Dakwa Annuar Musa biar mahkamah tentukan

Dakwa Annuar Musa jelaskan di mahkamah seperti orang lain

MALAYSIA DATELINE

Pihak  berkuasa digesa mendakwa Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berikutan tular sebuah gambar yang menunjukkan beliau telah melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, menteri melanggar SOP bukanlah perkara baru namun pihak berkuasa seolah-olah pura-pura tidak melihat apa yang dilakukan oleh mereka.

“Di dalam kes Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa, saya percaya rakyat berhak mendapat penjelasan dari pihak polis, apakah Annuar melanggar SOP?

“Sekiranya tidak apakah alasannya? Bukan perbuatannya sudah terang lagi bersuluh melanggar SOP? Mengikut SOP yang ditetapkan, aktiviti beriadah lebih dua orang dilarang sama sekali!” soal beliau dalam kenyataan.

Annuar Musa sudah mengeluarkan kenyataan berkaitan isu berkenaan, difahamkan bahawa mereka berjalan di laluan berasingan dan pertemuan mereka adalah secara kebetulan.

“Sekiranya itu penjelasannya, biarlah kenyataan ini dipakai di hadapan magistret,” katanya.

Katanya, pihak berkuasa hendaklah mendakwa beliau di mahkamah dan biarkan beliau beri penjelasan tersebut kerana ramai orang di luar sana disaman dan dikenakan tindakan tegas, kebanyakan dari mereka tidak berpeluang untuk menjelaskan situasi mereka.

“Sekiranya mereka ini perlu lalui perkara tersebut, maka Annuar Musa harus lalui perkara yang sama! Sekiranya dia tidak disiasat, rakyat sudah pastinya akan berang dan mempertikaikan kewibawaan pihak polis dalam menjalankan tugas,” katanya.

Tambah beliau, ketika ini kerajaan Perikatan Nasional dilihat sebagai kerajaan yang tidak bertanggungjawab apabila setiap kali isu seperti ini muncul pasti ada alasan yang diberikan.

“Hari demi hari kerajaan hanya membuktikan bahawa menteri dan rakyat adalah dari darjat yang berbeza.

“Rakyat biasa seperti Nur Izzati didenda RM1000 di depan kafenya di Segamat, Johor pada 20 Januari lalu kerana tidak memakai pelitup muka tetapi VVIP dan menteri-menteri seperti Annuar Musa boleh memuat naik gambar beliau di sosial media berkumpul beramai-ramai gagal pakai pelitup muka.

“Mengapakah sifat pilih kasih ini diamalkan oleh pihak berkuasa? Apakah para menteri mendapat imuniti apabila mereka melakukan perbuatan melanggar SOP?

“Perbincangan tentang hukumannya pula dipanjang-panjangkan, kadang-kala sehingga berbulan lamanya. Sedangkan apabila rakyat biasa melanggar SOP, tindakan serta merta dikenakan ke atas mereka,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan