketua-ketua parti mula dipanggil mengadap ke Istana Negara bermula hari ini.

Setakat ini, dilaporkan Lim Guan Eng akan mengadap Agong pada hari ini, manakala Zahid Hamidi dijadualkan esok, Khamis jam 5.00 petang.

Lain-lain ketua parti juga akan dipanggil dan dalam waktu yang sama, terdapat juga Ahli Parlimen tertentu yang dijangka akan dipanggil mengadap Agong secara individu kerana ketua parti mereka memilih untuk kekal bersama PN.

Strategi tidak mendedahkan siapa 120 Ahli Parlimen yang menyokong Anwar adalah untuk mengelakkan mereka diganggu, ditekan atau mungkin ditawarkan habuan.

Susulan majlis mengadap Anwar terhadap Agong pagi semalam, pada sebelah petangnya pula, Tengku Razaleigh Hamzah telah dipanggil mengadap.

Tengku Razaleigh adalah Ahli Parlimen Gua Musang dan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.

Banyak khabar angin mengenai pertemuan Tengku Razaleigh dengan Agong itu, tetapi biarlah ia disentuh dalam tulisan yang lain.

Malam tadi pula, Biro Politik UMNO mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ahmad Zahid Hamidi.

Antara ketetapan yang dibuat ialah mempertimbangkan untuk keluar daripada kerajaan PN dan meminta syarat-syarat baru secara bertulis jika mahu UMNO terus kekal menyokong Muhyiddin.

Ini bermakna, UMNO sedang memberi tekanan maha berat kepada Muhyiddin untuk tunduk kepada parti itu.

Zahid pula akan mengadap Agong esok petang dan sudah tentu sebelum syarat baru yang dituntut daripada Muhyiddin itu dipenuhi, beliau terlebih dahulu akan memaklumkan kepada Agong mengenai beberapa Ahli Parlimen tertentu daripada UMNO yang akan menyokong Anwar.

Jika sebelum ini Zahid Hamidi memberitahu ada beberapa Ahli Parlimen UMNO sudah menyokong Anwar dan beliau tidak berhak menghalang mereka, dalam majlis mengadap petang esok, Muhyiddin secara teknikalnya sudah pun sahih hilang majoritinya.

Hakikat ini memperlihatkan pertemuan Anwar dengan Agong semalam bukanlah majlis mengadap kosong, hanya sekadar minum-minum atau suatu kelentong seperti yang digembar-gemburkan oleh penyokong Muhyiddin yang nampaknya mula bimbang hilang jawatan serta kedudukan.

Majlis mengadap semalam nyata penuh erti dan makna ke arah perubahan yang lebih baik untuk negara, khususnya kita tidak lagi akan mempunyai Perdana Menteri yang hanya pandai membaca perutusan khas semata-mata.

Bermula dengan Anwar mengadap, disusuli Tengku Razaleigh, kemudian ketua-ketua parti tertentu, seterusnya pendirian baru UMNO mahu meninggalkan PN, Muhyiddin kini sudah pun berada di ambang kejatuhannya.

Mengadapnya Anwar semalam terbukti betul-betul ada isi.

Dalam hal ini, adalah lebih terpuji jika Muhyiddin menjadi seorang yang berjiwa besar dengan segera meletakan jawatannya.

Meletakkan jawatan kerana sedar sudah hilang sokongan adalah lebih baik daripada disuruh atau dinasihatkan untuk berbuat demikian oleh Agong.

Yang penting, dengan meletakkan jawatan lebih awal, sebaik-baiknya menjelang pertemuan Zahid Hamidi dengan Agong petang esok, Muhyiddin secara tidak langsung telah memudahkan lagi kerja Agong membentuk kerajaan baru dan menyelesaikan masalah politik negara ini. (Shahbudindotcom 14/10/2020)

Syarat baru Umno: Umno PM, Bersatu TPM?

 MALAYSIA DATELINE

Antara syarat yang diharap akan diletakkan Umno kepada Bersatu adalah perdana menteri hendaklah dari Umno manakala timbalan perdana menteri datang dari Bersatu.

Ini kerana, Umno yang mempunyai kerusi paling banyak dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang berbanding Bersatu dan parti-parti yang lain.

“Ini baru betul, yang majoriti tentukan hala tuju pemerintahan, bukan parti minoriti buli majoriti. Tahniah Umno!

“Harap antara syarat yang diletakkan ialah Umno Perdana Menteri, PPBM TPM,” tulis orang kanan Datuk Seri Najib Razak, Datuk Lokman Noor Adam menerusi facebook beliau.

Bagi bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan ketika Najib menjadi menteri itu, Umno boleh sahaja keluar dari kerajaan PN jika Bersatu tidak setuju dengan syarat itu.

“Kalau tak setuju keluar aje dari Perikatan Nasional. Takde masalah kita jadi pembangkang hingga PRU15.

“Jika Umno keluar dari PN dan tidak menyokong Anwar. Muhiyiddin Tumbang, Anwar tak jadi PM dan PRU dapat diadakan sebaik Covid reda. Tak lama manapun,” tulis beliau lagi.

Biro Politik Umno dalam mesyuarat mereka malam tadi membuat keputusan untuk mempertimbangkan keluar dari kerajaan PN jika Bersatu tidak setuju dengan syarat baru mereka.

Syarat baru Umno itu akan dikemukakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yasin hari ini.

Agong: Anwar tidak senarai nama MP yang sokongnya

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesahkan bahawa Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dalam majlis menghadap pagi tadi telah mengemukakan jumlah ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada dirinya.

Walaubagaimanapun, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin, presiden PKR itu tidak mengemukakan senarai nama mereka.

“Dalam sesi yang berlangsung selama lebih kurang 25 minit ini, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mengemukakan jumlah Ahli-ahli Dewan Rakyat yang didakwa memberi sokongan kepada beliau.

“Walaubagaimanapun, beliau tidak mengemukakan senarai nama Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk mengukuhkan dakwaan tersebut.

"Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah telah menasihati Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim untuk akur dan menghormati proses-proses perundangan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Ahmad Fadil.

Anwar adakan sidang media khas jam 2 petang

Presiden PKR, Anwar Ibrahim akan mengadakan satu sidang media khas pada jam 2 petang di sebuah hotel di ibu negara susulan pasca sesi beliau menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pagi tadi.

“Satu pengumuman penting pasca sesi mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diadakan hari ini.

“Rakan-rakan media dijemput untuk hadir bagi sidang media penting ini, serta diingatkan agar sentiasa mematuhi segala SOP berkaitan Covid-19,” kata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan.

Terdahulu ahli parlimen Port Dickson itu memasuki pekarangan Istana Negara 10.25 pagi. Dia kemudian meninggalkan kawasan Istana Negara kira-kira jam 11.30 pagi dan sempat melambai ke arah media yang menunggu di pintu masuk.

Sejak bulan lalu, Anwar memohon untuk menghadap Agong selepas mendakwa mempunyai jumlah sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Pemimpin pembangkang itu tidak memperincikan bilangan tepat jumlah sokongan dimilikinya atau identiti ahli parlimen yang menyokongnya, tetapi satu laman web tidak lama kemudian menyiarkan senarai 121 ahli parlimen dari semua parti yang dikatakan menyokongnya.

Semakan Malaysiakini mendapati senarai itu sudah tidak dapat diakses lagi dan pelbagai ahli parlimen yang dinamakan dalam senarai itu dilaporkan menjauhkan diri mereka daripada dakwaan berkenaan, atau secara terbuka menafikannya.

Setelah nama mereka timbul dalam senarai itu, beberapa wakil rakyat Umno - termasuk Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim dan Idris Jusoh (Besut) telah membuat laporan polis bagi menafikan penglibatan mereka dalam cubaan Anwar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed, semalam mengesahkan yang polis menerima enam laporan berhubung perkara itu dan Anwar telah dipanggil untuk disoal siasat.

Bagaimanapun ia ditangguhkan ke satu tarikh lain yang tidak didedahkan, kerana Anwar dilaporkan hanya ada kelapangan jam 9 pagi hari ini.

Ku Li dijangka hadap Agong 2 petang, kata sumber

FMT Reporters

PETALING JAYA: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 2 petang ini, kata sumber.

Sumber itu berkata, Tengku Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li, akan ditemani beberapa ahli Parlimen Umno yang bersekutu dengannya.

Mereka berkata, ketika menghadap Sultan Abdullah, ahli Parlimen Umno itu dijangka sama ada menyuarakan sokongan mereka atau menolak ketua pembangkang, Anwar Ibrahim yang berhasrat menjadi perdana menteri baru.

Tengku Razaleigh, 83, bekas menteri kewangan, ialah ahli Parlimen paling lama berkhidmat di Malaysia dan dilihat sebagai negarawan berpengaruh dan lebih tua yang dihormati rakan seangkatan. 

Terdahulu, Anwar menghadap Sultan Abdullah selama sejam hari ini.

Ketua pembangkang itu yang tiba kira-kira 10.25 pagi, meninggalkan Istana Negara pada 11.30 pagi sambil diiringi laungan “Reformasi” penyokong yang berkumpul berdekatan pagar istana, tanpa bercakap kepada media.

Pada 23 Sept lalu, Anwar mendakwa mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan” daripada ahli Parlimen pelbagai parti untuk menubuhkan kerajaan baru, majoritinya wakil rakyat Melayu dan Islam.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah sokongan yang diperolehi, sebaliknya hanya memaklumkan jumlah itu akan didedahkan setelah beliau mengadap Agong.

Beberapa parti dalam kerajaan Perikatan Nasional menafikan memberi sokongan kepada Anwar, tetapi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengakui ramai ahli Parlimen parti itu menyokong ahli Parlimen Port Dickson itu.

Selepas Anwar, Ku Li pula dipanggil ke istana hari ini

BORHAN AHMAD

Selain Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan diterima menghadap Yang Dipertuan Agong jam 10.00 pagi ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li juga dijadualkan menghadap hari ini.

Beliau dijangka akan menghadap jam 2.30 petang ini selepas selesai Anwar menghadap dan mempersembahkan jumlah Ahli Parlimen yang bersama beliau.

Namun tidak diketahui kenapa beliau turut dipanggil oleh istana. Persoalan ini menjadi pertanyaan di kalangan wartawan yang menunggu di pintu istana.

Menurut sumber, selepas kedua-dua mereka, turut dipanggil menghadap adalah ketua-ketua parti termasuk Bersatu, Umno, Pas, DAP, AMANAH dan juga Warisan.

Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempunyai 18 ahli Parlimen (MP) turut dipanggil ke istana hari ini.

“Lim Guan Eng dipanggil Rabu ini manakala Mohamad Sabu dipanggil Khamis,” kata sumber itu.

ANWAR TIBA JAM 10.25 PAGI

Sementara itu, kenderaan yang membawa Anwar tiba di pintu Istana Negara jam 10.25 pagi dan akan menghadap Yang Dipertuan Agong jam 11 pagi.

Selepas Anwar, semua pemimpin parti yang menyokong kerajaan Perikatan Nasional dijangka akan menghadap baginda hari ini sebelum pemimpin parti pembangkang pula dipanggil, kata sumber itu juga.

Pada 23 September lepas, Anwar mengumumkan beliau mempunyai sokongan yang kuat untuk membentuk kerajaan baru dan mengisytiharkan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Mahyuddin Yassin telah jatuh dengan sokongan itu.

Beberapa hari lalu beliau mengumumkan Yang Dipertuan Agong telah bersetuju menerima beliau menghadap pada jam 10 pagi hari ini.

Siapa MP Umno yang sokong Anwar selepas 17 MP tampil nafi?

FAZLI RADZI

Difahamkan lebih daripada 15 Ahli Parlimen (MP) bakal bertukar ‘angin’ mengetepikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu.

Sekurang-kurangnya 11 daripada 15 MP itu dikatakan dari Umno iaitu parti Melayu-Islam terbesar yang kini mempunyai 39 MP

Mereka antara yang belum membuat kenyataan media atau laporan polis setakat hari ini menafikan sokongan kepada Presiden PKR itu.

“Umno ada 39 MP. Yang tak nafi akan ikut Anwar pun lebih 15 MP,” kata sumber dari PKR kepada Malaysia Dateline.

Sementara itu, satu sumber lagi memberitahu jumlah keseluruhan MP yang menyokong Anwar untuk membentuk kerajaan baharu mungkin lebih daripada 121 MP.

Esok Anwar bakal mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu pada 23 September lalu mendakwa mempunyai jumlah kerusi yang “kukuh dan meyakinkan.”

Susulan itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno dan BN tidak dapat menghalang Ahli Parlimen parti itu mengambil keputusan menyokong Anwar.

Walau bagaimanapun, seorang demi seorang MP Umno menafikan pernah menandatangani sebarang Akuan Bersumpah (SD) menyokong Anwar atau rancangan menubuhkan kerajaan baharu.

Mereka antara yang terdapat dalam senarai 19 nama yang tular di media sosial kononnya berpihak kepada Anwar.

Sehingga hari ini sekurang-kurangnya 17 MP Umno secara terbuka menolak dakwaan antara 121 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Berikut adalah senarai Ahli Parlimen Umno terbabit:

1. Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau)

2. Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap)

3. Datuk Hasbullah Osman (Gerik)

4. Datuk Mohd Nizar Zakaria (Parit)

5. Tajuddin Abd Rahman (Pasir Salak)

6. Tan Sri Noh Omar (Tanjong Karang)

7. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)

8. Datuk Jalaluddin Alias (Jelebu)

9. Datuk Salim Shariff (Jempol)

10. Datuk Ahmad Maslan (Pontian)

11. Ramli Mohd Nor (Cameron Highlands)

12. Datuk Ahmad Nazlan Idris (Jerantut)

13. Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin)

14. Datuk Seri Idris Jusoh (Besut)

15. Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (Machang)

16. Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan)

17. Datuk Mohamad Alamin (Kimanis)

Sementara itu, dua lagi MP Umno yang kini menghadapi tuduhan rasuah masih belum secara terbuka menafikan sokongan kepada Anwar iaitu Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling).

Dalam hal berkaitan, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz hari ini mengesahkan tidak ada mana-mana MP Umno memberi sokongan kepada Anwar.

Ketua Umno Bahagian Padang Rengas tersebut mendakwa sudah menghubungi semua MP Umno yang tidak berada dalam kerajaan termasuk Zahid Hamidi.

“Tidak ada seorang pun yang mengaku memberi sokongan kepada Anwar,” dipetik Astro Awani.

Nazri sebelum ini disebut-sebut sebagai MP Umno yang akan menyokong Anwar memandangkan pernah ada kecenderungan demikian ketika era pentadbiran kerajaan PH.

Bagaimanapun, Nazri mendakwa sokongan serius kepada Anwar dan PKR itu sebagai satu jalan untuk mengembalikan Umno sebagai kerajaan.

Malah, beliau kemudiannya menyokong Anwar yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson dua tahun lalu.

Rafizi beri isyarat kembali ke arena politik?

FAZLI RADZI

Pernah mengumumkan tidak akan kembali ke arena politik, Rafizi Ramli dilihat mungkin menarik kembali pendiriannya sebelum ini.

Bekas Naib Presiden PKR itu dalam status ringkas di Facebook malam ini menulis ‘Nantikan” berserta tanda pagar (tagar) #UntukSemua.

Tagar sama itu juga dijadikan profil bekas Ahli Parlimen Pandan berkenaan selain ciapan di Twitter beliau.

Status itu dimuatnaik di media sosial atas nama akaunnya menjelang detik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah esok.

Rata-rata penyokong PKR dan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Rafizi memberi isyarat akan kembali ke gelanggang politik.

Dalam masa sama, segelintir penyokong Perikatan Nasional (PN) atau kerajaan tebuk atap dilihat menyindir Rafizi dan PH.

Untuk rekod, Rafizi pada 10 Disember tahun lalu memberitahu tidak berniat kembali aktif dalam politik pada masa terdekat selepas dibebaskan daripada hukuman penjara 30 bulan atas kesalahan mendedahkan data bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC).

Beliau berkata, mahu memberi tumpuan kepada kepintaran buatan (AI) dan teknologi Internet of Things (IoT) selain mahu terus menjadi ‘orang biasa’ serta menghabiskan lebih banyak masa bersama keluarga serta rakannya.

Anwar Ibrahim, langkah Meridien dan rasionalnya

 MUHAMMAD NAUFAL MOHD HANIPA

Ura-ura mengenai perjumpaan Dato’ Anwar Ibrahim dan Yang Di-Pertuan Agung pada 13 Oktober ini menerima pelbagai ura-ura lain. DSAI mendakwa telahpun mempunyai “strong and convincing majority” (majoriti yang kukuh dan meyakinkan) dan memulakan Langkah Meridien dengan pengumuman mengenai pertemuan ini.

3 senario utama yang bakal kita saksikan:

1. YDPA memperakui sokongan terhadap Anwar. Anwar diterima sebagai PM-9.

2. YDPA menafikan Anwar punyai sokongan. Anwar dan PH kekal sebagai pembangkang dan fokus tertumpu kepada PRU-15.

3. YDPA, setelah menerima nasihat Perdana Menteri, boleh mengisytiharkan pembubaran Dewan Rakyat, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan  Setelah apa yang berlaku dan yang boleh dipelajari daripada peningkatan kes pasca PRN Sabah, opsyen ini mungkin dilihat sebagai pilihan yang tidak munasabah. Namun begitu, kebarangkalian itu masih ada dan wajar dipertimbangkan.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk membincangkan dan “menujum” apakah yang bakal berlaku pada Selasa (13 Oktober 2020). Sebaliknya, tulisan ini ingin mengupas mengapakah, disebalik pelbagai kritikan yang dilontarkan dan kecaman yang dikumakakan, langkah ini masih perlu diambil.

Sebelum itu, elok sekiranya jika saya lontarkan dua kerisauan utama yang dapat kita perhatikan beberapa hari selepas pengumuman Langkah Meridien ini.

Bagaimanakah nasib rakyat akibat pandemik yang telahpun dibuang kerja, hilang sumber pendapatan, mengalami kesempitan hidup ditambah pula dengan penarikan moratarium baru-baru ini? Di saat rakyat sedang bersusah payah meneruskan hidup, perebutan kuasa hanya akan mengganggu fokus terhadap kebajikan rakyat.

Siapakah “katak-katak” yang bakal diterima masuk untuk membentuk kerajaan selepas ini? Menurut Setiausaha Agung Pas, para ahli parlimen Pas dilaporkan tidak akan menyokong pembentukan kerajaan di bawah pimpinan DS Anwar Ibrahim. Maka, adakah pembentukan kerajaan ini datang daripada pemimpin Umno- mereka yang telahpun ditolak oleh rakyat Malaysia ketika PRU-14, ataupun para Ahli Parlimen Bersatu – mereka yang telahpun mengkhianati Pakatan Harapan dengan membentuk kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yasin? Malahan, apakah pula jaminan bahawa mereka yang telah mengkhianati mandat rakyar itu tidak akan mengulangi kesilapan yang sama?

Sejujurnya, saya juga terfikir akan perkara yang sama dan untuk berlaku lebih jujur, saya juga tidak mampu memikirkan jawapan yang terbaik bagi menjawab dua persoalan tersebut. Persoalan-persoalan tersebut sememangnya berasas (grounded) dan bermerit.

Malahan, saya berasa amat mual apabila membaca argumen kononnya keperluan mengangkat DS Anwar Ibrahim terletak kepada kejayaan beliau 10 tahun, 20 tahun yang lepas. Pada pendapat saya, kerelevanan seseorang individu itu haruslah disandarkan kepada kemaslahatan dan kepentingan semasa, bukanlah digantungkan kepada kapasitinya 10 tahun, 20 tahun yang lalu.

Meskipun kelayakan dan kredibiliti beliau sebagai pemimpin negara sukar disanggah, pada pendapat saya, kelayakan dan kredibiliti tersebut tidak cukup untuk membenarkan beliau meneruskan Langkah Meridien ini dan mengelak daripada menunggu PRU-15. Dengan kata lain, Langkah Meridien ini meminta lebih daripada sentimen kelayakan beliau (demands more than just the sentiment of his credibility).

Persoalannya, atas justifikasi apakah yang sebaiknya Langkah Meridien ini boleh disandarkan dan mengapakah langkah ini perlu diambil sekarang dan menunggu PRU-15 hanya akan membuka ruang untuk lebih banyak masalah lain?

Persoalan itulah yang bermain di fikiran saya untuk beberapa hari ini sehinggalah saya mendapat secebis ilham daripada sebuah novel sastera (literature) tulisan Agatha Christie dalam karya beliau bertajuk The Mysterious Affair at Styles.

Dalam bab terakhir novel tersebut, Hercule Poirot, seorang detektif terkenal yang diminta untuk merungkaikan misteri kematian Mrs Ingltethorpe menghuraikan mengapa suaminya, Mr Inglethorpe memilih untuk memalsukan bukti ke atas dirinya sendiri supaya beliau dapat ditangkap oleh polis sedangkan beliau sememangnya membunuh isterinya!

Berikut merupakan penjelasan Poirot :

“Because, mon ami, it is the law of your country that a man once acquitted can never be tried again for the same offence. Aha! but it was clever—his idea! Assuredly, he is a man of method. See here, he knew that in his position he was bound to be suspected, so he conceived the exceedingly clever idea of preparing a lot of manufactured evidence against himself. He wished to be suspected. He wished to be arrested. He would then produce his irreproachable alibi—and, hey presto, he was safe for life!”

Cebisan dialog tersebut mengingatkan saya kepada sebuah prinsip undang-undang, yang juga terpakai di negara ini iaitu “double jeapordy”. Ianya turut termaktub dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan :

“a person who has been acquitted or convicted of an offence shall not be tried again for the same offence…” (“Seseorang yang telah dibebaskan daripada sesuatu kesalahan atau disabitkan atas sesuatu kesalahan tidak boleh dibicarakan semula kerana kesalahan yang sama..)

Meskipun terdapat beberapa pengecualian seperti “quashing of earlier trial” (pembatalan oleh mahkamah lebih tinggi) dan juga proses dakwaan semula (re-trial) ymyang mengecualikan perlindungan “double jeopardy” ini, asas kepada perlindungan tersebut adalah supaya mereka yang dibebaskan sewajarnya dianggap bersih dan tidak boleh didakwa atas kesalahan yang sama.

Apakah perkaitan prinsip undang-undang ini dengan jawapan dengan persoalan tersebut?

Ianya tidak lain dan tidak bukan kerana masa yang lama sehinggalah PRU-15 cukup untuk memanjangkan tempoh hayat untuk para perompak yang telah ditolak oleh rakyat Malaysia pada 9 Mei 2018 membersihkan diri mereka daripada segala kes rasuah dan penyelewengan, dibebaskan pertuduhan dengan alasan yang tidak munasabah seperti mana yang kita telah saksikan dalam kes-kes seperti yang dikepilkan di awal penulisan. Lebih membahayakan, di bawah prinsip ‘double jeopardy’ ini jugalah, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan semula Putrajaya pada PRU-15, perlindungan itu kekal menjadikan ia usaha yang lebih mustahil untuk dilaksanakan. Lebih mustahil jika Pakatan Harapan kalah di PRU-15.

Mungkin ada yang ingin katakan ini hanyalah sekadar teori dan kenyataan ini mampu merendahkan kredibiliti institusi kehakiman negara.

Jawapannya mudah. Ianya bukan sekadar teori apabila 46 pertuduhan terhadap Musa Aman digugurkan secara sekali gus dengan alasan yang cukup lemah ; kekurangan bukti pendakwaan. Ianya bukan sekadar teori apabila pelbagai bentuk usaha ; pemecatan ahli kabinet, pembunuhan timbalan pendakwa raya yang mempersoalkan kes 1MDB sebelum 9 Mei 2018 bagi mendiamkan seluruh negara dan menjadikan mereka yang memimpin negara -mereka yang sama yang menjadi kerajaan hari ini untuk kebal daripada undang-undang.

Di saat itu, semuanya akan bermula seperti dahulu kala. Malaysia Baru akan terkubur selamanya malah mungkin kita perlukan 60 tahun yang akan datang untuk menurkar semula rejim ini.

Iya, kita sekarang berada di waktu pandemik. Negara ini sudah menyaksikan pelbagai jenis manusia yang sanggup mengambil kesempatan memperoleh pangkat dan merebut “harta rampasan” ketika pandemik ini. Begitu juga dengan pelbagai siri layanan dua darjat beberapa bulan ini antara para bangsawan dan rakyat bawahan. Diharapkan, langkah ini mampu memberikan sinar harapan baharu kepada seluruh rakyat yang kekal tinggi berharap.