Covid-19: Pandemik atau keganasan serangan biologi?

DR. NOOR DZUHAIDAH OSMAN

Penulis terbaca rencana tulisan ahli akademik negara jiran yang mengutarakan pandangan tentang keganasan biologi rentetan kes Anthrax di Amerika Syarikat selepas kejadian September 11 tahun 2000, membandingkan dengan kes pandemik yang melata di seluruh dunia kini.

Penulis secara dasarnya menyimpulkan bahawa penulis tersebut walaupun tinggal berdekatan negara Asia tetapi pemikiran lebih ke arah pro Amerika kerana negaranya dikatakan kembar Amerika Syarikat belah Asia Tenggara.

Pemikiran pro Amerika dikatakan membawa ideologi barat yang dipropagandakan di sebelah Asia.Penulis secara pemerhatian mendapati bahawa dunia selain secara ideologi jua geopolitik terbahagi secara ringkasnya samada timur atau barat.

Walau mana-mana pihak berhak menyatakan pandangan masing-masing tentang isu dunia yang berlaku, namun natijahnya kita dapat melihat propaganda mana yang lebih popular dan berkesan, adakah pro barat atau pro timur.

Seorang rakan di Britain semasa pembentangan tentang propaganda menerangkan bahawa propaganda ialah informasi terutamanya yang menyeleweng atau berat sebelah digunakan untuk menyampaikan pendapat atau bermatlamat politik.

Semasa pembentangan beliau, mahu sahaja penulis mengutarakan pandangan bahawa Britain juga antara sekutu utama dunia yang rajin menyebarkan propaganda bersama sekutu kuatnya Amerika syarikat hinggakan Tony Blair Perdana Menteri Britain ketika itu sekitar tahun 90an mengatakan bahawa Bill Clinton adalah abang besar negaranya.

Namun hasrat penulis terhenti kerana memikirkan bahawa hujah penulis pasti akan dikritik hebat kerana merupakan pembentang golongan minoriti ketika itu. 

Dalam hal pandemik Covid-19 kini, penulis berpendapat pandangan, tindakan atau propaganda yang dimainkan kerajaan juga badan-badan berkaitan dunia dilihat berat sebelah.

Sebagai contoh apabila virus pandemik Covid-19 dikatakan berasal dari Wuhan, China, maka ada suara-suara dari belah barat menuduh China melakukan keganasan biologi dengan menularkan virus dari makmal di China ke luar lalu terjadilah pandemik tersebut.

Begitu juga dengan kes-kes keganasan biologi bahan kimia Anthrax selepas kejadian September 2000 yang dikatakan bertanggungjawab adalah golongan Al Qaeeda juga dilabelkan sebagai extremis atau fundamentalis agama.

Kes Anthrax tersebut dikaitkan dengan keganasan biologi oleh Al Qaeeda walau golongan tersebut sebelum ini tidak pernah didengar oleh mana-mana dunia Islam sebelum ini tidak seperti puak-puak terkenal Hezbollah, Hamas atau Taliban yang disebut pengganas militan agama.

Dalam kes Covid-19 ini yang kemudian merebak ke serata dunia, ianya disebut sebagai satu pandemik kerana kelihatan negara-negara hebat sebelah Barat pun terkesan juga tidak terkecuali dengan serangan virus ini.

Nah lihatlah pola kejadian atau modus operandi virus atau keganasan biologi dalam kes sebegini. Apabila virus ini dikatakan disebar oleh negara-negara tertentu atau puak-puak tertentu maka ianya disebut sebagai keganasan biologi.

Manakala dalam kes virus yang tersebar melata juga terkesan secara langsung dengan hebat di Barat, hinggakan kekuatan sains dan teknologi mereka yang tercanggih pun tidak mampu mengatasinya, maka ianya disebut pandemik lalu disokong oleh pertubuhan-pertubuhan juga organisasi utama dunia.

Jadi di sini kelihatan satu jenis propaganda dimainkan oleh barat atau timur, tergantung kepada peranan mereka kali ini samada berniat untuk mencapai cita-cita politik atau ekonomi mereka yang tersendiri.

Pandemik merupakan bukan perkara baru kepada jutaan penduduk dunia yang menyaksikan pelbagai jenis virus dan penyakit yang menular, mahupun sejak zaman kerasulan terdahulu lagi.

Namun dewasa ini dengan kepintaran manusia ditambah dengan ketinggian teknologi juga tamadun kini, menyebabkan kadar penularan bertambah hebat dan kadar kematian yang semakin menggerunkan berbanding masa lampau.

Ditambah lagi dengan mobiliti manusia, haiwan dan barangan yang menyebabkan penyebaran virus secara lebih cepat berbanding dahulu.

Tidak cukup dengan itu penyebaran virus ini dahsyat kesannya berbanding perang kerana mengakibatkan ekonomi negara-negara dunia menjadi lumpuh juga sistem keselamatan siber juga menjadi kurang ampuh.

Ini secara langsung atau tidak terhasil akibat pergerakan manusia yang dihadkan di rumah, yang membuatkan mereka kehilangan pekerjaan juga pendapatan dan meningkatkan kadar kebergantungan pada teknologi informasi dan komunikasi (ICT) sebagai medium untuk bekerja, belajar dan berkomunikasi.

Pandemik Covid-19 dari satu segi diwar-warkan oleh golongan pro Amerika sebagai keganasan biologi dari makmal di China, tetapi dari satu segi lagi ianya secara umumnya dikatakan sebagai pandemik oleh pertubuhan-pertubuhan dunia. Dalam masa yang sama serangan-serangan jenayah siber semakin berleluasa malah dengan berani menyerang laman web kerajaan-kerajaan.

Pandemik Covid-19 boleh dilihat sebagai serampang dua tiga mata yang secara dasarnya bukan sahaja menyerang kesihatan awam, ekonomi, sosial juga dilihat berupaya menggegarkan kekuatan politik sesebuah negara.

Maka boleh dilihat berapa banyak negara yang rakyatnya menyeru agar kerajaan yang tidak berupaya menyelesaikan polemik tersebut agar meletakkan jawatan lalu digantikan pemerintahan baru tanpa perlu mengangkat senjata.

Penulis berpandangan bahawa sebenarnya ada propaganda yang tersirat di sebalik yang tersurat lantaran pandemik ini.Dan setengah pandangan blok-blok dunia dilihat berat sebelah dengan mengklasifikasikan apabila virus, ejen jangkitan, bahan berbahaya biologi atau bahan biokimia dengan berdasarkan siapakah yang memberi definisi tersebut.

Maksudnya jika ia didefinisikan oleh setengah pihak yang berpengaruh sebagai pandemik maka, badan dunia tertentu yang berkuasa.Jika ia diklasifikasikan sebagai keganasan biologi (bioterrorisma) oleh pihak-pihak tertentu maka akan adalah nanti setengah golongan yang akan menjadi tertuduhnya.

Sementelahan lagi tertuduh kes-kes Anthrax di Amerika Syarikat satu ketika dahulu juga seperti tidak selesai kisahnya tetapi dilihat kumpulan militant tertentu telah dipropagandakan dengan jayanya terlibat secara bersama dalam kes keganasan biologi tersebut.

Penulis bukan menafikan kehadiran pandemik tersebut tetapi berharap masyarakat dan kerajaan lebih peka dan memperhalusi tindakan juga tindakan yang bersepadu dalam menangani isu-isu tersebut agar kita bertindak lebih mampan walau mungkin kelak diklasifikasikan sebagai golongan kiri, menentang arus dan sebagainya.

Fikir-fikirkanlah dengan akal diberi Tuhan kepada insan agar kita bisa menangani isu ini dengan jayanya jika tidak sekarang bila lagi.

————————-

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan