Geng Publika lawan Geng Ustaz dalam Pas?

MALAYSIA DATELINE

Geng Publika lawan Geng Ustaz dalam Pas?

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan adanya dakwaan wujudnya ‘Geng Publika’ yang menyokong Bersatu dan ‘Geng Ustaz’ yang menyokong kerjasama dengan Umno dalam Pas.

Namun Menteri Besar Terengganu itu menafikan dakwaan tersebut dan turut menafikan wujudnya perpecahan dalam Pas.

Beliau juga menafikan dakwaan adanya usaha untuk menyingkirkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dari jawatan presiden parti itu.

“Tiada masalah yang timbul dalam parti termasuk barisan kepimpinan di dalam Pas.

“Tak betul (dakwaan itu), ia hanya khabar angin yang sengaja diadakan terutamanya pada zaman media sosial sekarang.

“Pada saya, cerita itu tiada asas kerana kami ok sahaja, tiada masalah apa pun, tak ada apa,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, lapor Sinar Harian.

Menurut Sinar, antara nama yang dikaitkan dengan ‘Geng Publika’ ialah Ahmad Samsuri sendiri dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

‘Geng Ustaz’ pula antaranya Ketua Penerangan Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Geng Ustaz dikatakan sedang melobi untuk menjatuhkan Hadi di mana satu audio rakaman perbualan Khairuddin, yang merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi disebarkan.

Ketika mengulas isu ini, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar terkejut dan bertanya, “Laa ada lagi ka jebon dalam Pas.”

“Dulu depa kata kami ‘jebon’, saya ingat ‘jebon’ dah mati habis dah. Rupanya ada lagi dalam Pas, saya terkejut juga apabila ada lagi ‘jebon’ yang mahu menjatuhkan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang),” kata Naib Presiden AMANAH itu.

Jebon adalah nama yang diberikan oleh pemimpin Pas terhadap golongan profesional yang mereka mahu singkirkan dari parti itu menjelang Muktamar 2015 yang menyaksikan perpecahan besar berlaku dalam parti itu sehingga melahirkan AMANAH.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan