‘Covid-19 sudah setahun tapi kerajaan PN belum tentu hala tuju’

‘Covid-19 sudah setahun tapi kerajaan PN belum tentu hala tuju’
ARIF ATAN

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi berpendapat kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai keupayaan menghadapi situasi pandemik Covid-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu itu berkata, banyak keputusan penting berkaitan usaha menghentikan rantaian jangkitan Covid-19 dibuat secara ad hoc atau tanpa perancangan awal.

“Ini isu yang sangat serius melanda rakyat khususnya di Kedah. Covid-19 sudah setahun sepatutnya kita tidak boleh buat keputusan atau program berbentuk ad hoc.

“Banyak dasar diputuskan masih lagi tidak tentu. Kerajaan belum tentu hala tuju. Menteri MITI (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) mahu buka ekonomi tapi Ketua Pengarah Kesihatan kata dijangka akan lebih bahaya.

“Arahan berbeza yang dikeluarkan juga tidak jelas akhirnya Covid-19 masih lagi terus merebak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara secara langsung menerusi segmen The Perspektif yang disiar di Facebook rasmi Parti Amanah Negara (AMANAH) malam tadi.

Turut terlibat Ahli Parlimen Sungai Petani/ ADUN Gurun dari PKR, Datuk Johari Abdul dan ADUN Derga dari DAP, Tan Kok Yew dengan ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Dr Ismail Salleh bertindak sebagai moderator. 

Untuk rekod, Kedah sudah mencatat jumlah kes Covid-19 sebanyak 5,341 kes sehingga semalam.

Terdapat 88 kes baharu direkodkan semalam dengan 48 kes adalah saringan kontak rapat, lain-lain saringan (29 kes), kluster sedia ada (7 kes) dan 4 kes lagi dari kluster baharu Keladi Saga di daerah Kulim.

Phahrolrazi yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri juga berpendapat Malaysia dilihat lewat menerima vaksin Covid-19 berbanding Singapura dan Indonesia yang telah melancarkan program vaksinasi masing-masing.

“Adakah selama ini kita tiada duit? Kita tidak faham apa yang sedang berlaku.

“Baru-baru ini Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) telah menghantar surat kepada ahli-ahli mereka supaya bersedia (penutupan ekonomi).

“Kita lihat kerajaan tidak mampu untuk menghadapi situasi sekarang. Kalau awal (penularan Covid-19) dulu, kedudukan PM (Perdana Menteri) agak baik kerana banyak insentif diberi.

“Tapi berbeza apabila masuk PKP 2.0, nampak jelas tidak ada siapa dapat beri jaminan,” tambah Phahrolrazi lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan