KEMBALI KEPADA BERSATU SATU-SATUNYA PILIHAN PALING SESUAI BUAT MAHATHIR

Shahbudin Husin

Hasrat pihak tertentu untuk membawa Tun Mahathir Mohamad kembali menyertai PH sebagaimana yang masih diusahakan sehingga sekarang diyakini akan terus menemui jalan buntu.

Sementara Anwar Ibrahim telah menunjukkan keterbukaannya dengan mengatakan bekas Perdana Menteri itu boleh menyertai PH dengan syarat mesti patuh kepada prinsip perjuangan gabungan itu dan tiada agenda peribadi di sebaliknya, Tun Mahathir bagaimanapun dengan angkuh menolaknya.

“Pi baliklah…” kata beliau ketika ditanya media mengenai syarat yang disebut Anwar itu.

Mujur Anwar seorang yang baik, berhemah dan tiada dendam kesumat dalam hatinya, beliau langsung tidak memberi apa-apa komen lagi tentang kata-kata Tun Mahathir itu.

Kalaulah Anwar juga sama perangai dan hati perutnya seperti Tun Mahathir, mungkin jawapan yang bakal dibalasnya ialah ….”Pi mampuslah….”

Sebelum ini juga Tun Mahathir pernah menyatakan, walaupun Anwar merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau tidak terikat untuk patuh atau taat kepada Pengerusi PH itu.

Katanya, Anwar tidak mempunyai hak mengawal mana-mana Ahli Parlimen dalam blok pembangkang.

“Beliau hanya dipilih sebagai Ketua Pembangkang, tetapi itu tidak memberinya sebarang kuasa untuk mengawal sesiapa, kami boleh buat apa yang kami suka,” tambah Tun Mahathir lagi.

Dengan berperangai sedemikian, bukan saja PH, malah mana-mana gabungan politik yang lain pun di dunia ini pasti sukar menerima kemasukan Tun Mahathir.

Memang benar beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan merupakan seorang negarawan, namun eranya sudah berlalu dan beliau kini mesti sedar realiti dirinya.

Tetapi, dengan jalan buntu di hadapannya untuk kembali kepada PH, terutama bagi menerajui semula gabungan itu dan di ketika yang sama Parti Pejuang yang ditubuhkannya pula seperti tidak ternampak laluan untuk diluluskan, apakah pilihan yang tinggal buat Tun Mahathir meneruskan perjuangannya?

Jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, bagaimanakah Tun Mahathir mahu bertanding lagi?

Kalau pun Tun Mahathir sedia untuk bersara dan tidak mahu bertanding lagi, sanggupkah beliau melihat masa depan politik anak kesayangannya, Mukhriz turut berakhir begitu saja?

Lebih daripada itu, jika tidak bertanding lagi dan bersara begitu saja, sanggupkan beliau melihat dirinya tanpa apa-apa wadah perjuangan kiranya ditakdirkan Anwar yang begitu didendaminya makin terbentang laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri?

Melihat kepada semua keadaan yang ada, sebenarnya pilihan yang paling sesuai ialah Tun Mahathir kembali semula menyertai Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Oleh kerana UMNO sendiri mahu meninggalkan kerajaan PN, kepulangan Tun Mahathir bersama Pejuang ke dalam Bersatu tentu saja merupakan peluang yang memang ditunggu-tunggu oleh Muhyiddin.

Dengan ada Tun Mahathir bersama Bersatu, PN yang kini dianggotai Bersatu, Pas, Star dan SAPP, gabungan itu umpama mendapat kekuatan baru dan akan menjadi lebih selesa untuk bertanding dalam PRU15 nanti.

Makna kata, tanpa bekerjasama dengan UMNO, kepulangan Tun Mahathir ke dalam Bersatu memang ditunggu-tunggu, bahkan Pas juga tentu gembira sama dibuatnya.

Malah, dengan hanya berbahagi kerusi dengan Pas saja, Bersatu bukan saja boleh bertanding di semua kerusi Melayu pilihannya, selebihnya juga bebas untuk berlawan dengan UMNO yang enggan berkongsi kerusi dengannya.

Ditambah dengan Tun Mahathir yang baru-baru ini mendabik dada mendakwa dirinya adalah penarik utama pengundi Melayu sehingga membolehkan PH menang PRU 2018, keberadaannya bersama Bersatu pasti menjadikan parti itu mampu menang lebih besar melebihi UMNO.

Yang terpenting sekali, oleh kerana di dalam Bersatu sendiri berkumpulnya segala yang dipanggil ramai sebagai pernah bersikap khianat sebelumnya – Muhyiddin, Geng Hamzah Zainuddin dan Kumpulan Azmin Ali – jika disertai pula oleh Tun Mahathir yang boleh dianggap pengkhianat juga kerana meruntuhkan PH dan berdolak-dalik berkenaan janji peralihan kuasa kepada Anwar, parti itu tentu menjadi bertambah gah lagi cemerlang wibawanya.

Mungkin ada yang bertanya, sediakah Tun Mahathir berbaik kembali dengan Muhyiddin yang kini merupakan musuhnya semata-mata untuk menyertai semula Bersatu?

Hendaklah diingat, walaupun bermusuh dengan ramai orang, Tun Mahathir juga mempunyai rekod U-Turn berbaik semula dengan sebahagian musuhnya jika ia bermanfaat untuk politiknya.

Dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, malah George Soros lagi kan Tun Mahathir sanggup berbaik, apalah sangat dengan Muhyiddin? (Shahbudindotcom 02/01/2021)

Pemuda Umno ‘sekolahkan’ PPBM, ingatkan sejarah runtuhnya Umno-Pas

ARIF ATAN

Berang dengan sikap PPBM yang dianggap mencuri dan membeli ahli partinya, sayap anak muda Umno memberi kata dua kemungkinan kerjasama kedua-dua parti Melayu itu akan putus di tengah jalan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengingatkan titik-titik persefahaman perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam suasana permuafakatan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk.

Menurutnya, Umno-PPBM perlu merungkai segala bentuk perbezaan termasuk menghentikan sebarang usaha melemahkan antara satu sama lain demi agenda penyatuan lebih besar.

“Ambillah juga ibrah pengajaran bagaimana runtuhnya kerjasama Umno-Pas dalam Barisan Nasional (BN), lantaran persaingan berebut ahli yang semakin parah sepanjang 1974-1977,” katanya dalam kenyataan panjang lebar hari ini.

Beliau berkata, keruntuhan kerjasama Umno-Pas ketika itu mengakibatkan terpisahnya dua parti terbesar orang Melayu sehingga melarat kepada persengketaan puluhan tahun.

Asyraf Wajdi yang juga bekas calon BN, Parlimen Pasir Puteh pada PRU-14, berpendapat PPBM lebih baik memanfaatkan segala peruntukan dan sumber dana besar parti untuk aktiviti membantu rakyat di peringkat akar umbi.

Kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut, langkah membantu rakyat itu wajar digembleng bersama Umno dan Pas sebagai rakan kongsi.

“Apatah lagi hampir semua Ahli Parlimen PPBM ketika ini termasuk yang ‘lompat’ dari Umno berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri. 

“Seharusnya, fokus digemblengkan segala sumber untuk bantu rakyat yang sedang susah dan resah memikirkan kelangsungan hidup dalam suasana pandemik ketika ini,” bidasnya.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi mengulangi pendirian sayap pemuda Umno itu agar PPBM segera memberhentikan sebarang usaha untuk bersaing mencuri dan membeli ahli antara satu sama lain jika masih ingin melihat kerjasama Umno dan PPBM dalam kerajaan PN kini diselamatkan.

Tiada beza

Pada masa ini, Umno mempunyai 39 kerusi manakala Bersatu memiliki 31 kerusi Parlimen.

Pada 18 Disember lalu, Asyraf Wajdi dalam satu kenyataan menegaskan Umno dan BN tidak menyertai parti dalam PN sebagai salah satu parti komponen.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno dan BN hanya mendukuong kerajaan PN sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

PN pada masa ini hanya dianggotai PPBM, Pas, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Jelas Asyraf Wajdi lagi, PN adalah sebuah kerajaan yang ditubuhkan atas persefahaman 12 parti politik termasuk Umno dan tiga parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS); Gabungan Parti-Parti Sarawak (GPS) dan parti PN.

Bahkan, sejak awal bulan lalu, beliau menyarankan agar Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti pimpinannya PPBM kembali ke pangkuan Umno.

Kata Asyraf, langkah itu demi mengelakkan usaha penyatuan ummah menjadi retorik memandangkan dasar, orientasi dan ideologi PPBM adalah sama dan tiada bezanya dengan Umno.

Menurutnya, hampir keseluruhan kepimpinan serta ahli PPBM merupakan bekas ahli Umno manakala sejarah membuktikan beberapa parti serpihan yang terpecah daripada Umno kembali semula kepada parti berlambangkan keris itu.

Tegas Asyraf lagi, persaingan akan berlaku secara sengit di antara PPBM-Umno pada peringkat akar umbi untuk membina pengaruh, mendapatkan keahlian dan mengekalkan ketahanan parti masing-masing.

Dulu Pas mohon hapus judi, sekarang naikkan judi

FAZLI RADZI 

Pas sewaktu kerajaan Pakatan Harapan (PH) lantang menuntut perjudian termasuk berlesen diharamkan.

Sebaliknya, ketika parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berada bersama kerajaan Perikatan Nasional (PN), kekerapan cabutan khas ramalan nombor empat digit bertambah pula.

Mengulas sikap Pas itu, Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan kerajaan Melayu Islam PN sebagai kemaruk wang hasil daripada percukaian aktiviti perjudian.

“Hari ini kerajaan yang dikenali sebagai kerajaan Melayu Islam dengan adanya ulama-ulama Pas dan kumpulan ekstrem Melayu dalam kerajaan PN, satu pun lesen perjudian tidak dibatalkan

“Padahal, itulah yang dituntut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang sekarang ini Menteri Undang-undang sewaktu perbahasan Parlimen dulu,” katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian di hadapan premis kedai yang pada 29 Julai tahun lalu menyaksikan demonstrasi penyokong Pas membantah perpindahan kedai judi di kawasan tersebut.

“Saya menghantar surat kepada Datuk Bandar, dan telah dibatalkan perpindahan kedai nombor ekor itu.

“Namun, selepas lima bulan demonstrasi itu, satu lesen pun kerajaan PN tidak batalkan sebaliknya kita digemparkan mulai Januari 2021, cabutan khas judi ditambah daripada lapan kepada 22 kali setahun.

“Padahal, cabutan khas judi itu telah dikurangkan kepada lapan kali ketika PH memerintah.

“MP dari Pas dan juga Datuk Takiyuddin terus berdiam diri dan membisu,” tempelaknya.

Sehubungan itu, Mahfuz menyifatkan kerajaan PN yang dikenali sebagai kerajaan Melayu Islam dengan mengandungi ulama Pas dan pejuang-pejuang Melayu “mengangkat kembali martabat perjudian” dalam negara ini.

Pegawai IPD Kuala Langat didakwa miliki kekayaan luar biasa

Sinar harian 

PUTRAJAYA - Pegawai atasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Selangor didakwa memiliki kekayaan luar biasa dan terlibat dengan kegiatan rasuah.

Presiden Pertubuhan Organisasi Kebajikan Rakyat Malaysia, T Sivanesan mendakwa, kegiatan rasuah juga berleluasa berlaku di IPD terbabit.

"Rumah mewah, kereta mewah. Semua bukti kukuh kami ada," katanya kepada pemberita di pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Khamis.

Menurutnya, aduan dibuat kepada SPRM untuk menyiasat lanjut berhubung perkara itu.

"Ada beberapa bukti dan dokumen yang telah saya serahkan kepada SPRM sebentar tadi," katanya.

Ditanya mengenai sejauh mana penglibatan pegawai atas IPD berkenaan, beliau berkata, ia melibatkan pegawai atasan IPD terbabit.

Beliau berkata, sepatutnya tempoh perkhidmatan pegawai atasan perlu dihadkan kepada dua hingga tiga tahun sahaja.

"Sekiranya ia melebihi tempoh itu, pastinya kegiatan rasuah dan salahguna kuasa akan berleluasa," katanya.

Sivanesan berkata, pihaknya telah bertemu Timbalan Pengarah (Pematuhan Standard), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Allaudeen Abdul Majid bagi memaklumkan perkara itu.

“Beliau sendiri telah turun padang dan saya harap siasatan mengenai kes ini dapat dilaksanakan dengan telus oleh JIPS Bukit Aman dan SPRM,” katanya.

'Umno, PAS, Bersatu ibarat 3 beradik inginkan gadis sama'

Martin Vengadesan

Apabila Bersatu dan sejumlah ahli Parlimen PKR keluar dari PH dan bersama-sama Umno dan PAS untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN), ia seolah-olah seperti fajar baru untuk sebuah perikatan politik Melayu yang sukar ditumbangkan.

Bagaimanapun, beberapa bulan kemudian, pergeseran demi pergeseran berlaku dan malah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dilihat "diugut" secara terbuka oleh pemimpin Umno.

Bagi penganalisis politik Wong Chin Huat, berbanding menjadi satu "hubungan yang bahagia", penyatuan Bersatu, Umno dan PAS menjadi tegang ekoran persaingan kuasa.

"Tahun 2020 menunjukkan hakikat bertentangan dengan jangkaan (counter-intuitive) dalam politik yang gagal difahami ramai - kesatuan sukar untuk mereka yang berkongsi cita rasa sama dan lebih mudah di kalangan mereka yang berbeza cita rasa," kata Wong kepada Malaysiakini.

"Umno, Bersatu dan PAS seperti tiga beradik yang bersaing untuk memikat gadis yang sama (pengundi Melayu konservatif).

"Mereka beritahu gadis itu bahawa ancaman eksistensial buatnya adalah seorang gadis lain (pengundi liberal dan bukan Melayu) dan kekasihnya (PH, terutama DAP).

"Kini, selepas tiga beradik ini berjaya memikat gadis tersebut, mereka berbalah sesama sendiri untuk berebutnya. Ini menjelaskan mengapa kerajaan PN-BN-GPS+ memang berdasarkan Melayu tetapi tanpa kesatuan. Trio ini hanya boleh bersatu jika mereka membahagikan kawasan mereka dan menghormati pembahagian itu, seperti bagaimana Umno dan PBB dalam BN yang dahulu," katanya.

Akar masalah nampaknya pada kekuatan palsu yang dipegang Bersatu. Parti itu sebahagian daripada PH yang menang 121 kerusi Parlimen (jika merangkumi lapan kerusi yang dimenangi Warisan) pada PRU 2018.

Tarikan utamanya adalah Dr Mahathir Mohamad dan dengan adanya bekas perdana menteri dalam parti itu pun, ia hanya menang 13 kerusi.

Bagaimanapun Bersatu sentiasa mendapat banyak jawatan tinggi dalam kerajaan - dalam pentadbiran PH mahupun PN - yang tidak sepadan dengan kekuatannya.

"Umno lebih kuat berbanding Bersatu dan PAS dalam aspek kerusi Parlimen, sokongan popular dan jentera di lapangan. Tetapi hanya 41 peratus ahli Parlimen yang menjadi menteri dan timbalan menteri, iaitu kadar paling rendah.

"Bersatu pula tidak kuat dari segi sokongan akar umbi dan jentera, dan kini memiliki 31 kerusi Parlimen selepas menarik ahli Parlimen dari parti lain - 15 daripada Umno dan 10 daripada PKR.

"Selain jawatan perdana menteri, 77 peratus ahli Parlimen adalah frontbenchers (menteri dan timbalan menteri yang duduk di barisan depan dalam Parlimen).

"PAS pula memiliki jumlah ahli Parlimen paling sedikit tetapi dengan kesetiaan di kalangan pemimpin dan ahli yang paling kuat, dan kadarnya lebih tinggi (berbanding Umno) dengan 44 peratus ahli Parlimennya menjadi frontbenchers."

Menurut Wong, walau apa pun kenyataan yang dibuat ahli politik, situasi antara Umno, Bersatu dan PAS begitu jelas.

"Umno mahukan semula jawatan perdana menteri dan menyerap semula Bersatu - seperti yang terjadi kepada Semangat 46 pada 1996 - dan mengawal PAS.

"Bersatu mahu terus memegang jawatan perdana menteri dan menarik sokongan PAS untuk mengimbangi Umno, seperti bagaimana Bersatu mahu menjauhkan Amanah daripada PKR ketika masih dalam PH.

"PAS, selaku kuasa terkecil, menyokong Bersatu untuk menyekat Umno mengembalikan semula hegemoninya," kata Wong lagi.

Kemungkinan sabotaj ketika pilihan raya

Walaupun ada desakan agar PN melakukan PRU sebaik selepas PRN Sabah selesai, peningkatan kes Covid-19 telah menghalang rancangan itu.

Sejak itu, ada kemungkinan Muhyiddin akan meneruskan pentadbiran sehingga penggal ini - yang tamat pada 2023 - berbanding membuka risiko untuk partinya kalah teruk dalam pilihan raya.

"Muhyiddin tak akan jadi perdana menteri lagi jika kerusi Bersatu jauh lebih sedikit berbanding Umno.

"Walaupun jika Muhyiddin mendapatkan persetujuan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk aturan jawatan perdana menteri, pemimpin Umno lain tidak akan setuju.

"Tentu saja, kerana apa autoriti politik yang dimiliki seorang presiden Umno yang melepaskan jawatan perdana menteri kepada seterunya buat kali kedua terhadap akar umbi yang marah?" soal Wong lagi.

Mengambil kira kebencian Umno dan PAS Gombak terhadap Azmin Ali, memang ada kemungkinan calon Bersatu yang menumpang sokongan PKR dan DAP pada PRU lalu untuk disabotaj Umno dan PAS pada PRU akan datang.

"Anda boleh menjangka Umno sabotaj calon Bersatu.

"PAS pula tidak akan begitu membantu bagi Bersatu jika Umno berjanji untuk menyokong PAS di kawasan mereka sendiri, sebagai pertukaran kepada sikapnya untuk berpeluk tubuh."

Wong berkata lagi, keretakan hampir dapat dilihat dalam penyingkiran Ahmad Faizal Azumu sebagai menteri besar Perak oleh Umno.

"Hanya satu perkara menghalang Umno untuk menentang Bersatu: naratif penyatuan Melayu. Ia telah berjaya menghalang Umno Perak daripada membentuk kerajaan minoriti dengan persetujuan keyakinan dan pembekalan (Confidence and Supply Agreement, CSA) bersama PH.

"Apa-apa pun, langkah kerajaan negeri pimpinan Umno di Perak, Johor dan Perlis adalah tanda-tanda awal pemulihan hubungan dan PH dan kembali sebagai kelompok tengah seperti sebelumnya, sehinggalah (Umno berubah) pada 2013."

Tiga beradik ini dijangka akan terus berbalah pada 2021, kata Wong lagi.

Tak masuk akal Dr M cuba perdaya PH guna strategi lapuk, kata Pemuda PKR

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir menggesa Pakatan Harapan menyedari cubaan Dr Mahathir Mohamad membawa jenama gabungan besar hanya strategi pecah perintah lapuk yang sering digunakan bekas perdana menteri itu.

Katanya, PKR dan gabungan itu perlu terus maju tanpa penglibatan Mahathir yang mengkritik kewibawaan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim semalam.

“Amat tidak masuk akal sekiranya ulang siar strategi lapuk ini mampu memperdaya dan memecah belah kesepaduan dan kesepakatan PKR dan PH,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Mahathir yang juga pengerusi penaja Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, beliau tidak mempercayai Anwar yang mengumumkan kesediaan bekerjasama dengannya secara bersyarat menerusi cadangan pembentukan gagasan pembangkang perdana.

Mahathir yang dilihat masih terasa dengan tindakan Anwar berkata, “tolak saya bulat-bulat” ketika beliau dan kumpulan penyokongnya menawarkan kerjasama dengan PH.

Akmal berkata, amat malang apabila majlis amanat Pejuang semalam digunakan Mahathir sebagai pentas untuk menyerang Anwar, sedangkan beliau sepatutnya menggunakan platform itu untuk menerangkan hala tuju parti barunya.

“Sikap Mahathir ini menunjukkan seolah-olah kewujudan Pejuang itu semata-mata ingin menafikan kewibawaan Anwar sebagai ketua pembangkang dan pengerusi PH.

“Walhal, baru-baru ini Anwar sekali lagi mengulangi keterbukaan beliau untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak, asalkan pihak tersebut boleh menerima syarat dan prinsip perjuangan PH serta meninggalkan segala sikap dan kebobrokan lama.”

Beliau berharap Mahathir dapat bermuhasabah dengan sikapnya yang sering berdolak-dalik terhadap janji disepakati menjelang pilihan raya umum ke-14. 

Dr M nak jadi PM ke akhir hayat

Martin Vengadesan

Tahun 2020 merupakan tahun berantakan buat negara, mungkin yang paling teruk sejak 1960-an - dekad penuh peristiwa seperti konfrontasi dengan Indonesia, pemisahan Singapura, pemberontakan Komunis, serta rusuhan 13 Mei.

Dalam siri perbualan dengan penganalisis politik Wong Chin Huat, dia menyingkap kacau-bilau yang berlaku dalam politik negara sepanjang tahun lepas, seputar kejatuhan PH, dan watak-watak penting di belakangnya - Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

Bagaimana tahun yang begitu menjanjikan berakhir dengan kekeliruan dan ketidaktentuan?

Apabila sejarawan masa hadapan melihat kembali 2020, mereka akan melihat kerajaan PH yang dilihat sebagai reformis ditumbang dan digantikan dengan pentadbiran Perikatan Nasional yang bukannya dipilih pengundi.

Ramai yang melihat Mahathir sebagai mangsa tetapi ada juga pemerhati yang mendakwa bekas perdana menteri itu memainkan peranan dalam kejatuhan PH.

Ia berdasarkan hujah yang Mahathir ingin menubuhkan kerajaan perpaduan yang membolehkannya memimpin sehingga habis penggal, terlepas daripada perjanjian menyerahkan kuasa kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Wong berkata, pendedahan oleh ahli politik dari Bersatu seperti Azmin Ali dan Wan Saiful Wan Jan, ditambah pula dengan penolakan Mahathir terhadap Anwar sebagai perdana menteri mahupun sebagai timbalan perdana menterinya, memberikan gambaran sedemikian.

Pada pandangan Wong, Mahathir memberikan persetujuan terhadap bibit awal gerakan Langkah Sheraton, namun versi Mahathir, katanya, ibarat “versi turbo” terhadap kaedah yang dibuatnya sebelum itu iaitu dengan menarik ahli Parlimen Umno ke dalam Bersatu.

“Perbezaan utamanya, ahli-ahli yang melompat (kali ini) boleh menyertai kerajaannya sebagai ahli bebas jika tak mahu masuk Bersatu.

“Apa yang jelas, tujuan akhirnya adalah ‘kerajaan perpaduan tanpa parti’, yang mana dia akan menjadi satu-satunya calon perdana menteri yang diterima dan melantik menteri-menteri yang akan bertanggungjawab kepadanya, bukan parti-parti mereka.

“Pendek kata, dia boleh memerintah seperti presiden yang bebas melantik ahli kabinetnya,” kata Wong.

Bagi Wong, Mahathir tidak percaya ada orang lain yang mampu mengambil alih pentadbiran negara, bukan sekadar mahu menyekat Anwar.

Dorongan terkuat Mahathir, katanya lagi, adalah untuk menjadi perdana menteri sehingga akhir hayatnya kerana dia benar-benar percaya Malaysia perlukan kepimpinannya.

“Saya tak rasa Mahathir dapat melihat sesiapa yang baginya cukup bijak dan disenanginya yang dia boleh beri kepercayaan untuk menyerahkan kuasa."

Meskipun mentadbir negara pada era kemakmuran 1980-an dan 1990-an, Mahathir tidak terlepas daripada kontroversi menekan kebebasan media dan kebebasan badan kehakiman, serta memenjarakan seteru politiknya.

Kepulangannya sebagai perdana menteri pada 2018 sepatutnya membuka era baru keterbukaan, demokrasi dan kemakmuran, namun kemelut dengan Anwar berhubung penyerahan kuasa telah mencetuskan krisis politik yang tak berkesudahan sehingga ke hari ini.

“Mahathir merupakan karma kolektif rakyat Malaysia. Kerana perpecahan kita, pencalonannya (Mahathir) sebagai perdana menteri menjadi satu keperluan untuk PH menang pada 2018,” kata Wong yang membayangkan jika kerajaan perpaduan Mahathir menjadi nyata pada Februari lalu, dia tidak akan berundur atau melantik pengganti yang jelas.

“[...] Jadi disebabkan Mahathir ada masalah persaraan, Malaysia pun ada masalah pengganti kepemimpinan.

“Harapnya tak ada orang yang akan mengetuai pembangkang atau kerajaan sebagai proksi Mahathir,” katanya lagi.

Wong melihat kegagalan Mahathir untuk menjadi "perdana menteri kekal" Malaysia pada 2020, tahun yang dahulunya merupakan simbol visinya, adalah sebuah keadilan setimpal (poetic justice).

PH kesuntukan masa

Sedekad dipenjarakan, kemudian cuba membawa nada berbilang kaum dalam naratif politiknya, sebelum diperdaya daripada janji menjadi perdana menteri - Anwar layak mendapat sedikit simpati.

Tetapi mutakhir ini sahamnya kian merudum, terutama setelah gagal membuktikan sokongan majoriti kukuh dan meyakinkan yang didakwa dimilikinya.

Bukan saja Anwar seperti telah ditipu oleh Umno - dua kali - bahkan dia tampak rela bekerjasama dengan bekas perdana menteri Najib Razak, selain kegagalannya menguruskan krisis dalaman PKR turut mencalarkan reputasinya.

Adakah masa Anwar sudah berakhir?

“Anwar terlalu bijak untuk saya percaya yang dia diperdaya Umno. Dia buat drama sebegitu kerana itulah satu-satunya cara untuk memikat pemberontak di dalam Umno untuk berpaling tadah.

“Dia seperti katak yang menunggu dicium oleh puteri, supaya dia dapat berubah menjadi seorang putera.

"Tapi puteri-puteri yang dipikatnya, semuanya mahu dia jadi putera dahulu, sebelum mahu menciumnya. Itulah dilema Anwar," kata Wong.

Katanya, Anwar perlu terlebih dahulu membina semula PH dan satu gabungan besar dengan menubuhkan kabinet bayangan.

“Peluang Anwar lebih cerah untuk tampil sebagai bakal perdana menteri, malah untuk memikat pemberontak Umno, dengan mempengerusikan mesyuarat kabinet bayangan mingguan, berbanding mengulang dakwaan sokongan dimilikinya seperti pakcik yang beratur di Magnum (kedai nombor ekor), sambil menggumam nombornya akan kena esok."

Tambahnya, PH perlu segera disusun semula sebagai “jentera polisi yang berkesan”, yang memberi tumpuan untuk memajukan kesejahteraan orang Melayu dengan polisi yang difikirkan sedalamnya, berkesan, mampan, dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.

Malah, untuk kembali berkuasa, PH katanya perlu bekerjasama dengan “satu atau lebih parti Melayu”.

"Jika PH tidak dapat mengatasi rasa tidak percaya orang Melayu, ia akan berdepan kekalahan di banyak kawasan majoriti Melayu, dan pada masa sama akan ditolak di kawasan bandar jika tidak tampil dengan polisi yang lebih koheren."

Katanya, PH perlu mencari jalan untuk mengatasi dua cabaran tersebut secara holistik, bukan menumpukan salah satu dengan mengorbankan yang lain.

Katanya lagi, PH sepatutnya menawarkan belanjawan bayanngan tahun ini serta mula merangka manifesto yang berbeza daripada Buku Harapan - dan ia boleh dilakukan dengan mudah jika PH ada kabinet bayangan.

"Tetapi Anwar nampaknya tidak berminat dan ada ahli Parlimen PH yang cuba memberi alasan kerana tidak melakukannya.

“[...] mungkin kerana dia mahu bebas menawarkan apa-apa jawatan menteri kepada pemberontak Umno dan dia tak kisah sangat tentang polisi alternatif selepas jadi perdana menteri."

Tambahnya lagi, obsesi Anwar terhadap jawatan perdana menteri yang mengatasi segala-galanya itu mungkin menyebabkan impiannya semakin sukar dicapai.

Penjajaran semula sedang berlaku

Akhir sekali, Wong turut mengongsikan pendapatnya terhadap pembangkang era Reformasi yang kini berpaling daripada Anwar untuk memihak kepada Mahathir, dan dengan itu mencemarkan reputasi mereka sendiri.

Katanya, apa yang rakyat dapat daripada Anwar, Azmin, bahkan Mahathir, adalah hasil daripada struktur politik dan realiti sosiopolitik negara.

Katanya, penentang Anwar harus ingat bahawa kelompongan strukturlah - daripada pemilihan perwakilan dari atas ke bawah, hinggalah ketiadaan kabinet bayangan - yang memungkinkan atau menguatkan kepemimpinan peribadi Anwar.

“Penjajaran semula politik Malaysia dan PH sedang berjalan. Sesetengah parti yang kita lihat hari ini mungkin tak ada lagi lima tahun akan datang.

“Apa yang patut kita minta dalam penjajaran semula ini, adalah lahirnya parti-parti yang kuat dan berbeza - dari aspek polisi dan ideologi, bukan personaliti dan rangkaian naungan, supaya rakyat ada pilihan sebenar dan boleh mendapat manfaat daripada persaingan antara parti."

Dalam membina gabungan politik, kata Wong, apa yang lebih penting daripada bilangan parti dan ahli Parlimen adalah polisi yang koheren.

“Parti-parti gabungan tak perlu ada polisi yang sama, tapi mereka mesti berbincang untuk menghasilkan polisi bersama supaya orang tahu apa yang boleh dijangkakan jika mereka menjadi kerajaan.

“Agak menyedihkan apabila ahli politik kita hanya berminat (untuk mendapat) jawatan menteri, bukannya terhadap polisi. Menyedihkan juga apabila perdana menteri bayangan takut untuk mempunyai menteri bayangan di sisinya,” kata Wong.

'Jika Dr M boleh tarik undi Melayu, kenapa kalah PRK Slim'- Pemimpin AMK

Malaysiakini 

Jika Dr Mahathir Mohamad mendakwa boleh menarik orang Melayu menyokong pembangkang, maka kenapa undi Melayu tidak menyokong calon pilihan bekas perdana menteri itu di kerusi majoriti Melayu, DUN Slim?

Naib Ketua Pemuda PKR (AMK) Syed Badli Shah Syed Osman mengajukan persoalan ini dalam gesaannya supaya Pakatan Harapan "tidak boleh terperangkap dalam idea gabungan besar pembangkang sedangkan Mahathir tidak bersedia untuk memberikan kerjasama."

"Kegagalan beliau untuk mempengaruhi undi Melayu pada pilihan raya kecil Slim memberi isyarat bahawa beliau sudah ditolak rakyat kerana komposisi kerusi tersebut diwakili oleh 75 peratus Melayu," katanya pada satu kenyataan.

Parti Pejuang Tanah Air yang belum didaftarkan oleh Mahathir meletakkan Amir Khusyairi Mohd Tanusi sebagai calon bebas semasa PRK Slim pada 29 Ogos tahun lalu menentang Mohd Zaidi Aziz dari BN.

Amir, yang disokong oleh Mahathir, memperoleh 13.69 peratus undi berbanding 84.53 peratus undi diraih Mohd Zaidi. Calon bebas Santharasekaran Subramanaim hanya memperoleh 1.78 peratus undi.

Sebaliknya, PH yang diwakili oleh Bersatu memperoleh 33.08 peratus undi di Slim semasa pilihan raya 2018.

Bagaimanapun, BN memperolehi 44.83 peratus undi manakala PAS mendapat 22.09 peratus undi. 

Dr Mahathir, yang mengasaskan Bersatu tetapi kemudian disingkirkan, telah mendakwa PH akan kehilangan sokongan orang Melayu jika mengetepikan dirinya dan sekutunya.

Amanah telah mendesak gabungan besar dalam pembangkang yang merangkumi parti Pejuang pimpinan Mahathir.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam dipetik The Star berkata partinya merancang untuk membincangkan perkara itu bulan ini.

Bagaimanapun, PKR, rakan gabungan PH menunjukkan parti itu kurang berminat dengan cadangan gabungan besar tersebut.

Menurut Syed Badli, parti-parti komponen PH seharusnya merangka strategi untuk bergerak kehadapan tanpa Mahatahir yang disifatkannya sebagai "membawa bebanan lampau."

"Ahli-ahli parlimen pembangkang yang masih mahu bersama Tun Mahathir wajar diketepikan kerana pengaruh buruk beliau boleh mencacatkan agenda PH untuk mengembalikan mandat rakyat," tegas Syed Badli.

Pemimpin AMK negeri itu turut berkata Mahathir juga berterusan mengkritik Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Serangan terbaru terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau gagal untuk mengenepikan perbezaan politik dan masih terkandas dalam pemikiran sempit permusuhan masa lalu.

"Kenyataan terbaru itu menunjukkan beliau sudah tidak lagi relevan untuk terus berada dalam arus politik semasa dan PH seharusnya bergerak ke hadapan tanpa diganggu kelibat Mahathir," katanya lagi.

Politik Melayu di tahap ‘paling kotor dan berpecah’

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Politik Melayu kini berada dalam keadaan sangat berpecah-belah sejak beberapa dekad dan tidak ada pemimpin yang dapat menyatukan mereka, kata ahli sosiologi Syed Farid Alatas.

Beliau berkata, usaha menuntut integriti perlu datang daripada rakyat sendiri.

Farid juga tidak bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir Mohamad bahawa beliau mampu menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum akan datang, dengan berkata, Mahathir mungkin telah kehilangan peluang untuk melakukan penyatuan selepas pentadbirannya jatuh hanya selepas 22 bulan pada Feb.

“Mahathir memainkan peranan yang penting dalam pilihan raya umum ke-14, tetapi hanya sebagai faktor penyatuan untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai isu 1MDB. Kini, ia tidak lagi penting,” katanya.

Farid, yang juga merupakan seorang profesor di Universiti Nasional Singapura berkata, orangMelayu sejak bertahun-tahun mendengar pemimpin mereka bercakap mengenai bangsa dan agama, tetapi “kini mereka tahu sukar untuk mempercayai ahli politik.

“Ahli politik tidak bercakap untuk kebaikan rakyat (tetapi untuk diri mereka sendiri). Ini adalah kejutan besar kepada mereka (rakyat),” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kesedaran dalam kalangan orang Melayu bermula pada Feb dengan jatuhnya PH dan politik “rampasan kuasa” oleh ahli politik bagi meraih kepentingan di bawah Perikatan Nasional, sekali gus membawa kepada defisit kepercayaan.

Beliau berkata, rakyat Malaysia memberikan kepada PH mandat untuk mentadbir negara selama lima tahun, tetapi gabungan itu gagal menyatukan negara.

“Ia menunjukkan bahawa ia adalah berkaitan keuntungan diri, bukannya untuk rakyat (kerana mereka gagal bersatu).”

Bahkan Farid turut mempersoalkan sama ada rakyat akan keluar mengundi sekali lagi seperti yang mereka lakukan pada pilihan raya lalu, berikutan hilangnya kepercayaan kepada ahli politik.

Berhubung PN, beliau berkata, gabungan politik itu kini berdepan defisit kepercayaan yang besar kerana Umno masih mempunyai bagasi rasuahnya, manakala PPBM pula hilang kepercayaan rakyat apabila ia berganding bahu dengan parti politik yang ditentangnya ketika pilihan raya umum lalu.

Beliau berkata, PAS juga bermain politik antara Muafakat Nasional (MN) dan PN, iaitu bergabung dengan Umno dalam satu gabungan dan dengan PPBM dalam gabungan lain.

Farid juga mengakui politik orang Melayu tidak akan mengganggu perjalanan negara kerana perkhidmatan awam masih beroperasi, tetapi ia memberi kesan kepada pelabur jangka sederhana dan panjang.

“Mereka tidak tahu apakah akan berlaku perubahan kerajaan yang boleh mengakibatkan perubahan dasar,” katanya.

Beliau turut berharap orang Melayu akan dapat melihat sisi “hodoh” politik kaum dan agama dalam kedua-dua gabungan itu, serta menuntut pemimpin lebih baik dipilih untuk kebaikan negara.

Beliau berkata, usaha memilih pemimpin berprinsip harus datang daripada rakyat berdasarkan polisi, bukan berasaskan bangsa atau agama.

“Ini akan mewujudkan perpaduan antara etnik” katanya, selain menambah bahawa rakyat Malaysia perlu memilih mereka yang berjuang untuk semua, bukannya kaum tertentu,” katanya.

Dalam gabungan kerajaan, UMNO dan PPBM terus berselisih mengenai isu pembahagian kerusi dan kedudukan lebih baik dalam Kabinet, yang menimbulkan perbalahan antara mereka.

PAS pula cuba berbaik-baik dengan kedua-dua belah pihak dengan harapan untuk memperoleh kuasa politik di seluruh negara.

Penganalisis politik, Zahiruddin Othman dari Universiti Utara Malaysia pula berkata, ia mungkin pandangan peribadi Mahathir apabila berkata, PH memerlukannya bagi mendapatkan sokongan orang Melayu.

Beliau berkata, hakikatnya semua parti politik di negara ini kini berpecah dan memerlukan satu sama lain bagi mendapatkan lebih banyak kerusi.

“Kita sudah melihat kejatuhan PH dalam tempoh hanya 22 bulan dan sekarang ini kita melihat gabungan kerajaan mentadbir negara dengan kelebihan hanya dengan majoriti tiga kerusi,” kata Zahiruddin.

Tambahnya, ahli politik hanya boleh menyalahkan diri sendiri atas masalah yang berlaku dan tidak menuding jari kepada rakyat. 

Sah! Ahli keluarga Zeti mengaku terima wang 1MDB

FMT Reporters

Salinan akuan berkanun suami dan dua anak lelaki bekas gabenor BNM, Zeti Aziz, menyatakan kesediaan mereka memulang wang 1MDB kepada syarikat itu, sekiranya pihak berkuasa Singapura menggugurkan siasatan.

PETALING JAYA: Adakah bekas gabenor Bank Negara, Zeti Aziz, benar-benar tidak tahu tentang RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib Razak? Atau sebaliknya?

Ini persoalan yang timbul susulan pendedahan mengejutkan bahawa ahli keluarga beliau menerima wang daripada dana 1MDB.

Suami Zeti, dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB di dalam akaun mereka, menurut akuan berkanun yang ditandatangani mereka pada Mac tahun lepas.

Wang itu dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan mereka bertiga mengakui pemilik akaun itu.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

Pendedahan dalam SD itu menyusuli laporan oleh blog MalaysiaToday, yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, mendakwa suami Zeti dan anak-anak lelakinya menerima lebih RM100 juta ringgit daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jow, yang didakwa mendalangi skandal 1MBD.

Dakwaan itu disokong SD yang menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti mengaku menerima dana berkenaan dalam akaun bank mereka di Singapura.

Wang itu daripada syarikat yang dikaitkan dengan Low.

Susulan pendedahan itu, Najib mendesak Zeti menjawab dakwaan berkenaan dan berkata bekas gabenor BNM itu sendiri yang menyarankan beliau membuka akaun bank bawah nama sendiri dan bukan atas nama UMNO untuk menerima “derma Arab”.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa ada meminta Zeti memantau sebarang transaksi mencurigakan dalam akaun berkenaan.

Pada Julai 2018, Zeti nafi dakwaan Najib bahawa beliau tahu mengenai derma RM2.6 bilion itu, yang menurut Najib sumbangan daripada kerabat diraja Saudi kepada kerajaan, yang disalurkan ke akaun peribadinya.

Najib bagaimanapun mempersoalkan logik di sebalik penafian Zeti itu.

“Mana mungkin seorang gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion masuk ke dalam akaun bank atas nama perdana menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, SD berkenaan menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti bersetuju menyelesaikan isu dana 1MDB itu dengan kerajaan Singapura.

Menurut SD itu, mereka bersetuju untuk memulangkan wang 1MDB dalam akaun mereka kepada syarikat itu, sekiranya pihak berkuasa Singapura menggugurkan siasatan.

SD suami dan dua anak Zeti membuat cadangan penyelesaian itu dengan merujuk kepada Seksyen 370 Kanun Tatacara Jenayah Singapura, berkenaan perampasan harta.

Suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan anak mereka, Abdul Aziz dan Alif Ayman Aziz, menguruskan akaun itu bawah nama Cutting Edge Industries LTd, yang berpangkalan di Singapura.

Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun mereka itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd, yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada Low.

Laporan itu mendakwa suami dan dua anak lelaki Zeti adalah juga pemilik Iron Rhapsody.

FMT masih berusaha mendapatkan komen Zeti.

Kartel daging ajak PPIM berbincang

Shakira Buang

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini mendakwa mereka dihubungi syarikat-syarikat rangkaian kartel daging untuk 'berbincang' mengenai isu berkenan.

Pengerusi PPIM Nadzim Johan bagaimanapun berkata pihaknya tidak berminat untuk melayan cadangan tersebut.

“PPIM ada maklumat, kartel menghubungi kami tapi saya malas nak layan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama aktivis PPIM Sheikh Abdul Karim Said Khadaied.

Ketika diminta mengulas lanjut apakah kartel daging itu mengajak berunding, Nadzim berkata dia tidak melayani permintaan mereka untuk berjumpa kerana tidak mahu terbabit dalam isu itu.

Isu kartel daging import mula mendapat perhatian ramai selepas media melaporkan kegiatan menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membungkus semula daging berkenaan dengan menggunakan logo halal dan menjualnya di pasaran seluruh Malaysia.

Perkara itu dibongkar oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang mengenal pasti tiga jenama popular produk daging sejuk beku keluaran Australia yang diproses di sebuah kilang sejuk beku.

Nadzim turut mendedahkan ada pihak sengaja memainkan isu bahawa Malaysia tidak sesuai menjadi hab penternakan lembu.

Menurut Nadzim, berdasarkan semakan, dakwaan itu datang daripada rangkaian kartel yang turut terbabit dalam isu yang dibangkitkan kebelakangan ini.

Selain itu, Nadzim juga mendedahkan maklumat diterima pihaknya mengenai kewujudan daging kanggaru menggunakan status halal sejak 1981 lagi.

Katanya, perkara berbangkit mengenai halal perlu diselesaikan pihak berwajib kerana ia membabitkan imej negara sebagai peneraju pensijilan halal.

"Saya dihubungi menerusi nota dari rakan luar negara bertanyakan isu ini. Imej kita terjejas. Kita semua perlu melakukan sesuatu bagi mengatasi perkara ini," katanya.

Menurut Nadzim lagi berdasarkan maklumat yang diterima PPIM sehingga kini kegiatan mengimport ekor kanggaru masih ada.

Penahanan bekas Setiausaha Politik ada kaitan dengan kartel daging import?

BORHAN AHMAD

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub tidak menolak kemungkinan siasatan dan penahanan terhadap bekas Setiausaha Politik beliau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada kaitan dengan kartel daging import.

“Saya tidak tolak kemungkinan itu,” kata Salahuddin kepada Malaysia Dateline mengulas berita angin Ahmad Sabki Yusof adalah antara mangsa kartel daging import itu.

Sabki telah ditahan selama empat hari oleh SPRM namun beliau dilepaskan kemudiannya tanpa dikenakan sebarang tindakan.

Sabki dilaporkan berkata, tangkapan terhadap beliau dibuat oleh SPRM selepas menerima laporan dari kakitangan kementerian tempat beliau bertugas.

Sabki adalah antara pegawai Salahuddin yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menjayakan usaha Salahuddin ketika itu bagi menghidupkan semula industri daging tempatan.

Namun, tentangan yang diterima dari kartel daging import ini sangat kuat sehingga mana-mana pihak yang berusaha ke arah itu akan mendapat pelbagai halangan dan masalah.

Di hari pertama dilantik sebagai menteri pada Mei 2018, Salahuddin, Timbalan Presiden AMANAH itu berjanji akan menghidupkan semula Nasional Fidlot Corporation (NFC) yang pernah diusahakan oleh keluarga bekas menteri Umno, Datuk Seri Sharizat Jalil.

Namun, sehingga tempoh tugasnya tamat pada Februari tahun 2020, usaha itu tidak berjaya dibuat. 

“Sebahagian besar masalahnya adalah isu undang-undang apabila NFC terlibat dengan pelbagai dakwaan menyebabkan usaha kita untuk mengambil alihnya tidak berjaya sehingga akhir tugasan saya,” kata Salahuddin yang mengakui kewujudan kartel itu.

Kata Salahuddin, beliau pernah membawa isu kartel daging import itu ke mesyuarat Majlis Fizikal Negara yang dipengerusikan oleh perdana menteri untuk ditangani.

Namun begitu, selain menghidupkan semula NFC, Salahuddin telah berjaya membuat beberapa inisiatif untuk memajukan industri daging tempatan.

Antaranya menambah bilangan pengimport daging dari hanya tujuh kepada 12 syarikat bagi mengelakkan monopoli dan meningkatkan pertandingan sihat.

Kementerian juga telah melancarkan program Rezeki Tani di mana melalui program ini petani akan diberikan 10 ekor lembu untuk di ternak. 

Selain itu, Agro Bank dan Kementerian telah menubuhkan satu dana ternakan bernilai RM100,000 untuk memberikan pinjaman kepada penternak yang berminat untuk menceburkan diri atau mengembangkan lagi penternakan mereka.

“Saya yakin walaupun kerajaan PH telah jatuh tetapi usaha-usaha ini akan diteruskan kerana ia telah diluluskan di peringkat kementerian saya dahulu,” kata Salahuddin.

Muafakat Nasional tidak boleh didaftar kerana nama sudah ‘dipakai’ pihak lain

Faiz Zainudin

Belum ada cadangan nama baru untuk gandingan UMNO, PAS dan PPBM, selepas pihak lain mendaftarkan nama Muafakat Nasional dengan JPPM.

PETALING JAYA: Gandingan UMNO, PAS dan PPBM tidak dapat didaftarkan di bawah Muafakat Nasional (MN) kerana nama gabungan itu telah digunakan pihak lain, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata, sudah ada pihak yang mendaftarkan nama MN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

“Apa pun, muafakat ini akan terus diperkasakan. MN bukan sekadar muafakat politik, sebaliknya adalah muafakat bagi penyatuan ummah,” kata beliau kepada FMT.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, belum ada cadangan nama baru untuk gandingan tiga parti itu.

“Oleh sebab itu, kita tidak boleh nak daftar. Kalau mahu daftar, kena buat perubahan nama. Tapi buat masa ini, belum ada cadangan nama lain,” katanya.

Oktober lalu, kepimpinan UMNO dan PAS mencapai persetujuan untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan JPPM.

Kepimpinan dua parti itu juga bersetuju untuk PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin menyertai MN, namun hubungan UMNO-PPBM dikatakan tegang atas beberapa isu, termasuk pengagihan kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, PAS kerap menegaskan sebarang kerjasama dengan UMNO tidak boleh meminggirkan PPBM.

Isu kartel daging: Kecelakaan, kesialan yang tak wajar dimaafkan

Faiz Zainudin

SHAH ALAM: Syarikat dan individu yang menjadi dalang kartel menyeludup daging import selama lebih 40 tahun dari negara sumber tidak sah, diragui status halal serta kualitinya tidak boleh dimaafkan.

Justeru Presiden PKR Anwar Ibrahim mendesak kerajaan bertindak segera dan mengambil tindakan keras kepada mereka yang terlibat kerana sanggup menggunakan agama untuk menipu status sijil halal.

“Saya fikir tidak wajar umat Islam dan rakyat memaafkan kecelakaan, kesialan ini dan (kerajaan) harus ada tekad politik untuk segera memberi jawapan dan menumpu orang-orang yang menggunakan agama.

“Ini kesalahan keras, menggunakan agama di samping itu meracuni rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008.

Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan perbuatan mengimport daging haram sebagai hina dan keji.

Beliau menggesa pihak berkuasa termasuk Jabatan Kemajuan Islam

Malaysia (JAKIM) mengambil tanggungjawab memandangkan pihak itu terlibat secara lansung dalam melulukan status halal.

“Ini isu halal bukan soal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sahaja, yang bagi cop halal itu JAKIM, jadi harus sama-sama bertanggungjawab,” katanya.

Baru-baru ini media mendedahkan wujudnya kartel dilindungi pihak tertentu menjalankan aktiviti penyeludupan daging selama lebih 40 tahun.

Daging diragui status halal itu diimport dari negara yang tidak mencapai standard ditetapkan oleh kerajaan, tetapi kemudian dicampurkan dengan daging halal dan dipasarkan kepada orang ramai.

Polis cuba halang Guan Eng naik feri?

Guan Eng diberi amaran polis kerana mahu naik feri P.Pinang esokM

MALAYSIA DATELINE

Lim Guan Eng melahirkan rasa hairan dengan amaran pihak polis terhadapnya berikutan beliau mahu mengambil perjalanan menggunakan feri Pulau Pinang pada 10.00 pagi esok.

Beliau berkata, pihaknya hanya ingin mengucapkan selamat tinggal kepada feri Pulau Pinang yang ikonik dengan menaiki feri tersebut buat kali terakhirnya.

“Saya dimaklumkan bahawa polis Pulau Pinang telah mengeluarkan amaran terhadap saya mengambil perjalanan feri Pulau Pinang jam 10 pagi hari Khamis, iaitu esok.

“Saya berasa amat hairan dengan amaran polis untuk mengambil tindakan sedangkan kami hanya ingin mengucapkan selamat tinggal terakhir kepada feri Pulau Pinang yang ikonik dengan menaiki feri tersebut buat kali terakhirnya,” katanya menerusi Facebook malam ini.

Bagaimanapun beliau tetap akan berada di terminal Feri Pulau Pinang untuk mengambil perjalanan terakhir 10 pagi esok.

Beliau mempersoalkan perkhidmatan feri Pulau Pinang mempunyai kawalan keselamatan tersendiri dan adakah Kementerian Pengangkutan ataupun agensi-agensinya telah menghubungi pihak polis untuk bertindak?

“Pihak polis boleh datang namun saya tetap akan berada di terminal untuk mengambil perjalanan terakhir saya di atas feri Pulau Pinang yang ikonik besok jam 10 pagi di Terminal Feri Pulau Pinang.

Katanya, DAP telah mengambil pendirian yang tegas bagi pihak rakyat Pulau Pinang untuk membantah penamatan perkhidmatan feri Pulau Pinang yang ikonik oleh kerajaan Perikatan Nasional dan Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong.

“Ini merupakan satu kehilangan warisan budaya kita yang unik,” katanya.

Perkhidmatan feri Pulau Pinang yang menghubungkan penumpang antara bahagian pulau dan tanah besar akan dihentikan bermula 1 Jan 2021 dan digantikan dengan bot penumpang laju yang hanya membawa pejalan kaki, basikal serta motosikal sahaja.

Umno bangkit tetapi bakal jatuh kembali

ABD RAHIM KASSIM

Tidak ramai yang sedar bahawa parti politik yang mempunyai jumlah anggota parlimen terbesar di Dewan Rakyat hari ini, dengan 42 kerusi, adalah DAP – yang mempunyai keanggotaan majoritinya adalah bangsa Cina.

Dan walaupun ramai orang mungkin mengecam pandangan politik Malaysia kerana berdasarkan garis perkauman, kebenarannya adalah suara majoriti orang Melayu berpecah belah – dengan tiga parti politik utama yang kini berkuasa.

Yang mendahului dengan 38 MP masing-masing adalah PKR dan UMNO, sementara Bersatu – yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin – mempunyai 31 MP. Tidak ada jaminan mengenai perkara ini kerana ia sukar dikira – dengan Ahli Parlimen dilihat melompat parti sejak PRU14 diadakan pada 9 Mei 2018.

Parti politik yang mengalami kerugian terbesar dari sudut anggota parlimen adalah Umno – yang menyaksikan pengundi menolak kira-kira sepertiga calonnya semasa PRU14, dan ramai lagi yang berpaling tadah kepada Bersatu dan PKR pada bulan-bulan selepas PRU.

Beberapa pemimpin tertinggi Umno juga telah didakwa atau disabitkan dengan rasuah, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri FT, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan presiden parti semasa, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sayangnya, Umno tidak banyak belajar dari semua kegagalan ini – menjadi semakin berani dengan setiap hari bertindak dengan taktik politik yang licik dan penuh penipuan dalam kehausan kekuasaannya yang tidak dapat dipadamkan.

Undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu, yang ketika itu digantikan oleh Datuk Saarani Mohamad dari Umno, telah menjadi muslihat politik yang paling keterlaluan dari Umno setakat ini dan telah membuat rakyat tidak senang.

Didukung oleh kejayaan di Perak ini, Umno kelihatan bersedia untuk menikam rakan sekutu Perikatan Nasional iaitu Bersatu dan Pas dengan mengundi menentang Belanjawan 2021 – walaupun terdapat amaran keras dari Agong.

Tetapi untuk mengelakkan risiko Agong menolak untuk mengizinkan pilihan raya umum dalam waktu dekat, di tengah-tengah situasi Covid-19 yang meresahkan kini, kemungkinan besar akan memasuki keadaan darurat di seluruh negara – sama dengan bagaimana tiga pilihan raya kecil ditangguhkan sebelum ini – Umno terpaksa membuat ‘U-turn’ ancamannya.

Episod utama pengambilan MB Perak adalah bagaimana Umno juga bersedia untuk tidur sebantal dengan musuhnya DAP yang telah lama bertapak di Perak, yang juga boleh menyebabkan gabungan ahli Parlimen baru untuk menggantikan Perikatan Nasional.

Ini menandakan perubahan utama dalam politik Malaysia – bahawa mengejar undi orang Melayu bukan lagi menjadi pendorong utama. DAP sudah membuktikan dirinya sebagai kekuatan pemerintahan yang layak di Pulau Pinang selama lebih kurang satu dekad dan Umno mengakui kelebihan itu.

Satu lagi analisis lain adalah bahawa pergerakan skizofrenia Umno baru-baru ini mungkin disebabkan oleh puak dalaman yang berebut dominasi, dengan kelihatan jelas sekurang-kurangnya tiga kumpulan yang bertentangan antara satu sama lain.

Apa pun keadaannya, Umno semakin pudar sebagai juara majoriti Melayu – dan kejatuhannya akhirnya dapat menjadikan landskap politik yang lebih matang di mana bangsa tidak lagi menjadi satu kepentingan.

Kerajaan PH bawah Mahathir gagal tunjuk kesungguhan banteras rasuah, kata Anwar

Haspaizi Zain

Gabungan besar tidak bermakna selagi pemimpin kerajaan terus mengulangi kerosakan yang lalu, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar Ibrahim.

Katanya, kerajaan PH sebelum ini gagal menunjukkan kepada rakyat kesungguhan mereka untuk membanteras rasuah selepas diberi peluang 22 bulan mentadbir Putrajaya di bawah kepimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Anwar, PH ketika itu hanya lantang mengkritik pentadbiran BN berhubung isu 1MDB, serta rasuah membabitkan pemimpin Umno.

"Sebaliknya mengambil sikap berlembut bila mana ia melibatkan pemimpin sendiri.

“Ya kita keras dalam isu rasuah, isu 1MDB, rasuah dalam kalangan pemimpin Umno, tapi kita banyak tolak ansur dengan rasuah di kalangan puak-puak kita.

"Di antaranya menjadi pengkhianat besar, ini yang menyebabkan saya katakan kita hilang paksi perjuangan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Buku 100 Esei Seni dan Sastera Era Reformasi 2008.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kegagalan PH membawa agenda reformasi yang sebenar ketika menjadi kerajaan sehingga dakwanya, menyebabkan rakyat kecewa.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, rakyat memilih PH menjadi kerajaan kerana mereka mahukan perubahan khususnya dalam usaha menangani rasuah.

Katanya perubahaan secara besar-besaran perlu dilakukan bagi menyakinkan rakyat bahawa PH mampu mentadbir lebih baik berbanding kerajaan sebelumnya.

Kerajaan PH tumbang selepas Bersatu yang didalangi presidennya, Muhyiddin Yassin berpaling tadah dan mengambil keputusan untuk meninggalkan PH pada Feb tahun ini.

Ia disusuli dengan kem bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang turut mengambil langkah yang sama membelakangkan PH.

Muhyiddin diangkat sebagai perdana menteri dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) bersama BN, PAS, GPS dan parti dari Sabah.

“Ketika kita menjadi kerajaan maka harus diperlihat satu sikap berbeza. Kalau program kita semua hampir sama (dengan pentadbiran terdahulu) cuma baik sikit, kalau rasuah kurang sikit berlaku, kalau tolong rakyat lebih sikit, ini bukan reformasi.

"Sepatutnya kita letakkan satu asas yang kebih baik, tapi ini tidak lansung memperlihat semangat dan keupayaan reformasi, ini yang menyebabkan rakyat kecewa,” katanya lagi.

145 Ketua Bahagian Umno tolak kerjasama dengan Bersatu

MALAYSIA DATELINE

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi mendakwa, bukan rahsia lagi 145 Ketua Bahagian Umno menolak kerjasama dengan Bersatu (PPBM) dalam pilihan raya umum ke 15 nanti.

Katanya, ini kerana sikap Bersatu yang menikam Umno dari belakang dan cuba menguburkan Umno.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM. Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP.

“Walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam PPBM 2.0. PPBM melihat Umno sebagai rival bukan kawan,” kata bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan itu.

Puad mengecam kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mempertikaikan kenyataan beliau sebelum ini yang didakwa membocorkan rahsia parti.

Dua hari lepas, kata Puad, Annuar Musa membuat posting terbuka. Dia tuduh seorang pemimpin yang ada platform resmi buat perkara yang berlawanan dengan dasar parti.

“Annuar terlupa dia Setiausaha Agung BN. Dia pun suka mendahului Presiden.

“Annuar mendakwa parti sedang di bawa ke arah perpecahan bukan konsolidasi.

“Annuar tutup mata sebelah. Sebenarnya Umno yang sedang ditikam dan dilemahkan dari belakang,” kata bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu.

Menurut Puad, sekarang ini sebok PPBM membeli dan memujuk Ketua-ketua cawangan Umno untuk menubuhkan cawangan baru PPBM.

“Kenapa tidak dipujuk ketua Pas, PKR dan PAN (AMANAH)?” tanya Puad dalam facebook beliau itu.

Menurut Puad, masa orang Bersatu jadi menteri besar, mereka gunakan jawatan ketua kampung sebagai tawar menawar tubuh cawangan baru.

“Sekarang guna PM (Perdana Menteri) desak MB Umno beri kuota 60-40 untuk lantik ketua kampung dan ahli majlis.

“Pemimpin akar umbi Umno sudah lama sedar yang tikam Umno dari belakang di PRU 14 adalah PPBM.

“Yang rancang bubarkan Umno setelah PH berkuasa adalah PPBM bukan PKR atau DAP,” kata Puad lagi.

Menurut beliau, walaupun PH sudah tumbang, tetapi DNA mereka masih ada dalam Bersatu 2.0. Bersatu melihat Umno sebagai rival bukan kawan, katanya.

“Sekarang mereka tidak boleh haramkan Umno melalui perundangan. Tetapi melayan Umno dengan cara melemahkan Umno dan akhirnya kuburkan Umno,” kata beliau lagi.

Menurut Puad, Annuar mendakwa membatalkan keputusan “No Anwar No DAP” akan menjadikan kubu Umno menjadi kubur.

“Itu hanya sentimen,” kata Puad yang menyokong usaha kerjasama antara Umno dengan Anwar Ibrahim dan juga DAP.

Menurut Puad, sekarang ini, Bersatu cuba merampas kerusi yang selama ini menjadi kubu Umno.

“Hakikatnya lihatlah apa yang berlaku di Larut, di Mersing, di Tanah Merah dan di tempat tempat MP lompat. Mana mungkin Annuar Musa tidak nampak itu semua,” katanya.

Beliau bertanya, di manakah menteri menteri lompat Bersatu yang asalnya Umno akan bertanding dalam PRU ke 15 nanti.

“Sudah tentu di kubu Umno,” kata beliau lagi.

Bagi beliau, Bersatu lebih terdesak dan perlu melemahkan Umno jika mahu tambah kerusi Parlimen dan DUN di PRU ke 15 akan datang.

“Sebab itu tidak timbul PKR dan DAP mahu bubarkan Umno. Tendensinya, Umno-PPBM akan bertembung. PPBM akan guna muslihat seperti yang berlaku di PRN Sabah,” kata beliau mengulas apa yang berlaku dalam PRN Sabah apabila banyak kerusi Umno dirampas oleh Bersatu dan akhirnya Bersatu yang menjadi Ketua Menteri walaupun Umno menang lebih banyak kerusi. 

Puad berkata, Annuar Musa mendakwa Umno boleh tergolek kali kedua dalam PRU 15 nanti.

“Itulah rasional kenapa 143 Ketua Bahagian menolak kerjasama dengan PPBM kerana tindak tanduk PPBM mahu menggolekkan Umno kali kedua.

“Percayalah, kalau PPBM masih menghalalkan kaedah lompat parti untuk tambah MP PPBM, sudah tentu MP UMNO menjadi target untuk dipujuk bukan MP Pas.

“Itu yang patut dikhuatiri oleh Annuar. Kalau Ketereh adalah kubu Umno, maka parti mana yang akan menjadikannya kubur. DAP, PKR atau PPBM?” katanya.

Katanya, kalau Annuar kata pemimpin akar umbi Umno resah, mereka sebenarnya lebih mengetahui apa yang berlaku di bawah.

“Mereka terdedah dengan pujukan dan tawaran.

“Semoga Umno bukan umpama, terlepas dari mulut buaya tetapi masuk ke mulut harimau,” kata beliau lagi.

Bagaimana reaksi Pas, penyokong PN jika Mujahid masih menteri?

RAYUSA

Tulisan ini tidak bertujuan terus menghukum dan mengganggu siasatan yang sedang dijalankan. Sementelah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmad Marzuk Shaary pada 20 Disember lalu, berkata pihaknya akan memanggil Illi Najwa Saddique apabila wanita itu pulang ke Malaysia nanti.

Kata Marzuk, kerajaan masih menunggu maklumat rasmi dari Jabatan Agama Islam Johor mengenai status agama Najwa.

Najwa berkahwin dengan kapten pasukan hoki India, Manpreet Singh Pawar, di kampung halaman Manpreet di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab, India pada 16 Disember lalu.

Namun demikian, berdasarkan maklumat awal, tambah Marzuki, Manpreet, 28, telah memeluk Islam meskipun Najwa, 27, tidak membuat permohonan untuk berkahwin di luar negara.

Saya teringat pada seorang rakan penulis yang sentiasa mahu ‘menang’ jika berbual/berbahas dengannya mengenai sesuatu isu, terutama politik.

Dalam ruangan komen akaun Facebook seorang rakan penulis yang lain kira-kira dua tahun lalu, dia membidas saya agar tidak berfikiran binari mengenai sesuatu isu politik.

Sebelum menulis pada ruangan komen terhadap satu hantaran rakan penulis yang lain itu, saya tidak tahu apakah pemikiran binari (saya bukan profesor serba tahu yang tahu semua perkara).

Walau bagaimanapun, berdasarkan komennya yang panjang lebar itu, dia meminta saya agar tidak menyangka buruk pada pihak yang bukan sehaluan dalam politik.

Dalam ruangan komen itu, saya mengatakan tentu penyokong kerajaan akan menyokong apa sahaja yang kerajaan buat, tetapi menentang jika pembangkang melakukan perkara serupa.

Sebenarnya, saya tidak peduli pun jika tahu apa itu pemikiran binari, kerana sangkaan saya bukan sekadar telahan, tetapi memang kenyataan.

Perubahan kerajaan dari Pakatan Harapan (PH) ke Perikatan Nasional (PN) membuktikannya. Pelbagai isu ditimbulkan bersama-sama tuduhan, dan cercaan ketika PH memerintah.

Beberapa menteri PH dikritik hebat, seperti Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama), Lim Guan Eng (mantan Menteri Kewangan), dan Dr Maszlee Malik (mantan Menteri Pendidikan).

Mujahid, Ahli Parlimen Parit Buntar dari AMANAH yang paling banyak dikecam, terutama oleh para pemimpin Pas. Beliau kerap diganggu dengan pelbagai isu yang dipanaskan, seolah-olah tidak menjalankan tugas.

Namun begitu, setelah PN berkuasa, semua yang dihebohkan berkaitan dengan Mujahid senyap sepi. Isu LGBT, murtad, gelagat Nur Sajat di Mekah, Tabung Haji, dan kempen beli barangan Muslim hilang entah ke mana. Isu kematian Muhammad Adib Mohd Kassim juga senyap sunyi.

Ada warga internet yang nakal, tetapi kreatif mengusik dengan membuat poster di media sosial memaparkan isu-isu yang disebutkan tadi, akan ‘bangkit dari kubur’ jika PH kembali berkuasa.

Walaupun berjenaka, tetapi ada seriusnya mereka membuat jangkaan itu ketika ura-ura Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri kesembilan.

Mengenai isu Najwa berkahwin dengan Manpreet mengikut upacara keagamaan masyarakat Sikh ini, warga internet bertanya setelah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberikan pandangan.

Mereka bertanya bagaimanakah reaksi Pas dan penyokong PN jika Mujahid yang berkata/bertindak sebagaimana yang Zulkifli katakan/lakukan.

Dapat diagak bahawa Mujahid akan dikecam siang malam, dan dituduh mengikut telunjuk DAP!

Pada 21 Disember lalu, Zulkifli mengingatkan bahawa Islam menuntut umatnya agar mengesahkan sesuatu maklumat yang diperoleh sebelum membuat sebarang pandangan, dan tanggapan.

Tangkap layar (screenshot), rakaman video atau hantaran (posting) di media sosial, kata mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, merupakan maklumat sekunder dan tertier yang mungkin sahih, atau sebaliknya.

Dalam satu kenyataannya, Zulkifli berpendapat, Najwa serta ahli keluarganya jauh lebih mengetahui situasi sebenar apa yang berlaku, termasuk perkara terkait dengan status agamanya, dan Manpreet.

Tambah senator itu, tindakan mempolitikkan isu sensitiviti agama merupakan perbuatan yang tidak matang, malah merugikan agama.

Soalnya, mengapa apabila terjadi semasa kerajaan PN, ia jangan dipolitikkan, tetapi ketika PH berkuasa, terang-terangan ia dijadikan isu politik?

Adakah pemimpin dan penyokong Pas membuat penyelidikan/penyiasatan terlebih dahulu untuk kepastian sebelum menghentam Mujahid, dan PH?

Kalau ahli keluarga Najwa tahu, mengapa majlis perkahwinan itu masih boleh berlaku?

Difahamkan, Najwa bekerja di sebuah universiti swasta di Malaysia dengan bertugas mengawal perancangan, pengembangan perniagaan, dan aktiviti pengambilan pelajar di pasaran Asia Selatan.

Menerusi video yang tular, Manpreet mengenakan sut perkahwinan Punjabi lengkap berserban, manakala Najwa berpakaian pengantin Punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan. Najwa dianggap telah dibaptis mengikut Sikh.

Adakah rakaman video itu palsu atau dipinda? Siapakah yang rajin dan terlalu banyak masa untuk sengaja mengada-adakan isu tersebut jika ia hasil pindaan atau superimposed?

Motifnya juga diragui dan tiada faedah kerana ibu saudara Najwa, Datuk Wira Halimah Mohamed Saddique, Menteri Perpaduan Negara bukan siapa-siapa untuk disabotaj, apatah lagi dia sendiri tidak dikenali.

Dakwaan mengatakan Manpreet sudah memeluk Islam juga amat diragui. Selain tiada bukti yang meyakinkan, ia juga tidak masuk akal.

Sebagai ahli sukan yang terkenal di India, sebuah negara yang sangat memusuhi Islam, tindakan Manpreet memeluk Islam tentu mencetuskan rusuhan besar! Akan tetapi, tidak terdengar langsung berita kekacauan sedemikian di India.

Perkahwinan antara pasangan Muslim dengan bukan Muslim dilarang berdasarkan Seksyen 10, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Johor) 2003.

Adakah keluarga Najwa tidak mengetahuinya, atau bertanya kepada pihak yang tahu?

Pasangan bukan Muslim perlu memeluk Islam terlebih dahulu sebelum berkahwin dengan pasangannya yang Muslim.

Bagi perkahwinan Muslim yang dibuat di luar negara, permohonan untuknya hendaklah dikemuka kepada Pendaftar Perkahwinan, Penceraian dan Ruju’ di Kedutaan, Suruhanjaya Tinggi atau Pejabat Konsul Malaysia di negara tersebut.

Perkahwinan sedemikian juga hendaklah didaftarkan selepas pasangan pulang ke Malaysia. Perkahwinan silang agama tidak dibenarkan dalam perundangan Malaysia.

Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan mentakrifkan seseorang yang berbangsa Melayu itu beragama Islam.

Seperkara lagi yang boleh dikaitkan dengan dakwaan pemikiran binari ini ialah penganjuran Miss/Mrs Plus Malaysia 2020 (MPWM2020).

Pas mendesak agar MPWM2020 pada 2 Januari depan itu dibatalkan, dan menyifatkannya sebagai ‘program berunsur kemaksiatan’, ada unsur ‘hedonisme’, serta boleh merosakkan masyarakat.

Pada 19 Disember lalu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia atau Yadim pimpinan Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi (Ahli Majlis Syura Ulamak Pas-Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat) juga membantah pertandingan itu (dan akan menghantar memorandum bantahan kepada penganjur, serta pihak berkuasa tempatan).

Bagi Pas, MPWM2020 tidak harus dianjurkan di Malaysia yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Walau bagaimanapun, mengapa Pemuda Pas dalam pertemuan dengan penganjur acara ratu cantik untuk wanita berbadan besar itu hanya meminta penukaran nama?

Menurut Pengarah Eksekutif Nasional MPWM2020, Ziinine AS Britshi, Pemuda PAS mencadangkan penukaran nama kerana terdapat fatwa mengharamkan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik.

Kata Ziinine, cadangan itu dikemuka atas alasan MPWM 2020 turut menampilkan 10 finalis beragama Islam – empat Miss Plus, dan enam Mrs Plus.

Oleh kerana umat Islam di negara ini diharamkan menyertai sebarang pertandingan ratu cantik, penganjur MPWM2020, tambahnya, perlu merujuk pihak berwajib bagi menyelesaikan isu berbangkit sebelum berlangsungnya acara kemuncak awal Januari 2021.

Tambah Ziinine, Pemuda Pas juga sedang cuba mengaturkan pertemuan penganjur dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam masa terdekat.

Mereka disarankan menggunakan nama seperti Malaysia Plus World Icon, berbanding Miss atau Mrs Plus. Jika tidak, MPWM2020 mungkin terpaksa menggugurkan finalis yang beragama Islam.

KPWKM diketuai Datuk Seri Rina Mohd Harun, ahli Parlimen Titiwangsa-Bersatu, dan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff, ahli Parlimen Rantau Panjang-Pas.

Dalam pertemuan kira-kira tiga jam di sebuah hotel di Putrajaya pada 23 Disember lalu itu, MPWM2020 diwakili Suraya Godwinson, manakala Pemuda Pas diketuai Setiausaha Pemudanya, Akram Ikrami Taib Azamudden.

Selepas pertemuan dengan KPWKM, mungkin MPWM2020 akan diteruskan, tetapi selepas namanya ditukar.

Penganjur MPWM2020 sebelum ini mempertahan acara tersebut bertujuan meraikan, menggalakkan dan mengangkat kecantikan, kebijaksanaan, serta keyakinan wanita bersaiz besar.

MPWM2020 juga tidak akan melibatkan pertunjukan bikini atau pakaian renang, mahupun menumpukan kepada hal yang remeh-temeh.

Dalam video yang disiarkan di media sosial Harakahdaily, Akram mengatakan Pemuda Pas turut mencadangkan penganjur merujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Tegas Akram, Pas sentiasa melayan wanita secara sama rata tidak kira bangsa, agama, dan gender.

Daripada ribuan calon yang menyertai uji bakat pada 27 Oktober lalu, 24 terpilih menjadi finalis untuk dua kategori berbeza. Namun begitu, dua daripadanya menarik diri.

Pemenang akan mewakili Malaysia ke Amerika Syarikat bagi pertandingan Miss Plus World Finals 2020-2021 pada peringkat antarabangsa.

Tambah Ziinine, MPWM2020 memerlukan penyertaan berbilang bangsa dan agama, kerana ia acara yang menjurus ke arah kemanusiaan, persaudaraan, dan memperkasakan wanita.

Mereka, katanya lagi, berjuang untuk semua wanita negara ini yang bersaiz besar termasuk mereka yang Muslim untuk mempunyai peluang sama adil.

Warga internet sekali lagi bertanya, bagaimana kalau MPWM2020 ini semasa Kerajaan PH dan Mujahid. Sudah tentu apa sahaja kenyataan, dan tindakan Mujahid akan ditempelak.

Setelah berkuasa, mengapa hanya sekadar mampu melakukan yang sedikit, iaitu meminta tukar nama pertandingan?

Selain warga internet, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub juga menuntut Zulkifli memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai isu sindiket penipuan daging halal yang dibongkar oleh pihak berkuasa baru-baru ini.

Menurut Salahuddin, setakat ini senator berkenaan masih ‘menikus’ walaupun kementeriannya bertanggungjawab dalam hal berkaitan sijil halal.

Jakim yang berada dalam bidang kuasa Zulkifli merupakan agensi bertanggungjawab mengurus status halal haram makanan di negara ini.

Tegas mantan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu, kewujudan sindiket terbabit jelas menimbulkan keraguan mengenai tahap integriti agensi terbabit dalam pembangunan industri halal negara.

Kegiatan kartel yang bersubahat dengan beberapa pegawai dalam agensi kerajaan untuk mengimport daging – antaranya kanggaru dan kuda yang tidak berstatus halal – untuk dijual sebagai daging halal hangat diperkata sejak akhir-akhir ini.

Pegawai yang terlibat dikatakan menerima pelbagai jenis habuan kerana bersekongkol dengan kartel berkenaan, termasuk wang dan khidmat seks.

Pada bulan lalu, Parlimen diberitahu bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang menyiasat kes kartel berkenaan yang berlaku di Senai, Johor.

Bukan mahu berfikiran binari, tetapi bayangkan kalau Mujahid yang diam membisu.

Tambah Salahuddin, satu lagi pihak yang perlu memberi penjelasan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan sebagai pihak yang mengelola urusan mengeluarkan permit, lesen dan perakuan barangan import seperti di Johor. Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee jangan membisu seribu bahasa.

Ahli Parlimen Pulai itu juga mendesak pihak berkuasa menyiasat sedalam-dalamnya kegiatan rasuah, dan salah laku yang menyebabkan kartel terbabit boleh beroperasi sebelum mereka dikenakan hukuman setimpal.

Pada masa sama, tambah Salahuddin, kerajaan perlu mengambil serius kes keselamatan makanan dengan memperhalus, memantau dan menilai garis panduan kemasukan makanan untuk memastikan setiap produk berkaitan yang dipasarkan selamat.

PN usah hanya mendakwa sebagai kerajaan Melayu Islam, tetapi tunjukkan kesungguhan menjaga kebajikan, dan kepentingan Muslim. Jangan biarkan slogan Melayu Islam hanya tinggal sebagai retorik untuk memperdaya masyakarat, dan meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaikan menjawab kritikan, Zulkifli pada 26 Disember lalu memberitahu bahawa kerajaan akan menambah baik piawaian halal, terutamanya membabitkan daging dan produk daging yang diimport.

Tambah Zulkifli, menerusi Bahagian Pengurusan Halal Jakim, bagaimana negara pengeksport memperoleh pensijilan halal ke atas semua produk yang hendak dieksport ke negara ini, serta memeriksa cara mereka berurusan perlu dilihat semula dari semasa ke semasa.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin terus didesak agar mendedahkan siapakah dalang sebenarnya dalam isu panas ini.

Sementara itu, Salahuddin mencabar mantan PM, Dato’ Sri Najib Tun Razak menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kes kartel daging import.

Ini selepas Najib mengatakan isu berkenaan tidak pernah timbul di sepanjang tempoh beliau menjadi PM. Kenyataan Najib itu seolah-olah mendakwa Kerajaan PH membiarkan kes tersebut semasa berkuasa selama 22 bulan dahulu.

Kerajaan PN tambah kekerapan cabutan khas judi dari 8 ke 22 kali tahun depan.TAKDIR!!!!

MALAYSIA DATELINE

Senator DAP Liew Chin Tong mendakwa kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4 digit daripada 8 kali pada tahun 2020 kepada 22 kali pada tahun 2021.

Beliau berkata, kerajaan PN mengembalikan semula jumlah cabutan khas itu seperti zaman kerajaan BN sebelum ini iaitu 22 kali setahun.

“Saya sarankan agar kerajaan ikut langkah kerajaan PH dulu dan kurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit.

“Daripada 22 kali pada tahun 2018 yang ditetapkan oleh Kerajaan Barisan Nasional, kami mengurangkan jumlah cabutan khas kepada 11 kali sahaja pada tahun 2019, dan kekerapan cabutan khas terus dikurangkan lagi pada tahun 2020 kepada 8 kali sahaja setahun,” katanya.

Beliau berkata, majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40 dan mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan.

“Ramai mereka yang menjadi ketagih kepada perjudian dan ini mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka ini akan terus menerus mencuba nasib dengan cabutan khas,” katanya.

Menurutnya, cabutan khas ramalan nombor 4-digit telah dimulakan pada tahun 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu.

Kerajaan pada masa itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas selain daripada tiga hari cabutan seminggu yang ditetapkan.

Chin Tong berkata, dalam setahun terdapat 156 hari cabutan biasa dan 22 hari cabutan khas.

Sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas itu disumbang terus kepada aktiviti kerajaan.

“Pada tahun 2017, kerajaan telah mengutip sebanyak RM238juta melalui cabutan khas walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi,” kata Chin Tong

Isu ini saya setuju dengan Najib

Najib : Putrajaya perlu tubuh RCI siasat kes Adib, juga siapa ‘hasut’ 10,000 orang berkumpul berhampiran kuil

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan tunjuk perasaan berdekatan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang, Selangor pada November 2018.

Najib yakin siasatan oleh RCI boleh merungkaikan beberapa isu yang belum dijawab, antaranya mengapa lebih 10,000 orang dihasut mengadakan tunjuk perasaan berhampiran kuil berkenaan.

“Kenapa anggota keselamatan kerajaan seperti bomba yang biasanya disanjung tinggi orang awam tiba-tiba menjadi sasaran kebencian pada malam kedua rusuhan.

“Siapa yang menghasut sehingga lebih 10,000 orang hadir, dan jika hasutan itu adalah berbaur agama dan bangsa,” katanya dalam menggariskan keperluan RCI itu ditubuhkan segera untuk membolehkan penyiasatan menyeluruh ke atas kematian Adib.

Najib mengingatkan bahawa pada 26 November 2018, seorang ADUN dan Exco kerajaan Selangor pernah mengeluarkan kenyataan bahawa “kuil diserang oleh sekumpulan orang Islam”. Semakan mendapati, exco berkenaan juga sudah menarik semula perkataan yang digunakannya itu, kata beliau.

“Pada 26 November 2018, lima menteri dan seorang timbalan menteri Pakatan Harapan membuat sidang media bersama di Parlimen menuduh polis tidak bertindak adil pada rusuhan hari pertama. Pertama kali dalam sejarah Malaysia, di mana menteri kerajaan salahkan penguatkuasa kerajaan sendiri,” kata Najib.

Najib menegaskan hanya siasatan menyeluruh menerusi RCI akan memastikan pemimpin politik lebih bertanggungjawab atas kenyataan dan tindakan mereka selain mencungkil kebenaran di sebalik kematian Adib.

“Pada malam 27 November 2018, jumlah orang yang hadir rusuhan naik ke lebih 10,000 orang dan anggota keselamatan telah menjadi sasaran. Sebab itu, saya kata RCI untuk Adib adalah wajar supaya kita semua terutamanya wakil-wakil Rakyat PH boleh belajar dari kesilapan, supaya kita tidak lagi membuat kenyataan bodoh,” katanya.

Beliau berkata bukan mudah untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dalam negara. RCI juga diperlukan “supaya tragedi sama tidak lagi berulang di masa hadapan,” kata Najib.

“Saya mahu wakil-wakil rakyat tersebut sedar apa yang mereka telah tersalah buat dan apa akibatnya,” katanya.

Pada Sept tahun lalu, Mahkamah Koroner dalam inkues kematian Adib mengumumkan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh 2 atau lebih individu yang tidak dikenali.

Pengumuman itu berdasarkan keterangan 30 saksi dan 137 bahan bukti yang dikemukakan sepanjang 41 hari ia bersidang bermula Februari tahun sama.

Adib mengalami kecederaan serius selepas beliau dan anggota pasukan bomba Subang Jaya lain digerakkan ke lokasi tunjuk perasaan di Subang Jaya. Beliau meninggal dunia pada Disember 2018.

Setakat ini tidak ada sesiapa di hadapkan ke mahkamah atas kematian beliau.

AMANAH sangat penting kepada gabungan pembangkang

FAZLI RADZI 

Sebanyak 62 peratus daripada 204 pendengar stesen radio BFM 89.9 menyifatkan AMANAH sangat penting dan agak penting kepada gabungan pembangkang.

Undian tertinggi sehingga dua jam lalu tersebut mendapati 37.7 peratus responden menganggap AMANAH “sangat penting” diikuti 24.5 peratus memilih “agak penting”.

Reaksi tersebut sebagai menjawab soalan berbahasa Inggeris bermaksud, “Seberapa penting AMANAH kepada gabungan pembangkang?”

Dalam tempoh sama juga, 23 peratus daripada responden dalam tinjauan menerusi Twitter saluran radio berkonsepkan urban itu mengundi “tidak penting” manakala 14.7 peratus lagi “tidak pasti”.

Rata-rata komentar kepada soalan itu juga menyatakan AMANAH penting dalam Pakatan Harapan (PH) yang menyatukan parti pembangkang.

Pengguna Twitter, Aiman Abdullah berpendapat AMANAH tidak relevan sebagai parti yang berdiri sendiri sebaliknya memainkan peranan penting untuk meraih undi bagi blok pembangkang.

“AMANAH penting bagi pengundi yang tidak puas hati dengan Pas tetapi mungkin masih mempercayai nilai-nilai intinya yang konservatif.

“Ia (AMANAH) bertindak sebagai penyeimbang ke arah sekularisme PKR / DAP,” katanya.

Sementara itu, pemilik akaun Twitter atas nama dperantauan menyifatkan AMANAH sangat penting sebagai penyatu parti pembangkang.

“Mereka (AMANAH) telah menunjukkan kualiti dan kemampuan mereka pada fasa awal PH iaitu semasa perundingan kerusi.

“AMANAH terus menunjukkan hati mereka yang besar dalam memastikan Malaysia mempunyai kerajaan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.

Tidak kurang juga yang berpendapat AMANAH relevan kepada blok pembangkang kerana komited untuk melakukan pembaharuan berbanding parti dan gabungan sekutunya dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

BFM adalah stesen radio yang dapat didengar pada frekuensi 89.9 MHz di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, dan sebahagian Negeri Sembilan dan Melaka.

Pejuang, PKR letak syarat pada idea gabungan besar pembangkang

Malaysiakini 

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PKR meletakkan syarat berdasarkan pendirian parti berikutan keinginan Amanah ingin menyaksikan Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim bergandingan sekali lagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Menurut Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya parti itu terbuka dengan sebarang cadangan tetapi enggan menyokong sekiranya kerjasama tersebut melibatkan golongan kleptokrat.

"Pejuang juga terbuka terhadap apa-apa cadangan termasuk mahu menjalinkan kerjasama tetapi pendirian kami jelas iaitu atas matlamat untuk memastikan negara bersih dari rasuah.

"Kami tak akan beri apa-apa sokongan sekiranya ada kerjasama dengan kumpulan sama ada penyokong kleptokrat. Kita lawan rasuah dan tak nak negara hancur," katanya lapor BH Online.

Pada 26 Dis lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapan dasarnya di Konvensyen Amanah menyentuh mengenai cadangan gabungan besar antara parti pembangkang untuk menghadapi PRU ke-15.

Sementara itu Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin pula berkata untuk merealisasikan perkara itu, perjanjian asal menyokong Anwar untuk memimpin negara seperti yang dijanjikan selepas Pakatan Harapan memenangi PRU ke-14 perlu dikotakan.

"Kembali kepada perjanjian asal! Mandat rakyat sewaktu PRU ke-14 jelas. Menyokong DSAI (Anwar) untuk memimpin negara selepas Dr Mahathir.

"Justeru, saya percaya Amanah boleh meyakinkan Mahathir untuk mendukung segala usaha DSAI mengembalikan semula mandat rakyat dan terus memimpin pakatan pembangkang pada waktu ini," kata Shamsul.

DAP dan Amanah sebelum ini menggesa anjakan politik baru dilaksanakan dalam pembangkang selepas kerajaan PH - yang mendapat mandat daripada rakyat pada 2018 - dijatuhkan. 

Gabungan politik besar bermakna PH menjalinkan kerjasama dengan pembangkang yang lain seperti Pejuang, Warisan, Upko, Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Muda.

Turki sahkan vaksin China berkesan

Bernama

BEIJING: Turki mengesahkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan China terbukti selamat dan berkesan memberi perlindungan sekali gus membolehkan program vaksinasi dimulakan.

Menteri kesihatan negara itu, Fahrettin Koca dalam sidang media pada Khamis berkata, vaksin keluaran syarikat farmaseutikal China, Sinovac Biotech didapati mempunyai tahap keberkesanan 91.25% untuk mencegah jangkitan virus berkenaan dan tidak menyebabkan tindak balas bahaya.

Keputusan itu dibuat berdasarkan analisis awal terhadap data dikumpul menerusi ujian klinikal vaksin percubaan membabitkan sukarelawan.

Difahamkan, kumpulan pertama bekalan vaksin China sebanyak tiga juta dos dijangka tiba di Turki dalam masa terdekat.

Program vaksinasi fasa pertama akan dilakukan menyasar seramai sembilan juta orang dengan keutamaan kepada golongan berisiko tinggi dijangkiti seperti petugas perubatan.

‘Saya tidak puas hati imej Anwar dan Tun M buruk’

SITI NUR ZAWANI MISCON 

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengakui terkilan apabila parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) saling menyerang satu sama lain sehingga memburukkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sepatutnya serangan disasarkan kepada musuh politik yang mengkhianat dan merampas kuasa persekutuan dari PH bukannya terhadao kedua-dua tokoh utama itu.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila mereka yang merampas kuasa persekutuan tidak pula dihentam.

“Saya terkilan apabila serangan dihala kepada Anwar. Selepas itu ‘berlari’ serang Mahathir pula. Media pun tak tumpu serangan terhadap kerajaan yang merampas kuasa PH.

“Sepatutnya, serangan tumpu kepada mereka yang menjatuhkan kerajaan kita.

“Saya tidak puas hati apabila imej Mahathir dan Anwar buruk ketika ini. Mereka yang mengkhianati kerajaan PH pula bergembira,” katanya ketika menggulung Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Sementara itu, kata Mohamad, sekiranya AMANAH mahu mengambil semula mandat rakyat, kawasan-kawasan Felda tidak boleh diabaikan dan perlu dimenangi.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga meyakini PH boleh mengambil semula mandat rakyat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Konvensyen AMANAH diadakan selama tiga hari bermula pada 25 Disember lalu dan berakhir hari ini dengan dihadiri hampir 400 perwakilan.

Usul akta lompat parti diluluskan di Konvensyen AMANAH Nasional

SITI NUR ZAWANI MISCON

Konvensyen AMANAH Nasional hari ini meluluskan usul untuk menggubal akta anti lompat parti dengan sokongan majoriti hari ini.

Usul berkenaan dibawa AMANAH Subang, Nordin Ibrahim agar parti mewujudkan segera akta berkenaan untuk menghentikan tindakan ahli-ahli politik yang keluar menyertai parti lain dengan sesuka hati tanpa sebab-sebab yang munasabah.

Beliau berkata, budaya politik khianat telah menyebabkan kerajaan yang tidak dipilih rakyat, merampas kuasa di peringkat negeri dan persekutuan.

Menurutnya, akta itu kelak perlu menetapkan sesiapa sahaja wakil rakyat yang berhasrat lompat parti, kerusi yang diwakilinya isytihar kosong dan perlu mengadakan pilihan raya yang baru selain mendenda dengan sejumlah wang yang ditentukan.

Usul berkenaan disokong perwakilan AMANAH Jerlun dan Pokok Sena yang menyifatkan tindakan lompat parti menjejaskan kestabilan parti, selain menandakan wujudnya unsur rasuah.

Perwakilannya, Zaisham Shah Bhari berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ahli-ahli Parlimen yang melompat telah dibeli dan dibayar.

Ia disokong Pokok Sena, Johari Hanapiah yang kemudian menyeru saf kepimpinan untuk menjadi penggerak utama menggerakkan usul tersebut supaya ahli Parlimen yang dipilih rakyat tidak lagi melakukan pengkhianatan.

Bagaimanapun semasa perbahasan awal, usul tersebut dibangkang perwakilan Gombak, Saari Sungib yang menyatakan ketidakpuasan hati menyatakan kekhutiran kepimpinan akan ‘pukul rata’ tentang definisi lompat.

Ia turut disokong perwakilan Pemuda AMANAH Nasional, Muammar Qaddafi yang menolak akta berkenaan kerana dianggap bertentangan dengan konsep demokrasi berparlimen.

Beliau menegaskan bahawa jatuh atau tidak sesuatu kerajaan bukan disebabkan pada tindakan lompat, sebaliknya ia melibatkan integriti seseorang Ahli Parlimen.

“Saya bimbang sekiranya akta ini dibuat dan kerajaan akan datang pula sangat bermasalah, ia akan menyebabkan Ahli Parlimen diikat tidak boleh melompat keluar. Kita bimbang akta ini akan membunuh pembentukan kerajaan lebih baik,” katanya lagi.

Lantik Dzulkefly ketuai majlis nasional tangani Covid-19

Lim Kit Siang

Sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil pendekatan melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat memandangkan negara mecatatkan rekod tertinggi untuk kes baru Covid-19 semalam semalam.

Dengan 2,335 kes baru itu ia menjadi bukti kegagalan strategi semasa diambil kerajaan untuk mengawal lonjakan gelombang ketiga wabak Covid-19.

Malah ini menunjukkan kita tidak jauh dari unjuran Institut Ukuran dan Penilaian Kesihatan (IHME) AS yang menjangkakan 2,987 kes baru harian dicatatkan pada 1 Januari 2021 dan 5,379 jangkitan setiap hari menjelang 21 Mac 2021.

Tujuan model ini adalah untuk menjadi peringatan kepada kemungkinan kes senario terburuk yang berlaku dan betapa perlunya tindakan pemulihan segera diambil supaya kita tidak terus mencatatkan lebih banyak kes.

Model IHME mengunjurkan peningkatan berterusan kes Covid-19 di Malaysia hingga pertengahan Mac 2021 dengan mencatatkan lebih 5,000 jangkitan setiap hari bermula 25 Feb 2021.

Ia meramalkan 2,987 kes Covid-19 baru direkodkan setiap hari pada 1 Januari dan meningkat menjadi 4,176 kes pada 1 Feb sebelum bertambah kepada 5,130 kes pada 1 Mac.

Trend ini dijangka meningkat hingga 21 Mac dengan 5,379 jangkitan pada hari itu sebelum menurun sedikit kepada 5,301 kes pada 1 April.

Mengikut model IHME, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia pada akhir Mac nanti ialah adalah sekitar 400,000 kes. Jika menjadi kenyataan ia akan menempatkan Malaysia dalam kelompok antara 30 hingga 40 negara paling tertinggi kes Covid-19 di dunia.

Kedudukan tinggi di Asia

Pada waktu wabak ini mula menular di China dulu Malaysia berada di kedudukan 50 negara lain tetapi kini kita mengatasi negara itu dengan jumlah keseluruhan sebanyak 103,900 kes.

Ia meletakkan Malaysia berada di kedudukan ke-75 berbanding negara lain di dunia sedangkan China di tempat ke 80 dengan jumlah kes keseluruhan sebanyak 86,933.

Hari ini, kita mungkin berada di kedudukan ke-74 apabila kita mengatasi Paraguay pula.

Pada 1 Jun tahun ini, indeks "jumlah kes per sejuta penduduk” di Malaysia ialah sebanyak 243. Hari ini, ia meningkat 12 kali lebih tinggi, iaitu 3,032 berbanding China yang mencatatkan 58 mengikut indeks yang sama pada 1 Jun.

Sekarang indeks itu di China meningkat sedikit menjadi 60.

Sebenarnya Malaysia mempunyai indeks jumlah kes per sejuta penduduk lebih tinggi daripada kebanyakan negara lain di Asia kecuali Singapura (9,965) dan Filipina (4,253).

Di Asia, kita mempunyai indeks yang lebih tinggi berbanding Jepun (1,691), Korea Selatan (1,090) dan Taiwan (33).

Di Asean, kita mencatatkan indeks yang lebih tinggi berbanding Indonesia (2,571). Indeks di negara lain Asean ialah Thailand (86), Vietnam (15), Kemboja (22) dan Laos (6).

Di seluruh dunia, jumlah keseluruhan kes Covid-19 secara global melebihi 80 juta orang dengan lebih daripada 1.7 juta orang maut kerananya.

Jumlah terkumpul semasa kes global ialah lebih daripada 683 kali daripada 118,000 kes di seluruh dunia ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan Covid-19 sebagai pandemik pada 11 Mac 2020. Dan wabak ini terus melonjak mencatatkan rekod suram baru, sama ada dengan jumlah kes terkumpul atau peningkatan kes jangkitan harian.

Sebagai contoh, pada 11 Mac lalu peningkatan harian kes Covid-19 global adalah 11,384 kes. Ia terus bertambah kepada 736,079 kes pada 17 Dis dan pada kadar kenaikan ini, ia akan mencapai kenaikan satu juta kes setiap hari pada hujung suku pertama tahun depan.

AS - yang merupakan negara yang paling teruk terjejas dengan jumlah kes terkumpul tertinggi - akan mencatatkan lebih 20 juta kes menjelang akhir tahun. Ia mungkin mencatatkan 25 juta kes menjelang hari Joe Biden mengangkat sumpah sebagai presiden ke-46 AS.

Rancang pemulihan segera

Perayaan Krismas tahun ini disambut dengan suram di seluruh dunia, dengan peningkatan kes Covid-19, penemuan jenis Covid baru dan sekatan perjalanan di seluruh dunia.

Menteri Kesihatan Korea Selatan, Kwon Deok-cheol, berkata negara itu "berada di persimpangan gelombang ketiga" apabila mencatatkan peningkatan kes baru harian kedua tertinggi - 1,132 kes - pada Hari Krismas, dan 1,241 kes pada malam Krismas.

Tetapi Korea Selatan berada dalam keadaan yang lebih baik berbanding Malaysia kerana mereka mencatatkan 55,902 kes Covid-19 setakat ini dan berada di kedudukan ke-87 dalam kalangan negara lain di dunia berdasarkan jumlah kes terkumpul.

Kes harian tertinggi di negara tersebut ialah 1,241 manakala di Malaysia rekod tertinggi harian setakat ini ialah 2,335 kes yang berlaku semalam.

Ia meletakkan Malaysia di tempat ke-75 berbanding negara lain.

Malaysia perlu menyemak semula strategi yang diambil untuk mengawal gelombang ketiga Covid-19 ini.

Malangnya kita mempunyai menteri kesihatan yang tidak memainkan peranan secara berguna dalam perang melawan wabak berkenaan.

Justeru sebuah majlis kebangsaan mengenai Covid-19 ini perlu dibentuk segera dan wajar diketuai mantan kenteri kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, bagi menerajui strategi dan pendekatan melibatkan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat.

Ia boleh merancang pelan pemulihan segera negara kita daripada bencana wabak Covid-19 ini.