Pengalaman doktor Malaysia di UK sangat menginsafkan

DR FARAH ADIBAH

Saya dan hampir 17 juta dari penduduk United Kingdom (UK) telah pun menerima vaksin dari jenis Pfizer ataupun Oxford semenjak Disember 2020. Di sini tiada satu pun kes kematian yang khasnya disebabkan oleh pengambilan vaksin ini.

Malah, kadar kematian di UK sejak 24 Januari 2021 sudah turun sebanyak 62% dalam kalangan warga emas berusia lebih 80 tahun, 51% di kalangan warga berusia 65 hingga 79 dan 47% di kalangan warga berusia 20 hingga 64 tahun.

Pengalaman saya sebagai doktor perubatan di negara UK sangat menginsafkan – 120,000 nyawa sudah terkorban termasuk suami kawan baik saya.

Disebabkan faktor genetik, orang Asia seperti kita berisiko lebih tinggi untuk meninggal dunia dan mengidapi Covid-19 tahap serius berbanding orang kulit putih.

Bagi warga tua berkulit putih, sekiranya perlu ventilasi di ICU akibat Covid-19, peluang sembuh sekitar 50:50. Bagi orang Asia peringkat warga tua yang perlu diventilasi, peluang sembuh hampir kosong.

Saya juga sudah saksikan kematian ramai yang berusia 40 hingga 60 tahun, sebahagian mereka memang sangat sihat sebelum dijangkiti Covid-19.

Bagi para pesakit Covid-19 yang sudah “sembuh”, kira-kira 10% dalam kalangan mereka tidak sembuh sepenuhnya akibat “post-Covid syndrome” dimanifestasi sebagai simptom-simptom seperti sesak nafas, stres, kekabusan otak, keletihan, kegusaran dan sebagainya yang berpanjangan hingga berbulan-bulan atau mungkin lebih lama.

Selain daripada kesan Covid-19 pada nyawa dan kesihatan, kita sudah saksikan kesan negatif wabak ini terhadap ekonomi, pendidikan, keluarga dan sebagainya. 

Cara saintifik untuk menangani dan menghapuskan wabak ini ialah kita perlukan imuniti kelompok (herd immunity ) melalui vaksinasi 80 peratus minima dari jumlah keseluruhan populasi.

Insha-Allah besar kemungkinan ini boleh memulihkan keadaan hampir kepada normaliti atau kebebasan yang kita nikmati pra-Covid.

Vaksin Covid sangat selamat dan lebih selamat dari jangkitan itu sendiri. Kaedah vaksinasi sudah pun digunakan sejak Zaman Khalifah Uthmaniyyah.

Walaupun jangkitan Covid-19 itu mungkin ringan atau tiada langsung simptom bagi sesetengah individu, kita masih boleh mentransmisikan jangkitan itu kepada individu lain, masyarakat dan juga membahayakan nyawa individu-individu yang kita sayangi.

Nasihat saya, ambillah vaksin yang ditawarkan KKM sebagai ikhtiar sejurus kita bertawakkal untuk keselamatan diri, keluarga, masyarakat dan kesejahteraan negara yang kita sayangi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan