Muhyiddin, Kabinet perlu letak jawatan - MP senarai 4 'kegagalan' PN

 Malaysiakini 

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim hari ini menyenaraikan empat sebab mengapa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kabinetnya perlu letak jawatan.

Menurut Hassan, Muhyiddin dan barisan menteri perlu berundur kerana gagal menangani penularan wabak Covid-19, keadaan ekonomi yang semakin merudum, isu tadbir urus dan kepimpinan serta pengisytiharan darurat yang tidak wajar.

Menyentuh peningkatan jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat walaupun dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), Hassan berkata jumlah kes semalam, iaitu 5,725 kes yang merupakan angka tertinggi, jelas menunjukkan kegagalan Muhyiddin.

“Sehingga hari ini, vaksin untuk Covid-19 masih belum sampai ke Malaysia. Kesimpulannya, PM Muhyiddin dan kabinet pimpinannya telah gagal menangani Wabak Covid-19,” katanya dalam kenyataan.

Sebab kedua, menurut Hassan, adalah kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International untuk tahun ini, yang jatuh enam anak tangga berbanding tahun sebelumnya, dalam tempoh 11 bulan Muhyiddn mentadbir negara.

Dia juga menyebut antara faktor kemerosotan yang diambil kira indeks tersebut, iaitu sejumlah kes mahkamah berprofil tinggi yang digugurkan atau dibebaskan tanpa dilepaskan (DNAA), antaranya melibatkan bekas ketua menteri Sabah Musa Aman dan anak tiri Najib Razak, Riza Aziz.

Berhubung kedudukan negara dalam CPI, Pejabat Perdana Menteri semalam menegaskan kerajaan terus komited untuk memerangi rasuah dan meningkatkan tadbir urus kerajaan.

Mengulas lanjut, ahli Parlimen PKR itu turut berkata ekonomi negara juga gagal diuruskan dengan baik, dengan penurunan penarafan kedudukan kewangan negara dan kemerosotan pelaburan langsung asing (FDI).

"Berjuta rakyat hilang pekerjaan. Kadar hutang negara berbanding KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) semakin meningkat. Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur," katanya lagi.

“Terakhir sekali ialah fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada tahun 2020,” katanya lagi.

Dia juga mendakwa kerajaan PN tidak mendapat mandat rakyat dan menggunakan proklamasi darurat untuk menggantung Parlimen agar dapat terus mengekalkan kuasa.

“Dengan berlandaskan seekurang-kurangnya empat sebab kegagalan ini, maka dengan sesungguhnya demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen Pasir Gudang mendesak Muhyiddin Yassin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan