KEMBALI KEPADA BERSATU SATU-SATUNYA PILIHAN PALING SESUAI BUAT MAHATHIR

Shahbudin Husin

Hasrat pihak tertentu untuk membawa Tun Mahathir Mohamad kembali menyertai PH sebagaimana yang masih diusahakan sehingga sekarang diyakini akan terus menemui jalan buntu.

Sementara Anwar Ibrahim telah menunjukkan keterbukaannya dengan mengatakan bekas Perdana Menteri itu boleh menyertai PH dengan syarat mesti patuh kepada prinsip perjuangan gabungan itu dan tiada agenda peribadi di sebaliknya, Tun Mahathir bagaimanapun dengan angkuh menolaknya.

“Pi baliklah…” kata beliau ketika ditanya media mengenai syarat yang disebut Anwar itu.

Mujur Anwar seorang yang baik, berhemah dan tiada dendam kesumat dalam hatinya, beliau langsung tidak memberi apa-apa komen lagi tentang kata-kata Tun Mahathir itu.

Kalaulah Anwar juga sama perangai dan hati perutnya seperti Tun Mahathir, mungkin jawapan yang bakal dibalasnya ialah ….”Pi mampuslah….”

Sebelum ini juga Tun Mahathir pernah menyatakan, walaupun Anwar merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen, beliau tidak terikat untuk patuh atau taat kepada Pengerusi PH itu.

Katanya, Anwar tidak mempunyai hak mengawal mana-mana Ahli Parlimen dalam blok pembangkang.

“Beliau hanya dipilih sebagai Ketua Pembangkang, tetapi itu tidak memberinya sebarang kuasa untuk mengawal sesiapa, kami boleh buat apa yang kami suka,” tambah Tun Mahathir lagi.

Dengan berperangai sedemikian, bukan saja PH, malah mana-mana gabungan politik yang lain pun di dunia ini pasti sukar menerima kemasukan Tun Mahathir.

Memang benar beliau pernah menjadi Perdana Menteri dan merupakan seorang negarawan, namun eranya sudah berlalu dan beliau kini mesti sedar realiti dirinya.

Tetapi, dengan jalan buntu di hadapannya untuk kembali kepada PH, terutama bagi menerajui semula gabungan itu dan di ketika yang sama Parti Pejuang yang ditubuhkannya pula seperti tidak ternampak laluan untuk diluluskan, apakah pilihan yang tinggal buat Tun Mahathir meneruskan perjuangannya?

Jika PRU diadakan dalam waktu terdekat ini, bagaimanakah Tun Mahathir mahu bertanding lagi?

Kalau pun Tun Mahathir sedia untuk bersara dan tidak mahu bertanding lagi, sanggupkah beliau melihat masa depan politik anak kesayangannya, Mukhriz turut berakhir begitu saja?

Lebih daripada itu, jika tidak bertanding lagi dan bersara begitu saja, sanggupkan beliau melihat dirinya tanpa apa-apa wadah perjuangan kiranya ditakdirkan Anwar yang begitu didendaminya makin terbentang laluan mudah untuk menjadi Perdana Menteri?

Melihat kepada semua keadaan yang ada, sebenarnya pilihan yang paling sesuai ialah Tun Mahathir kembali semula menyertai Bersatu yang diasaskannya sebelum ini.

Oleh kerana UMNO sendiri mahu meninggalkan kerajaan PN, kepulangan Tun Mahathir bersama Pejuang ke dalam Bersatu tentu saja merupakan peluang yang memang ditunggu-tunggu oleh Muhyiddin.

Dengan ada Tun Mahathir bersama Bersatu, PN yang kini dianggotai Bersatu, Pas, Star dan SAPP, gabungan itu umpama mendapat kekuatan baru dan akan menjadi lebih selesa untuk bertanding dalam PRU15 nanti.

Makna kata, tanpa bekerjasama dengan UMNO, kepulangan Tun Mahathir ke dalam Bersatu memang ditunggu-tunggu, bahkan Pas juga tentu gembira sama dibuatnya.

Malah, dengan hanya berbahagi kerusi dengan Pas saja, Bersatu bukan saja boleh bertanding di semua kerusi Melayu pilihannya, selebihnya juga bebas untuk berlawan dengan UMNO yang enggan berkongsi kerusi dengannya.

Ditambah dengan Tun Mahathir yang baru-baru ini mendabik dada mendakwa dirinya adalah penarik utama pengundi Melayu sehingga membolehkan PH menang PRU 2018, keberadaannya bersama Bersatu pasti menjadikan parti itu mampu menang lebih besar melebihi UMNO.

Yang terpenting sekali, oleh kerana di dalam Bersatu sendiri berkumpulnya segala yang dipanggil ramai sebagai pernah bersikap khianat sebelumnya – Muhyiddin, Geng Hamzah Zainuddin dan Kumpulan Azmin Ali – jika disertai pula oleh Tun Mahathir yang boleh dianggap pengkhianat juga kerana meruntuhkan PH dan berdolak-dalik berkenaan janji peralihan kuasa kepada Anwar, parti itu tentu menjadi bertambah gah lagi cemerlang wibawanya.

Mungkin ada yang bertanya, sediakah Tun Mahathir berbaik kembali dengan Muhyiddin yang kini merupakan musuhnya semata-mata untuk menyertai semula Bersatu?

Hendaklah diingat, walaupun bermusuh dengan ramai orang, Tun Mahathir juga mempunyai rekod U-Turn berbaik semula dengan sebahagian musuhnya jika ia bermanfaat untuk politiknya.

Dengan Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim, malah George Soros lagi kan Tun Mahathir sanggup berbaik, apalah sangat dengan Muhyiddin? (Shahbudindotcom 02/01/2021)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan