Bisikan syaitan: Abdul Hadi kena kecam ibarat tepuk air di dulang

FAZLI RADZI

Orang ramai mengecam Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai reaksi terhadap artikel Presiden Pas itu yang bertajuk “Mencetuskan Keraguan Kerja Syaitan” semalam.

Kenyatan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu mengundang kecaman bahkan sindiran apabila mengaitkan bisikan syaitan punca ramai anak muda Melayu Islam tidak mendaftar sebagai pengundi.

Ibarat menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri, Ahli Parlimen Marang itu diserang warganet termasuk menyindir sikap Pas sepanjang tempoh singkat pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Mereka mengutuk Abdul Hadi di ruangan komentar bekas Menteri Besar Terengganu itu yang memuatnaik artikel berserta poster bagi slot Minda Presiden Pas.

“Selama 22 bulan PH memerintah, kau (Abdul Hadi) cetuskan keraguan pada rakyat,” tempelak Khairul Anuar Kamaruddin.

Hal sama juga dibangkitkan Mohammad Tirmizi Abd Manaf memandangkan Pas sebelum menjadi kerajaan galak bercakap tentang isu Melayu Islam.

“Dulu masa jadi pembangkang hari-hari timbulkan keraguan. Isu TH (Tabung Haji), isu arwah (anggota bomba) Adib, isu Melayu. Buat kerja setang lah tu,” sindirnya.

Terdahulu Abdul Hadi dalam tulisannya menyebut generasi muda Islam yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan agama khususnya masih dihantui bisikan syaitan.

“Pengaruh bisikan syaitan masih menghantui umat Islam khususnya generasi muda yang sepatutnya mewarisi perjuangan untuk menegakkan Islam.

“Kita menyaksikan kebencian terhadap politik berlaku kerana terpengaruh dengan syaitan berwajahkan manusia, termasuk umat Islam sendiri yang digerakkan oleh dalang-dalang mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan