Mati dicekik suami

Metro

Agensi

Beirut: Model Lubnan, Zeina Kanjo meninggal dunia dipercayai akibat dicekik oleh suaminya, Ibrahim Ghazal di kediaman mereka di sini.

Gulf News melaporkan, perkara itu disahkan keluarga mangsa yang memaklumkan mayat Zeina ditemui di dalam rumah.

Rakaman panggilan telefon dihantar adik Zeina ke saluran televisyen tempatan menunjukkan suami mangsa mengaku cuba mendiamkan isterinya dengan menutup mulut mangsa.

Lelaki berkenaan turut bertanya kepada adik iparnya itu, apa harus dilakukannya, selepas mendapati mangsa bersama individu lain di dalam rumahnya.

Beberapa sumber melaporkan suami Zeina cuba melarikan diri dari negara itu selepas melakukan pembunuhan itu, tetapi gagal.

Ia selepas seorang individu dihubunginya untuk bertanya mengenai pilihannya yang ada, kemudian melaporkan lelaki itu kepada polis.

Laporan juga mendakwa pasangan itu tidak bahagia dengan perkahwinan mereka.

Ia meskipun ada hantaran di media sosial yang menunjukkan hubungan Zeina dan suaminya sebagai pasangan ideal.

Di sebaliknya, Zeina dikatakan menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan sudah menuntut cerai.

Kematian Zeina menimbulkan kemarahan warganet yang menuduh undang-undang negara itu tidak adil terhadap wanita.

Selain itu, pihak berkuasa didakwa berulang kali gagal melindungi golongan itu sekiranya berlaku keganasan rumah tangga.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Lubnan melaporkan kenaikan 112 peratus dalam aduan keganasan rumah tangga oleh wanita antara Januari dan Ogos tahun lalu berbanding tempoh sama pada 2019.

Masalah itu dikaitkan dengan keadaan ekonomi di negara yang semakin buruk sejak sebelum wabak Covid-19 melanda negara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan