'Lelaki mati dalam lokap akibat dipukul tahanan lain atas arahan polis'

Malaysiakini 

Seorang lelaki yang mati ketika dalam tahanan di lokap ibu pejabat polis daerah (IPD) Bentong, Pahang tahun lalu telah dipukul dua tahanan lain atas arahan seorang anggota polis, menurut Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Menurut Suhakam, forensik mendapati G Jestus Kevin, yang ditahan kerana disyaki mencuri pada April tahun lalu, mati akibat kecederaan di otak disebabkan objek tumpul.

"Menerusi keterangan oleh doktor forensik, Suhakam mendapat pengesahan yang si mati mengalami banyak kecederaan, termasuk tulang rusuk patah.

"OKT (orang kena tuduh) lain di lokap memberi keterangan yang si mati telah diikat dengan selimut dan dipukul oleh OKT lain - (seperti) disahkan melalui rakaman CCTV," kata Pesuruhjaya Suhakam Jerald Joseph ketika sidang media dalam talian hari ini. 

Jerald berkata, seorang anggota polis mengarahkan tahanam lain untuk "menenteramkan" Jestus Kevin, dan melihat kejadian ketika dia dipukul.

Suhakam mendapati anggota polis itu tidak mengambil apa-apa tindakan untuk menyelamatkan mangsa.

Tahanan yang memukul Jestus Kevin turut diberi rokok, dipercayai sebagai upah "menjaga" mangsa, katanya lagi.

Menurut Jerald, mangsa sepatutnya diberi rawatan sebelum kejadian kerana dia menunjukkan tanda keadaan mental yang tidak stabil, seperti percubaan membunuh diri, bercakap seorang diri serta memanjat dinding.

"Sebaliknya, mangsa terus ditahan dan kemudian dipukul tahanan lain di lokap," katanya lagi.

Menurut Suhakam lagi, pihaknya telah mengenal pasti tahanan dan anggota polis yang terlibat dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap mereka.

Suhakam turut mengesyorkan agar tindakan diambil terhadap anggota polis lin yang tidak menjamin keselamatan Jestus Kevin ketika dalam tahanan, walaupun dia menunjukkan kesihatan mental yang tidak baik.

Jestus Kevin, 30, ditahan pada 2 April 2020 kerana disyaki mencuri. Dia didapati mati tiga hari kemudian.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Yusof Unis, anggota polis yang bertugas mendapati mangsa mengalami kesukaran bernafas pada 5 April dan telah menghubungi ambulans.

Dia berkata apabila ambulans tiba di lokap, mangsa telah meninggal dunia.

Isu kematian dalam tahanan merupakan antara sebab utama aktivis menggesa penubuhan Suruhanjaya Pengaduan dan Salah Laku Polis Bebas (IPCMC).

Bagaimanapun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menggantikannya dengan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang jauh lebih lemah dan tiada kuasa untuk menghukum anggota yang didapati bersalah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan