Kuarantin pun tiga hari, rakyat menanti Muhyiddin ke luar negara

ARIF ATAN

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi secara sinis berkata, rakyat pada masa ini ternanti-nanti bila Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengadakan lawatan rasmi ke luar negara.

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) tersebut berkata, lawatan itu yang tentu akan disiar dalam Facebook ketua negara yang dilawati memberi peluang kepada rakyat mengulas dalam media sosial pemimpin nombor satu negara berkenaan.

“Rakyat dahagakan platform yang Muhyiddin akan membacanya. Pegawai PMO (Pejabat Perdana Menteri) mesti baca. Yang penting sampai ke telinga Perdana Menteri.

 “Mereka mahu lakukan perkara sama seperti dalam FB Jokowi (Presiden Indonesia) dan Istana Negara. Cara ini lebih efektif. Tiada Parlimen, FB pun jadilah,” sindirnya dalam hantaran di Facebook pagi ini.

Pertemuan Muhyiddin Joko Widodo (Jokowi) pada 5 Februari lalu mengundang kecaman ramai rakyat Malaysia di FB Presiden Indonesia berkenaan tidak seperti sebelum ini yang menyaksikan rakyat negara Garuda tersebut yang menghina negara ini.

Lawatan ke Jakarta dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan pandemik Covid-19 itu merupakan lawatan rasmi pertama Muhyiddin sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada Mac tahun lalu susulan Langkah Sheraton.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat secara sinis lagi menambah rakyat tidak mempersoal lawatan Muhyiddin ke luar negara.

Ini kerana, jelasnya, sudah ada mekanisme gelembung perjalanan (travel bubble) serta tempoh kuarantin hanya tiga hari untuk menteri yang pulang dari luar negara.

“Sekarang Muhyiddin mudah ke luar negara. Sudah ada travel bubble. Kuarantin pun tiga hari sahaja. Elok pergi. Rakyat tidak bantah,” tambah Puad lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan