Apa selepas vaksin?

MUKHTAR SANI

312,390 dos vaksin Covid-19 selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 10 pagi semalam, selepas berjam-jam diterbangkan Pesawat Malaysia Airlines MH604 dari kilang Pfizer di Belgium.

Penawar yang ditagih dan ditunggu-tunggu sejak dua tahun lalu akhirnya tiba di tanah air; Impian seluruh rakyat Malaysia untuk bebas dari kepompong perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyeksakan dan melemaskan semakin hampir menjadi realiti.

Tidak perlu lagi patuh terhadap prosuder operasi standard (SOP) yang memeningkan, tiada lagi keperluan mengenakan pelitup muka di tempat awam, bebas berjalan ke sana, ke sini, tidak perlu ‘scan’ Mysejahtera, perniagaan dibuka seluas-luasnya, keuntungan kembali seperti sedia kala – inilah ‘utopia’ pasca pandemik (atau sebelum pandemik) yang terbayang di benak fikiran kita semua.

Pun begitu, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi bayangan keadaan tidak akan berubah meskipun selepas seisi Malaysia diberikan suntikan vaksin.

Katanya, masyarakat tiada pilihan selain perlu kekal mematuhi SOP dan membiasakan diri dengan situasi norma baharu ini.

“Untuk lebih jelas, ketika anda menyelesaikan vaksinasi, misalnya awal tahun depan 2022, kami menjangkakan untuk menyelesaikan vaksinasi untuk 70 peratus penduduk pada suku pertama 2022

“Pada masa ini, kita tidak boleh menganggap vaksinasi Covid-19 sebagai ‘pasport imuniti’.

“Dengan lebih ramai orang yang akan diberi vaksin, keadaan akan berubah dalam jangka waktu tertentu. Ia akan berkembang.

“Tetapi kami akan terus menilai tindak balas terhadap program imunisasi dalam beberapa bulan ke depan.

“Akan tiba masanya kita dapat mempertimbangkan untuk meringankan langkah pencegahan Covid-19 kita, tetapi tidak pada saat ini.

“Jadi, kita tidak akan punya pilihan selain terus mematuhi norma baru atau SOP Covid-19,” jelas Dr Noor Hisham.

Peringatan yang disuarakan beliau tentulah ditujukan kepada kita, semua rakyat Malaysia, termasuk menteri, pemimpin politik. Pendek kata; tanpa mengira pangkat mahupun darjat.

Kepatuhan dan tahap disiplin yang tinggi yang ditunjukkan rakyat Malaysia jugalah yang melandaikan lekuk pandemik sewaktu kita dilanda gelombang kedua wabak ini, sebelum usaha ini akhirnya musnah lebur ekoran ketamakan dan kerakusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merampas mandat rakyat di Sabah.

Hasilnya, kita kini berdepan gelombang ketiga Covid-19 hasil kegelojohan kerajaan Muhyiddin Yassin untuk meluaskan kuasanya. Rakyat dipaksa kembali patuh kepada SOP yang memeningkan dan sentiasa berubah-rubah, ditambah hilang mata pencarian akibat pelaksanaan PKP.

Seperti menambah garam ke luka, kerajaan membuat keputusan membelakangi sentimen rakyat yang melihat bahawa PN adalah pencetus gelombangkan ketiga Covid-19 dengan menetapkan SOP yang menguntungkan golongan kayangan. Ini dilihat selepas kerajaan Muhyiddin membenarkan ahli Kabinet melakukan kuarantin selama tiga hari sedangkan rakyat disuruh patuh kuarantin selama tujuh hari.

Timbul persoalan, adakah barisan Kabinet Muhyiddin akan terus patuh kepada SOP seperti yang disarankan Dr Noor Hisham selepas setiap daripada mereka diberikan suntikan vaksin (ahli politik antara terawal akan menerima suntikan vaksin) atau amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan SOP seumpama itu akan semakin menjadi-jadi?

Adakah rakyat akan terus menjadi mangsa, sementara barisan Kabinet Muhyiddin terus diberikan keistimewaan?

Jika dilihat daripada situasi semasa, iaitu sebelum tibanya vaksin, tidak kurang para menteri dan timbalannya yang secara terang-terangan melanggar SOP. Sebagai contoh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa baru-baru ini didakwa melanggar SOP PKP selepas gambarnya bersama enam yang lain duduk di dua meja jamuan tersebar di media sosial. Sehingga masih belum ada apa-apa tindakan dikenakan terhadap Menteri PN itu.

Kesimpulanannya, wujud atau tidak wujud vaksin Covid-19, amalan antara dua darjat mungkin akan terus berlaku dan kesedaran di kalangan ahli Kabinet Muhyiddin tentang kepatuhan terhadap SOP masih tetap rendah. Akhirnya yang menjadi mangsa atas kedegilan anak-anak buah Muhyiddin adalah rakyat. Kita jaga kitalah ya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan