Lepas MP lompat parti, berapa sokongan Muhyiddin ketika ini?

Malaysiakini 

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sedang mengumpulkan anggota parlimen bagi meraih sokongan di tengah gesaan pembangkang bagi mengadakan sidang Parlimen sewaktu negara masih berada dalam darurat.

Pada Disember tahun lalu, Muhyiddin bersama 111 anggota parlimen - jumlah minimum yang diperlukan bagi meraih majoriti dalam Dewan Rakyat - berhasil meluluskan Belanjawan 2021.

Untuk rekod, dua kerusi parlimen kosong ekoran kematian penyandangnya.

Backbencher kerajaan turut memberikan sokongan kecuali Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang secara terbuka menyatakan tidak menyokong Muhyiddin.

Sejak itu, dua lagi wakil rakyat kerajaan iaitu Anggota Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub menarik balik sokongan, menyebabkan Muhyiddin hilang majoritinya.

Susulan itu, Muhyiddin cuma mendapat sokongan 109 wakil rakyat daripada jumlah keseluruhan 220 anggota parlimen.

Bagaimanapun hari ini, Anggota Parlimen Tebrau Steven Choong dan Anggota Parlimen Julau Larry Sng pula meninggalkan PKR untuk menyokong Muhyiddin.

Perdana menteri itu kembali meraih sokongan 111 ahli parlimen.

Namun, majoriti tipis itu kekal goyah ekoran tindakan segelintir ahli parlimen dari Umno yang meski bersama Muhyiddin sering mengeluarkan kenyataan mengkritik presiden Bersatu itu.

Muhyiddin kemudian telah bertindak memotong peruntukan ahli parlimen Umno tertentu daripada RM3.7 juta kepada RM100,000.

Selain Nazri dan Jazlan yang telah menarik sokongan terhadap Muhyiddin, ahli parlimen lain yang turut dipotong peruntukkannya adalah Najib Razak (Pekan), Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk) dan Ahmad Maslan (Pontian). 

Najib, Zahid dan Ahmad belum menarik sokongannya ke atas Muhyiddin secara terang-terangan dan sekiranya mereka berbuat demikian, ia akan meruntuhkan majoriti tipis perdana menteri itu.

Malaysiakini turut mendapat maklumat yang mendakwa sekutu Muhyiddin kini sedang cuba menarik anggota parlimen pembangkang untuk menyokong perdana menteri itu dan akan ada ramai lagi yang turut serta.

Walaupun Muhyiddin mempunyai majoriti tipis, dia juga ‘dibantu’ dengan situasi pembangkang yang sedang berpecah-belah.

Pakatan Harapan (PH) kini tinggal 89 anggota parlimen susulan dua wakil rakyat dari PKR telah bertindak meninggalkan parti itu.

Baki anggota parlimen pembangkang lain dari parti yang belum berdaftar iaitu Parti Pejuang Tanah Air dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Sarawak Bersatu (PSB), Warisan, Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (Upko) dan Bebas.

Terdahulu, ahli parlimen pembangkang dan beberapa dari Umno telah menghantar petisyen kepada Yang di-Pertuang Agong supaya menggesa persidangan Dewan Rakyat diadakan setelah digantung kerana pengisytiharaan darurat yang dilaksanakan pada 11 Jan lalu.

Agong menitahkan bahawa ia boleh dilakukan sekiranya Muhyiddin menasihati untuk berbuat demikian.

Selain itu, Najib pula melihat tindakan dua ahli parlimen PKR yang lompat parti bagi menyokong kerajaan adalah satu tindakan positif.

“Ini sebenarnya berita baik bagi negara walaupun ramai yang persoal jika ia langkah tepat bagi kerajaan mengutip ahli-ahli parlimen pada masa darurat.

“Sebab ia bakal meningkatkan peluang untuk parlimen berlangsung semula supaya demokrasi negara dapat dipulihkan,” jelasnya.

Jelas Muhyiddin, darurat dilaksanakan bagi mengawal penularan Covid-19 namun pengkritik mendakwa tindakan perdana menteri itu seakan mempertahankan jawatannya selepas kehilangan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Perdana Menteri akan lebih selesa melaksanakan persidangan Dewan Rakyat sekiranya berjaya meraih sokongan ahli parlimen .

Dalam keadaan darurat, pembangkang tidak mungkin dapat menggulingkan Muhyiddin meski dapat mengumpulkan jumlah ahli parlimen kerana kerajaan darurat tidak bergantung pada majoriti parlimen.

Bagaimanapun, dengan memperoleh majoriti tipis dalam Dewan Rakyat, ia akan bantu Muhyiddin menonjolkan kepimpinan dan menangkis segala usaha pembangkang untuk menyingkirkannya jika Parlimen dibenarkan bersidang kelak.

Pengisytiharaan darurat akan tamat pada Ogos. Muhyiddin telah berjanji untuk mengadakan pilihan raya umum selepas wabak Covid-19 reda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan