Gantung tugas ‘hakim pemberi maklumat’ tamparan untuk banteras rasuah, kata C4

FMT Reporters

Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer digantung tugas enam bulan kerana afidavitnya yang mendakwa terdapat salah laku kehakiman. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) berkata, penggantungan tugas “hakim pemberi maklumat” adalah tamparan besar terhadap usaha negara melindungi mereka yang bersedia tampil membongkar aktiviti rasuah dan salah laku.

Katanya, nasib Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer yang digantung tugas sehingga persaraannya berikutan afidavitnya yang mendakwa berlaku salah laku kehakiman akan menyebabkan bakal pemberi maklumat kurang cenderung untuk tampil kerana takut dihukum.

Hamid digantung tugas enam bulan oleh Jawatankuasa Etika Hakim (JEC), selepas prosiding inkuiri yang enggan dihadirinya kerana beliau mencabar komposisi dan keperlembagaan jawatankuasa itu.

Penggantungannya berkuat kuasa semalam hingga 27 Ogos ini apabila beliau bersara daripada jawatannya. Tiga tahun lalu, beliau mendakwa terdapat campur tangan kehakiman dalam beberapa kes berprofil tinggi.

C4 berkata, sangat membimbangkan apabila JEC meneruskan prosiding tanpa kehadiran Hamid, walaupun peguamnya meminta penangguhan akibat keadaannya yang tidak sihat dan pendengaran kesnya di Mahkamah Rayuan semalam.

“Menurut prinsip keadilan semula jadi, setiap litigan mesti diberi hak untuk didengar. Hak ini tidak diendahkan JEC dan tidak diberikan kepada Hamid,” katanya dalam kenyataan.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah kita, hakim yang masih bersidang secara terbuka menyatakan kemungkinan berlaku salah laku dalam badan kehakiman.

“Hamid pasti tahu akan ada reaksi balas, tetapi kekurangan sokongan atau perlindungan terhadap tindakan pemberian maklumat ini sangat mengejutkan.”

Sebaliknya, pusat itu berkata, keberanian Hamid digunakan untuk menghukumnya bagi “menimbulkan rasa takut kepada orang lain yang mungkin mengambil tindakan sama”.

Katanya, tindakan itu membuktikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pada dasarnya tidak berkesan kerana tidak meliputi situasi ini.

“Dengan keputusan ini, kami menuntut jawapan apa yang akan berlaku susulan pendedahan serius Hamid. Ketika pentadbiran Pakatan Harapan, suruhanjaya siasatan diraja (RCI) dijanjikan akan menyiasat tuduhan tersebut.

“Tetapi, langsung tiada tindakan daripada kerajaan semasa terhadap perkara ini. C4 menuntut tiada lagi penundaan dalam penyiasatan terhadap dakwaan salah laku tersebut.

“Tidak dapat dibayangkan tuduhan seserius itu boleh dilupakan dan akhirnya diabaikan.”

Menurut C4, badan kehakiman adalah tonggak asas demokrasi negara dan ia memerlukan semua usaha untuk mempertahankan integriti serta kebebasannya.

Oleh itu, katanya, Hamid harus diberikan haknya untuk didengar dan tindakan punitif hanya patut dilaksanakan selepas siasatan membuktikan adanya mala fide atau niat buruk.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan