Kabur soal calon PM rencatkan Grand Coalition

MOHD ARIF JUHANI

Sehingga enam negeri dikenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 hingga 26 Januari manakala darurat pula telah diperkenan untuk dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, Pakatan Harapan (PH) masih juga belum berjaya mematahkan cengkaman rapuh Muhyiddin Yassin di Putrajaya hingga kini.

Walaupun terdapat pelbagai perspektif mengenai konsep darurat bergantung kepada kepentingan masing-masing, tetapi secara umumnya ahli-ahli politik mudah menyimpulkannya ibarat pedang dua mata. Kalau dapat dikendalikan dengan cekap, tewaslah musuhnya tetapi jika sebaliknya, nyawa sendiri yang akan melayang.

Tentu sekali kelebihan daripada pelaksanaan darurat akan menyebelahi pihak kerajaan kerana dilihat memiliki lebihan kuasa untuk bertindak sementara pembangkang pula dalam situasi yang mudah terancam.

Maka, desakan pembangkang supaya darurat ini dihentikan mempunyai alasan yang cukup mudah dibaca.

Perikatan Nasional (PN) melalui Muhyiddin Yassin pernah cuba mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar darurat diisytiharkan ketika menghadap baginda pada 23 Oktober lalu.

Pada masa itu, alasan yang digunakan oleh Muhyiddin sama seperti sekarang iaitu untuk memerangi ancaman pandemik Covid-19 yang semakin meningkat.

Akan tetapi selepas mesyuarat khas Raja-Raja Melayu pada 25 Oktober lalu, berdasarkan kenyataan media oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, YDPA bertitah bahawa tiada keperluan darurat diisytiharkan pada masa tersebut.

Ketika Muhyiddin cuba mendapatkan perkenan darurat pada Oktober lalu, pembangkang segera membidas tindakan itu sebagai cubaan terdesak kerajaan Tebuk Atap untuk selamatkan rejim daripada ditumbangkan secara simbolik melalui undian semasa belanjawan dibentangkan pada setiap peringkat.

Telur di hujung tanduk

Kini, helah darurat sekali lagi digunakan apabila tekanan kepada Muhyiddin bukan lagi daripada pembangkang sahaja.

Berdasarkan keputusan mesyuarat Umno Bahagian seluruh negara yang berlangsung awal Januari, PN kini umpama telur di hujung tanduk.

Dalam kalangan pemimpin utama Umno juga suara desakan supaya Parlimen dibubarkan makin lantang kedengaran.

Berdasarkan kepada kenyataan media di atas nama Ketua Penerangan Umno bertarikh 6 Januari 2021, tempoh yang digesa agar Parlimen dibubarkan adalah pada penghujung suku pertama tahun ini.

Kononnya mereka percaya, berdasarkan sentimen umum dan semasa khususnya dalam kalangan orang Melayu, Umno akan mampu memenangi semula kerusi yang tewas terutamanya di kawasan Melayu lalu muncul sebagai sebuah kerajaan dengan mandat baharu yang lebih meyakinkan.

Keyakinan ini juga dibayangkan akan diterjemahkan dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 31 Januari nanti.

Tarikh itu juga sepatutnya akan menjadi penentu kepada hubungan Umno dan PN. Di situ jugalah akan menjadi medan para perwakilan dan pimpinan parti itu menghentam Muhyiddin dan Bersatu.

Di samping itu, berdasarkan kepada riak-riak semasa, tidak mustahil PAU juga akan menjadi medan untuk mensasarkan kritikan dan sindiran terhadap Pas sebagai sekutu dalam Muafakat Nasional (MN).

Momentum penolakan Umno terhadap Bersatu semakin kuat apabila dua ahli Parlimen Umno, Ahmad Jazlan Yaakub (Machang) dan Nazri Aziz (Padang Rengas) masing-masing menarik sokongan terhadap PN pada 9 dan 12 Januari lalu.

Sudah terang lagi bersuluh, Muhyiddin sepatutnya automatik hilang keabsahan sebagai perdana menteri kerana tiada majoriti.

Nazri Aziz juga secara terbuka tidak menolak kemungkinan darurat dilaksanakan berpunca daripada penarikan sokongan beliau kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Maka apabila darurat diisytiharkan pula susulan pelaksanaan PKP 2.0 pada 13 Januari lalu, ternyata semakin sukar untuk ditepis persepsi bahawa darurat merupakan senjata akhir (dan mungkin paling ampuh) Muhyiddin untuk terus kekal berkuasa.

Ditambah senario peningkatan pandemik yang mendadak dan belum menunjukkan tanda-tanda akan reda (dicemaskan lagi dengan unjuran bahawa akan berlaku pertambahan antara 5,000 hingga 8,000 kes secara purata pada pertengahan April) dan musibah banjir besar di beberapa negeri termasuk Pahang, Kelantan dan Johor, ternyata darurat dianggap tindakan terbaik setakat ini. 

Semasa darurat juga sidang Parlimen yang sepatutnya kembali bersidang pada 8 Mac nanti mungkin tergendala sekaligus memberi kesempatan PN untuk mengelak daripada sebarang serangan daripada pihak pembangkang dan ahli Parlimen Umno.

Di samping itu, secara muslihatnya juga, darurat turut memberi ruang masa dan kesempatan yang terbaik kepada Muhyiddin dan rejim Perikatan Nasional (PN) agar lebih selesa menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Tumpas separuh jalan

Sebenarnya sukar untuk disebut ‘selesa’ kerana dalam tempoh getir ini, hampir semua parti politik berhadapan dugaan dan cabaran tersendiri.

Cuma kelebihan kini berada pada PN sebagai sebuah kerajaan yang membolehkan mereka memperalatkan segala jenis jentera kerajaan termasuklah media massa untuk menyerang pihak lawan manakala sumber kewangan yang besar untuk melicinkan jentera pentadbiran termasuk membina dewan dengan nilai jutaan ringgit tatkala fokus kini kepada penyediaan bekalan rawatan dan pencegahan pandemik.

Kerakusan Umno untuk kembali berkuasa sehingga mendesak agar Parlimen dibubarkan pun turut tergendala akibat darurat. Hanya Pas sahaja yang mudah membuat keputusan.

Oleh kerana banyak ghanimah diterima daripada PN termasuklah jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri (PBPN), maka muncullah segala jenis lebai Pas beserta dalil-dalil agama yang diistinbath secara dangkal agar darurat diterima oleh semua rakyat.

Di sebalik segala liku-liku politik semasa ketika ini, PH sebagai sebuah pakatan pembangkang yang secara relatifnya besar, masih gagal bertindak dengan kesan serangan yang berimpak tinggi, besar dan menyeluruh untuk mendesak Muhyiddin berundur.

Kelengahan PH untuk mengambil kesempatan yang terbuka luas ini kalau diperhatikan hanyalah berpunca daripada seputar kegagalan untuk membina kerjasama antara dua figura penting iaitu Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sesetengah pemimpin PH cuba mencadangkan agar kerjasama pembangkang dibentuk dengan tujuan utama dan besar iaitu menjatuhkan PN terlebih dahulu sekaligus mengenepikan sementara soal siapa calon Perdana Menteri.

Secara teori, memang cadangan ini mudah. Tetapi secara praktikal, inilah yang telah menghambat kemajuan PH untuk bergerak lebih cergas dan menyeluruh. Di sinilah kesukaran kepada PH hingga melelahkan ahli di bawah.

Memang mudah dibayangkan bahawa sekiranya ditakdirkan Tuhan, sekali lagi PH berjaya menumpaskan PN, maka percayalah bahawa pertarungan seterusnya adalah perebutan jawatan Perdana Menteri.

Jika ini berlaku, tergendalalah agenda reformasi pentadbiran dan luluhlah hati para pengundi kerana melihat keserabutan yang belum berkesudahan ini.

Sehingga ini berlaku, usahlah disalahkan rakyat jika mereka tidak lagi berminat untuk bersama-sama menyumbang kepada usaha membina semula negara ini.

Harus diingatkan bahawa kelemahan dan kekaburan tentang peralihan kuasa Perdana Menteri antara Tun Dr Mahathir dan Anwar merupakan antara punca terbesar PH tumpas separuh jalan sebagai kerajaan.

Tidak dinafikan, Grand Coalition masih sebuah cadangan yang baik di atas kertas tetapi ketidakjelasan tentang perkara mendasar iaitu siapa calon perdana menteri menyebabkan agenda ini kekal tergantung sementara Muhyiddin sudah menjalar ke segenap pelusuk negara untuk mengukuhkan rejim pemerintahannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan